Monday, October 4, 2010

Pegawai Imigresen dicekup rasuah


JETI Port Dickson, Negeri Sembilan yang menjadi tempat dua pegawai Imigresen mencari duit lebih dengan meminta rasuah daripada pengendali setiap feri yang membawa PATI dari Indonesia.


SEREMBAN – Tiga termasuk dua pegawai Imigresen Jeti Port Dickson dekat sini ditahan kerana dipercayai menerima suapan daripada pengendali setiap feri yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke negara ini.

Seorang lagi yang ditahan ialah orang awam dipercayai tekong yang bersubahat dengan dua pegawai Imigresen terbabit.

Ketiga-tiga mereka ditahan pada pukul 7 malam oleh sepasukan kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jeti Port Dickson pada Rabu lalu.

Jurucakap SPRM berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga lelaki itu terlibat dalam aktiviti membawa masuk warga asing tanpa dokumen ke negara ini.

“Dua pegawai Imigresen itu disyaki mengenakan bayaran sebanyak RM5,600 bagi setiap feri yang membawa kira-kira 70 PATI yang datang dari Dumai, Indonesia.

“Siasatan awal mendapati setiap minggu terdapat tiga buah feri dari Dumai masuk ke Jeti Port Dickson,” kata beliau di sini semalam.

Menurut jurucakap SPRM, feri daripada dua syarikat perkhidmatan feri tersebut akan menurunkan warga asing di Jeti Port Dickson.

Hasil siasatan mendapati, ketiga-tiga mereka yang ditahan itu dipercayai mampu menerima suapan sebanyak RM33,600 daripada tekong feri pada setiap minggu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1004&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...