Friday, April 30, 2010

Penipu anak keli

Oleh Hadzlihady Hassan dan Mohd Firdaus Ibrahim

2010/04/30

KUALA LUMPUR: Bermodalkan air liur dan ayat manis, seorang lelaki menggunakannya sebagai ‘senjata’ untuk menjalankan penipuan dengan meminta mangsa melabur dalam perniagaan ikan keli.

Difahamkan, lelaki kaki putar alam terbabit menggunakan kepakarannya mengatur ayat bagi meyakinkan mangsa yang kononnya dia mewakili sebuah syarikat dan mahu berkongsi kekayaan dengan menawarkan mangsa sejumlah anak ikan keli untuk dijual.


Modus operandi yang digunakannya cukup mudah apabila dia menghubungi mangsa sebelum memberitahu mempunyai bekalan anak ikan keli dan meminta mangsa mengeluarkan modal terlebih dulu.


Menurut sumber, dalam kes terbaru, seorang pengarah syarikat berputih mata apabila wang yang dilaburnya berjumlah RM8,000 lesap selepas terpedaya dengan janji lelaki terbabit.


“Mangsa yang berusia 27 tahun itu pada mulanya menerima panggilan daripada lelaki terbabit yang mendakwa mewakili sebuah syarikat pembekal ikan keli.


“Lelaki terbabit kemudian menawarkan anak ikan keli untuk dibela sebelum mendakwa dapat menjual kembali dengan mendapat keuntungan lebih selepas cukup tempoh ditetapkan,”
katanya.


Menurutnya, lelaki itu mendakwa dia boleh memberikan anak ikan keli terbabit dengan syarat mangsa mesti mengeluarkan modal dan akan memberikan semua hasil keuntungan kepada mangsa.


“Mangsa tertarik dengan pelawaan itu dan diminta memasukkan wang modal terbabit ke dalam akaun lelaki berkenaan.


“Mungkin kerana terlalu teruja untuk mendapatkan keuntungan, mangsa tanpa berfikir panjang memasukkan separuh wang modal terbabit melalui akaun lelaki itu,”
katanya.

Sumber berkata, sehari selepas itu, mangsa sekali lagi memasukkan wang baki ke dalam akaun lelaki terbabit dan dia kemudian diminta menunggu panggilan daripada lelaki berkenaan.


“Bagaimanapun, janji hanya tinggal janji dan hampir setiap hari mangsa menghubungi lelaki itu namun pelbagai alasan diberi.


“Selepas hampir enam bulan berlalu, mangsa akhirnya mula curiga kerana hasil keuntungan yang dijanjikan langsung tidak diperoleh.


Katanya, selain itu, lelaki kaki belit berkenaan turut lesap dan sudah menukar nombor telefon bimbitnya.

Berikutan itu, mangsa yang tidak berpuas hati membuat laporan polis berhubung kes penipuan Selasa lalu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penipuanakkeli/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...