Saturday, June 6, 2009

2 tahun untuk Syanie kurus


"KEPADA mereka yang bertubuh besar seperti saya, tolonglah jaga kesihatan," kata Syanie.



KEADAAN bentuk tubuh Syanie sebelum (kiri) dan selepas dibedah (kanan) belum menunjukkan sebarang perubahan ketara.


SIAPA yang tidak kenal dengan Syanie atau nama sebenarnya Syaniza Hisham. Pelakon yang berusia 35 itu, memang terkenal dengan saiz badannya yang agak besar, dia sentiasa menyenangkan orang sekeliling dengan sifat ramah-tamahnya. Oleh kerana saiz badannya juga, Syanie kelihatan begitu comel setiap kali muncul di kaca televisyen. Namun baru-baru ini, Syanie terpaksa menjalani pembedahan yang dinamakan gastric bypass.

Ramai yang salah sangka termasuklah peminat Syanie yang beranggapan pelakon kesayangan ramai itu melakukan pembedahan pada 28 Mei lalu di Hospital pakar Damansara dengan tujuan untuk kurus dan cantik.

Namun, tujuan sebenar Syanie melakukan pembedahan tersebut bukanlah untuk kurus tetapi kerana tahap kesihatannya yang semakin membimbangkan.

Malah, jika tidak dibedah, Syanie memberitahu, jantungnya mungkin tidak akan bertahan lama.

baru-baru ini melawat Syanie di hospital bagi melihat sendiri perkembangannya selepas pembedahan yang dilakukan.

Bagaimana dengan kesihatan Syanie sekarang ini?

Syukur, semuanya berada dalam keadaan baik, walaupun rasa sakit selepas pembedahan itu masih ada.

Ramai yang bertanya, kenapa baru sekarang Syanie lakukan pembedahan ini?

Biar saya betulkan keadaan, saya lakukan pembedahan ini bukan untuk kurus dan cantik tetapi demi kesihatan. Malah, pembedahan ini telah disarankan oleh doktor. Badan saya telah bertambah besar, jantung bekerja dua kali ganda. Doktor cakap kalau tidak buat, nampaknya tidak lamalah saya di dunia ini. Maklumlah, orang badan besar senang dapat penyakit. Kalau tidak jaga daripada sekarang, nanti lain penyakit kronik pula yang datang.

Bila sedar yang Syanie perlu dibedah?

Sebelum ini saya ke hospital sebab batuk-batuk sahaja. Bila doktor periksa, tahap kesihatan saya sudah menurun. Doktor yang sarankan. Kalau tidak, saya pun tak mahu dibedah.

Berapa lama fikir untuk buat pembedahan?

Lama juga, dalam masa setahun. Semuanya sebab takut. Saya pun tahu juga, orang badan besar ini susah sikit nak dibedah. Maklumlah, lemak banyak (ketawa). Tetapi bila saya jumpa Chef Zam (selebriti masakan), dia cerita tentang pengalaman buat pembedahan yang sama, saya mula berfikir akan kebaikannya. Setelah lama berfikir saya ambil keputusan untuk bedah selepas berbincang dengan keluarga.

Apa yang membuatkan Syanie mengambil keputusan nekad untuk dibedah?

Saya buat keputusan setelah berfikir, sampai bila saya nak begini? Kalau boleh saya tidak mahu menyusahkan orang lain. Emak saya pun sudah tua, nanti kalau dia sakit, siapa yang nak jaga dia kalau saya pun sakit sama. Selama ini dia jaga saya, biarlah lepas ini saya pula yang jaga dia.

Apa yang berada difikiran Syanie semasa dalam bilik pembedahan?

Macam-macam yang saya fikir, nasib baik sepupu yang bekerja sebagai jururawat teman saya masa bedah. Kalau tidak mesti saya meraung juga. Memang takut, sebab doktor ada cakap macam-macam boleh terjadi semasa pembedahan berlangsung. Bagi orang yang badan macam saya ni, kalau kurang bius boleh terjaga masa bedah. Terlebih bius pula boleh jadi koma. Itu yang menakutkan.

Dugaan semasa mengambil keputusan ini?

Ramai juga yang membantah termasuk peminat. Kata mereka lepas ini saya sudah tidak comel. Ada juga yang marah-marah siap suruh saya makan sayur sahaja. Ada juga yang menghantar sajak berkenaan sikap saya yang kononnya sudah melupakan jasa perut kerana kononnya saya nak buang perut. Walhal, sebelum ini sudah macam-macam cara saya cuba, memang tidak boleh kurus. Saya pun bukannya buang perut, mereka tidak faham tujuan pembedahan ini dilakukan.

Orang ramai beranggapan, Syanie selepas pembedahan ini akan jadi langsing, memang boleh ke?

Mana ada? Sekarang ni tengoklah perut saya macam mana. Berat badan saya bertambah lagi 5 kilogram sekarang ini. Mereka semua sudah salah faham, saya bukan buang lemak tetapi buat pembedahan memotong sedikit usus supaya pendek dan mengalih ia ke perut yang lebih kecil. Jadi selepas ini selera makan saya tidaklah sebesar dulu. Sekarang makan sikit pun sudah kenyang.

Maknanya lepas dua tahun, peminat bakal menyaksikan Syanie yang kurus?

