Monday, April 27, 2009

Israel diberi amaran


ALI (kiri) berbual dengan Ketua Kehakiman Ayatollah Mahmoud Hashemi Shahroudi pada satu mesyuarat dengan pendakwa raya kanan dari negara-negara Islam di Teheran semalam.


TEHERAN - Iran memberi amaran semalam kepada Israel berhubung serangan terhadap beberapa kemudahan nuklear milik negaranya.

Amaran tersebut dikeluarkan sehari selepas Presiden Mahmoud Ahmadinejad mencetuskan ketegangan antara dua musuh itu dengan menyatakan Israel adalah rejim paling kejam dan perkauman dalam satu persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva.

Israel mengenal pasti Iran sebagai ancaman terbesar dengan menyentuh isu program nuklear dan pembangunan peluru berpandu jarak jauh milik negara berkenaan.

Bagaimanapun, Speaker Parlimen Iran, Ali Larijani berkata, jika Israel diserang, Teheran akan memberi tindak balas sehingga menyebabkan musuhnya itu tidak dapat tidur lena.

Beliau membuat kenyataan itu dalam satu mesyuarat dengan beberapa pendakwa raya dari negara-negara Islam yang cuba untuk mencari kaedah untuk mengatur dan menangkap pemimpin Israel berhubung jenayah perang selepas Gaza diserang pada awal tahun ini.

Kenyataan Ali itu dibuat sehari selepas Presiden Iran berucap dalam satu persidangan mengenai perkauman anjuran PBB.

Namun, dalam persidangan itu, beberapa diplomat Eropah bertindak keluar dewan ketika Presiden Iran membuat ucapan.

Mahmoud menerima sambutan sebagai seorang wira ketika beliau pulang dari Geneva semalam di sebuah lapangan terbang di Teheran.

Kira-kira 200 orang menyambut ketibaan Presiden Iran itu dengan membawa kalungan bunga.

Beberapa anggota Parlimen menyatakan Mahmoud menunjukkan maruah dan kehebatan Iran dalam persidangan itu.

Israel yang dipimpin oleh Perdana Menteri baru, Benjamin Netanyahu tidak membuat sebarang komen berhubung kenyataan Ali itu.

Namun, pada minggu lalu, Presiden Israel, Shimon Peres menolak dakwaan bahawa negaranya merancang untuk melakukan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...