Monday, April 27, 2009

Ratu cantik pertahan kenyataan - Isu menentang perkahwinan sejenis


GAMBAR fail menunjukkan Prejean (kiri) menjawab soalan daripada pengacara Billy Bush (dua dari kanan) dalam pertandingan Ratu Cantik USA di Las Vegas Ahad lalu.


LOS ANGELES - Ratu Cantik California, Carrie Prejean mempertahankan pendiriannya yang menentang perkahwinan golongan sejenis.

Prejean mempertahankan pandangan itu dalam sebuah programToday terbitan stesen televisyen NBC kelmarin yang dihoskan oleh Matt Lauer.

Dia memberitahu komennya dalam pertandingan Ratu Cantik USA pada Ahad lalu bahawa perkahwinan adalah perlu antara lelaki dengan wanita itu, dibuat dengan ikhlas.

Dalam pertandingan itu, dia memberi reaksi sedemikian setelah disoal oleh seorang hakim yang merupakan blogger selebriti, Perez Hilton.

Jawapan itu mendapat perhatian meluas berbanding pemenang pertandingan itu, Kristen Dalton.

Dalam pertandingan itu, Hilton bertanya kepada Prejean jika setiap negeri sepatutnya mengikuti langkah negeri Vermont membenarkan perkahwinan sesama jenis.

"Saya berpendapat, adalah sesuatu yang hebat penduduk Amerika untuk membuat pemilihan.

"Bagaimanapun, di negara saya dan dalam keluarga saya, pandangan yang saya percaya adalah perkahwinan sepatutnya antara seorang lelaki dengan seorang wanita.

"Ia tidak mengaibkan sesiapa di sana tetapi itulah cara saya dibesarkan," kata Prejean.

Hilton yang turut muncul dalam program Today menyatakan soalannya itu adalah relevan dan Prejean sepatutnya membuang pegangan politik dan agamanya kerana Ratu Cantik USA mewakili semua rakyat Amerika.

Prejean yang mendapat tempat kedua dalam pertandingan itu memberitahu Lauer dalam program tersebut bahawa dia mengetahui dirinya tidak akan menang selepas memberi jawapan sedemikian.

"Saya tidak akan menarik balik kata-kata saya," kata Prejean dengan menyatakan dia bercakap dari isi hati dan kepercayaannya kepada Tuhan. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0423&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Moral AS musnah - Obama


OBAMA berucap ketika melawat Agensi Perisikan Pusat (CIA) di Langley, Virginia pada Isnin lalu.


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kelmarin mendakwa penderaan terhadap suspek pengganas menyebabkan moral yang diperjuangkan negara berkenaan musnah.

Obama turut membuka pintu kepada sebarang kemungkinan untuk mendakwa peguam-peguam bekas Presiden George W. Bush yang meluluskan soal siasat dengan cara mencurahkan air pada muka suspek.

Beliau turut mengaku bahawa satu siasatan mungkin diperlukan walaupun terdapat jaminan bahawa pihak yang terbabit dalam skandal itu tidak akan dihukum.

Namun, katanya, siasatan Kongres AS perlu untuk memastikan ia tidak menjadi perbalahan politik yang remeh-temeh.

Obama turut mempertahankan tindakannya menyiarkan memo rasmi yang mendedahkan sekumpulan peguam kanan pada era pentadbiran Bush meluluskan teknik soal siasat tersebut.

Presiden kulit hitam pertama itu turut bertegas bahawa pegawai-pegawai Agensi Penyiasatan Pusat (CIA) kebal daripada sebarang pendakwaan kerana mereka bertindak atas arahan kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, terpulang kepada Peguam Negara, Eric Holder, untuk memutuskan sama ada pegawai itu akan didakwa.

"Saya fikir terdapat banyak isu yang rumit terbabit," kata Obama.

Bekas Naib Presiden, Dick Cheney percaya AS tidak perlu memohon maaf terhadap dasar luarnya.

"Saya berpendapat adalah tidak perlu untuk memohon maaf kerana AS memimpin dunia," kata Cheney.

Teknik mencurahkan air ke muka seolah-olah seperti melemaskan suspek yang diharamkan oleh pentadbiran Obama.

Teknik itu diperkenalkan oleh Bush selepas serangan 11 September 2001.