(Ketawa) Tidak terbayang macam mana kalau saya kurus. Saya ni tak pernah kurus pun. Berat saya akan turun, tetapi bukan sekarang kerana ia berlaku perlahan-lahan. Mungkin ambil masa dalam dua tahun untuk mendapatkan berat badan yang ideal. Bagi saya dapat pakai baju lama pun sudah memadai. Baju lama saya pun besar juga (ketawa). Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi, sebab selama ini pun, saya tidak pernah kurus.

Macam mana pula dengan selera makan?

Dulu saya akui memang hebat. Tanyalah kepada siapa sahaja yang rapat dengan saya, semua tempat makan yang sedap saya tahu. Adik-adik saya pun begitu juga, sebab kami memang kaki makan. Jadi, secara tidak langsung badan pun berkembang sampai sekarang. Bila sampai nak jalan pun sudah semput, itulah sebabnya saya kena buat pembedahan. Sekarang ini selera makan sudah kurang sikit berbanding dulu.

Bila akan kembali bekerja seperti biasa?

Buat masa ini emak tidak bagi saya keluar wad lagi kerana dia risau. Katanya lebih baik saya duduk di hospital sebab ada doktor dan jururawat. Rasanya-rasanya dalam tiga bulan juga untuk pulihkan kesihatan saya. Nampak sahaja macam sihat tetapi doktor kata pembedahan yang saya buat itu kira pembedahan major, cuma orang tak nampak sebab dalam perut. Kalau nak diikutkan, badan saya sudah ditebuk-tebuk.

Nasihat kepada orang 'besar' di luar sana?

Nasihat saya, selagi boleh, jagalah kesihatan dengan baik. Macam saya, menyesal juga sebab masa muda-muda dulu tidak terfikir untuk kuruskan badan, dah tidak boleh jalan barulah tersedar. Orang badan macam saya, cubalah dahulu alternatif untuk kurus. Biarlah pembedahan menjadi jalan akhir kerana selain sakit, risiko besar. Lagipun ia memerlukan wang yang banyak.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0606&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm

4 Isteri, tapi jagalah yang pertama..... Kenapa yer?

Posted on Thursday, June 04 @ 23:30:00 PDT by TokPenghulu

RencahOleh: mycronichead

"

Suatu ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Sebab, isteri keempat adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.

Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.

Begitu juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.

Sama halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedangang tidak begitu mencintainya. Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang ini tidak begitu memperdulikannya.

Suatu ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati, "Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri."

Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, "Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah sekarang, aku akan mati, mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?" Isteri keempatnya terdiam. "Tentu saja tidak!" jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi. Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya.

Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, "Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?". Isteri ketiganya menjawab, "Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati". Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.

Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya, "Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku? " Si isteri kedua menjawab perlahan, "Maafkan aku…aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu."Jawapan itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa.

Tiba-tiba terdengar satu suara, "Aku akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu, aku akan setia bersamamu." Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang lalu berguman, "Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan kubiarkan kau seperti ini isteriku."


Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini;

ISTERI KEEMPAT adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA.

ISTERI KETIGA adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.

ISTERI KEDUA pula adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai kuburla mereka akan menemani kita.

DAN SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita diakhirat kelak.

Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari!


http://www.tranungkite.net/v9/modules.php?name=News&file=article&sid=250

Perlantikan duta BondaMama.com beri sinar baru kepada Maiza

Jumaat Jun 5, 2009

Maiza disamping Pengasas dan Presiden Yayasan Pembangunan Nur Hikmah, Ameer Soekre Ishak (dua dari kiri), Ketua Pegawai Operasi, Norhisham Ishak (kiri) dan Pengarah Program BondaMama, Normarliaty Omar (kanan). -foto mStar oleh SITI AZIRA

KAJANG: Kisah hidup Maizawati Zainal, isteri yang membesarkan enam orang anak setelah ditinggalkan suami, penyanyi dan pendakwah Ustaz Akhil Hayy selama tiga bulan menarik perhatian Yayasan Pembangunan Nur Hikmah untuk melantiknya sebagai duta program BondaMama.com.

Program tersebut merupakan program kerja dari rumah yang diperkenalkan oleh Yayasan Pembangunan Nur Hikmah bagi membantu ibu-ibu tunggal dan wanita-wanita bekerjaya untuk bergantung antara satu sama lain dalam usaha membimbing, mendidik dan memberi kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak.

Maizawati atau Maiza menerima perlantikan itu dalam satu sidang media yang diadakan di pusat itu di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Pengasas dan Presiden Yayasan Pembangunan Nur Hikmah, Ameer Soekre Ishak, Ketua Pegawai Operasi, Norhisham Ishak dan Pengarah Program BondaMama, Normarliaty Omar.

Normarliaty berkata Bonda merupakan gelaran kepada surirumah sepenuh masa yang berhasrat untuk menjadi pengasuh bayi dan kanak-kanak di rumah mereka. Oleh itu, mereka akan diberikan latihan khas oleh Yayasan Pembangunan Nur Hikmah dengan kerjasama Universiti Malaya di bawah Unit Pendidikan Berterusan.

Sementara Mama pula adalah gelaran kepada ibu bapa yang memerlukan pengasuh untuk anak-anak mereka semasa mereka keluar bekerja.

