Sunday, September 26, 2010

Lanjut reman suspek

Oleh HAYATI IBRAHIM

2010/09/25

SEPANG: Tempoh tahanan reman dua suspek disyaki terbabit dalam kes ugut isteri seorang jutawan India yang dilaporkan hilang di Banting, di sini, sejak awal tahun ini, disambung enam hari lagi bermula semalam hingga 1 Oktober ini.

Lanjutan tahanan reman ke atas kedua-dua lelaki berusia 34 dan 21 tahun itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci mengenai kes itu, sekali gus membantu siasatan kes mengugut isteri jutawan itu yang juga warga India, S Usharani, 24.


Kedua-dua suspek disyaki terbabit dengan perbuatan mengugut Usharani bagi memperoleh RM100,000 sebagai pendahuluan 10 peratus daripada RM1 juta yang kononnya bagi membebaskan suaminya, Allal Kathan Muthu Raja, 34, yang dilaporkan hilang di Banting sejak awal tahun ini.


Mereka yang berbaju oren tiba di mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi menaiki kereta polis dengan iringan dan kawalan tiga anggota polis berpakaian preman.


Mereka kemudian dibawa ke bilik mahkamah tertutup bagi mendapatkan tempoh tahanan reman yang berakhir semalam sebelum dilihat dibawa keluar, kira-kira jam 10.15 pagi.


Turut kelihatan di pekarangan mahkamah ialah peguam yang mewakili kedua-dua suspek, S Chelvarajan daripada Chelva R Suppiah & Co serta beberapa ahli keluarga, dipercayai ibu bapa kepada suspek.


Kedua-dua suspek ditahan di Kampung Laksamana, Batu Caves, Selangor dan Taman Wilayah Selayang pada 17 September lalu kerana dipercayai terbabit dengan kes ugut jutawan India terbabit.


Ahli perniagaan itu dilaporkan hilang sejak tiba di negara ini dari Chennai, India pada 18 Januari lalu selepas dikatakan berjumpa seorang peguam yang juga rakannya di Banting.


Berikutan itu, Usharani membuat laporan polis di Banting pada 8 September lalu.


Kedua-dua lelaki ditahan itu juga dipercayai mempunyai kaitan dengan peguam terbabit yang juga suspek utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lanjutremansuspek/myMA/myArticle/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...