Sunday, February 8, 2009

2,500 anak ayam percuma

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my


KUALA SELANGOR: Penduduk kampung di kawasan Bukit Belimbing di sini yang menerima 2,500 anak ayam sumbangan Biro Kebajikan Umno Bahagian Tanjung Karang menyifatkan ia peluang terbaik untuk membaiki kehidupan sekali gus keluar daripada belenggu kemiskinan.

Mariani Dasuki, 44, berkata pemberian anak ayam itu satu rezeki baginya dan penduduk kampung selain usaha pemimpin untuk membantu rakyat miskin.

“Anak ayam ini saya akan bela sehingga besar dan beranak-pinak. Terima kasih kepada pemimpin kami di atas sumbangan ini.

“Ia sedikit sebanyak membantu saya dan keluarga mendapatkan sumber rezeki tambahan,” katanya di sini semalam.

Seramai 70 penduduk kampung menerima 30 ekor anak ayam secara percuma.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mat, berkata pemberian anak ayam percuma itu sesuatu yang ditunggu penduduk sejak sekian lama.

“Ini hasil usaha pemimpin untuk membantu penduduk miskin macam saya.

“Syukur dan terima kasih kepada kepada Yang Berhormat di atas sumbangan anak ayam ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Kebajikan Umno bahagian Tanjung Karang, Datuk Safie Asnawi, berkata usaha itu mendapat sokongan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Noh Omar bagi mendidik penduduk kampung yang kebanyakannya miskin untuk berdikari dan belajar menjadi usahawan tani.

Menurutnya, setiap anak ayam yang diagihkan itu diharap dapat memberi semangat kepada penduduk kampung supaya berusaha penuh sabar menjaga anak ayam sehingga besar dan mendapat hasilnya.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090207093420/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...