Ditanya tentang tugas Maiza dalam program itu, dia akan ceritakan lebih kepada cerita positif tentang pengalamannya bergelar ibu kepada enam orang anak dalam tempoh suaminya bekerja di luar.

“Saya akan menceritakan tentang bagaimana saya besarkan anak-anak ketika suami keluar bekerja. Perkara seperti itu yang saya akan ceritakan.

Maiza dilantik sebagai duta program BondaMama.com oleh Yayasan Pembangunan Nur Hikmah.

“Apa yang saya ceritakan itu lebih kepada untuk memotivasikan diri tentang bagaimana saya menjadi seorang ibu yang perlu tabah dalam menghadapi apa-apa masalah seperti hidup tanpa suami,” kata Maiza dalam sidang media tersebut.

Ditanya tentang sasaran utamanya untuk menerima perlantikan itu, dia berkata lebih untuk memotivasikan diri.

“Saya boleh memotivasikan diri serta bertukar pengalaman dan fikiran dengan ibu-ibu di luar sana.

“Jadi, saya rasa bersyukur kerana dapat memberi ilmu untuk membantu ibu tunggal,” luahnya yang belum mengetahui tentang bayaran perlantikan itu dan berapa lama kontrak yang ditawarkan kepadanya.

Jelasnya, dia baru mengetahui dan membuat persetujuan untuk bergelar duta program itu pada semalam selepas diperkenalkan oleh rakannya, bekas anggota nasyid Raihan iaitu Nordin Jaafar.

Maiza juga menjawab tentang dakwaan yang menuduhnya tidak amanah dan membuka aib suami sejak dia memfailkan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Perak pada awal Mei lalu.

“Sebagai wanita, saya ada hak untuk bersuara kerana saya bukannya berniat untuk membuka aib suami.

“Sekurang-kurangnya, saya dapat menutup cerita sedia ada yang panas dalam pasaran.

“Saya bukannya ‘create the story’ tetapi menjawab atas dasar kenapa saya menuntut cerai. Saya harap benda ni dapat betulkan balik keadaan.

“Ikutkan, saya ‘tidak’ mahu kes cerai kami dihebahkan kepada orang ramai tetapi akhirnya semua ini berlaku juga.

“Itulah, lain kali kita tak patut cakap ‘tidak’ kerana apabila kita berkata tidak, Allah akan menjadikan perkara itu suatu kenyataan untuk menguji kita,” ujarnya yang telah meminta persetujuan untuk menerima perlantikan itu dengan Akhil melalui peguamnya.

Maiza yang turut ditemani oleh anak sulungnya, Deanna Sofea, 16, bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kes rumahtangganya dengan Akhil sehinggalah keputusan diberikan pada 15 Julai ini.

Bertanya lanjut mengenai pemilihan Maiza selaku duta program itu, Ameer Soekre berkata Maiza terpilih berdasarkan hal yang berlaku ke atasnya dan menepati ciri-ciri untuk bergelar duta.

“Sebelum ini kami pernah mencari ikon lain. Selepas apa yang berlaku sekarang, kita lihat Maiza layak untuk bergelar duta kerana dia seorang yang tabah dalam membesarkan enam orang anak tanpa suami serta seorang surirumah sepenuh masa.

"Kami bimbang juga seandainya masalah peribadi Maiza dan Ustaz Akhil akan turut dikaitkan dengan Yayasan. Diharap semoga imej Yayasan tidak akan tercalar kerana ramai ibu tunggal yang bergantung dengan Yayasan,” kata Ameer Soekre.

Menurut Ameer Soekre, Yayasan Pembangunan Nur Hikmah merupakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang telah ditubuhkan sejak 2006 dan kini telah menempatkan 30,000 ahli melibatkan ibu tunggal termasuk 300 anak yatim.

Tambahnya, Maiza akan memberikan ceramah berkaitan BondaMama.com pada 20 dan 21 Jun ini di Hotel De Palma, Ampang.

Peluang terbuka kepada ibu tunggal dan surirumah dengan bayaran RM50.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/6/5/mstar_hiburan/20090605155840&sec=mstar_hiburan

Harga minyak diramal cecah AS$85 setong

SINGAPURA 5 Jun - Harga minyak mentah dunia semakin menghampiri paras AS$70 setong (RM244.30) apabila permintaannya dirangsang oleh harapan pemulihan ekonomi global.

Kontrak utama di New York, minyak mentah berkualiti tinggi bagi penghantaran Julai, hari ini melonjak 53 sen ke paras AS$69.34 (RM241.99) setong.

Minyak mentah Brent North Sea untuk penghantaran Julai pula meningkat sehingga 40 sen ke paras AS$69.11 (RM241.19) setong.

Penganalisis Komoditi Kanan ANZ Bank di Melbourne, Mark Pervan berkata, laporan bank Amerika Syarikat (AS), Goldman Sachs bahawa minyak akan melonjak sehingga ke paras AS$85 (RM295.65) setong pada hujung tahun ini juga mendorong kenaikan harga komoditi itu.

"Ini mungkin memberi rangsangan tambahan terhadap pasaran," katanya sambil menambah, harga dijangka melebihi paras AS$70 (RM244.30) setong pada awal minggu depan.

Goldman Sachs membuat ramalan itu berdasarkan jangkaan bahawa ekonomi akan bertambah pulih.

