Dis 4, 10
4:04pm
Isu ini sangat berkait rapat dengan permasalahan perkauman yang masih belum selesai bahkan menjadi nadi bagi parti politik perkauman seperti Umno. Prinsip ajaran Islam begitu jelas, bahawa seluruh manusia ini adalah hamba Allah yang diberi amanah untuk memikul tugas Khalifah di atas muka bumi.
Berdasarkan prinsip tersebut para pencinta Islam berebut-rebut untuk menjadi hamba Allah bukannya berlagak tuan kepada mana-mana makhluk di dalam alam semesta ini. Dalam surah al-Isra', Allah memanggil makhluk yang paling dikasihinya Nabi Muhammad SAW dengan gelaran hambaNya.
Demikian juga, ketika Tawus al-Yamani menghadap Hisham bin Abdul Malik beliau hanya memanggil nama "Ya! Hisham", bukannya dengan gelarannya sebagai pemerintah agung atau ketua kerajaan.
Hisham yang begitu marah lalu bertanya kepada Tawus, mengapa beliau tidak memanggilnya dengan gelaran itu? Lalu Tawus menyatakan bahawa Allah memanggil mereka yang dikasihinya seperti yang termaktub dalam al-Quran dengan nama masing-masing seperti Dawud a.s. dan Isa a.s, malah menyebut dengan gelaran hamba seperti dalam surah al-Isra' tersebut.
Berebut-rebut menjadi hamba
Sebaliknya Dia memanggil golongan yang dimurkainya dengan gelaran. Dengan  sebab itu, seharusnya kita berebut-rebut menjadi hamba kepada  Allah.
Namun demikian manusia sangat gemar meninggi-niggikan kedudukan  mereka menjadi tuan kepada yang lain. Semasa zaman feudal sama ada di Eropah dan  sebahagian dunia yang lain, kuasa mutlak terletak kepada seseorang individu,  manakala jiwa memperhambakan diri seharusnya ada pada setiap rakyat. 
Lalu tercetusnya Revolusi Perancis yang membebaskan jiwa manusia di  Eropah dari kehambaan, yang melihat semua manusia adalah mempunyai hak dan suara  yang sama.
Malangnya manusia yang telah bebas dari jiwa kehambaan ini  kemudiannya memperhambakan manusia di bahagian dunia yang lain atas nama  'tanggungjawab manusia berkulit putih'. Kemudian mereka memperhambakan manusia  bukan berkulit putih.
Berikutan itu, manusia bukan berkulit putih  berjuang pula untuk menuntut hak dan suara mereka sebagai seorang menusia.  Antara kejayaan golongan ini yang terakhir, ialah di Afrika Selatan dengan  menghapuskan Dasar Apartheid.
Dalam dasar ini mereka yang bukan berkulit  putih dianggap lebih rendah dan mendapat layanan kelas kedua dalam negara. Dasar  ini telah berjaya dihapuskan pada tahun 1994 melalui perjuangan yang begitu lama  diketuai oleh Nelson Mandela. Semua pihak mengutuk dasar Apartheid ini  termasuklah mereka yang bergantung kepada politik rasisme seperti Umno,  seolah-olah mereka tidak menyedari mereka memperlakukan perkara yang hampir sama  semasa di tampuk kuasa.
Setelah masyarakat global menyedari sepatutnya  tiada segolongan kecil manusia yang menjadi tuan lalu memperhambakan segolongan  besar manusia yang lain, tiba-tiba masyarakat manusia yang sedar ini pula  bertindak mencabuli hak-hak makhluk Allah yang lain.
Masyarakat manusia  telah menjadikan haiwan sebagai bahan-bahan mentah atas nama kemajuan sektor  penternakan. Haiwan-haiwan yang diternak ini dinafikan hak mereka untuk  bervariasi (kepelbagaian) melalui teknik-teknik reproduksi moden yang melahirkan  haiwan yang mempunyai hanya ciri-ciri yang dikehendaki. 
Animal Right
Haiwan-haiwan ini juga  dinafikan daripada tabiat semulajadi mereka seperti bersosial dan mendiami  habitat yang sesuai. Hak dan suara haiwan-haiwan ini kemudiannya diperjuangkan  oleh sekumpulan manusia yang menggelarkan kumpulan mereka dengan Animal  Right.
Kemudian datang pula sekumpulan manusia yang menyatakan  bahawa perjuangan kumpulan Animal Right ini sempit kerana hanya  memperjuangkan hak dan suara komponen-komponen alam yang hidup (living  being), sedangkan melupai hak dan suara komponen-komponen alam yang tidak  hidup.
