Friday, June 11, 2010

Pengedar ditahan jual ‘kuih ganja’

2010/06/11

KUALA LUMPUR: Seorang pengedar dadah berselindung di sebalik menjual kuih secara kecil-kecilan bagi menjalankan kegiatannya mengedar ganja di Datuk Keramat, dekat sini.

Ini terbukti apabila suspek ditahan bersama lima ketulan mampat ganja yang dibungkus dengan surat khabar di sebalik kuih-muihnya di tempat letak kereta Sistem Aliran Transit (LRT) Datuk Keramat, Isnin lalu.


Dalam serbuan kira-kira jam 9.30 malam itu, suspek yang berusia 31 tahun menunggang motosikal sebelum berhenti di kawasan terbabit bagi menunggu pelanggannya datang mengambil bekalan dadah terbabit.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata ketika diperiksa, suspek enggan bekerjasama dan tidak membenarkan polis memeriksa dengan memegang erat kuih dibawanya.


Bagaimanapun, polis menemui lima ketulan mampat ganja seberat 4.7 kilogram yang dianggarkan bernilai kira-kira RM12,000 selepas menggeledah bekas kuih dibawa suspek.


“Selepas soal siasat, suspek mengaku menunggu pelanggan untuk menyerahkan bekalan dan berselindung di sebalik jualan kuih bagi mengaburi pihak berkuasa.


“Siasatan juga mendapati suspek baru sebulan bergiat aktif mengedar dadah di kawasan berkenaan,”
katanya. Kang berkata, pemeriksaan lanjut terhadap suspek mendapati dia memiliki rekod jenayah lampau dan pernah ditahan tiga tahun lalu atas kesalahan dadah.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pengedarditahanjual__8216_kuihganja__8217_/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...