Friday, September 17, 2010

Pembunuhan kejam Sosilawati: Sukar dapatkan DNA mangsa

2010/09/17


ANAK Sosilawati, Erni Rineelawati Buhari (kiri), menyambut kunjungan sanak-saudara dan tetamu pada majlis tahlil untuk arwah ibunya.


Seminggu untuk keluarkan kalsium daripada tulang dibakar pada suhu tinggi


KUALA LUMPUR: Jabatan Kimia berdepan kesukaran dalam menentu dan mengenal pasti profil asid deoksiribonukleik (DNA) serpihan tulang yang dipercayai milik mangsa pembunuhan kejam, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain berikutan keadaan tulang yang terbakar teruk berikutan suhu pembakaran terlalu tinggi.

Bagi mendapatkan keputusan ujian, Jabatan Kimia dijangka mengambil masa seminggu kerana terpaksa mengeluarkan kalsium yang masih terkandung dalam tulang berkenaan terlebih dulu.


Ketua Pengarahnya, N Hithaya Jeevan, berkata sekiranya tulang yang ditemui tidak dibakar sebaliknya hanya reput dan ditanam, proses menganalisis mungkin mengambil masa maksimum dua hari.

“Persampelan tulang juga agak sukar dilakukan berbanding sampel lain seperti darah atau rambut kerana ia perlu dihancurkan terlebih dulu bagi mendapatkan debu.

“Di dalam tulang terdapat banyak kalsium, justeru itu kita perlu mengeluarkan semua kalsium di dalamnya terlebih dulu yang mungkin akan mengambil masa antara dua ke tiga hari. Apatah lagi tulang itu bukan reput atau lama sebaliknya ia terbakar teruk.

“Daripada debu tulang, pakar forensik boleh memulakan proses menganalisis bergantung kepada keadaan tulang, bagaimanapun kami tidak menolak kemungkinan ketepatannya boleh dicapai sehingga 100 peratus,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jabatan Kimia menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes berprofil tinggi ini membabitkan enam pakar forensik terlatih dan berpengalaman supaya profil DNA yang akan diketengahkan nanti boleh dijadikan bahan bukti, sekali gus membantu dalam menyelesaikan kes pembunuhan kejam berkenaan.

Katanya, buat masa ini semua sampel tulang masih belum dikenal pasti sama ada milik empat mangsa yang didakwa dibunuh atau milik orang lain atau milik haiwan sehinggalah ia siap dianalisis.

“Apa pun besar harapan mudah-mudahan sampel yang dihantar ini akan memberikan petunjuk dan antaranya yang mudah untuk diproses dan dianalisis,” katanya.

Sebahagian daripada sampel tulang dari lokasi kejadian diterima Jabatan Kimia daripada Unit Forensik Polis kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Hithaya bagaimanapun berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang sampel lain seperti rambut atau darah keluarga yang sudah pun menyerahkan sampel DNA masing-masing kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL) Selasa lalu bagi ujian paterniti DNA.

Sementara itu, sumber memberitahu Berita Harian, serpihan tulang boleh membantu menentukan DNA jika sum-sum pada tulang berkenaan masih ada. Selain menentukan identiti, ia juga boleh menentukan bila sebenarnya mangsa dibunuh dan dibakar.

Katanya, DNA itu kemudian akan dipadankan dengan sampel tisu, rambut dan darah waris mangsa untuk ujian paterniti DNA bagi mengenal pasti padanan sampel.

“Dalam kes Sosilawati, penemuan barang kes seperti jam tangan dan senjata digunakan dalam pembunuhan mereka adalah untuk tujuan dokumentasi bagi mengukuhkan proses pendakwaan ke atas suspek.

“Dalam kes di Banting ini, penjenayah memang bijak dalam melupuskan bahan bukti dengan membunuh, kemudian bakar dan membuang ke sungai. Ini yang menyukarkan kes untuk kita siasat kerana sampel gigi yang biasanya menjadi sumber utama DNA turut musnah. Namun begitu, pakar forensik mempunyai banyak kaedah lain untuk mencari DNA ini,”
katanya yang juga seorang pakar forensik.

Beliau berkata, selain itu alat pengesan logam juga banyak digunakan bagi mengesan bahan bukti antaranya atap zink yang dipercayai digunakan sebagai lapik untuk membakar mayat, jam tangan dan senjata pembunuhan.

Katanya, Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat turut masuk ke lokasi dipercayai tempat mayat dibakar bagi menyiasat kesan bau petrol dan kesan terbakar bagi menentukan waktu sebenar kesemua mangsa dibakar.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PembunuhankejamSosilawati_SukardapatkanDNAmangsa/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...