Mereka ini berinspirasikan Aldo Leopold yang telah menulis  pandangannya dalam "The Land Ethics". Menurut Leopold, semasa zaman  Greek silam, Oddeyseus menganggap hamba itu bukan manusia sebaliknya harta,  sedangkan hari ini masyarakat manusia telah memberi hak manusia kepada sesiapa  yang berbiologikan manusia.
Lalu Leopold menyatakan, kita seharusnya  memanjang perkara yang sama kepada seluruh komponen alam yang hidup atau bukan  hidup, yang sebelum ini manusia menganggapnya juga sebagai  harta.
Demikianlah manusia, dengan naluri kemanusiaannya menuntut hak dan  suara masing-masing. Bagi menusia yang sempit kemanusiaannya dan tinggi  kepentingan dirinya, menuntut hak dan suara itu bagi sekumpulan yang sempit  seperti pejuang Ketuanan Melayu.
Bagi menusia yang luas kemanusiaanya dan  tinggi toleransinya, menuntut hak dan suara untuk sekumpulan yang lebih besar  malah merangkumi hak dan suara bagi komponen bukan manusia seperti pejuang  Animal Right dan Deep Ecology. Bagi manusia yang sederhana kemanusiaannya dan di  peringkat pertengahan kepentingan diri dan toleransinya, menuntut hak itu bagi  sekumpulan yang sederhana seperti pejuang hak asasi  manusia.
Masing-masing mentakrifkan hak dan suara itu mengikut takrifan  masing-masing. Golongan feudal mentakrifkan hak dan suara itu mengikut takrifan  feudalisme mereka. Golongan kulit putih mentakrifkan hak dan suara itu mengikut  rasisme mereka.
Golongan pejuang hak asasi manusia mentakrifkan hak dan  suara itu mengikut takrifan humanisme mereka. Golongan Individualisme  mentakrifkan hak dan suara itu mengikut takrifan Libertarianisme mereka.  Golongan Animal Right dan Deep Ecology mentakrifkan hak dan suara itu mengikut  takrifan environmentalism mereka.
Kita semuannya hamba
Mereka semua lupa  bahawa Tuhan bukan mereka yang menciptakan alam semesta ini. Mereka tidak berhak  menentukan hak siapa yang mesti lebih dan hak siapa yang mesti kurang, atau  suara siapa yang didahulukan dan suara siapa yang dikemudiankan. Bukankah yang  berhak menentukan hak siapa yang lebih dan suara siapa yang didahulukan adalah  Tuhan yang Maha Adil.
Tuhan yang Maha Adil itulah menentukan siapa yang  berhak dan siapa yang tidak berhak, atau siapa yang didahulukan suaranya dan  siapa yang dikemudiankan suaranya. Tuhan yang Maha Adil itu bebas dari  pergantungan kepada makhluknya, justeru ketentuannya adalah semata-mata atas  sifatNya yang Maha Adil.
Allah yang Maha Adil itulah Tuan seluruh  makhluk, manakala kita ini semuanya adalah hamba. Bagi mengetahui siapakah yang  berhak dan suara siapakan yang didahulukan, maka Tuhan yang Maha Adil itu  menurunkan wahyuNya dan mengutuskan pesuruhNya.
Melalui wahyu dan  pesuruhNya itu kita mengetahui adakalanya pemimpin lebih berhak, adakalanya  rakyat lebih berhak, adakalanya satu kaum lebih berhak, adakalanya manusia lebih  berhak, adakalanya haiwan lebih berhak dan adakalanya komponen alam yang tidak  hidup lebih berhak.
Melalui wahyu dan pesuruhNya juga kita mengetahui  adakalanya suara pemerintah didahulukan, adakala suara rakyat didahulukan,  adakalanya suara sesuatu kaum didahulukan, adakalanya suara manusia didahulukan,  adakalanya suara haiwan didahulukan dan adakalanya suara komponen alam yang  tidak hidup didahulukan.
Semua perkara tentang yang berhak dan tidak  berhak, atau yang mempunyai suara dan tidak mempunyai suara ini termaktub secara  terang dan panjang dalam ajaran Islam. Pada pandangan saya inilah konsep sebenar  Ketuanan Islam iaitu ketuanan Allah secara mutlak ke atas hamba-hambaNya.
http://malaysiakini.com/news/149985
 
 
No comments:
Post a Comment