Sunday, April 18, 2010

Aleeza bawa diri ke Jakarta




BERITA runtuhnya mahligai perkahwinan model merangkap artis popular, Aleeza Kasim bukan lagi rahsia. Diva tumpang bersedih bila ada pengumuman segmen lara hati berhubung teman-teman artis, maklumlah, siapa yang mengharapkan hujan di tengah hari kan?

Dalam diam-diam, Aleeza Kassim rupa-rupanya sudah bercerai talak satu sejak Februari lalu. Menurut maklumat yang disiarkan, perceraian mereka berlaku di Hyatt Saujana, Subang Jaya. Entah apa masalah Aleeza dengan bekas suami, Mohd Fauzi Che Ros, tiada siapa yang tahu. Apa yang penting, perceraian mereka bukan berpunca daripada peranan orang ketiga, kata Aleeza.

Kalau tak salah perhitungan Diva yang lemah matematik ni, perkahwinan mereka hanya dapat bertahan tiga tahun dan tujuh bulan sahaja. Diva sebenarnya masih ingat lagi, betapa hebat dan cerianya majlis persandingan Aleeza di Palace Of The Golden Horses sekitar Julai 2006 lalu. Meriah!

Kes-kes cerai ni buat Diva tak senang duduk, tak puas hati selagi tak dengar dengan telinga sendiri. Bukan kepoh tapi prihatin. Diva cuba juga mendekati Aleeza manalah tahu, kalau rezeki Diva, Aleeza sudi berkongsi cerita. Tapi menurut teman Diva, Aleeza sekarang sedang berada di Jakarta. Ah! Tak dapatlah nak korek rahsia wanita. Dia terbang ke sana petang Khamis lalu dan dijangka pulang esok.

Diva kurang periksa pula, sama ada Aleeza membawa hati patah atau mencari kekuatan jiwa. Apa-apa pun, tunggulah 21 April nanti, sebab, Diva diberi tahu menjelang tarikh itu, kes perceraian mereka akan dibacakan di mahkamah.


Diva:Teringat hangat bulan madu di Pulau Bali dan beli-belah pakaian murah di Bandung.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0418&pub=Kosmo&sec=Diva_Interaktif&pg=dv_01.htm

Bicara lelaki Ash




ADA hati yang dibawa pergi jauh daripada kebiasaan. Ada jiwa lara yang merintih kesepian lalu mencari angin luar untuk diredakan. Begitu langkah Ash atau nama sebenarnya, Tengku Shafiz-Rullah As Syafiee Tengku Mohd. Shahidd, 27, yang membawa luka jiwa dan hatinya jauh ke Belanda untuk beberapa hari. Sempat juga dia menerima panggilan jauh bagi menjawab teka-teki berhubung status perkahwinannya.

Pelakon dan pengacara Khaidirah Abu Zahar atau mesra disapa Dira, 26, terdahulu membuat pengesahan bahawa dia diceraikan dengan talak satu oleh Ash dan kes itu telah diputuskan di sebuah mahkamah Syariah di Kajang pada 8 April lalu.

Dalam getar suaranya, Ash mengaku masih sayang dan merindui Dira serta anak mereka, Tengku Anggun Deandra, 2. Katanya, jauh-jauh di negara orang, dia terasa benar-benar sepi.

Bicara hati lelaki Ash berbaur duka dan luka serta meratap khilaf dirinya.

"Ini pemberian daripada Allah untuk saya (agar) menjadi lelaki yang lebih baik," ujarnya, mengaku melihat Dira semakin cantik sejak berjauhan daripada dirinya.

Perkahwinan mereka dibina atas dasar cinta pada 5 Januari 2007 di Melaka sebelum diraikan pada majlis resepsi di Dewan Felda, Kuala Lumpur pada 14 Januari 2007. Tiga tahun melayari musim-musim bunga bersama namun berakhir dengan kemarau perceraian. Ash yang merupakan pemuzik dan anggota kumpulan Bau mencungkil rasa sedih yang terbuku dalam jiwa.

Atas pertimbangan apa perceraian tersebut harus berlaku?

Biarlah ia menjadi rahsia kami. Saya takut jika punca penceraian kami diluahkan akan menyebabkan timbul pelbagai persepsi negatif terhadap kami.

Adakah kesibukan kalian atau peluang dalam kerjaya yang semakin banyak menyumbang kepada perceraian?

