Wednesday, January 14, 2009

Dr Mahathir syor hantar bekalan menerusi kapal


SUBANG: Malaysia perlu mengatur penghantaran kapal bekalan mengandungi makanan, ubat-ubatan, selimut dan keperluan lain dengan negaraa lain bagi membantu mangsa serangan kejam Israel di Semenanjung Gaza.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, usaha penghantaran bekalan menerusi Mercy dan beberapa pertubuhan lain sangat mengkagumkan, namun jumlahnya tidak mencukupi.

“Hospital mereka dibom dan penduduk di sana kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan.

“Malaysia perlu menggerakkan usaha khusus ini menghantar lebih banyak bekalan menerusi kapal kerana negara jiran seperti Mesir dan Jordan tidak akan membenarkan bekalan seumpamanya melalui wilayah mereka,”
kata Dr Mahathir selepas menyampaikan syarahan mengenai Keamanan Global di Kolej Taylor’s di sini semalam.

Dr Mahathir berkata kapal tidak membawa senjata yang belayar di perairan antarbangsa tidak boleh diserang atau ditenggelamkan kerana tindakan sedemikian adalah satu jenayah.

Beliau mencadangkan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) merombak sistem kuasa veto bagi mewujudkan keadaan lebih seimbang dalam Perhimpunan Agung badan dunia itu dan Majlis Keselamatan.

“Perkara yang terbaik adalah tidak mempunyai sistem kuasa veto langsung. Tetapi memandangkan kuasa besar percaya bahawa mereka sepatutnya mempunyai hak lebih besar daripada yang lain, kita perlu memberikan mereka hak dengan mengenakan syarat.

“Jika hanya satu kuasa veto digunakan terhadap suatu resolusi oleh anggota tetap, ia sepatutnya tidak sah. Sebaliknya, hanya satu kuasa veto disokong oleh dua hingga tiga anggota tetap serta dua hingga tiga anggota bukan tetap barulah ia dianggap sah.

“Jika anda mengambil definisi keganasan sebagai perasan takut kerana berasa gerun terhadap apa-apa jua, sesiapa mencetuskan perasaan takut itu adalah pengganas. Hari ini, kita semua tahu bahawa penduduk di Gaza gerun dengan idea dibunuh tentera Israel,”
katanya. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090113085827/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...