Monday, May 17, 2010

Bayi hilang selepas dibuang ibu dalam semak

2010/05/17

KUALA TERENGGANU: Seorang bayi lelaki baru dilahirkan dikhuatiri menjadi mangsa ratahan binatang buas selepas bayi malang itu dibuang ibunya yang cuba menyembunyikan kelahirannya dengan mencampakkan anaknya ke dalam semak di belakang rumah, di Ketengah Jaya, Dungun Jumaat lalu.

Sehingga malam tadi, polis belum menemui sebarang petunjuk atau tanda selepas operasi mencari dan menyelamat bayi berkenaan dilakukan sejurus kehilangannya dimaklumkan wanita itu sebaik dia diberkas polis kelamrin.


Polis menerima maklumat orang ramai yang terdengar suara bayi dari sebuah rumah dan mengesyaki wanita itu melahirkan anak luar nikah dan mengunjungi rumah berkenaan.


Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Dahlan Mohd Noor, berkata selepas soal siasat, polis membawa seorang wanita yang disyaki mengandung sebelum ini untuk mendapatkan rawatan dan mendapat tahu dia baru melahirkan anak.


Menurutnya, polis dimaklumkan wanita berkenaan yang dia melahirkan bayi seorang diri di rumahnya Jumaat lalu.


“Berikutan itu, kami menahan wanita berusia 21 tahun untuk siasatan dan dia kini direman sehingga 19 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat bayi secara sulit, katanya ketika dihubungi.


Sepasukan anggota polis dan penduduk kampung bergegas ke lokasi dimaksudkan untuk mencari bayi itu, namun usaha tidak membuahkan hasil apabila mereka tidak menemui sebarang kesan di kawasan dimaksudkan.


Dahlan berkata polis khuatir bayi berkenaan mungkin dilarikan anjing atau haiwan buas lain menyebabkan operasi mencari diperluaskan dan berlarutan hingga lewat malam, semalam.


“Operasi diteruskan dan kami turut menggunakan khidmat anjing pengesan (K-9) untuk menjejaki dan setakat ini ia menemui jalan buntu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bayihilangselepasdibuangibudalamsemak/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...