Demonstrasi membantah kenaikan melampau tarif air di Selangor  baru-baru ini menunjukkan beberapa petanda menarik. Penyertaan proaktif golongan  muda untuk turut berarak dan menuntut hak - termasuk daripada kelompok mahasiswa  yang secara jelas dilarang terbabit dengan apa jua kegiatan politik dalam dan  luar kampus - mencuit perhatian saya. Tanpa kehadiran mereka, kemeriahan  perhimpunan mungkin terjejas teruk.
Tidak gentar dengan ugutan dan  gertakan, ternyata anak-anak muda ini sedia "bertempur", meredah tembakan gas  pemedih mata dan basah dihujani pancutan water cannon. Idealisme mengungguli  kebenaran terpasak kukuh dalam jiwa dan minda.
Dan inilah warisan  mahasiswa zaman berzaman yang cukup membanggakan; tradisi mencabar dan sedia  turun ke gelanggang mempraktikkan ilmu yang dikutip dari bilik kuliah, interaksi  meluas dan pembacaan mendalam.
BUKAN SEKADAR SATU PESTA  Berlarian di jalan-jalan raya  dikejar FRU bukannya sekadar satu pesta yang menyeronokkan. Ia memerlukan  komitmen dan kesedaran. Isu yang mahu diperjuangkan perlu dihadam dan  diperhalusi.
Dimensinya pelbagai dan merangkumi pelbagai aspek. Daripada  tuntutan proses pilihan raya adil dan bebas, menjangkau desakan pemansuhan akta  zalim yang membenarkan penahanan tanpa bicara, bantahan kenaikan harga minyak,  juga tanpa melupakan problem dalam kampus seperti isu PTPTN, kemudahan asrama,  akta universiti, sudut pidato, partisipasi politik. Sesekali melepaskan amarah  di hadapan kedutaan Amerika Syarikat menentang sikap neo-imperialisme kuasa  besar itu.
Kali ini bukan sekadar menentang kenaikan tarif air sebanyak  37 peratus pada tahun 2009, diikuti 25 peratus (2012), 20 peratus (2015), 10  peratus (2018) dan 5 peratus (2021), yang pastinya membebankan rakyat, malah  secara umumnya mahu mengembalikan hak air air kepada rakyat, selain membetulkan  kesalahan dalam penswastaan industri perkhidmatan air. Desakan turut dibuat agar  sebarang perjanjian baru yang mahu dibuat perlulah dirunding dengan rakyat  Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terlebih dahulu. Amalan kronisme yang  menjadi budaya politik Umno-BN juga ditentang habis-habisan.
Berbanding  siri perhimpunan raksasa sebelum ini, juga di lokasi sama, iaitu perkarangan  Masjid Negara (juga Dataran Merdeka dan kompleks Sogo) menuju Istana Negara,  pembabitan orang muda pada 5 Disember lalu jelas mendominasi  suasana.
Biarpun diterajui pemimpin Pakatan Rakyat, khususnya Menteri  Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim, namun anak-anak muda ini saya yakin  bukannya hanya mengikut melulu. Ia didorong atas sikap tanggungjawab yang penuh  makna, demi mencapai kebaikan dan manfaat umum. Mereka mendahulukan kepentingan  bersama meskipun terpaksa berdepan ancaman dan penguatkuasaan Auku yang  mengongkong.
Lebih menarik apabila lima hari kemudiannya, pada  Jumaat, 10 Disember, mereka sekali lagi berkumpul atas solidariti semangat  kemahasiswaan di hadapan Masjid Putrajaya, menuju Jabatan Perdana Menteri. Medan  kali ini lebih "terkepung" dan berisiko. Bagaimanapun ia bukan kali pertama  mahasiswa memilih gelanggang Putrajaya.
Sudah beberapa kali anak muda  terpelajar ini memprotes secara lantang di hadapan Kementerian Pengajian Tinggi,  antara lain, menuntut sistem pilihan raya kampus yang adil, telus, tidak memihak  dan benar-benar bebas daripada pengaruh dan campur tangan Urusetia Hal Ehwal  Pelajar.
MENGANGKAT SUARA  MASYARAKAT TERTINDAS 
Mesejnya tetap sama, mengangkat  suara masyarakat tertindas untuk didengari secara lebih jelas oleh elit  penguasa. Mahasiswa mahu menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Najib  Razak kerana membantah kenaikan harga minyak, gas dan gula, yang diumumkan  secara tiba-tiba. Minggu lalu, kerajaan mengumumkan kenaikkan harga petrol RON95  sebanyak 5 sen menjadi RM1.90, diesel naik 5 sen menjadi RM1.80 sen, gas pula  naik 5 sen menjadi RM1.90 sen sekilogram dan gula juga naik 20 sen menjadi  RM2.10 sen. Semua kenaikan itu dibuat di sebalik jaminan kerajaan bahawa tiada  kenaikan harga untuk tahun ini.
