Tuesday, June 29, 2010

Geng Argentina pula samun

2010/06/29

AMPANG: Seorang warga Argentina yang aktif menyamun kediaman mewah di daerah ini bersama empat rakan senegaranya ditahan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaikinya terbabas sewaktu dikejar sebuah kereta peronda polis di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa di sini , kelmarin.

Sebelum kejadian, suspek yang dikenali sebagai Nelson, 25, bersama empat rakan senegaranya yang menaiki MPV diarah berhenti untuk pemeriksaan selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.


Bagaimanapun, suspek dan rakannya enggan berhenti lalu dikejar kereta peronda polis, kira-kira jam 2.30 petang.


Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, ketika dikejar MPV dinaiki suspek tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan.


Beliau berkata, suspek ditahan manakala empat lagi rakannya melarikan diri ke dalam semak berhampiran. “Hasil pemeriksaan dalam MPV suspek, polis menemui satu televisyen skrin paparan cecair (LCD) dan satu set audio televisyen serta pelbagai alatan pecah rumah,” katanya pada sidang media di sini, semalam.


Katanya, hasil penahanan suspek, polis turut menahan teman wanitanya yang cuba menyogok dua anggota polis RM20,000. “Kita dapat menangkap teman wanita suspek yang berasal dari Petaling Jaya kerana cuba merasuah anggota polis untuk membebaskan warga Argentina itu,” katanya.


Abdul Jalil berkata, wanita berusia 41 tahun itu juga mempunyai rekod jenayah dipercayai terbabit kegiatan samun di sekitar Ampang Jaya. “Kita masih memburu empat lagi rakannya yang juga warga Argentina yang aktif menyamun dan merompak di kawasan perumahan mewah di daerah ini,” katanya.


Menurutnya, suspek direman dua minggu bermula hari ini dan kesnya disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan manakala teman wanitanya dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/GengArgentinapulasamun/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...