Monday, June 15, 2009

Di sebalik tragedi solat Isyak

Tragedi Masjid Al-Furqan di Narathiwat, Thailand baru-baru ini mengimbas kekejaman peristiwa Masjid Kerisek dan insiden Tak Bai pada 2004.




BAU hanyir darah menyambut orang ramai yang berpusu-pusu untuk melihat Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan, Narathiwat, Thailand.

Lokasi itu, pada malam 8 Jun lalu, telah menyaksikan kejadian serangan sekumpulan enam pengganas berbaju hitam dan bertopeng hingga mengorbankan 11 nyawa jemaah yang sedang khusyuk mengerjakan solat Isyak.

Untuk sampai ke kampung tersebut, penulis perlu menempuh hampir 10 sekatan jalan oleh anggota polis atau pasukan tentera. Wajah mereka nampak bengis dan melihat setiap kenderaan yang lalu dengan penuh curiga.

Meskipun kedudukannya hanya sejauh 50 kilometer dari Sungai Golok yang mengambil masa sejam perjalanan dengan kereta, sesi soal jawab dan pemeriksaan ketat oleh pihak keselamatan Thailand begitu merimaskan.

Mujur, penulis dan jurugambar dapat melepasi pemeriksaan itu dan dibenarkan untuk memasuki lokasi kejadian. Kehadiran kami mengundang rasa ajaib kepada penduduk tempatan.

“Macam mana boleh lepas sekatan? Kalau ikutkan kawalan askar, orang luar tak dibenarkan masuk ke sini,” kata seorang penduduk kampung itu.

Mengetahui kami wartawan dari Malaysia, penduduk kampung menyambut baik kehadiran kami.

“Nakau (wartawan) dari mana? Harap dapat tunjukkan kebenaran dan tolonglah bantu mengurangkan kesengsaraan kami,” luah seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail.

MASJID TENGAH PATTANI pernah menyaksikan penganjuran demonstrasi aman yang membantah cara layanan Kerajaan Thailand dan anggota tentera terhadap oleh umat Islam Selatan Thai.


Menurut beliau, orang tempatan sudah hilang kepercayaan kepada media Thailand yang berat sebelah dalam melaporkan berita di wilayah yang sebahagian besar penduduknya berketurunan Melayu itu.

Bagi seorang anak jati kampung itu, Wan Kamaruzaman Wan Latiff, perasaan kecewa dan kecil hati kerap menimpa mereka kerana masyarakat Islam seringkali dipersalahkan setiap kali ada keganasan yang berlaku tanpa ada penghakiman dan pembuktian yang adil.

“Tuhan tidak kurniakan ‘syahid’ kepada jemaah yang mati tempoh hari jika orang Islam benar-benar menjadi dalangnya.

“Sesuatu yang bodoh bagi kami untuk mengorbankan saudara seagama untuk matlamat yang masih kabur,” luahnya yang merupakan adik kepada Wan Abdullah Wan Latiff, 62, imam masjid tersebut yang turut terbunuh.

Kemarahan yang memuncak

Kisah duka rumah Allah dicemari tumpahan darah di Selatan Thailand bagaikan kengerian yang berulang. Dalam pada birokrasi Bangkok sering mengetepikan siasatan, hukuman dan keputusan mahkamah mengenai keterlibatan anggota keselamatan mereka, ada sesuatu yang membakar hati orang Islam di wilayah itu.

Apa yang dimaksudkan adalah api kemarahan dan dendam pemberontakan. Sedangkan semua sifat itu sepatutnya tidak meracuni fikiran orang Islam yang diajar mencintai keamanan dan kesejahteraan.


AGENDA 'pengsiaman' Melayu giat dijalankan, kononnya atas dasar nasionalisme.


“Lebih malang dan licik, kemarahan itu dimanipulasi pula kumpulan rahsia yang bertindak dalam samaran bagi melaga-laga hubungan antara Melayu Islam dan Siam Buddha,” kata Zolkipli Ghofur, 42.

Pembekal makanan kering dari Yala yang sering berulang-alik ke Kuala Lumpur itu mendakwa kerajaan Thailand sering berprasangka terhadap orang Melayu. Pemerintah mengesyaki terdapat gerakan bawah tanah yang memusuhi kerajaan, tali barut kerajaan, tentera dan orang Siam Buddha.

