Monday, May 3, 2010

Remaja cedera dibelasah geng samseng cilik

2010/05/03

AMPANG JAYA: Seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di sini cedera pada beberapa bahagian tubuh selepas dibelasah bertubi-tubi sekumpulan samseng cilik tidak dikenali di sebuah restoran makanan segera di Pandan Mewah di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin, mangsa berusia 15 tahun itu dikatakan berada berhampiran lokasi kejadian sebelum didatangi kumpulan terbabit.


Jurucakap polis, berkata mangsa yang ketika itu bersendirian dan pada awalnya langsung tidak menyedari kehadiran kumpulan samseng berkenaan.


“Mangsa secara tiba-tiba diserang kumpulan samseng cilik berkenaan tanpa mengetahui sebab mengapa dia diperlakukan sedemikian.


“Malah, mangsa tidak sempat mendapatkan sebarang penjelasan daripada kumpulan samseng cilik terbabit sebaliknya hanya mampu mempertahankan diri daripada terus diasak bertubi-tubi,”
katanya.


Jurucakap itu berkata, seorang pemandu teksi yang kebetulan melalui lokasi kejadian kemudian membawa mangsa yang cedera ke sekolah sebelum memaklumkan perkara terbabit kepada pihak pentadbiran sekolah berkenaan.


Hasil pemeriksaan mendapati mangsa cedera termasuk lebam di beberapa bahagian badan dan muka.


Pihak pengurusan sekolah kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berhubung insiden terbabit.


Berdasarkan siasatan, polis mendapati ada antara ahli kumpulan samseng cilik terbabit terdiri daripada pelajar sebuah sekolah lain berhampiran.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Remajacederadibelasahgengsamsengcilik/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...