Monday, May 17, 2010

Maut lepas koma sehari

Oleh Suraya Roslan

2010/05/17

SUBANG: Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan maut selepas dipercayai menjadi mangsa dera pengasuhnya dalam kejadian di sebuah rumah di USJ 1, Subang Jaya, dekat sini, kelmarin.

PILU...ibu mangsa (kiri) ditenangkan ahli keluarga.
PILU...ibu mangsa (kiri) ditenangkan ahli keluarga.
Bayi berkenaan, Mohd Rayyan Afzanizam, disahkan meninggal dunia sehari selepas dia koma dipercayai mati akibat pendarahan dalam otak di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), kira-kira jam 8 malam.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, berkata kes berkenaan masih dalam siasatan manakala pengasuh yang berusia 40-an itu kini direman enam hari bermula semalam untuk membantu siasatan.


“Saya difahamkan ketika bayi itu dihantar ke PPUM oleh ibu bapanya, dia sudah tenat. Dia kemudian disahkan meninggal dunia. Punca awal mendapati mangsa cedera di otak.


“Laporan polis pula dilakukan doktor yang merawat mangsa selepas dia melihat beberapa kesan lebam di badan bayi terbabit,”
katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Menurutnya, polis kini menunggu laporan penuh doktor berhubung kejadian berkenaan manakala keterangan ibu dan bapa mangsa sudah diambil untuk membantu siasatan.


“Oleh itu, kami perlu tunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui sama ada bayi itu didera atau sebaliknya. Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.


Menurutnya, siasatan awal polis mendapati pengasuh terbabit baru dua minggu menjaga bayi berkenaan.


“Polis difahamkan, bayi berkenaan dikejarkan ke PPUM selepas tidak sedar diri dan tidak bernafas oleh pengasuhnya,” katanya.

Menurutnya, pada sebelah pagi pada hari sama, ibu bapa mangsa, masing-masing berusia 23 tahun menghantarnya ke rumah pengasuh terbabit.


Bagaimanapun, katanya, pada kira-kira jam 7 malam, ibu bapa mangsa dihubungi pengasuh itu apabila mendapati anak mereka tidak sedarkan diri.


“Bimbang keadaan itu, ibu bapa bayi berkenaan ke rumah pengasuh untuk menjemput mangsa dan menghantarnya ke klinik berdekatan.


“Tapi, beberapa klinik yang dikunjungi enggan menerima mangsa sebagai pesakit kerana keadaannya tenat menyebabkan mangsa terpaksa dikejarkan ke PPUM,”
katanya.

Sementara itu, keadaan di Jabatan Forensik PPUM agak tegang apabila ayah bayi berkenaan tidak memberi kebenaran kepada petugas media untuk membuat liputan.


Malah, keadaan lebih menyayat hati selepas ibu mangsa pengsan dan tidak sedarkan diri.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mautlepaskomasehari/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...