Tuesday, May 5, 2009

Makan 2 kali seminggu - FOMCA mahu pengguna tunjuk kuasa kawal harga ayam

KUALA LUMPUR - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyarankan orang ramai berpakat mengawal turun-naik harga ayam dengan mengurangkan pengambilan makanan itu kepada hanya dua kali seminggu.

Menurut Setiausaha Agungnya, Muhammad Shaani Abdullah, sekarang adalah masa terbaik untuk pengguna menggunakan kuasa beli mereka bagi mengawal harga pasaran.

"Tindakan pihak berkuasa menetapkan harga siling ataupun harga maksimum tidak semestinya menjamin pematuhan di seluruh negara.

"Pengguna membeli daripada peruncit tetapi pihak sebenar yang ada kuasa menentukan harga selama ini ialah pemborong," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau mengulas polemik di antara kerajaan dan persatuan penternak ayam dalam menentukan harga ternakan itu yang ketika ini dinaikkan tanpa sebarang sebab munasabah.

Jelas Muhammad Shaani, kenaikan harga ayam berpunca daripada sistem pengedaran yang dimonopoli pihak tertentu yang turut bertanggungjawab menentukan harga ternakan tersebut.

"Banyak saranan dan cadangan untuk membanteras kesan manipulasi pasaran tidak berjaya dilaksanakan kerana harga naik yang bermusim dan ketiadaan satu agensi yang dapat menembusi rangkaian pasaran dan pengedaran hasil ternakan ini," ujarnya.

Tambah beliau, pengeluaran ayam negara kini 1.3 juta ekor sehari dan 110,000 ekor pula dieksport.

"Anggaran kos purata ayam adalah sekitar RM3.70 sekilogram dan harga ladang pula RM4 sekilogram.

"Daripada keseluruhan hasil daging ayam, sebanyak 70 peratus dijual melalui pasar-pasar basah," jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...