Harga minyak jatuh mendadak daripada paras tertinggi melebihi AS$147 (RM513.03) setong tahun lalu setelah seluruh dunia dilanda krisis kewangan dan ekonomi pada penghujung beberapa bulan sehingga memperlahankan permintaan tenaga.

"Walaupun krisis kewangan semakin pulih, namun kami mungkin berdepan dengan kekurangan tenaga," kata Goldman Sachs.

Harga minyak yang semakin pulih baru-baru ini mungkin akan berlanjutan tetapi tahap pertama peningkatan harga minyak akan disusuli oleh pemulihan aktiviti ekonomi.

Faktor lain kenaikan harga minyak mentah yang diniagakan di AS pada hari Khamis adalah laporan menunjukkan kadar pengangguran di AS, ekonomi terbesar di dunia telah berkurangan.

Jabatan Tenaga Kerja AS berkata, angka pengangguran dalam minggu berakhir 30 Mei jatuh kepada 621,000 berbanding 625,000, minggu sebelumnya. - AFP

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0606&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm

Friday, June 5, 2009

‘Datuk setan’ perkosa cucu

Oleh Ravale Savarinathan
am@hmetro.com.my


TELUK INTAN: ‘Datuk segala setan’ gelaran paling tepat diberikan kepada seorang lelaki yang tergamak menjadikan cucu perempuannya berusia lima tahun sebagai tempat memuaskan nafsu buasnya selama hampir tiga minggu sejak awal bulan lalu.

Lebih memalukan, warga emas berusia 66 tahun berhati binatang itu juga sanggup mempelawa tiga rakan, termasuk seorang anak angkat yang tinggal bersamanya untuk ‘meratah’ tubuh kanak-kanak itu di rumahnya di Langkap, dekat sini.

Perbuatan kejam keempat-empat suspek selama hampir tiga minggu hanya berakhir apabila disedari seorang jiran yang menyedari perubahan fizikal dan mental mangsa.

Mulanya kanak-kanak itu enggan bercerita, tetapi selepas dipujuk jiran berkenaan, akhirnya mengadu mengalami kesakitan melampau di kemaluannya.

Terkejut dengan pengakuan itu, jiran terbabit memujuknya membenarkan dia melihat kemaluan mangsa untuk dirawat.

Selepas diperiksa, jiran berkenaan sekali lagi terkejut apabila melihat ada kesan luka teruk di kemaluan mangsa.

Mengesyaki ia disebabkan perbuatan terkutuk datuk mangsa, jiran berkenaan memaklumkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Selepas berbincang, JKKK membuat laporan di Balai Polis Langkap pada 28 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang, berkata bertindak atas laporan itu, seorang warga emas berusia 66 tahun yang juga datuk mangsa ditahan untuk siasatan, diikuti penahanan dua lagi lelaki masing-masing berusia 42 dan 29 tahun.

“Seorang lagi suspek berusia 40-an masih diburu polis selepas dipercayai menghilangkan diri apabila mengetahui penahanan tiga suspek terbabit.

“Siasatan juga mendapati suspek berusia 29 tahun itu anak angkat kepada datuk mangsa. Mangsa menjadi habuan keempat-empat suspek selama tiga minggu sebelum terbongkar 28 Mei lalu.

“Ketiga-tiga suspek kini direman untuk membantu siasatan. Dua daripada suspek yang ditahan juga dipercayai penagih dadah,” katanya.

Menurut Goh, mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk pemeriksaan dan laporan hospital menunjukkan terdapat kesan koyak di kemaluan mangsa dipercayai akibat dirogol.

Katanya, polis juga akan mendapatkan bantuan khas iaitu daripada Unit Perlindungan Kanak-kanak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mempunyai kepakaran dalam mengumpul keterangan daripada mangsa bawah umur.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan pesalah boleh dipenjara tidak kurang enam tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090605033513/Article/index_html

Tiga disah positif

Oleh Kamarulzaman Pid
amar@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesan tiga kes terbaru virus Influenza A (H1N1) dengan seorang pelajar lelaki warga tempatan dan dua pelancong Jerman disahkan positif.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pelajar lelaki berusia 23 tahun itu pulang bercuti ke negara ini dari Amerika Syarikat dengan menaiki pesawat Penerbangan Malaysia MH091 dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada jam 7.15 pagi, Isnin lalu.

“Pelajar itu tidak mengalami demam ketika tiba di KLIA, tetapi mula demam dan batuk, kelmarin dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk menerima rawatan.

“Dia disahkan menghidapi jangkitan H1N1 oleh Institut Penyelidikan Perubatan pada 4 pagi semalam dan ketika ini keadaan stabil serta diberi rawatan antiviral,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Liow berkata, dua kes lagi membabitkan dua pelancong Jerman berusia 30 dan 32 tahun itu tiba di Terminal Lapangan Terbang tambang murah (LCCT), Sepang dengan menaiki penerbangan AirAsia AK702 dari Singapura, pada jam 1.55 tengah hari, semalam.

“Kedua-dua mereka mula mengalami demam ketika berada di Kuala Lumpur dan pergi ke Hospital Gleneagles untuk mendapatkan rawatan dan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur jam 1.40 awal pagi semalam.