Sebenarnya, masalah sudah lama wujud. Kami cuba perbaiki namun tidak boleh. Saya sudah cuba, bukan tidak mencuba. Apa yang boleh saya katakan, jodoh sudah tiada. Sampai sekarang saya masih tertanya-tanya dalam hati tentang perceraian ini tetapi rasanya, saya perlu relaks.

Bunyinya seperti Dira merajuk?

Mungkin juga. Mungkin dia merasakan semua sudah terlambat untuk dibaiki. Mungkin juga, dia berfikir segala masalah kami sudah tidak boleh diperbetulkan. Tapi pada saya, kalau ada jodoh tidak akan ke mana.




Masih ada sisa cinta seperti dulu?

Saya masih cinta dan sayangkan dia. Tapi saya tidak tahu perasaan Dira sendiri bagaimana.

Mungkin perpisahan ini lebih mematangkan anda?

Tentulah saya menjadi semakin matang, terutamanya untuk melalui fasa yang paling teruk iaitu perceraian. Selama tiga tahun kami hidup bersama dalam susah dan senang. Bila dia tidak di sisi, saya sangat terasa. Anak tiada di sisi, isteri juga tiada. Sekurang-kurangnya dia masih ada anak menjadi peneman hidup.

Apa kesilapan anda yang mungkin boleh dikongsi?

Susah nak cakap. Mungkin kerana kami berkahwin pada usia yang mentah. Dalam masa yang sama, saya sepatutnya menjadi lelaki yang lebih peka terhadap kasih sayang dan kewajipan seorang suami termasuklah dari segi agama, solat perlu dijaga dan saya sebagai ketua keluarga perlu memberikan banyak tekanan terhadap perkara itu.

Saya akui ada kelemahan yang terlampau ketara dan tidak suka mengongkong. Lama kelamaan mungkin dia rasa saya tidak mempedulikan dirinya. Saya juga tidak pandai memujuk. Rasanya perkara-perkara seperti itu adalah kelemahan saya.

Ada peluang untuk kembali bersama?

Saya mahu perbaiki diri saya. Saya ingin mencuba untuk kembali tetapi Dira perlukan masa. Mungkin perpisahan ini sudah ditentukan agar kami sama-sama dapat melihat ke dalam diri masing-masing dan memperbaikinya. Masa yang akan menentukan semuanya dan jodoh di tangan Tuhan.

Rindu Dira?

Saya sangat-sangat rindukan dirinya. Saya juga rindukan anak saya, Anggun.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0418&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm

Lelaki anggap wanita 'lauk'


IBU empat orang anak, Nor Shamila A. Majid yang menjadi mangsa tetak suaminya Februari lalu.


REALITINYA, setiap hari sepuluh wanita menjadi mangsa dera di negara ini. Namun, itu hanya melibatkan kes yang dilaporkan kepada pihak polis.

Jumlahnya mungkin lebih tinggi, demikian menurut pendedahan pegawai polis Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian D11 Bukit Aman, Superintendan Ong Chin Lan dalam satu seminar tidak lama dahulu.

Ujarnya, kejadian keganasan terhadap wanita boleh berlaku di banyak tempat termasuk rumah, tempat kerja, kawasan awam, jalan raya dan di dalam kenderaan.

"Laporan polis menunjukkan, keganasan terhadap wanita kebanyakannya dilakukan oleh individu yang paling hampir dengan wanita berkenaan seperti suami, ahli keluarga lain atau kekasih," katanya.

Bicaranya lagi, jenayah itu berlaku disebabkan mentaliti segelintir lelaki yang menganggap wanita serta kanak-kanak perempuan adalah insan lemah yang boleh disakiti.

"Gejala ini berlaku dalam semua budaya, bangsa, agama serta status atau kedudukan ekonomi.

"Sesuatu tindak-tanduk itu dianggap sebagai keganasan apabila ia menyebabkan kesakitan fizikal, kesakitan akibat senjata, kesedihan, tekanan minda, jenayah ugut, pengkhianatan hingga merendahkan keyakinan, rogol, liwat dan pembunuhan," katanya.


ISTERI kepada 'hartawan' Lebanon, Dr. Elie Yousef Najem, Farinnie Mohd. Farid mendakwa menjadi mangsa dera dan liwat suaminya.


