Friday, June 26, 2009

Proton rugi RM20j

KUALA LUMPUR: Kegagalan projek usaha sama Proton Holdings Berhad (Proton) dengan Goldstar Heavy Industrial Co. Ltd (Goldstar), Dongguan, China, mengakibatkan Proton kerugian kira-kira AS$5.78 juta (RM20 juta), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerugian itu juga merangkumi modal pusingan dalam syarikat usaha sama itu.

“Kontrak usaha sama itu dengan jelas memperuntukkan semua pertikaian harus dirujuk kepada timbang tara. Oleh itu, selaras dengan Perjanjian Timbang Tara pada 6 Julai 2007, Proton Automobiles (China) Ltd (PAC) sudah memulakan prosiding timbang tara terhadap Goldstar di Singapura,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut).

Lim bertanyakan mengapa projek usaha sama Proton dengan Goldstar di Dongguan, China gagal, dan nilai kerugian yang dialami serta kemungkinan Proton boleh menang dalam kes tindakan undang-undang yang diambil Goldstar di Singapura.

Najib berkata, Proton mempunyai peluang yang tinggi untuk berjaya dalam prosiding timbang tara itu kerana tindakan Glodstar memulakan prosiding mahkamah di Mahkamah Rakyat di Dongguan City, jelas bertentangan dengan perjanjian.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...