Tuesday, January 13, 2009

Culik palsu


Oleh Iskandar Shah Mohamed


PENIPU...Chow (kiri) bersama Chong menunjukkan
gambar lelaki yang didakwa tuntut wang tebusan,


KUALA LUMPUR: Perkenalan seorang penuntut kolej swasta dengan sahabat pena melalui majalah hiburan tempatan bertukar malang apabila diperdaya lelaki itu yang merancang penculikan palsu sebelum menggelapkan ‘wang tebusan’ diberi keluarganya.

Chow Weng Fatt, 21, mendakwa kejadian bermula 31 Disember lalu apabila lelaki dikenali sebagai Charles berusia 30-an berasal dari Johor itu datang bercuti di rumahnya di ibu kota selepas seminggu berhubung menerusi telefon bimbit.

Menurut Chow, dia pada awalnya tidak mengesyaki apa-apa berikutan lelaki yang mendakwa bekerja sebagai pereka itu berkelakuan baik dan bersopan santun dengan keluarganya.

“Selepas lima hari bermalam, dia tiba-tiba mengajak saya pergi ke rumahnya di Johor Bharu dan menceritakan masalah dirinya diburu along selepas menjadi penjamin rakannya yang gagal melunaskan hutang.

“Lelaki itu meminjam telefon bimbit saya kononnya mahu menghubungi ibu saudaranya untuk memohon pertolongan kecemasan,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Wisma MCA di sini, semalam. Turut hadir Biro Aduan MCA, Datuk Michael Chong.

Dakwanya, lelaki itu bagaimanapun enggan memulangkan telefon bimbit saya dengan alasan sedang menunggu panggilan daripada ibu saudaranya itu.

“Selepas beberapa jam, lelaki itu mendakwa tidak memiliki sebarang akaun bank dan meminta supaya ‘meminjamkan’ akaun saya bagi memudahkan ibu saudaranya memasukkan wang.

“Saya yang bersimpati dengannya segera memberi kad ATM termasuk nombor PIN kepadanya sebelum kami berdua bertolak ke Johor dengan menaiki bas,”
katanya.

Menurutnya, sebelum itu, lelaki terbabit ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada keluarganya yang menyatakan dia diculik along dan meminta memasukkan wang tebusan berjumlah RM6,000 ke dalam akaun miliknya.

“Keluarga saya yang bimbang dengan keselamatan saya kemudian memasukkan RM2,000 ke dalam akaun saya keesokan harinya.

“Ketika itu, saya langsung tidak tahu-menahu mengenai perbuatan lelaki itu yang membuat tuntutan wang tebusan kerana dia langsung tidak mencurigakan.

“Bagaimanapun, ketika kami berdua menonton wayang di sebuah pusat beli belah di Johor, lelaki berkenaan memaklumkan mahu keluar dan terus menghilangkan diri bersama telefon bimbit serta kad ATM saya,”
katanya.

Menyedari diri diperdaya, dia kemudian segera meminta bantuan rakannya untuk meminjam duit dan terus pulang ke ibu negara.

“Sejurus tiba di rumah, saya amat terkejut apabila keluarga menangis kegembiraan sambil memeluk saya dan memberitahu sudah membuat laporan polis berhubung penculikan itu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090113092258/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...