“Kedua-duanya disahkan menghidap jangkitan H1N1 jam 3 petang tadi (semalam) melalui ujian makmal yang dijalankan Institut Perubatan Malaysia dan kini berada dalam keadaan stabil.

“Mereka sebelum itu menaiki penerbangan Singapore Airlines SQ45 dari Jerman dan tiba di Singapura pada Isnin lalu,” katanya.

Beliau berkata, kementerian itu mengesan kontak kes berkenaan termasuk kakitangan pesawat dan penumpang AK702 bagi mendapatkan maklumat mereka bagi tujuan pemantauan.

“Kami memohon kerjasama mereka untuk menghubungi kementerian ini melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Mutakhir/20090605025050/Article

Thursday, June 4, 2009

Penduduk gempar rajah obor-obor


SEBAHAGIAN ladang barli di Kingstone Coombes, Oxfordshire bertukar menjadi rajah berbentuk obor-obor baru-baru ini. SEBAHAGIAN ladang barli di Kingstone Coombes, Oxfordshire bertukar menjadi rajah berbentuk obor-obor baru-baru ini.



OXFORDSHIRE - Penemuan rajah ladang berbentuk obor-obor gergasi menyebabkan penduduk tempatan gempar tetapi ia menggembirakan pemerhati fenomena ganjil di Britain, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang pakar rajah ladang, Karen Alexander berkata, lukisan dengan panjang lebih 180 meter di sebuah ladang barli itu dipercayai adalah yang pertama seumpamanya di dunia.

"Sebelum ini kami biasa melihat corak haiwan seperti rama-rama dan burung. Ia amat besar iaitu tiga kali ganda lebih besar berbanding kebanyakan rajah ladang lain," katanya.

"Orang ramai gempar melihat obor-obor gergasi itu. Kami tidak tahu bagaimana ia terbentuk," tambahnya.

Setakat ini, pihak yang curiga tentang fenomena tersebut menyatakan ia dilakukan oleh penduduk setempat bagi menarik kehadiran pelancong sekali gus mengaut keuntungan lumayan.

Menurut mereka, fenomena itu yang hanya berlaku pada musim menuai ketika para petani memiliki masa lapang sekali gus mengukuhkan lagi dakwaan bahawa ia adalah hasil kerja manusia.

Kalangan skeptik lain pula mendakwa rajah itu dihasilkan oleh kumpulan pelukis dengan bantuan grafik komputer dan penglibatan sukarelawan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0604&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Air France terima ugutan bom


Sekumpulan wartawan merakam pesawat peninjau Breguet Atlantique 2 memulakan operasi kelmarin.


PARIS - Satu panggilan misteri berhubung ancaman bom ke atas sebuah penerbangan milik Air France diterima pihak pengurusan sebuah lapangan terbang Argentina beberapa hari sebelum ia hilang ketika dalam penerbangan dari Brazil ke Paris Isnin lepas, lapor sebuah akhbar semalam.

Ancaman bom yang diterima pada 27 Mei lepas memaksa pihak berkuasa lapangan Buenos Aires, Argentina menangguhkan penerbangan pesawat jenis Airbus 330-200 itu untuk tujuan pemeriksaan.

Bagaimanapun, mereka membenarkan pesawat berkenaan berlepas selepas gagal menemui sebarang bahan letupan.

Empat hari kemudian, pesawat malang itu hilang dari skrin radar. Semua 216 penumpang dan 12 krew pesawat tersebut dikhuatiri terbunuh.

Kerajaan Perancis tidak menolak kemungkinan nahas udara menimpa penerbangan AF447 itu akibat perbuatan pengganas namun setakat ini masih belum ada kumpulan mengaku bertanggungjawab.

Sementara itu, kapal-kapal tentera laut Perancis dan Brazil berkejar ke lokasi kejadian untuk mengambil beberapa serpihan pesawat berkenaan di Lautan Atlantik semalam.


Gambar dari udara kepulauan Fernando de Noronha yang menjadi tumpuan operasi mencari bangkai pesawat AF447 Air France di Brazil semalam.


Di Rio de Janiero, Menteri Pertahanan Brazil, Nelson Jobim mengesahkan serpihan berkenaan berasal daripada pesawat tersebut.

Bagaimanapun, para penyiasat memberi amaran kemungkinan untuk mengetahui sepenuhnya punca nahas udara yang disifatkan terburuk dalam sejarah Perancis itu adalah tipis.

Beberapa minit sebelum terhempas, juruterbang pesawat malang itu memaklumkan gangguan angin kencang diikuti dengan isyarat automatik melaporkan pesawat mengalami litar pintas.

Beberapa serpihan termasuk kepingan logam dan kerusi penumpang berjaya ditemui sebuah pesawat tentera lebih 24 jam kemudian.

Ia berada kira-kira 1,200 kilometer ke timur laut bandar pesisir pantai Barzil, Recife manakala tentera laut Brazil sudah menggerakkan empat buah kapal dilengkapi peralatan mencari kotak hitamdan membawa naik ke lokasi berkenaan.

Perancis pula bersiap sedia menghantar sebuah kapal selam kawalan jauh yang mampu menyelam pada kedalaman 6,000 meter bagi mencari kotak hitam pesawat seterusnya mencari jawapan berhubung misteri kehilangannya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0604&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Obama jangan berkhutbah!