“Tetapi akhirnya, orang Melayu juga yang bercerai nyawa. Para ulama dan anak-anak muda ditembak tanpa usul periksa hanya kerana dipercayai merancang keganasan.


SELATAN Thai sebenarnya kaya dengan hasil ekonomi namun dibelenggu kerenah birokrasi.


Zolkipli turut menyebut kematian secara tidak diduga ini boleh berlaku sama ada dengan serangan bom, serang hendap bersenjata, ataupun kejadian pandu tembak di jalanan seperti yang ditakuti penduduk Pattani yang menggunakan jalan raya pada waktu malam.

“Kalau bukan terang-terangan orang Melayu mati di hujung senjata anggota keselamatan kerajaan, ada kes-kes tertentu yang dicanangkan sebagai serangan balas orang Siam Buddha.

“Sampai bilakah helah mencetus kebencian ini hendak dimainkan?” ujar Zolkipli yang tidak mahu gambarnya dirakamkan Jurnal.

Kain kapan dan telur ayam

Dalam sebuah kajian yang dibuat oleh Dr. Sisomphop Jitphiromsi dari Universiti Songkhla Nakharin, Pattani, dalam kebanyakan kes pembunuhan orang Melayu Thai, isyarat maut akan dihantar sebelum pembunuhan dilakukan.


SERANGAN kejam di Masjid al-Furqan mengorbankan 11 orang jemaaah.


Pasir, beras, kain kapan dan telur ayam diletakkan di depan rumah orang yang akan dibunuh. Beberapa hari selepas itu, orang yang diberi isyarat maut itu akan ditembak. Kebanyakan mereka yang menjadi mangsa pembunuhan seperti itu adalah orang bekerja untuk kerajaan (tali barut).

“Jika benar pun ia dilakukan oleh orang Melayu Islam, kami sangat kesal jika ada saudara-mara kami yang berjuang secara sebegitu. Mana mungkin kami boleh kejam terhadap bangsa sendiri, apatah lagi mencemar kemuliaan masjid atas nama mencetus isyarat perjuangan,” kata Zolkipli.

Walau apa pun latar belakang dan niat puak pemisah itu, orang Melayu yang akhirnya dilabel sebagai berbahaya, militan atau ektremis.


SEORANG jemaah tidak dapat menahan hiba tatkala berdoa selepas solat di Masjid Al-Furqan, Kampung Air Tempayan selepas kejadian serangan.


Siri serangan yang mengorbankan nyawa orang Melayu Islam dan Siam Buddha berlarutan sejak hampir sekurun lalu. Sama ada secara rawak atau terancang, prasangka buruk terhadap orang Melayu dirasakan paling buruk ketika Thailand di bawah pentadbiran Thaksin Shinawatra.

Tragedi di Masjid Al-Furqan mengimbas kekejaman kes Masjid Kerisek, Pattani pada tahun 2004 yang mengorbankan seramai 32 orang. Tidak lupa juga, konflik di Tak Bai yang mencalar kesucian Ramadan pada tahun yang sama.

Rentetan tiga tahun selepas itu, penciptaan sengketa Islam-Buddha sudah melonjakkan angka korban di Selatan Thai kepada kira-kira 3,000 orang. Namun, siapa yang mampu menoktahkan semua itu?

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0614&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Mati 1/2 jam



MICHAEL tersenarai dalam 38 kes sindrom Lazarus di seluruh dunia.


SEBUAH mahkamah majistret di sini diberitahu bagaimana seorang lelaki yang disahkan mati kemudian didapati hidup semula selepas setengah jam, sebelum betul-betul meninggal dunia selang dua hari berikutnya.

Dikenali sebagai sindrom Lazarus, kejadian itu merupakan antara 38 kes direkodkan di serata dunia setakat ini. Pesakit Michael Wilkinson, 23, bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir pada 3 Februari lalu.

Mendiang didiagnosis menghidapi serangan jantung setelah ditemui ibunya dalam keadaan terbaring di katil. Doktor yang membuat rawatan awal mengisytiharkan dia sudah mati sebelum nadinya kembali berdenyut 30 minit kemudian.