Mahasiswa pasca Auku juga tidak kurang  hebatnya mempamerkan daya juang yang kental, menyelongkar kezaliman, membongkar  penganiayaan, membela golongan miskin dan tertindas. Perobohan kawasan setinggan  tanpa belas-kasihan, seperti di Kg Berembang, Ampang beberapa tahun lalu menjadi  saksi.
Ia mengingatkan beberapa batu tanda sejarah kegemilangan gerakan  pelajar terdahulu, misalnya peristiwa Telok Gong dan Tasek Utara. Penglibatan  mahasiswa sebagai pemangkin gelombang reformasi 1998 juga tidak boleh dilupakan  sehingga ada yang dipecat daripada universiti. Mereka bagai pembawa obor  kesedaran, yang tiada berkepentingan.
Saya tetap yakin, jika ruang dan  kesempatan diberikan, golongan mahasiswa hari ini tetap akan membawa panji-panji  yang sama seperti generasi 1960-an dan awal 1970-an dahulu. Namun, sesuatu yang  pasti, penguasa yang korup sentiasa menganggap masyarakat terpelajar sebagai  seteru yang perlu dijinakkan. Peraturan makin diperketat, lingkungan disempitkan  dan ruang perdebatan dikecilkan. Pemimpin universiti pula dipilih daripada  kalangan pengampu dan kaki bodek. Masing-masing berlumba dan bersaing untuk  memuaskan kehendak menteri.
Persoalan yang timbul, apakah minat dan  kecenderungan positif mendekati gelodak rasa masyarakat ini benar-benar melebar  di kalangan warga kampus, atau golongan yang sensitif dan prihatin ini tersudut  dalam kelompok minoriti di menara gading? Mungkinkah sebahagian besar yang lain  masih leka dengan rutin harian yang mementingkan diri sendiri semata-mata, atau  langsung tidak terdorong untuk memahami pergolakan dan keresahan komuniti  sekitar?
MELUNTURKAN KOMITMEN  
Ada juga yang bimbang dengan suasana persekitaran yang  turut melunturkan komitmen dan kesedaran anak muda sebagai agen perubahan,  terutama selepas keluar daripada alam kampus. Memang diakui fenomena ini  sentiasa berputar dalam lingkaran yang sudah diduga. Generasi yang begitu aktif  dengan gerakan pelajar zaman 60-an dan 70-an pun dijangkiti wabak sama. Realiti  dunia sebenar hanya menghakis daya juang yang dibekalkan di institut pengajian  tinggi. Asakan kehidupan yang cukup rencam itu sering mengelirukan dan ramai  idealis kampus  kecundang.
Jika direnung perangkaan yang menunjukkan  kira-kira 4.5 juta orang yang layak berdaftar sebagai pengundi tetapi masih  belum berbuat demikian, tercetus kerisauan tentang kesedaran berpolitik  anak-anak muda zaman sekarang. Lebih malang apabila dikatakan senario  menunjukkan orang Melayu mencatat nisbah terlalu rendah berbanding bukan Melayu  dalam pendaftaran sebagai pengundi baru selepas pilihan raya umum 2008. Manakala  di kalangan parti politik, menurut Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya  (SPR), Wan Ahmad Wan Omar, lebih ramai bukan Melayu mendaftar sebagai pengundi  selepas tsunami politik, Mac 2008, dengan DAP paling agresif menjalankan program  pendaftaran pemilih baru, terutama di kalangan belia Cina.
Senarai punca  dan alasan belia Melayu bersikap tidak peduli mungkin panjang, seperti himpitan  Auku, budaya hedonisme dan pengaruh materialisme. Minat mereka untuk turut serta  dalam agenda politik, termasuk dalam kegiatan paling minimum seperti pendaftaran  sebagai pengundi, berada pada tahap yang cukup membimbangkan. Saya tidak pasti  apakah anak-anak muda yang kelihatan prihatin dengan persoalan politik dan  bersedia untuk berdemonstrasi memperjuangkan isu-isu rakyat sudah mendaftar  sebagai pengundi.
