Tuesday, September 28, 2010

'Jangan buat andaian'

2010/09/28

ALOR SETAR: “Selagi pihak polis tidak mengesahkan tulang itu milik suami, saya tidak mahu mana-mana pihak membuat andaian sendiri sehingga mengganggu emosi kami terutama anak-anak,” kata Samsonnahar Mohd Dali, 35, isteri kepada ejen kontraktor, Shafik Abdullah, 37, yang dipercayai menjadi mangsa bunuh, suspek utama dalam kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Beliau berkata, dia kesal dengan laporan sebuah akhbar tempatan kelmarin (bukan terbitan kumpulan NSTP) yang membuat andaian sendiri dengan mengatakan tulang yang ditemui di ladang Gandong, Tanjung Sepat, Banting disyaki milik Shafik.

“Mereka lebih tahu daripada pihak berkuasa...apa-apa pun kita kena tunggu keputusan DNA. Selagi pihak polis tidak mengesahkan tulang itu milik suami saya, saya tidak mahu mana-mana pihak membuat andaian sendiri.


“Kami sekeluarga masih terkejut dengan kejadian ini, terutama anak-anak saya yang masih kecil. Mereka sering bertanya kepada saya ke mana ayah pergi dan sampai sekarang tidak pulang ke rumah,”
katanya.


Samsonnahar berkata, setakat ini dia belum dihubungi polis mengenai sebarang perkembangan terbaru mengenai Shafik.


“Setiap hari pelbagai pihak terutama wartawan menghubungi saya untuk mendapatkan berita terkini mengenai suami. Saya sendiri pun masih ternanti-nanti panggilan daripada polis untuk mengetahui perkembangan suami,” katanya.


Akhbar sebelum ini melaporkan wanita terbabit dihubungi polis dari Balai Polis Banting yang 95 peratus mengesahkan suaminya menjadi antara mangsa suspek kes pembunuhan itu.


“Saya bersedia menerima sebarang keputusan dan reda dengan apa yang berlaku terhadap suami kerana semuanya itu ketentuan Ilahi.


“Sejak kehilangannya, saya banyak melakukan solat tahajud dan hajat supaya diberi kesabaran menghadapi dugaan ini. Alhamdulillah selepas lima bulan kehilangannya, saya dapat menerimanya walaupun tidak tahu di mana kubur dan jasadnya,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Janganbuatandaian/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...