Penolong jabatan koroner Derek Baker ketika menyoal ibu pesakit, Susan Horrigan, 44, memaklumkan, sebaik anaknya hidup, mendiang dipindahkan ke Royal Preston Hospital di Lancashire.

Pesakit itu ditempatkan di unit rawatan rapi dan menjalani pembedahan kecemasan. Namun keluarga tersebut memberitahu, mereka ketika itu sudah bersedia dengan kemungkinan mangsa meninggal dunia pada akhirnya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0614&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Susu badan lawan kanser bapa



GEORGIA (duduk) sanggup melakukan apa sahaja demi bapanya, Tim Browne.


SEORANG wanita dari Bristol sanggup mendermakan susu badannya kepada bapanya semata-mata untuk membantu orang tuanya itu melawan barah. Georgia Browne, 27, dilaporkan berbuat demikian lebih sebulan lalu.

Georgia memerah susu lebih selepas menyusukan bayi lelakinya sebelum dihantar ke rumah ibu bapanya di Wiltshire. Bapanya, Tim Browne, 67, kemudian mencampurkan susu itu dengan susu biasa untuk dijadikan sarapan pagi harian.

Hasilnya, imbasan terkini menunjukkan daya ketahanan lelaki itu semakin baik dan kanser yang dihidapinya sedang pulih. Georgia memberitahu, beliau mendapat idea unik itu setelah menonton sebuah dokumentari TV mengenai kebaikan susu badan.

"Keluarga saya berfikiran terbuka dan tidak berasa pelik dengan idea ini. Ibu dan suami saya menyokong biarpun pada awalnya kelihatan kelakar. Ayah juga sempat bergurau dengan beritahu rakan-rakannya," kata Georgia.

Dokumentari yang ditontonnya itu memaparkan pesakit kanser prostat dari Amerika Syarikat yang sembuh hasil meminum susu badan.

Tertarik dengan idea tersebut, dia kemudian berbincang dengan bapanya. Tim didiagnosis menghidap barah pada Julai 2007 dan mengalami ketumbuhan berulang selepas pembedahan.

Idea susu badan itu juga mendapat sokongan doktor Tim biarpun penyelidikan sebelum cuma membuktikan susu itu sesuai melawan kanser dihidapi kanak-kanak. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0614&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Genius berumur 2 tahun

DUNIA

Genius berumur 2 tahun


POTENSI IQ Karina dikatakan setanding saintis Stephen Hawking.


KARINA Oakley, bakal berumur tiga tahun tidak lama lagi. Namun dia agak istimewa berbanding rakan seusia kerana memiliki kebijaksanaan luar biasa dengan tahap IQ 160.

Malah, tahap IQ kanak-kanak ini setanding dengan saintis cacat saraf terkenal, Stephen Hawking dan jutawan firma gergasi komputer dunia Microsoft, Bill Gates.

Dia kini ahli forum Mensa - sebuah organisasi intelektual dari seluruh dunia. Tahap kepandaian Karina seperti budak berusia lima tahun dengan daya imaginasi dan kepetahan bercakap.

Menyedari kebolehan itu, ibu Karina, Charlotte Fraser mengambil keputusan membawanya berjumpa pakar psikologi pendidikan, Prof. Joan Freeman untuk diuji tahap IQ selepas menonton rancangan televisyen mengenai budak genius.

"Karina nyata seorang yang bijak dan mampu bercakap dengan baik selain cepat memahami apa yang diajarkan," jelas Freeman. Katrina juga mengambil ujian IQ selama 45 minit.

Dia diarah menghabiskan cabaran dalam bentuk ingatan dan kebolehan lisan mengendalikan pensil, nombor serta bentuk. Karina nyata ada kebolehan dengan perkataan imaginasi yang tinggi selain penyayang, bertanggungjawab serta peramah

Ibu Karina bekerja dalam bahagian pemasaran sebuah syarikat swasta manakala bapanya, Nick merupakan seorang pakar komputer. Mereka tinggal di Guildford, Surrey. Britain.

