Friday, April 30, 2010

'Selagi cinta terus mekar'

Oleh Murni Wan Omar

2010/04/30

PETALING JAYA: “Selagi kami masih mencintai antara satu sama lain, kami akan terus bersama,” kata Mohd Fauzi Che Ros, 45, yang juga ahli perniagaan dan suami kepada pelakon serta peragawati terkenal, Aleeza Kassim, 39, ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

Pasangan itu ditemui ketika mereka hadir ke mahkamah bagi memberi keterangan berhubung lafaz cerai yang didakwa ada dilakukan Mohd Fauzi terhadap Aleeza selepas dikatakan bertengkar di rumah mereka pada jam 9 malam, 24 Januari 2010.


Mohd Fauzi yang ragu dengan status perkahwinan mereka mengambil keputusan merujuknya di mahkamah dan ke Pejabat Pendaftar Perkahwinan dan Perceraian daerah Petaling di Shah Alam, dua hari selepas kejadian itu.


Hakim Syarie Fazil Che Hassan menetapkan 11 Mei ini untuk keputusan selepas mendengar keterangan kedua-dua pihak.


HAKIM: Apa lafaz yang disebut? MOHD FAUZI: “Kita bercerai esok”.


HAKIM: Berapa kali lafaz disebut? MOHD FAUZI: Sekali.


HAKIM: Ada sesiapa yang menjadi saksi? MOHD FAUZI: Tiada.


HAKIM: Adakah ia dilakukan secara lisan atau bagaimana? MOHD FAUZI: Secara lisan.


HAKIM: Berhubung kepada lafaz, perkataan ‘kita’ merujuk kepada? MOHD FAUZI: Merujuk kepada kami berdua.

HAKIM: Apa tujuan kamu melafaznya? MOHD FAUZI: Tujuan saya ketika itu, jika mahu bercerai, kita boleh pergi ke mahkamah keesokan harinya dan lakukan dengan cara yang betul iaitu melalui kaunseling terlebih dulu.


HAKIM: Maksudnya melalui proses yang betul? MOHD FAUZI: Ya.


HAKIM: Saya masih tidak faham, apa tujuan lafaz itu? MOHD FAUZI: Pada waktu itu saya dalam keadaan marah, saya maksudkan jika ada masalah kita pergi mahkamah dulu dan jalani kaunseling.


HAKIM: Bukan maksud esoknya kamu cerai terus? MOHD FAUZI: Tidak, maksudnya selesaikan dengan cara betul, kerana ketika itu kejadian berlaku waktu malam.

HAKIM: Sebelum kamu lafazkan perkataan itu apa yang berlaku? MOHD FAUZI: Kami ada bertengkar, biasalah suami isteri cuma pada malam itu agak hangat sedikit.


HAKIM: Kamu bertengkar tentang apa? MOHD FAUZI: Tidak setuju pendapat berhubung perkara kecil iaitu balik kampung. Jika boleh, saya mahu dia ikut cakap saya sahaja.


HAKIM: Sebelum lafaz cerai apa sebenarnya defendan kata? MOHD FAUZI: Saya tidak ingat.


HAKIM: Adakah dia (isteri) minta cerai? MOHD FAUZI: Saya tidak ingat, apabila bertengkar kadang-kadang tidak ingat apa yang dikatakan.


HAKIM: Secara rasionalnya ia berlaku secara spontan? MOHD FAUZI: Ya spontan, selepas ia berlaku, baru saya tersedar.


HAKIM: Ada kamu terangkan hasrat kamu bahawa akan pergi ke mahkamah esoknya? MOHD FAUZI: Pada malam kejadian iaitu sejam selepas kami bertengkar dan sudah sejuk baru kami berbincang sama ada jatuh talak atau tidak.


HAKIM: Bagaimana kamu mahu buktikan hasrat kamu ini sebenarnya hanya mahu pergi ke mahkamah untuk kaunseling bukan bercerai? MOHD FAUZI: Saya tidak ada sebab untuk berbuat demikian (cerai). Jika benar kami mahu bercerai, saya sudah lafazkan malam itu juga, sebab itu saya katakan esok. Mungkin selepas keesokan harinya iaitu selepas keadaan kembali sejuk, kami tidak jadi bercerai.


HAKIM: Ada sesiapa paksa kamu untuk bercerai? MOHD FAUZI: Tidak ada.


Sementara itu, Aleeza yang kelihatan tidak sihat dan mengakui sakit kepala dalam keterangannya mengakui bahawa apa yang dimaklumkan di dalam prosiding mahkamah oleh Mohd Fauzi, adalah benar.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Selagicintaterusmekar/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...