Jabatan Keadilan AS menyatakan, para penyiasat CIA menggunakan teknik itu sebanyak 183 kali terhadap Khalid Sheikh Mohammed yang mendakwa dirinya terbabit sebagai perancang serangan 11 September 2001 di AS. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0423&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Israel rancang beli peluru berpandu buatan AS

BAITULMAQDIS - Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak merancang membeli peluru berpandu Amerika Syarikat (AS) untuk melindungi penduduknya di selatan negara itu dari serangan roket jarak pendek dan tembakan motar dari Gaza.

Seorang pegawai pertahanannya berkata, apabila Barak melakukan lawatan ke Washington pada Jun depan, beliau bercadang mahu bertanya kepada Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates berhubung penjualan sebuah sistem Vulcaon-Phalanx.

Sebelum itu, rejim Zionis enggan membeli sistem pertahanan peluru berpandu milik AS itu tetapi menggunakan peluru miliknya sendiri. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm

Penduduk gemuk sumbang pemanasan global



BILANGAN penduduk gemuk di dunia semakin ramai. - Gambar hiasan.


LONDON - Bilangan penduduk gemuk yang semakin meningkat menjadi penyumbang kepada pemanasan global, lapor sebuah akhbar semalam.

Beberapa saintis menyatakan peningkatan bilangan penduduk gemuk akan menyebabkan pengeluaran makanan perlu ditingkatkan sekali gus mengakibatkan pelepasan gas karbon dioksida ke udara.

Penduduk yang gemuk lebih suka memandu kereta sekali gus menjejaskan alam sekitar.

Seorang saintis dari Sekolah Kebersihan dan Tropika London Dr. Phil Edward berkata: "Pergerakan individu yang gemuk adalah seperti memandu dengan menggunakan minyak yang banyak."

Setiap individu yang gemuk bertanggungjawab melepaskan satu tan atau lebih gas karbon dioksida setiap tahun berbanding penduduk yang kurus.

Perangkaan itu menunjukkan tambahan satu bilion tan gas karbon dioksida setahun dilepaskan, menurut anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terhadap penduduk yang gemuk. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

100 juta lihat penyanyi 47 tahun masih dara

100 juta lihat penyanyi 47 tahun masih dara


SUSAN


LONDON - Populariti peserta program realiti televisyenBritain's Got Talent, Susan Boyle yang berumur 47 tahun dan masih dara, jauh mengatasi Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di YouTube, lapor sebuah akhbar semalam.

Penyanyi berasal dari Scotland itu mempunyai suara bertenaga walaupun memiliki wajah yang tidak jelita seperti selebriti terkenal.

Klip video yang menunjukkan Boyle menjalani uji bakat diYouTube sudah disaksikan oleh 100 juta peminatnya dari seluruh dunia.

Bilangan itu jauh lebih besar berbanding klip video majlis angkat sumpah Obama pada Januari lalu yang disaksikan sebanyak 18.5 juta orang di YouTube.

Sebelum ini Boyle ditawarkan AS$1 juta (RM3.6 juta) oleh sebuah syarikat penerbitan filem lucah yang mahu merakamkan babak dia kehilangan dara di hadapan kamera.

Penyanyi itu kekurangan 18 juta penonton untuk mendapat bilangan pengguna YouTube yang paling ramai menyaksikan klip videonya.

Ketika ini klip video Judson Laipply yang berjudul Evolution of Danceadalah yang paling ramai ditonton di laman tersebut. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Israel diberi amaran


ALI (kiri) berbual dengan Ketua Kehakiman Ayatollah Mahmoud Hashemi Shahroudi pada satu mesyuarat dengan pendakwa raya kanan dari negara-negara Islam di Teheran semalam.


TEHERAN - Iran memberi amaran semalam kepada Israel berhubung serangan terhadap beberapa kemudahan nuklear milik negaranya.

Amaran tersebut dikeluarkan sehari selepas Presiden Mahmoud Ahmadinejad mencetuskan ketegangan antara dua musuh itu dengan menyatakan Israel adalah rejim paling kejam dan perkauman dalam satu persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva.

Israel mengenal pasti Iran sebagai ancaman terbesar dengan menyentuh isu program nuklear dan pembangunan peluru berpandu jarak jauh milik negara berkenaan.

Bagaimanapun, Speaker Parlimen Iran, Ali Larijani berkata, jika Israel diserang, Teheran akan memberi tindak balas sehingga menyebabkan musuhnya itu tidak dapat tidur lena.