Saturday, June 13, 2009

Lagi serangan berani mati di Pakistan

LAHORE - Skuad penyerang berani mati menyerang sebuah masjid dan sebuah madrasah selang beberapa minit di dua buah bandar di Paksitan menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang terbunuh termasuk seorang ulama terkenal.

Sehingga kini masih belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukan dua kejadian tersebut.

Sejak akhir-akhir ini, Pakistan dikejutkan dengan beberapa siri kejadian pengeboman berani mati dan lain-lain serangan yang dipercayai satu tindakan balas dendam terhadap operasi ketenteraan terhadap kedudukan kumpulan Taliban di Lembah Swat.

Di timur Pakistan, madrasah Jamia Naeemia di Lahore dikejutkan dengan satu letupan bom sejurus selesai solat Jumaat sekali gus menyebabkan dua orang terbunuh manakala enam lagi cedera, kata seorang pegawai polis, Sohail Sukhera.

Pengasas madrasah yang menjadi sasaran serangan, Sarfraz Naeemi meninggal dunia ketika dihantar ke sebuah hospital berdekatan, kata anak Sarfraz, Waqar.

Saluran televisyen Geo TV menunjukkan mayat Sarfraz terbaring di atas pengusung dengan jambang dan rambutnya dipenuhi habuk manakala darah mengalir dari hidung. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Obama guna pengalaman hidup baiki imej AS

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Barack Obama baru-baru ini mendapat banyak pujian kerana ucapannya mengenai dunia Islam.

Ucapan yang dibuat oleh Obama di Kaherah, Mesir pada minggu lalu itu turut mendapat reaksi positif di kalangan pemimpin dan golongan intelektual.

Ketika berucap di Kaherah, Obama cuba mengikis tanggapan buruk terhadap Islam yang kerap dikaitkan dengan keganasan.

Ketika berucap di hadapan 4,000 orang, Obama menyatakan Amerika dan Islam berkongsi prinsip keadilan dan kemajuan, toleransi serta maruah manusia.

Obama berkata: "Saya bersimpati tetapi sehingga negara-negara Islam boleh bertoleransi berhubung kewujudan kitab Injil atau pemakaian lambang salib oleh seorang paderi tentera dalam sempadan mereka, kita tidak berkongsi prinsip yang sama itu."

Ada pihak berpendapat George W. Bush yang melancarkan perang ke atas Iraq tidak akan berucap dengan nada serupa seperti Obama.

Sebelum ini ketika AS diperintah oleh Bush selama dua penggal, penduduk Islam di seluruh dunia berasa terhina apabila agama mereka dikaitkan dengan keganasan.

Cara penganut Islam diperiksa di lapangan terbang di Barat dan AS turut mengaibkan mereka selain dipandang serong selepas serangan pengganas 11 September 2001 di New York, AS.

Namun, apakah yang menyebabkan Obama boleh membuat ucapan sedemikian rupa?

Latar belakang hidup Obama dan Bush sebenarnya jauh berbeza.

Obama pernah hidup di Indonesia iaitu sebuah negara yang mempunyai ramai penduduk Islam di dunia.

Presiden AS itu turut mempunyai saudara-maranya yang beragama Islam di Afrika.

Justeru Obama yang dilayan baik ketika beliau hidup di Indonesia yang menjadi lokasi serangan pengganas pada 2002 di Bali lebih banyak mengetahui mengenai Islam berbanding Bush.

Buat masa ini, Presiden AS itu menjadi kebanggaan sebahagian penganut Islam kerana usahanya yang mahu membaiki hubungan AS dengan dunia Islam.

Pastinya, pengalaman hidup Obama di Indonesia menyebabkan beliau berani menongkah arus Bush yang popular kerana dasar luarnya mencetuskan banyak kontroversi terutamanya melibatkan dunia Islam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

40 dara kawal Gaddafi di Rom


GAMBAR menunjukkan Gaddafi (tengah) dikawal oleh seorang pengawal peribadi wanitanya ketika beliau disambut oleh Berlusconi (kiri) di Rom, Itali pada Rabu lalu.


