Tuesday, September 28, 2010

Didakwa palsukan geran, tipu pegawai kerajaan

2010/09/28

KUALA LUMPUR: Seorang peguam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan memalsukan dokumen dan menipu pegawai dan kakitangan pejabat tanah membabitkan tanah bernilai RM15 juta tiga tahun lalu.

S Tersaim Lail, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Rozana Ali Yusoff.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan dokumen palsu berupa cagaran iaitu satu borang 14A Kanun Tanah Negara bagi tujuan pindah milik tanah daripada seorang ahli perniagaan Liew Weng Chee kepada syarikat pelaburan Diskusi Ariff Sdn Bhd dan satu notis tafsiran duti setem pindah milik hartanah.


Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 467 kanun sama yang membawa hukuman sehingga 20 tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan.


Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menipu pegawai dan kakitangan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dengan menggunakan dokumen palsu untuk pindah milik hartanah No 17, Seksyen 57, Mukim Bandar, di sini, dengan mendakwa dokumen itu tulen sehingga mendorong pegawai dan kakitangan berkenaan memindah milik hartanah itu daripada Liew kepada syarikat Diskusi Ariff.


Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun dan denda serta boleh disebat jika sabit kesalahan.


Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian, Rumah Persekutuan, Jalan Sultan Hishamuddin, di sini, pada 17 Mei 2007.


Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Syed Faisal Syed Amir menawarkan wang jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.


Mahkamah membenarkan Tersaim diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Didakwapalsukangeran_tipupegawaikerajaan/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...