Beliau membuat kenyataan itu dalam satu mesyuarat dengan beberapa pendakwa raya dari negara-negara Islam yang cuba untuk mencari kaedah untuk mengatur dan menangkap pemimpin Israel berhubung jenayah perang selepas Gaza diserang pada awal tahun ini.

Kenyataan Ali itu dibuat sehari selepas Presiden Iran berucap dalam satu persidangan mengenai perkauman anjuran PBB.

Namun, dalam persidangan itu, beberapa diplomat Eropah bertindak keluar dewan ketika Presiden Iran membuat ucapan.

Mahmoud menerima sambutan sebagai seorang wira ketika beliau pulang dari Geneva semalam di sebuah lapangan terbang di Teheran.

Kira-kira 200 orang menyambut ketibaan Presiden Iran itu dengan membawa kalungan bunga.

Beberapa anggota Parlimen menyatakan Mahmoud menunjukkan maruah dan kehebatan Iran dalam persidangan itu.

Israel yang dipimpin oleh Perdana Menteri baru, Benjamin Netanyahu tidak membuat sebarang komen berhubung kenyataan Ali itu.

Namun, pada minggu lalu, Presiden Israel, Shimon Peres menolak dakwaan bahawa negaranya merancang untuk melakukan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Barat pulau persidangan PBB


BEBERAPA delegasi dari negara-negara Eropah meninggalkan persidangan ketika Mahmoud berucap dalam persidangan berhubung perkauman di Geneva semalam.


GENEVA - Negara-negara Barat memulau persidangan perkauman yang dianjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam kerana khuatir medan mengkritik Yahudi akan berlaku.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon mengutuk tindakan pemulauan itu manakala negara-negara Eropah mengancam untuk meninggalkan persidangan.

Israel turut memanggil pulang dutanya kerana membantah keputusan Presiden Switzerland menemui Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad.

"Ada negara yang sepatutnya hadir untuk membantu merintis jalan ke arah masa hadapan yang lebih baik tetapi tidak hadir. Saya sangat kesal berhubung tindakan itu," kata Ki-Moon.

Poland menjadi negara terbaru memulaukan persidangan itu setelah Amerika Syarikat (AS), Israel, Kanada, Australia, Jerman, Itali, Belanda dan New Zealand.

Sementara itu, Mahmoud menyelar negara-negara yang memboikot sidang PBB itu.

Menurutnya, tujuan negara-negara itu berbuat demikian kerana sombong dan mementingkan diri.

"Pada pendapat kami (Iran), perkara ini berlaku kerana kesombongan dan mementingkan diri yang merupakan punca kepada masalah dunia pada hari ini," kata Mahmoud sebagai reaksi terhadap tindakan Barat memboikot sidang yang diadakan selama lima hari itu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0421&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm

Pelan serang Iran sudah dirancang?


GAMBAR fail menunjukkan seorang pegawal keselamatan mengawasi sebuah loji nuklear di Bushehr, Iran pada 25 Februari lalu.


TEL AVIV - Israel menafikan laporan sebuah akhbar Britain bahawa satu serangan besar-besaran dari udara terhadap kemudahan-kemudahan nuklear Iran akan dilancarkan, lapor sebuah akhbar semalam.

Pada Sabtu lalu, akhbar The Times di Britain melaporkan Pasukan Pertahanan Israel sedang melakukan persediaan untuk menyerang infrastruktur nuklear Iran dalam tempoh beberapa hari lagi.

Antara persediaan yang dilakukan itu adalah membeli tiga buah pesawat kawalan jauh.

Serangan itu dilaporkan melibatkan sejumlah besar sasaran termasuk kemudahan utama nuklear di Natanz, Isfahan dan Arak.

Sumber-sumber yang rapat dengan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak berkata, artikel akhbar The Times itu hanya merupakan satu spekulasi yang tidak berasas dan disiarkan dengan tujuan untuk meminggirkan komuniti penduduk negara tersebut di peringkat antarabangsa.

Sebarang serangan terhadap Iran memerlukan kerjasama Amerika Syarikat (AS) dengan melibatkan jet-jet pejuang tentera Israel terbang melalui ruang udara di Jordan serta Iraq yang dikawal AS.

Israel telah menuduh Iran melakukan proses pengayaan uranium pada gred yang boleh mengeluarkan senjata.