ROM - Kunjungan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi ke Itali mendapat liputan meluas media apabila beliau membawa ratusan pengiring termasuk 40 pengawal peribadi wanita yang masih dara, lapor sebuah akhbar semalam.

Pemimpin berkenaan mencipta kejutan apabila tiba di sini pada Isnin lepas dengan diiringi 300 kakitangan yang menaiki tiga pesawat Airbus dan disambut penuh istiadat oleh Presiden Silvio Berlusconi.

Seperti biasa, Gaddafi membawa bersama sebuah khemah besar yang didirikan di sebuah taman di sini untuk dijadikan tempat tinggalnya sepanjang lawatan itu.

Setiap anggota pasukan pengawal peribadi wanita Gaddafi memakai pakaian seragam dan membawa raifal separa automatik tetapi pada masa sama mereka tidak melupakan ciri-ciri kewanitaan dengan memakai mekap, gincu dan pewarna kuku.

Pemimpin berusia 67 tahun itu merupakan antara diktator paling taksub di dunia dan beliau tidak suka kalah kepada sesiapa kecuali kepada pasukan 40 pengawal wanita itu yang rela berkorban untuknya pada bila-bila masa.

Semua pengawal wanita Gaddafi perlu mengangkat sumpah taat setia dan mereka tidak sesekali akan meninggalkan beliau bersendirian dan wanita berstatus dara sahaja akan diterima menyertai pasukan elit itu.

Mereka menerima latihan di sebuah kolej khas dan perlu lulus ujian fizikal ketat selain mahir membunuh, menggunakan senjata api dan pakar dalam seni mempertahankan diri.

- Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Berjuta rakyat Iran mengundi


BEBERAPA wanita berbaris menunggu giliran mengundi di sebuah pusat pengundian di Teheran semalam.


TEHERAN - Berjuta-juta penduduk Iran memenuhi pusat-pusat membuang undi semalam dengan calon reformasi, Mir Hossein Mousavi (gambar) dijangka memperoleh kelebihan undi berbanding Presiden Mahmoud Ahmadinejad.

Orang ramai keluar mengundi sejak awal pagi malah di beberapa pusat pengundian, ramai yang terpaksa beratur panjang sebelum dapat membuang undi.

"Saya berhadap Mahmoud dapat dikalahkan," kata seorang pengundi, Mahnaz Mottaghi, 23, selepas membuang undi di sebuah masjid di tengah Teheran.

Di luar pusat pengundian sama, seorang peniaga, Abbas Rezai, 29, berkata, dia, isteri dan adik iparnya mengundi Mahmoud.

"Kami memilih Mahmoud untuk menjadi presiden untuk empat tahun lagi," katanya.


MAHMOUD dikelilingi penyokongnya di sebuah pusat pengundian di Teheran semalam.


Ceramah, slogan, kempen Internet dan debat televisyen menyemarakan lagi pilihan raya presiden kali ini.

Berikutan itu, Kementerian Dalam Negeri yang menyelia proses pengundian mengharamkan perhimpunan sehingga keputusan rasmi diumumkan hari ini.

Keputusan pemilihan kali ini dijangka tidak mengubah dasar utama Iran atau keputusan peringkat tertinggi seperti kemungkinan perbincangan dengan Washington berhubung beberapa isu.

Dasar-dasar itu dikawal langsung oleh ulama yang diketuai pemimpin agung, Ayatollah Ali Khamenei.

Mir Houssein berharap untuk memperkenalkan sistem media liberal dan cuba berdialog dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama selepas hampir 30 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara terhenti.

Beliau lebih berminat terhadap perbincangan dengan kuasa utama dunia dalam menyelesaikan isu reaktor tenaga nuklear yang dianggap Barat sebagai usaha menghasilkan bom nuklear.




Selain di Iran, warganya di seluruh dunia turut membuang undi di bangunan kedutaan.

Di Dubai, jalan-jalan berhampiran bangunan konsulat dipenuhi warga Iran yang cenderung memberi sokongan terhadap Mir Hossein.

"Dia ialah Obama kami," kata seorang ahli perniagaan, Maliki Zadehamid, 39.

Jumlah pengundi kali ini boleh mengatasi rekod 80 peratus keluar mengundi 12 tahun lalu yang menyaksikan Presiden Mohammad Khatami menang.