Sementara itu, Ketua Wanita Pusat, Jemaah Islah Malaysia (JIM), Dr. Harlina Halizah Siraj pula berpendapat, sejak Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 diwujudkan serta dilaksanakan pada 1996 nasib wanita yang didera suami tidak banyak berubah.

"Pada tahun 2005 sahaja terdapat 18,079 kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan. Jika dibahagikan, terdapat 50 kes dilaporkan setiap hari sepanjang tahun itu.

"Saya yakin angka ini meningkat setiap tahun. Saya telah berjuang berhubung keganasan terhadap wanita ini lebih 10 tahun tetapi tidak banyak yang berubah," katanya.

Kata Harlina, semua pihak harus kembali kepada hukum Islam untuk menyelesaikan segala permasalahan manusia kerana agama ini lengkap dari segala aspek kehidupan dunia malah di akhirat jua.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0418&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Achik Spin meninggal dunia


ACHIK bersama sahabat baiknya, Nana.


SEREMBAN – Penyanyi Abdillah Murad Md. Shari, 27, atau Achik Spin yang popular dengan lagu Janji Kita, maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 14.7, Lebuh Raya Kajang-Seremban Sdn. Bhd. (Lekas) dekat sini lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dinaiki Achik dikatakan terbabas ketika dia bersama seorang rakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Green Street Homes, Seremban 2 di sini.

Akibat kemalangan itu, Achik dikatakan tercampak keluar dari kenderaan sejauh kira-kira lima meter sebelum MPV itu terbakar dan meletup.

Kemalangan itu juga menyebabkan Achik cedera parah di kepala dan beberapa bahagian anggota badan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah berkata, semasa kemalangan, mangsa menaiki kenderaan tersebut bersama seorang rakan dikenali sebagai Mohd. Salihin Shah Mohd. Salleh, 29.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0418&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

SMS cacamerba selamatkan Naim


Keratan Kosmo! semalam.


SHAH ALAM – Seorang remaja terselamat daripada menjadi mangsa kepada ejen palsu bagi pengambilan pelajar baru Universiti Teknologi Mara (UiTM) selepas dia menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengelirukan.

Muhammad Naim Hilmi, 18, berkata, SMS tersebut (gambar) memaklumkan bahawa dia terpilih untuk melanjutkan pengajian di UiTM dan memintanya menghubungi seorang wanita bernama Riena secepat mungkin.


SMS ejen palsu yang menawarkan kemasukan ke UiTM kepada Muhammad Naim.


Menurutnya, kandungan SMS terbabit terlalu ringkas dengan susunan ayat serta ejaan perkataan menggunakan singkatan juga menyebabkannya dia berasa was-was.

“Tengok sahaja singkatan yang digunakan seperti perkataan kemasukan ditulis ‘kemskan’ dan mesti hanya ‘mst’ membuatkan saya sudah syak ia satu penipuan.

“Daripada situ, bapa saya mula rasa tidak sedap hati kerana berasa pelik apabila tawaran diterima tanpa sebarang pengkhususan program yang akan diikuti,” jelasnya kepada Kosmo! Ahad di kediamannya di Kota Damansara, Petaling Jaya semalam.

Saturday, April 17, 2010

Wanita idam RM168j tepuk dahi

2010/04/17

SEGAMAT: Seorang suri rumah mendakwa kerugian RM228,000 apabila dia diperdaya sebuah syarikat pelaburan Internet yang menjanjikan pulangan lumayan melalui satu skim pelaburan mata wang asing termasuk dolar Amerika Syarikat.

Wanita berusia 32 tahun yang juga ibu kepada enam anak itu tertarik dengan skim terbabit yang ditemuinya selepas melayari Internet pada Disember 2009 lalu.


Difahamkan, mangsa yang juga seorang graduan berkelulusan diploma teknologi maklumat di sebuah universiti tempatan mula terpedaya apabila dia menerima e-mel menjanjikan pulangan pelaburan dalam mata wang dolar.


Tertarik dengan tawaran itu, mangsa terus membalas e-mel sebelum dimaklumkan pihak syarikat terbabit supaya melabur RM98,000 sebagai permulaan.


Mangsa yang tidak berfikir panjang terus bersetuju tanpa mengadakan pertemuan dan perjanjian secara bertulis mahu pun bersemuka dengan pihak syarikat yang menawarkan skim itu.


