Sunday, January 18, 2009

Nasib nelayan dibela


Oleh Noor Azam Abdul Aziz, Ahmad Shahrul Nizam Muhammad, Mohd Nasif Baharudin dan Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


KUALA TERENGGANU: Nasib lebih 1,200 nelayan di daerah itu terus dibela apabila kerajaan menubuhkan Tabung Kecemasan yang bakal membantu mereka ditimpa musibah ketika menangkap ikan di laut.

Sebelum ini, warga nelayan sepenuh masa yang berdaftar diberikan wang saraan RM200 sebulan, namun peruntukan terbaru sebanyak RM1 juta itu dijangka dapat menjaga kebajikan dan meningkatkan kualiti kehidupan golongan berkenaan.

Pengumuman peruntukan tabung itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika menghadiri Program Timbalan Perdana Menteri Bersama Nelayan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), dekat Chendering, semalam.

Pengumuman penuh bermakna itu menerima tepukan gemuruh daripada warga nelayan yang hadir.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed dan Pengerusi Jawatan kuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat.

Pada majlis sama, Najib menyampaikan sumbangan sara hidup, lesen sampan kepada 105 nelayan serta kelengkapan penangkapan ikan.

Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa peka dengan keadaan dan nasib masyarakat nelayan dan pelbagai usaha dilakukan membantu mereka meningkatkan sumber pendapatan serta kualiti hidup.

Menurutnya, tabung ditubuhkan itu membantu nelayan yang ditimpa kejadian tidak diingini ketika menangkap ikan di laut.

“Tabung ini beroperasi serta-merta dan jika peruntukan RM1 juta itu sudah habis digunakan, kerajaan menambahnya lagi,” katanya pada sidang media, semalam.

Terdahulu, dalam ucapannya, Najib berkata, walaupun dunia mengalami krisis ekonomi tetapi Malaysia masih tetap utuh, malah mampu memberikan bantuan dan meneruskan projek pembangunan termasuk di Kuala Terengganu.

Menurutnya, usaha itu dapat diteruskan kerana kerajaan berupaya mentadbir negara dengan baik termasuk memikirkan usaha jangka pendek dan panjang dalam setiap tindakan dilakukan.

“Kita bukan melakukan projek atau sebarang bentuk pembangunan kerana pilihan raya , sebaliknya sentiasa memikirkan bagaimana mahu memberikan kehidupan senang kepada rakyat.

“Kerajaan BN tetap meneruskan usaha membela semua masyarakat di negara ini tanpa mengira siapa mereka,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri mengakui cukup memahami kehidupan nelayan di Kuala Terengganu kerana Parlimen Pekan yang diwakilinya mempunyai masyarakat nelayan termasuk di Nenasi dan Kuala Pahang.

“Saya faham dengan kehidupan dan sikap nelayan ini berdasarkan apa saya hadapi di Pekan kerana mereka adalah kumpulan yang setia dan tetap membantu jika bantuan mereka diperlukan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090117024920/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...