Mohammad menjangkakan Mir Hossein yang pernah menjadi perdana menteri pada 1980-an akan dipilih menggantikan Mahmoud.

"Semua penunjuk menunjukkan Mir Hossein akan menang," kata Mohammad.

Mir Hossein mengecam Mahmoud kerana salah urus ekonomi yang menyebabkan inflasi naik sehingga dua digit serta menyebabkan kadar pengangguran yang tinggi walaupun negara itu dilimpahi rizab gas dan minyak mentah. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

MAS rugi RM138 juta suku pertama 2009


KERUGIAN MAS disebabkan kelembapan ekonomi global. – Gambar hiasan.


PETALING JAYA – Malaysian Airline System Bhd., (MAS), mencatat kerugian pada suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2009 berdasarkan tiga faktor iaitu lebihan kapasiti, turun naik bahan bakar yang luar biasa serta kelembapan global yang menjejaskan permintaan penumpang dan kargo.

“MAS mencatatkan kerugian operasi suku pertama 2009 sebanyak RM138 juta, kerugian operasi pertama bagi syarikat penerbangan itu sejak suku ketiga 2006, kata Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Datuk Seri Idris Jala, semasa mengumumkan keputusan kewangan suku pertama syarikat itu di sini semalam.

MAS juga mencatat kerugian dalam lindung nilai bahan bakar berjumlah RM557 juta.

Pendapatan turun kepada RM2.7 bilion ketika ia berdepan dengan kemelesetan global paling buruk dalam tempoh 70 tahun dengan faktor tempat duduk jatuh 13.1 mata peratusan, katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_14.htm

Gagal samun ATM ceroboh restoran


DUA anggota polis memeriksa mesin ATM yang diumpil
di Pertama Kompleks di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Kejahilan dua pengawal keselamatan warga Nepal mengenai kecanggihan sistem keselamatan mesin pengeluar wang automatik (ATM) menghampakan niat mereka melarikan wang berjumlah RM320,000 dari sebuah mesin ATM di Pertama Kompleks Jalan Tunku Abdul Rahman di sini semalam.

Kedua-dua suspek yang bertugas syif malam bermula pada pukul 8 malam di sebuah premis perniagaan di situ dikatakan telah cuba mengumpil mesin tersebut menggunakan empat peralatan iaitu tukul, batang besi, pengumpil dan ragum.

Bagaimanapun, usaha mereka gagal kerana mesin ATM milik sebuah bank itu tidak mudah dipecah.

Enggan berputih mata, kedua-dua suspek itu kemudian menceroboh pula sebuah restoran yang terletak bersebelahan dengan mesin ATM tersebut.

Di restoran itu, kedua-dua suspek telah memecahkan peti simpanan dan melarikan wang berjumlah RM1,500.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohammad Sabtu Osman berkata, cubaan memecah mesin ATM itu disedari oleh dua pengawal keselamatan lain juga warga Nepal yang mahu memulakan syif pagi pada pukul 8 pagi.

"Semasa memulakan kerja mereka nampak ada percubaan memecahkan mesin ATM tersebut," kata beliau.

Menurut beliau, polis yang menyiasat kejadian itu mengesahkan terdapat cubaan menyamun wang dalam mesin ATM itu tetapi gagal.

"Kira-kira dua jam meninggalkan premis itu, kami menerima panggilan dari restoran yang memaklumkan peti besi restoran itu telah diumpil," kata beliau.

Kata beliau, polis yang menyiasat kedua-dua kejadian itu percaya suspek sama terlibat dalam kedua-dua kejadian tersebut.

Muhammad Sabtu memberitahu, pihaknya turut menjumpai beberapa peralatan memecah kedai yang ditinggalkan di restoran tersebut.

"Kita sedang mencari dua pengawal keselamatan itu yang telah menghilangkan diri," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Tiga ahli Geng Mamak tumpas


KERATAN Kosmo! 3 September 2008.


KUALA LUMPUR – Tiga ahli Geng Mamak termasuk dua beradik yang sering terbabit dengan jenayah besar termasuk aktif menyamun kereta mewah ditahan semalam.