Difahamkan, mangsa beberapa kali memasukkan wang tunai menggunakan mesin pendeposit di sebuah bank tempatan, malah pernah melakukan transaksi RM60,000 pada satu masa.


Selepas jumlah pelaburan mencukupi RM228,000, mangsa diberikan sekeping sijil oleh syarikat terbabit sebagai tanda dia pelabur berdaftar serta layak menerima pulangan yang dijanjikan.


Wanita terbabit hanya menunggu wang pulangan yang dijanjikan pihak syarikat yang bernilai AS$48 juta (RM168 juta) serta dijanjikan akan dimasukkan terus melalui akaun pada Mac lalu.


Namun, selepas dua bulan lewat dari tarikh dijanjikan, dia cuba menghubungi syarikat terbabit, tetapi gagal apabila nombor telefon tiada dalam perkhidmatan.

Menyedari dirinya ditipu, mangsa beberapa kali ke ibu negara untuk melakukan siasatan sendiri, namun sekali lagi hampa apabila mendapati nama syarikat itu tidak pernah wujud, malah tidak pernah disenaraikan di mana-mana bursa saham tempatan.


Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali, berkata wanita itu terpedaya dengan janji ditawarkan pihak yang mendalangi sindiket penipuan pelaburan melalui Internet.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/WanitaidamRM168jtepukdahi/Article


Menyamar ejen UiTM tipu pelajar


KAMPUS UiTM di Seksyen 17, Shah Alam.


SHAH ALAM – Satu sindiket penipuan terancang yang menawarkan tempat pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terbongkar.

Sindiket berkenaan yang menyamar sebagai ejen pengambilan pelajar baru UiTM itu dikatakan membuat tawaran melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirim kepada remaja lepasan SPM secara rambang.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar semalam mendedahkan kewujudan ejen palsu itu yang dikesan telah menipu sekurang-kurangnya 10 individu di sekitar Seremban dan Melaka.

Katanya, setakat ini hanya seorang daripada 10 mangsa telah membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM500 kepada ejen berkenaan.

“Selepas disiasat, mangsa berkata, ejen ini mengenakan bayaran pendaftaran di antara RM2,160 hingga RM2,700.

“Ini sudah satu penipuan kerana UiTM hanya caj wang sumbangan di antara RM200 hingga RM400 semester bagi seorang pelajar,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0417&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Berputih mata RM228,000 lesap


ABDUL Majid (kanan) menunjukkan sijil yang dikeluarkan oleh sebuah skim pelaburan Internet untuk memperdaya seorang wanita di IPD Segamat, semalam.


SEGAMAT - Harapan menggunung seorang suri rumah untuk mendapat habuan sebanyak RM153.6 juta (AS$48 juta) dalam satu skim pelaburan Internet berkecai apabila dia kerugian RM228,000 apabila ditipu pengendali skim berkenaan.

Bukan itu sahaja, dia yang enggan dikenali berusia 32 tahun itu turut kehilangan tanah seluas satu hektar milik keluarga dan sejumlah barang kemas miliknya apabila kesemuanya digadaikan untuk mendapatkan modal bagi memulakan pelaburan tersebut.

Mengimbau kejadian tersebut, ibu kepada enam anak yang berkelulusan diploma teknologi maklumat itu memberitahu, dia mula terjebak dengan skim pelaburan itu selepas menerima satu e-mel daripada orang yang tidak dikenali pada Disember tahun lalu.

Katanya, pengirim itu mendakwa yang mereka sedang mencari pelabur bagi melabur dalam satu syarikat yang kononnya tersenarai dalam Bursa Malaysia dikenali sebagai Global Security Company Malaysia.

"Selepas melayari laman web syarikat berkenaan dan berpuas hati dengan tawaran pulangan sebanyak RM153.6 juta, saya terus memasukkan wang yang diminta sebanyak RM98,000.

"Lebih membuatkan saya yakin apabila syarikat itu turut memberikan saya sijil-sijil pengesahan kononnya saya telah menyertai skim tersebut," cerita wanita yang berasal dari Pekan

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0417&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Friday, April 16, 2010

Tak serik-serik juga

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my
2010/04/16

KLANG: Walaupun pernah menjalani hukuman di pusat tahanan Simpang Renggam seorang lelaki masih tidak serik apabila ditahan kelmarin kerana dipercayai cuba untuk melakukan pecah rumah di sekitar daerah ini.

