Friday, April 30, 2010

'Kasi ajar bapa'

Oleh Zalifah Mohd Yatim

2010/04/30

SEORANG senator mencadangkan di Dewan Negara semalam supaya bapa kepada bayi yang dibuang dikenakan hukuman ‘kasi’.

Senator Ahmad Hussin berkata hukuman itu wajar sebagai tindakan yang lebih ketat untuk ‘mengajar’ golongan lelaki terbabit supaya lebih bertanggungjawab.


“Kes buang bayi, bapa sudah ghaib. Saya cadang kita ‘kasi’ bapa ini,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.


Shahrizat dalam jawapannya berkata cadangan itu perlu dikaji terlebih dahulu kerana bukan semua bapa mengabaikan tanggungjawab mereka.


“Cadangan itu inovasi dan kreativiti...ikut hati memang saya bersetuju, tetapi hukuman itu hanya kepada golongan berkenaan (menyebabkan kes buang bayi) kerana tidak semua bapa tidak baik, gagal melaksanakan tanggungjawab. Saya mohon supaya kaum bapa memikirkan cadangan radikal berkenaan,” katanya.


Sebelum itu, katanya, sikap ibu bapa ‘francais’ anak yang dilahirkan kepada masyarakat dan kerajaan, dilihat antara faktor penyumbang kepada masalah sosial sehingga menyebabkan kes pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak berleluasa di negara ini.


Katanya, punca masalah sosial seperti kes pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak terus berleluasa kerana keruntuhan institusi keluarga.


“Hari ini, kita lihat tugas dan tanggungjawab tradisi yang dilaksanakan ibu bapa, tok nenek dan kaum keluarga semakin terhapus dan terhakis. Kini semua terlalu sibuk dan menjadi masyarakat individu.


“Anak kita lahirkan tetapi selepas itu ‘francais’ mereka pada masyarakat dan kerajaan, kita lepas tangan dengan tidak meluangkan masa dan tidak memberikan didikan serta membimbing mereka dengan penuh kasih sayang. Itu dilihat punca masalah sosial terus berleluasa,”
katanya.

Menjawab soalan tambahan yang diusulkan Senator Datuk Seri Empiang Jabu, beliau berkata dalam tempoh empat tahun bermula 2005, sejumlah 407 kes pembuangan bayi dilaporkan di seluruh negara.


Katanya, Selangor mencatatkan negeri tertinggi iaitu sebanyak 105 kes diikuti Johor (83), Sabah (65), Sarawak (34), Negeri Sembilan (24), Pulau Pinang (22), Perak (19), masing-masing 17, di Pahang dan Kedah, Kelantan (10), Terengganu (lima), Melaka (tiga), Kuala Lumpur (dua) dan Perlis (1).


Menurutnya, kes penderaan kanak-kanak terus mencatatkan angka mengerikan apabila dalam tempoh empat tahun sejumlah 10,758 kes dilaporkan di seluruh negara.


Beliau berkata, Selangor mencatatkan sebanyak 3,234 kes, diikuti Kuala Lumpur (2,221), Pulau Pinang (891), Perak (861), Negeri Sembilan (799), Johor (599), masing-masing 440 kes di Pahang dan Sarawak, Kedah (420), Melaka (301), Perlis (245), Terengganu (168), Kelantan (105) dan Sabah (34).

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kasiajarbapa/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...