BARACK OBAMA menerima hadiah daripada Raja Abdullah di Riyadh, Arab Saudi semalam.


KAHERAH - Akhbar-akhbar dunia Arab semalam memberi amaran kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama supaya tidak berkhutbah kepada umat Islam ketika lawatan beliau ke Asia Barat.

Pada masa yang sama, pemimpin nombor dua kumpulan Al-Qaeda, Ayman Al-Zawahiri menyelar mesej damai Obama sebagai dusta dan menyifatkannya sebagai mesej berdarah.

Obama berada di Arab Saudi semalam sebelum menuju ke Kaherah untuk menyampaikan ucapan yang dinanti-nantikan kepada 1.5 bilion umat Islam selepas lapan tahun hubungan dingin dunia Islam dan AS di bawah pimpinan bekas Presiden George W. Bush.

"Jangan berat sebelah dan memihak Israel, jangan campur tangan dalam urusan dalaman dan jangan berkhutbah tentang demokrasi," kata seorang pengarang akhbar Mesir, Al-Rose al-Youssef.

"Dalam pasukan Obama, terdapat mereka yang menasihati beliau supaya menganggap orang Islam sebagai rakan," kata seorang lagi pengarang, Ossama Saraya dalam kolum akhbar Al-Ahram.

"Bagaimanapun, terdapat juga mereka yang meminta beliau supaya membuat tuntutan dan menekan dunia Islam dengan berselindung di sebalik memperjuangkan demokrasi dan hak asasi manusia," tambahnya.

Sementara itu, Ayman menggesa rakyat Mesir supaya memboikot Obama.

"Mesej berdarah Obama diterima umat Islam tetapi mereka tidak akan terpedaya dengan sebarang kempen propaganda atau lawatan bermuka-muka atau kata-kata ilmiah beliau," katanya menerusi rakaman audio di Internet.

Ayman menyifatkan Obama sebagai seorang penjenayah yang cuba mengabui mata umat Islam dengan cuba berbaik-baik dengan mereka.

Menurutnya, Obama cuba menggunakan taktik diplomasi bagi mencapai matlamat AS di Asia Barat selepas misi ketenteraan AS menemui kegagalan di Iraq, Somalia dan Afghanistan. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0604&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Jika dia didera, hukum pelakunya - Bapa


MOHAMAD IRFAN kini koma sejak tiga hari lalu di HKL akibat kecederaan parah di bahagian kepala.


KUALA LUMPUR - "Saya anggap kecederaan parah anak saya ketika di rumah pengasuh disebabkan kemalangan, tetapi jika siasatan polis mendapati ada kesan dera, orang yang bertanggungjawab perlu dihukum sewajarnya."

Itulah kata Iskandar Dzulkarnain Mohd. Zainal, 36, bapa kepada Mohamad Irfan, 3 bulan, yang kini cuma tinggal 0.1 peratus harapan untuk hidup.

Mohamad Irfan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kecederaan di kepala sejurus diambil dari rumah pengasuhnya di Ampang Isnin lalu.

Kata Iskandar, dia reda dengan nasib anaknya itu yang ditunggu selama 13 tahun sejak berkahwin dengan isterinya, Asmah Abu Samah, 37.

Ujar Iskandar, doktor telah memberitahu peluang untuk anaknya hidup kini cuma tinggal 0.1 peratus berikutan kecederaan parah yang dialami di bahagian kepala.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0604&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Campur ayam cucuk - Peniaga Alor Setar letak ayam halal, haram setempat


PENGARAH Jabatan Perkhidmatan Perbadanan dan Kesihatan MBAS, Tunku Abaidah Tunku Yususf (kanan) bersama seorang penguat kuasa memeriksa ayam yang dirampas di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati ketika membeli ayam yang sudah diproses di bandar raya ini.

Ini kerana terdapat peniaga yang sengaja mencampurkan ayam-ayam yang disembelih secara halal dengan ayam dicucuk.

Perbuatan itu terbongkar dalam satu operasi Pemantauan Tempat Pembersihan Pemprosesan Ayam yang dilakukan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) awal pagi semalam.

Operasi itu juga mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan, Jabatan Veterinar Alor Setar dan Jabatan Agama Islam Kedah.

Dalam operasi itu, sebanyak 12 kompaun telah dikeluarkan kepada pengusaha ayam proses di Pasar Besar Peremba di sini selain mereka diarahkan menghentikan perniagaan serta-merta.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Khazali Din berkata, pihaknya mendapati ada pengusaha pusat penyembelihan ayam di pasar berkenaan tidak mengikut syarat yang ditetapkan.

"Kami mengarahkan operasi dihentikan serta-merta selama 14 hari bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilakukan oleh pengusaha terbabit," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0604&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Masalah penghadaman di kalangan rakyat malaysia

APABILA membincangkan tentang isu kesihatan dan kesejahteraan, kesihatan saluran penghadaman biasanya kurang diutamakan berbanding topik yang membabitkan jantung dan tekanan darah. Tetapi usaha menjaga kesihatan sistem penghadaman anda tidak kurang penting berbanding usaha menjaga kesihatan semua bahagian lain badan. Masalah kesihatan saluran penghadaman bukan sahaja mengganggu perut dan usus, tetapi juga boleh menjejaskan kehidupan anda.

l Empat Masalah Utama

Penyakit yang berkaitan dengan saluran gastrousus (GU) dinamakan penyakit penghadaman. Di Malaysia, masalah penghadaman umum yang dialami oleh dewasa Malaysia, berasaskan tahap penularannya ialah:

1. Penyakit Refluks Gastroesofagus (Reflux Oesophagitis)

Penyakit ini berlaku apabila sfinkter esofagus bawah (injap antara esofagus dan perut) tidak ditutup dengan cukup rapat, membolehkan asid perut untuk mengalir kembali ke dalam esofagus.

