Sunday, September 26, 2010

Penyelam ke kunci air Banting

Oleh ABDULLAH WAHAB

2010/09/25

BANTING: Lokasi kunci air Pekan Banting, di sini, sekali lagi dikunjungi Unit Menyelam, Pasukan Gerakan Marin (PGM) dipercayai untuk mengesan beberapa lagi bahan bukti yang dibuang dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, dan tiga lagi rakannya.

Pada 21 September lalu, unit menyelam PGM menemui sebentuk gelang emas dipercayai milik Sosilawati di kunci air Kampung Sungai Lang, kira-kira 400 meter dari situ.


Turut dibawa ke lokasi kejadian ialah suspek utama dan dia dilihat menunjukkan sesuatu kepada pegawai penyiasat.


Dua hari lalu, unit menyelam membuat selaman di kawasan terbabit tetapi terpaksa menghentikan operasi berikutan hujan lebat.


Difahamkan, tujuan menyelam untuk mengesan telefon bimbit mangsa dan barang lain yang dipercayai dibuang suspek ke dalam sungai itu.


Sebelum ini polis menjalankan operasi mencari bahan bukti di Sungai Panchau dan menemui sejumlah tulang manusia dipercayai milik ke empat-empat mangsa.


Selain sungai itu, beberapa senjata seperti pisau, batang besi dan dua utas jam tangan dipercayai milik mangsa ditemui di Sungai Kanchung Laut, di sini. Polis turut menemui enam keping zink di dasar Sungai Gelanggang Buaya di Kampung Kelanang, di sini.


Wartawan dan orang ramai dilarang melalui laluan itu dan hanya dibenarkan berada di lokasi kira-kira 100 meter dan garisan kuning turut dipasang di situ.


Operasi itu dihentikan jam 1.10 tengah hari, namun kumpulan wartawan yang berkumpul di situ tidak dapat melihat barang bukti ditemui berikutan kedudukan agak jauh selain terlindung.


Sosilawati bersama tiga lagi rakannya dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu sebelum dipercayai dibunuh di Ladang Gadong, di sini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PenyelamkekunciairBanting/myMA/myArticle/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...