Tangkapan ketiga-tiga suspek itu adalah hasil siasatan dan risikan terhadap dua kejadian kereta mewah hilang beberapa hari lalu.

Sebuah membabitkan kereta BMW yang hilang di Damansara Selasa lalu manakala sebuah lagi membabitkan kereta Toyota Camry yang hilang di Batu 9, Kajang baru-baru ini.

Satu sumber berkata, tangkapan pertama dilakukan pada pukul 2 petang di sebuah restoran 24 jam di Kota Kemuning, Shah Alam.

Suspek yang ditangkap di restoran itu popular dengan panggilan ‘Joe Mamak’.



http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Rebut 50,000 jawatan kosong sektor awam

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) giat berusaha untuk memenuhi 50,000 kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah berkata, kekosongan itu termasuk 5,000 jawatan doktor, 5,000 jururawat, 300 jurutera, 800 Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan yang lain bagi pelbagai kategori pegawai biasa dan kakitangan sokongan.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

H1N1 – Langkah drastik jika ada kes tempatan

PUTRAJAYA – Tindakan menutup sekolah dan membatalkan perhimpunan awam akan dilaksanakan jika wujud kes jangkitan influenza A (H1N1) yang membabitkan penularan tempatan.

Setakat ini, kesemua 11 mangsa wabak itu mendapat jangkitan semasa berada di luar negara.

Tujuh daripada mereka telah dibenarkan keluar hospital manakala empat lagi masih menerima rawatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, pihaknya akan meningkatkan aktiviti pemantauan, pencegahan dan kawalan seiring dengan langkah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meningkatkan paras amaran wabak itu ke tahap tertinggi kelmarin.

Menurutnya, kementerian telah membuat persiapan termasuk latihan dan menyimpan ubat dan alat perlindungan diri.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Pengguna diminta jimat air, ingat krisis 1998

KUALA LUMPUR – Ancaman musim kemarau ekoran fenomena El-Nino mulai Ogos ini sudah meletakkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam keadaan berwaspada dengan peringatan bahawa trend kenaikan dalam kadar penggunaan air di Lembah Klang perlu dihentikan.

Kajian Syabas pada Januari lalu mendapati kadar penggunaan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada Januari ialah 80 juta meter padu (m3) sebelum meningkat kepada 82.1 juta m3 pada bulan lepas.

Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata, peningkatan penggunaan air berpunca pertambahan aktiviti seperti mandi, membasuh, menyiram pokok dan sebagainya akibat cuaca panas.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Friday, June 12, 2009

4 maut di selatan Thai

YALA – Seramai empat orang termasuk seorang wanita hamil empat bulan mati dalam satu kejadian serangan yang berlaku di selatan Thailand, kata polis semalam.

Seorang lelaki beragama Buddha berumur 35 tahun dan isterinya yang berumur 30 tahun terbunuh ketika mereka menjaja barangan keperluan harian dengan menggunakan sebuah lori pikap di Narathiwat.

Beberapa ketika kemudian, seorang lelaki Islam berumur 44 tahun mati dalam satu kejadian pandu dan tembak di wilayah yang sama.

Dalam kejadian lewat kelmarin, seorang lelaki beragama Buddha berumur 43 tahun turut mati dalam kejadian pandu dan tembak di Pattani.

Wilayah selatan Thai kembali bergolak minggu ini setelah 11 orang penduduk Islam ditembak mati ketika mereka sedang menunaikan solat Isyak di Masjid Al-Furqan, Narathiwat Isnin lalu.

Lebih 3,700 penduduk terbunuh di wilayah selatan Thai sejak Januari 2004. – AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0612&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Pelabuhan Klang, Ipoh tidak sihat



JEREBU menyebabkan Menara Kuala Lumpur hampir tidak kelihatan dalam gambar ini yang dirakamkan pada 4.52 petang semalam. - Ahmad Zakki Jilan


KUALA LUMPUR – Pelabuhan Klang dan Ipoh mencatat tahap kualiti udara tidak sihat semalam yang menyaksikan jarak penglihatan susut kepada lima kilometer (km).