Bagaimanapun, Iran menegaskan ia hanya mengeluarkan uranium gred rendah dengan tujuan untuk menjana tenaga elektrik.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang kembali berkuasa pada 1 April lalu menyokong tindakan ketenteraan ke atas Iran.

Presiden Israel, Shimon Peres pada awalnya menyokong serangan ke atas kemudahan nuklear Iran tetapi kemudian memutuskan bahawa penyelesaian di negara itu bukannya dengan menggunakan pendekatan ketenteraan.

Keputusan untuk mengelak perang dengan Iran itu diputuskan sehari selepas Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates memberi amaran supaya Israel tidak melancarkan serangan udara bersendirian terhadap Iran.

Washington menyatakan ia membuka buku baru selepas pentadbiran Presiden Barack Obama berjanji untuk memulakan hubungan baru dengan Iran. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0421&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

PNB tawar 3.33 bilion unit saham


NAJIB melihat pengunjung membuat pelaburan di kaunter ASNB selepas merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia 2009 di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Permodalan Nasional Bhd. (PNB) akan menawarkan 3.33 bilion unit baru Amanah Saham Malaysia (ASM) dan 2 bilion unit Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020).

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, unit-unit ASM itu akan mula dijual hari ini di semua 1,500 ejen dan pejabat Amanah Saham Nasional Bhd. di seluruh negara sementara unit-unit baru ASW 2020 boleh dilanggani mulai 27 April ini.

Pengumuman tawaran unit baru itu yang akan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia menyertai pasaran modal, dibuat semasa Perdana Menteri merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia 2009 (MSAM 2009) di Padang Plaza Angsana di sini semalam.

Pada majlis itu juga, beliau turut mengumumkan peruntukan 100 juta unit ASW 2020 untuk diagihkan kepada penduduk miskin bandar dan miskin tegar seperti yang dinyatakan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Menurut Najib, penawaran unit-unit baru ASM dan ASW 2020 tertakluk kepada had pelaburan maksimum 20,000 unit bagi setiap pemegang akaun.

“Saya harap penawaran unit baru ini akan memberi lebih peluang kepada seluruh masyarakat Malaysia untuk bersama-sama membuat pelaburan. Ia bagi masa depan kewangan yang lebih terjamin,'' jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0421&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Tidak logik minyak kurang - PDAM


KERATAN Kosmo! semalam.


KUALA LUMPUR - Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) tidak percaya wujudnya perbezaan kuantiti minyak yang dijual antara stesen.

Timbalan Presidennya, Datuk Zulkifli Mokti berkata, ia tidak mungkin berlaku memandangkan pam di semua stesen telah diselaraskan untuk mengeluarkan dan menyukat bahan api itu pada kuantiti yang sama.

Katanya, pengguna tetap akan mendapat kuantiti minyak yang sama, tidak kira mereka mengisi minyak dengan laju atau perlahan.

"Jika isi minyak RM10, jumlah minyak yang masuk ke dalam tangki kenderaan juga tetap sama seperti bacaan yang ditunjukkan pada pam minyak.

"Ini satu standard yang dipakai di semua stesen minyak di negara ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Kosmo! semalam melaporkan dakwaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bahawa kandungan minyak akan berkurangan sedikit sekiranya diisi dengan laju walaupun dibayar pada harga yang sama.

Dakwaan PPIM itu bagaimanapun tidak disokong oleh kajian saintifik.

Zulkifli bagaimanapun mengakui kes minyak berkurangkan boleh berlaku akibat proses pemeluwapan (meruap).

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0421&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Coklat enak import didakwa ada lemak babi


KEBANYAKAN coklat import dari Eropah dan Amerika Syarikat didakwa mengandungi campuran lemak babi. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Banyak jenis coklat import bukan sahaja dihasilkan dengan campuran minuman keras tetapi tidak kurang juga yang menggunakan lemak haiwan yang tidak halal termasuk babi.

Dakwaan ini dibuat berasaskan kepada penemuan bahan kimia emulsifier yang dikatakan mengandungi lemak haiwan berkenaan dalam adunan coklat.

Emulsifier secara asasnya agen pewarna, penambah perisa dan memudahkan penyebatian serta menjadikan coklat berkilat.

