Friday, September 17, 2010

4 lelaki alim kucing pura-pura sesat jalan

2010/09/17

KUALA LUMPUR: Dengan berlagak seperti orang baru di sesuatu kawasan, sekumpulan empat pakar pukau didalangi seorang wanita berusia lewat 30-an dikesan bergerak aktif di sekitar pasar raya di ibu kota untuk memerangkap mangsa, sejak sebulan lalu.

Kumpulan terbabit hanya menggunakan sekeping kertas bagi memukau mangsa sebelum merampas barang berharga milik mangsa.

Bagi memudahkan mereka mendekati mangsa terutama wanita, seorang daripada ahli kumpulan terbabit akan berpakaian seperti orang alim lengkap memakai jubah sebelum berpura-pura bertanya jalan kononnya sesat.

Pada masa sama, tiga lagi ahli kumpulannya bersiap sedia menunggu dalam kereta di kawasan berhampiran. Sebaik menghampiri mangsa, lelaki terbabit akan menunjukkan ‘kertas ‘ menyebabkan mangsa patuh semua arahannya.

Mangsa dibawa menaiki kereta bersiar-siar sebelum semua barang kemas termasuk wang tunainya dirampas. Selepas menghantar mangsa ke tempat pertemuan terdahulu, kumpulan terbabit akan ‘menghadiahkan’ sekeping kertas mengandungi nombor ramalan sebagai sagu hati.

Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 9 pagi di sebuah pasar raya di Wangsa Maju, di sini, baru-baru ini seorang warga emas menjadi mangsa kelicikan ilmu pukau kumpulan terbabit. Mangsa, Halimah Ramli, 63, berkata ketika kejadian, dia berseorangan sebelum dihampiri seorang lelaki berusia 20-an yang memakai jubah bertanyakan jalan.

“Lelaki itu berpakaian seperti orang alim menyebabkan saya terpanggil untuk membantunya. Selepas itu, saya seperti dipukau sebaik melihat kertas yang ditunjukkan lelaki terbabit. “Saya seperti ‘orang bodoh’ dan dibawa menaiki sebuah kereta. Dalam kereta, saya melihat ada seorang wanita dan seorang lelaki sebelum dibawa bersiar-siar.


“Mereka mengambil barang kemas dan wang tunai saya satu persatu. “Saya dihantar semula ke pasar raya berkenaan. Ketika hendak keluar dari kereta itu, wanita itu memasukkan sehelai kertas dalam beg tangan selain mengarahkan supaya tidak membukanya sehingga esok,” katanya.

Mangsa yang tersedar segera pergi ke rumah rakannya untuk mendapatkan pertolongan supaya membuka beg tangannya itu. “Hasil pemeriksaan dua rantai leher, satu gelang tangan termasuk wang tunai RM300 lesap,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju di sini.

Dalam beg tangannya, suspek memasukkan sekeping kertas mengandungi nombor ramalan. Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/4lelakialimkucingpura-purasesatjalan/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...