Tuesday, June 29, 2010

Produk tiruan Po Chai Pills mengandungi racun

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my
2010/06/29

KUALA LUMPUR: Orang awam dinasihatkan supaya berhati-hati dengan kemunculan produk tradisional tiruan, Po Chai Pills yang dikesan mengandungi sejenis racun, diclofenac.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata produk yang dikilangkan di Hong Kong itu digunakan secara tradisional untuk melegakan demam, selesema, cirit-birit, muntah dan sakit perut.


“Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Hong Kong turut mengeluarkan amaran kepada orang ramai untuk tidak membeli atau menggunakan produk tradisional yang disyaki tiruan itu dengan nombor kelompok 21214 kerana dikesan mengandungi racun diclofenac, 22 Jun lalu.


“Produk dari kelompok ini didapati berbeza daripada aspek pembungkusan dan warna pil yang lebih gelap berbanding produk asal,”
katanya dalam kenyataan akhbar di sini, semalam.


Beliau berkata, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di Malaysia sudah mendaftarkan satu produk yang dikilangkan Li Chung Shing Tong, Hong Kong dengan nama Poh Chai Pill bernombor pendaftaran MAL 19988034T.


“Pemegang pendaftaran yang juga pengedar tunggal produk berkenaan di Malaysia iaitu Po Chai Herbal Technology(M) Sdn Bhd juga mengesahkan bahawa produk campur palsu kelompok 21214 berkenaan tidak dikilangkan pengeluar di Hong Kong dan ia produk tiruan.


Diclofenac adalah sejenis ubat penahan sakit yang mendatangkan kesan sampingan seperti gangguan gastro-usus termasuk gastrik, loya, muntah, ulser peptik dan pendarahan.


“Malah, ia diklasifikasikan sebagai racun dalam Jadual Pertama di bawah Akta Racun 1952 dan hanya boleh dibekal doktor atau ahli farmasi,” katanya.


Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan supaya berwaspada ketika membeli produk berkenaan dan memastikan ia produk tulen.


“Produk tradisional yang berdaftar di Malaysia dinilai dari segi kualiti dan keselamatan serta disyaratkan untuk mempunyai pelekat hologram. Sekiranya terdapat sebarang keraguan, orang ramai boleh menyemak kesahihan produk di farmasi komuniti swasta berhampiran,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/ProduktiruanPoChaiPillsmengandungiracun/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...