Orang ramai boleh mengesan dengan mudah mana-mana jenama coklat yang mengandungi emulsifier ini dengan merujuk kepada daftar kod saintifik seperti E-100 hingga E-904 yang biasanya tertera pada belakang pembungkus coklat.

Ada sesetengah jenama coklat hanya mencetak perkataan emulsifier dan ia bahan tambahan daripada tumbuh-tumbuhan atau haiwan.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pula mendedahkan, pengusaha coklat di kebanyakan negara Barat lebih gemar menggunakan lemak babi kerana penternakannya meluas terutama di Amerika Syarikat, Denmark, Jerman dan Perancis.

Pengarah Projek PPIM, Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, emulsifier memang ada dihasilkan daripada tumbuhan tapi penggunaannya sangat kecil.

“Ada juga yang menggunakan lemak binatang seperti lembu tapi itu juga sangat kecil, mereka lebih gemar guna lemak babi kerana kandungan lemaknya sangat tinggi,’’ jelasnya.

Secara saintifiknya, tubuh babi mempunyai hampir 70 peratus lemak.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0421&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Dara penyanyi 47 tahun bernilai AS$1 juta


SUSAN BOYLE


LONDON - Permata baru program realiti pencarian bakat Britain's Got Talent's, Susan Boyle yang memukau orang ramai dengan suara merdunya ditawarkan AS$1 juta (RM3.6 juta) oleh sebuah syarikat pengeluar filem lucah bagi merakamkan aksi dia hilang dara, lapor sebuah akhbar semalam.

Boyle yang berumur 47 tahun ditawarkan oleh sebuah syarikat pengeluar filem lucah yang turut melancarkan laman webSusanBoyleXXX.com.

Peminat-peminat boleh mengundi tajuk filem lucah yang sesuai untuk Boyle berlakon.

Jika Boyle menerima tawaran itu, dia akan diterbangkan dari Los Angeles dengan syarikat Virgin Airlines tetapi menurut sebuah akhbar Amerika Syarikat, tawaran tersebut hanya bertahan untuk seminggu.

Presiden studio filem lucah berkenaan, Mark Kulkis membuat tawaran singkat kerana mahu menerbitkan filem itu ketika Boyle masih popular.

"Kami mahu menerbitkan filem itu ketika Boyle menjadi tumpuan dunia. Selepas 47 tahun bergelar dara, saya yakin Boyle tidak sabar untuk beraksi," dia dipetik sebagai berkata oleh sebuah akhbar Britain. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0421&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Kekejaman era Bush didedah


GAMBAR lakonan semula menunjukkan teknik mencurahkan air ke muka yang dilakukan oleh penyiasat-penyiasat Agensi Perisikan Pusat (CIA) ketika di era Bush.


WASHINGTON - Perancang serangan 11 September 2001 ke atas Amerika Syarikat (AS), Khalid Sheikh Mohammed diseksa dengan menggunakan teknik mencurahkan air sebanyak 183 kali di kepala ketika tangan dan kaki diikat manakala tubuhnya dibaringkan, lapor akhbar New York Times semalam.

Akhbar berkenaan melaporkan memo Jabatan Pertahanan AS dari 2005 menunjukkan teknik yang mirip melemaskan mangsa itu digunakan pada 2003 ketika George W. Bush berkuasa.

Dokumen Jabatan Pertahanan AS turut menunjukkan bahawa penyiasat-penyiasat Agensi Perisikan Pusat (CIA) menggunakan teknik sama terhadap seorang lagi suspek Al-Qaeda, Abu Zubaydah sebanyak 83 kali di sebuah penjara rahsia di Thailand.


KHALID SHEIKH MOHAMED


Seorang bekas ejen CIA memberitahu bahawa Abu Zubaydah dilemaskan 35 saat di bawah permukaan air sebelum disoal siasat.

Abu Zubaydah merupakan tahanan yang pertama di soal siasat dalam program tahanan CIA di negara asing pada Ogos 2002.

Satu nota kepada memo pada 2005 berhubung penahanannya menyatakan teknik keras itu mungkin tidak perlu dilakukan.

Menurut akhbar itu, beberapa penyiasat percaya Abu Zubaydah sudah memberikan semua maklumat yang disimpannya selepas teknik soal siasat lain dilakukan.

Bagaimanapun, penyiasat-penyiasat tersebut diarahkan oleh pegawai di ibu pejabat supaya menggunakan teknik menggunakan air itu.