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua kawasan itu melepasi 100 pada 2 petang semalam.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataannya memberitahu, tahap kualiti udara merosot disebabkan peningkatan kandungan pencemar ozon di permukaan bumi berpunca dari pelepasan asap kenderaan bermotor dan industri.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0612&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Denggi – Menteri berang kelemahan doktor

KUALA LUMPUR – Kejahilan segelintir doktor mengesan simptom awal demam denggi berdarah sewaktu membuat pemeriksaan perubatan ke atas pesakit mencetuskan kemarahan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam.

Beliau tidak boleh menerima hakikat itu kerana doktor di Malaysiasepatutnya pakar mengenai demam berkenaan memandangkan ia sejenis penyakit tropika yang sudah lama wujud di negara ini.

“Sepatutnya doktor yang dilatih dalam negara tahu dan dapat kesan dengan cepat simptom-simptom denggi dan seterusnya dalam mencegah lebih banyak kematian,” katanya di sini semalam.

Ia reaksi beliau terhadap kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican kelmarin yang menyalahkan doktor di klinik dan hospital swasta kerana gagal bertindak cepat dalam mengesan dan melaporkan kes denggi.

Setakat ini, 57 kematian akibat denggi telah dilaporkan di seluruh negara.

Tiong Lai yakin 50 peratus daripada kes kematian denggi berdarah boleh dielak jika pesakit mendapat rawatan awal.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0612&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Dua lagi dijangkiti H1N1


WALAUPUN belum diwajibkan, orang ramai yang menghidap selesema dan batuk dinasihatkan memakai topeng muka bagi mencegah jangkitan. – Gambar hiasan.


PETALING JAYA – Malaysia mengesahkan dua lagi kes baru influenza A (H1N1) positif semalam, menjadikan kesemuanya 11 kes yang dilaporkan di negara ini sejak ia pertama kali dikesan bulan lalu.

Dua mangsa terbaru itu membabitkan wanita rakyat Malaysia yang masing-masing baru pulang dari Manila, Filipina pada 6 Jun dan Melbourne, Australia tiga hari kemudian.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, mangsa yang pulang dari Australia itu ialah seorang pelajar 17 tahun yang melawat keluarganya di negara berkenaan.

Dia kembali ke Kuala Lumpur menaiki pesawat Penerbangan Malaysia MH148 dan duduk di kerusi bernombor 14A.

Mangsa dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh selepas menunjukkan simptom penyakit itu dan kemudian disahkan sebagai H1N1 petang kelmarin.

Pesakit ke-11, seorang wanita berumur 41 tahun yang berasal dari Seberang Jaya, Pulau Pinang mengikuti kursus di Manila dan pulang ke Pulau Pinang pada 6 Jun dengan menaiki penerbangan SQ192 Singapore Airlines, yang singgah di Singapura.

Tiong Lai berkata, kedua-dua pesakit kini dilaporkan stabil.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0612&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Cari duit lebih ditipu syarikat tawar kerja


TAN (kanan) dan Jana menunjukkan laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat di Jalan Ampang baru-baru ini.


KUALA LUMPUR – Hajat mahu dapat duit lebih dengan buat kerja sambilan tetapi malangnya menjadi mangsa sindiket penipuan.

Demikianlah nasib tiga sekawan sebuah kolej di ibu negara yang masing-masing kerugian hampir RM200 setiap seorang angkara ditipu sebuah syarikat yang kononnya menawarkan kerja dari rumah.

Lebih menghampakan tiga sahabat itu menggunakan wang yang sepatutnya diguna membeli buku bagi membayar ‘deposit’ kepada syarikat itu.

Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Tan, 19, berkata, tawaran kerja dari rumah itu mula menarik perhatiannya selepas dia terbaca satu iklan dalam sebuah akhbar bulan lalu.

Menurut beliau, hajatnya membuat kerja sambilan adalah bagi menampung perbelanjaan pengajiannya di kolej dan mengurangkan beban terhadap keluarganya.

“Kerja yang ditawarkan mudah iaitu hanya menyunting bahan yang diberi melalui penyimpan memori dan gaji yang ditawarkan mencecah sehingga RM750 bagi tempoh seminggu,” katanya ketika ditemuiKosmo! semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0612&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...