Tanda ataupun simptom paling umum ialah pedih hulu hati. Gejala lain termasuk batuk, suaraserak, sendawa dan rasa masam di mulut.

Di Malaysia, seperti kebanyakan negara di Asia, penyakit refluks semakin menular kerana faktor gaya hidup, seperti gaya hidup tidak aktif yang tidak mementingkan kegiatan fizikal dan juga pilihan makanan, misalnya makanan berminyak dan berlemak.

Namun begitu, penyakit ini boleh dirawat menerusi ubat preskripsi atau dengan membuat perubahan gaya hidup, iaitu jangan makan secara berlebihan, mengurangkan berat badan berlebihan dan menambahkan kekerapan senaman.

2. Sindrom Usus Terganggu (Irritable Bowel Syndrome)

SUT ialah sejenis gangguan usus yang dialami kira-kira 430,000 rakyat Malaysia. Gangguan ini menyebabkan sakit perut, kekejangan, kembung, cirit-birit atau sembelit. Gejala utamanya ialah sakit perut dengan sembelit atau cirit-birit.

Terdapat pelbagai teori yang mengenal pasti punca SUT. Ia mungkin berlaku akibat kaitan antara faktor alam sekitar dan genetik. Gejalanya juga dianggap berkaitan dengan komunikasi kurang baik antara otak dan saluran gastrousus.

Pergerakan yang normal mungkin tidak berlaku di dalam kolon seseorang yang menghidap SUT.

Walaupun SUT ialah sejenis gangguan tidak berbahaya (benign), ia boleh menjejaskan kualiti kehidupan dan mengganggu anda selama bertahun-tahun.

Penyakit ini biasanya dialami oleh mereka yang berusia lewat 20-an, wanita dan individu yang mempunyai sejarah SUT dalam keluarga.

Rawatannya termasuk perubahan diet dan gaya hidup, seperti mengelakkan makanan yang mencetus gejala, kerap bersenam dan menguruskan stres.

3. Ulser peptic (peptic ulcer)

Ulser peptik ialah liang kecil yang menembusi lapisan perut atau duodenum.

Ulser mungkin atau mungkin tidak memperlihatkan sebarang gejala, tetapi apabila gejala didapati, ia termasuk sakit membara atau menusuk di bahagian tengah atau atas perut, kehilangan selera dan penurunan berat badan serta najis berwarna gelap atau hitam (akibat pendarahan). Gejalanya berbeza-beza antara individu.

Punca utama ulser peptik ialah penggunaan ubat antiradang bukan steroid (NSAID) seperti aspirin, ibuprofen dan ubat lain.

Punca umum kedua ialah jangkitan oleh sejenis bakteria yang dinamakan Helicobacter pylori (H. pylori)

Sebab lain termasuk merokok atau pengambilan alkohol berlebihan.

Stres juga boleh memburukkan lagi gejala.

4. Kanser kolon (colon cancer)

Kanser kolon biasanya bermula sebagai polip, iaitu ketumbuhan kecil pada permukaan kolon.

Kebanyakan polip adalah tidak berbahaya (benign), tetapi sekurang-kurangnya satu jenis polip boleh bertukar menjadi malignan (merebak) dan merupakan pelopor bagi kanser kolon.

Laporan kedua Pendaftaran Kanser Kebangsaan menarafkan kanser kolon sebagai kanser ketiga paling umum dialami oleh rakyat Malaysia. Penularan kanser kolon juga semakin ketara, terutamanya di kalangan golongan muda. Orang yang berusia lebih 50 tahun menghadapi risiko kanser kolon yang lebih tinggi.

Faktor risiko lain termasuk sejarah kanser kolon dalam keluarga, kegemukan, diet yang tinggi kandungan lemak dan rendah kandungan serat, merokok dan kehidupan tidak aktif.

l Mengawal Kesihatan Anda

Lazimnya, anda boleh mengawal kesihatan anda hanya dengan mengambil beberapa langkah pencegahan seperti mengubah gaya hidup dan tabiat pemakanan anda. Jangan tunggu sehingga anda mengalami masalah penghadaman. Mulakan serta-merta untuk memastikan sistem penghadaman anda akan kekal sihat pada hari ini dan sepanjang hayat.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_06.htm

Osteoporosis menyerang dalam senyap


Dr. Mohd. Nasir Mohd. Ashraf (kiri) dan John McKay menikmati susu Anlene.


MENJELANG tahun 2050 dianggarkan sebanyak 50 peratus kes keretakan tulang pinggul akan berlaku di seluruh Asia.

Ini bermakna Malaysia berdepan dilema dengan peningkatan jumlah warga emas yang dijangka mencecah hampir 4 juta orang dalam tempoh sedekad lagi dengan sebahagian besar mereka menghidap penyakit tulang.