Presiden AS, Barack Obama melarang penggunaan teknik itu yang pernah digunakan ketika Bush berkuasa.

Pada minggu lalu, Obama membenarkan satu siri memo yang mendedahkan secara terperinci teknik soal siasat yang diluluskan oleh Bush disiarkan.

Bagaimanapun, penggunaan berulang kali teknik itu terhadap Abu Zubaydah dan Khalid Sheikh mencetuskan persoalan berhubung keberkesanannya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0421&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Tanah rizab Melayu 'musnah' - Tanah rizab Melayu 'musnah'


DARI kiri, Zainal Abidin, Abdul Aziz, Aziz Bari dan Siti Zainon menyertai Kongres Memperkasa Perkampungan Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Gombak semalam.


KUALA LUMPUR - Majlis Permuafakatan Perkampungan Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan (Muafakat) membantah hasrat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membangunkan enam buah kampung tradisi di sekitar ibu negara kerana ia merupakan tanah rizab Melayu.


Kedudukan enam Kampung Melayu.





Menurut Setiausaha Muafakat, Shaharudin Mahmud, pihaknya bimbang jika hasrat itu seperti mana yang dirancang mengikut Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (KLCP) 2020 yang dilancarkan sejak pertengahan tahun lalu itu diteruskan, ia akan membawa kemusnahan kepada kampung tradisi dan hak milik orang Melayu pula semakin kecil.

Malah tegas beliau, pengambilan tanah di semua kampung yang berstatus tanah pertanian kekal itu adalah bertentangan dengan Artikel 153 Perlembagaan berhubung tanah rizab Melayu.

"Kita bimbang apabila tanah itu diambil dan ia tidak diganti semula selaras dengan tuntutan perlembagaan yang mewajibkan kerajaan menggantikan tanah rizab yang telah diambil.

"Malah DBKL juga gagal untuk mematuhi Seksyen 12 A, Akta 201 yang memerlukan pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapatkan pandangan daripada penduduk setempat mengenai rancangan pembangunan yang ingin dilakukan di sesuatu kawasan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan resolusi Kongres Memperkasa Perkampungan Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di hadapan 200 orang penduduk di Anjung Rahmat, Batu 6, Jalan Gombak di sini semalam.

Semua kampung yang terlibat ialah Kampung Puah, Kampung Sungai Merali, Kampung Bandar Dalam, Kampung Sungai Mulia, Kampung Padang Balang dan Kampung.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0420&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

PPIM dakwa pam laju keluarkan sedikit minyak


SEORANG pembeli termenung melihat dua botol petrol yang sama harga tetapi kandungan sukatannya berbeza yang dibeli dari dua buah stesen minyak berlainan di Kuantan semalam.


KUANTAN - Jika bil air tinggi disebabkan air yang dipam bersama tekanan udara, demikian juga ketika mengisi minyak di stesen minyak.

"Pam dengan perlahan kita dapat banyak minyak. Pam dengan laju, dapat sedikit," demikian dakwa Pengurus Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin.

Menurutnya, keadaan itu tidak disedari kebanyakan pengguna kerana mereka tidak peduli kuantiti sebenar minyak yang dipam.

Wartawan Kosmo! yang ingin menguji dakwaan Noor Nirwandy itu telah mengisi minyak ke dalam dua botol di dua stesen minyak berasingan dan mendapati kuantitinya berbeza walaupun harga yang dibayar adalah sama.

Noor Nirwandy berkata, keadaan tersebut berlaku apabila petrol yang diisi telah bercampur wap semasa dipam.

"Ia menjadikan paparan digit pada mesin pam menunjukkan minyak yang dipam adalah satu liter namun kuantitinya sedikit berbeza disebabkan kemasukan bersama udara (wap). Bagaimanapun, kami belum membuat kajian terperinci mengenai perkara ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, pihaknya juga kerap menerima aduan dan mengakui perkara tersebut memang berlaku namun hasilnya bergantung kepada cara pengguna mengisi minyak.

"Lebih baik isi minyak dengan perlahan bagi mengelak kemasukan udara yang banyak ke dalam tangki kenderaan.

"Pengguna juga boleh mengelak kemasukan udara bersama minyak dengan mengisi petrol pada waktu malam atau ketika cuaca sejuk kerana jumlah wap di dalam tangki petrol bawah tanah adalah lebih rendah berbanding ketika cuaca panas," jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0420&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...