Perkembangan pesat teknologi maklumat, arus globalisasi  dan kemunculan kuasa siber memang mendorong pembentukan masyarakat yang lebih  terbuka dan berpemikiran kritis. Ya, zaman penguasa menakrifkan segalanya buat  rakyat sudah berakhir. Media "arus perdana" hilang sengat dan bisanya. Anak muda  tidak perlu lagi turun bersesak-sesak mendengar pidato politik, sekadar menonton  YouTube dari bilik tidur atau membaca berita-analisis terbaru yang segar  daripada laman web dan blog. Pelbagai maklumat yang tidak ditapis boleh dilayari  dengan mudah dan cepat.
Soalnya, mengapa dalam situasi yang begitu selesa  dan secocok dengan amalan demokrasi yang matang (tanpa mengetepikan halangan dan  sekatan masih berterusan, namun kita sudah ada jalan keluar), tiba-tiba kita  dihadapkan dengan fenomena golongan muda (terutama orang Melayu) yang dikatakan  tidak berminat dengan politik? Walhal, bagi penganalisis politik, perubahan di  peringkat persekutuan hanya dapat dilakukan dalam pilihan raya akan datang jika  kesedaran datang secara serentak daripada semua kaum, khususnya masyarakat  Melayu. Sederap langkah diperlukan, bukannya satu kaum menolak BN sementara kaum  yang lain masih mempertahankannya, seperti ditunjukkan dalam pilihan raya 1999  dan 2008.
TREND POLITIK  MAHASISWA CINA 
Secara lahiriah, kelihatan generasi muda  bukan Melayu, terutama masyarakat Tionghua, seperti tidak mengambil hirau  politik kepartaian. Mereka lebih prihatin dengan kegiatan ekonomi. Mahasiswa  Melayu lebih berminat berpolitik khususnya dalam mengidentifikasikan diri dengan  parti siasah tertentu.
Justeru, di mana silapnya sehingga masyarakat  Melayu dikatakan yang paling ramai tidak mendaftar sebagai pengundi? Walhal  parti-parti politik Melayu lebih banyak menjalankan aktiviti - dan ia tidak  bermusim sifatnya - berbanding parti-parti lain. Begitu juga dengan kegiatan di  kampus, yang dikuasai mahasiswa Melayu. Atau, mungkin keadaan sebenarnya tidak  seperti yang dijangkakan itu? Pelajar Cina mungkin lebih selektif beraktiviti  tetapi "kesedaran politiknya" jauh lebih matang?
Pemimpin dan aktivis  Pakatan Rakyat, daripada semua parti komponen, harus meneliti secara mendalam  kecenderungan dan budaya politik anak-anak muda ini. Kesetiaan mereka terhadap  parti tidak sepekat generasi lebih dewasa. Golongan ini lebih mudah beralih arah  jika dasar atau sikap sesebuah parti (atau pemimpinnya) dilihat tidak serasi  lagi dengan mereka.
Jika mereka berasa dikesampingkan atau tidak diambil  peduli, usaha rendahkan keupayaan mereka untuk melakukan "undi protes". Sokongan  pada musim pilihan raya terdahulu sama sekali tidak mengikat mereka untuk terus  mengundi parti atau calon yang sama untuk pilihan raya akan  datang.
Konvensyen Pakatan Rakyat di Kepala Batas, Pulau Pinang, hujung  minggu ini wajar memberi tumpuan khas terhadap gelagat anak muda dalam  berpolitik. Selain merumuskan deraf manifesto awal pilihan raya umum ke-13 dan  membincangkan isu-isu kritikal yang membantut kemajuan negeri-negeri yang  diperintah Pakatan, usaha menggerakkan kesedaran orang muda, sekurang-kurangnya  untuk mendaftar sebagai pemilih, seterusnya terlibat aktif sebagai agen  reformasi, tidak boleh dilewat-lewatkan.
Pendedahan bahawa laman-laman  sesawang atau blog pro-BN semakin popular mungkin satu petanda bahawa masyarakat  kini lebih dahagakan maklumat atau perkembangan baru, meskipun ia disalurkan  oleh "media lawan". Keghairahan ingin tahu itu cuba dimanfaatkan oleh strategis  Umno. Ia bukanlahlah sesuatu yang patut digeruni.
Pakatan tidak perlu  gentar dengan maklumat walaupun ia mendedahkan kelemahan kerajaan negeri yang  dikuasainya ataupun membongkar  karenah dalaman parti yang cuba diselindung.  Kelemahan harus segera diatasi dan ditangani. Anak muda yang diasuh dengan  keterbukaan, integriti dan ketelusan tidak mahu daya intelektual mereka  diperbodohkan. Zaman untuk mengangguk dan menerima tanpa bahas sudah  berlalu.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29816:anak-muda-dijangka-protes-pakatan-rakyat&catid=86:editor-harakah&Itemid=126
 
 
No comments:
Post a Comment