Apatah lagi kajian oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dan University of Otago, New Zealand, mendapati wanita di Malaysia mengambil kurang 50 peratus daripada amaun diet kalsium yang diperlukan.

Sedangkan, ketumpatan tulang akan menyusut apabila usia mencecah 30-an. Oleh itu, pengambilan diet seimbang dan amalan gaya hidup yang sihat adalah penting untuk mencegah penyakit berbahaya terutama osteoporosis yang mampu melumpuhkan pesakit hingga ke akhir hayat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, osteoporosis menyerang 'mangsanya' secara senyap bukan sahaja di negara Barat malah merupakan masalah kesihatan yang besar di Asia.

Terkini, penghidap osteoporosis di Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun mencecah seramai 80 juta orang.

"Bagaimanapun, peningkatan paling ketara dijangka berlaku di negara-negara Asia termasuk Malaysia.

"Kes keretakan tulang akibat osteoporosis melibatkan sekurang-kurangnya 90 orang dalam 100,000 rakyat dan dijangka meningkat di negara jiran lain ," katanya pada perasmian kempen Listen To Your Bones di Sunway Pyramid, Bandar Sunway, baru-baru ini.

Atas sebab itu, menurut Tiong Lai, pihaknya bersama Akademi Perubatan Malaysia berjaya membangunkan Clinical Practice Guideline (CPG) atau Garis Panduan Amalan Klinikal pada tahun 2002 untuk membantu diagnosis, pencegahan dan rawatan osteoporosis.

Standard terbaik untuk mendiagnosis osteoporosis, jelasnya, adalah dengan mengikut tahap ketumpatan mineral tulang (BMD) menggunakan pengimbas penyerapan sinar X dwi-tenaga (DEXA).

"Ukuran BMD dilakukan untuk individu yang menghadapi risiko seperti wanita selepas menopaus, mengalami keretakan atau trauma tulang pinggul, tulang belakang atau pergelangan tangan juga BMI rendah," kata beliau.

Tambahnya, pada masa ini Kementerian Kesihatan mempunyai 14 unit mesin pengimbas DEXA yang ditempatkan di hospital utama seluruh negara.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Mohd. Nasir Mohd. Ashraf.

Kempen anjuran Fonterra Brands (M) Sdn. Bhd., dengan sokongan Kementerian Kesihatan itu bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat mengenai pentingnya menjaga kesihatan tulang bagi mencegah osteoporosis.

Kempen Listen To your Bones selama tiga hari yang dilancarkan 8 Mei lalu di Sunway Pyramid itu juga menawarkan pemeriksaan tulang percuma bagi mencapai sasaran sejuta ujian baru di seluruh negara.

Selain itu, orang ramai boleh mendapatkan khidmat perundingan kesihatan tulang, demonstrasi senaman menguatkan tulang dan sampel percuma produk Anlene seperti Anlene Concentrate, susu tepung Anlene dan yogurt.

Sementara itu, Pengurus Besar Fonterra Brands, John McKay menjelaskan, kebanyakan lelaki mahupun wanita beranggapan bahawa tulang mereka kuat kerana sering bersenam dan aktif melakukan aktiviti luar.

Malah persepsi umum terhadap osteoporosis adalah ia merupakan penyakit orang tua lebih-lebih lagi epidemik itu tidak menunjukkan sebarang simptom awal, sebaliknya hanya dapat dikesan apabila penghidapnya mengalami keretakan tulang.

"Anlene memperkenalkan kandungan nano-kalsium (kalsium mikroskopik) yang 100 kali ganda lebih kecil berbanding kalsium biasa untuk membantu penyerapan secara efektif ke dalam tulang.

"Dua gelas Anlene setiap hari dapat membekalkan nutrien penting untuk membantu membina tulang lebih kuat dari dalam agar anda dapat meneruskan gaya hidup aktif," ujar beliau.

Kaedah pencegahan osteoporosis melibatkan beberapa aspek termasuk pengambilan nutrien seperti kalsium dan vitamin D, senaman, gaya hidup dan pemeriksaan awal juga mengekalkan berat badan ideal.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

16 notifikasi kes H1N1 diterima sehingga 12 malam tadi

03/06/2009 3:20pm

PUTRAJAYA 3 Jun — Daripada 16 notifikasi kes mempunyai tanda jangkitan influenza A (H1N1) yang diterima di seluruh negara sehingga tengah malam tadi, 15 disahkan negatif manakla satu lagi masih menunggu keputusan makmal, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Kesemua kes dimasukkan ke wad isolasi di enam hospital rujukan bagi tujuan rawatan dan penyiasatan, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengenai kes kuarantin di rumah, beliau berkata empat kontak masih dikuarantin dan semuanya dalam keadaan sihat tanpa gejala jangkitan influenza A (H1N1).

Sehingga kini jumlah terkumpul kes yang mengalami simptom jangkitan influenza ialah 387 dan daripada jumlah itu, hanya dua kes yang disahkan positif seperti yang dilaporkan pada 15 dan 16 Mei lepas.

Dr Mohd Ismail berkata aktiviti saringan di 53 pintu masuk antarabangsa negara masih diteruskan. - Bernama

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0603&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_08.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...