Suspek berusia 24 tahun, berasal di Klang Utama, di sini ditahan bersama seorang lagi lelaki berusia 23 tahun ketika cuba melarikan diri di Lorong Pauh Kijang 2, Taman Saga Off Jalan Meru, di sini kira-kira jam 9.30 pagi.


Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata, sebelum kejadian, polis menerima aduan daripada orang awam mengenai sebuah kereta jenis Proton Wira putih menghalang jalan di kawasan taman berkenaan.


“Susulan aduan itu, kami menghantar sebuah kereta peronda (MPV) ke kawasan yang dimaksudkan sebelum menemui kereta terbabit.


“Bagaimanapun ketika anggota polis cuba menghampiri kenderaan terbabit, dua lelaki bergegas keluar dan cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan. Kedua-dua suspek terbabit ditahan,” katanya.


Turut hadir, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang, Deputi Superintendan Roslan Ibrahim.

Mohamad berkata, pemeriksaan badan ke atas suspek dan kenderaan, polis menemui peralatan dipercayai digunakan untuk samun dan pecah rumah, seperti parang panjang, alat untuk membuka kereta dan pecah rumah sejumlah kunci dan satu vest hitam berpelekat perkataan Rela dan logo serta komputer riba.


“Supek pertama mempunyai enam rekod jenayah lampau manakala suspek kedua, satu rekod lampau.


“Mereka turut mengaku melakukan sekurang-kurangnya 12 kes, iaitu dua kes di Balakong, tiga di Tampin dan selebihnya di sekitar daerah ini,” katanya menambah Proton Wira dinaiki kedua-dua suspek dilaporkan hilang 23 Mac lalu di Tampin, Negeri Sembilan.

Ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek terbabit positif dadah. Kerugian daripada jenayah yang dilakukan suspek itu dianggarkan berjumlah lebih RM20,000.


Menurutnya, hasil soal siasat sepasukan polis menyerbu sebuah rumah di Batu 3, Jalan Kapar dan menahan lima lelaki berusia 27 hingga 39 tahun kerana disyaki menjadi pembeli barang curi.


“Dalam serbuan itu kami menemui sebuah komputer riba daripada salah seorang lelaki ini dipercayai dibeli daripada suspek,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Takserik-serikjuga/Article/index_html

Kes saman RM11 juta pelatih PLKN 25 Mei

2010/04/16

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan 25 Mei ini untuk pengurusan kes saman seorang bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berjumlah RM11 juta terhadap Kementerian Pertahanan dan tiga yang lain kerana lumpuh akibat cedera tulang belakang selepas melakukan tekan tubi, tiga tahun lalu.

Tarikh itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, A Kaveetha dalam kamarnya semalam. Peguam Kanan Persekutuan, Jamhirah Ali yang mewakili keempat-empat defendan memberitahu pemberita, mahkamah membenarkan kerajaan dan defendan lain meminda penyataan pembelaan dan menetapkan tarikh itu untuk pengurusan kes.


Pada 3 Julai 2007, Asila Latin Husna Abdul Bashir, 21, dan bapanya, Abdul Basir Abdul Rahman, (plaintif kedua) dari Pasir Mas, Kelantan memfailkan saman itu terhadap Jurulatih Kem Teluk Rubiah, Fadzilah Jalaluddin, dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Abdul Hadi Awang Kechil. Turut dinamakan sebagai defendan Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kerajaan Malaysia. Mereka memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini, melalui Tetuan Haniff Khatri.


Dalam tuntutannya, Abdul Basir memohon ganti rugi am berjumlah RM5 juta dan ganti rugi khas termasuk perbelanjaan perubatan, kos penginapan serta kos rawatan susulan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KessamanRM11jutapelatihPLKN25Mei/Article/index_html

Klip anak jadikan bapa kaya


RAKAMAN David berada dalam khayal menyebabkan keluarganya menjadi kaya.


ORLANDO, Florida - Rakaman video lucu seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dalam perjalanan pulang selepas berjumpa doktor gigi telah memberi kekayaan kepada keluarganya, lapor sebuah akhbar semalam.

Gelagat kanak-kanak itu, David DeVore yang berada dalam keadaan khayal selepas diberikan ubat bius semasa sebatang giginya dicabut, tiba-tiba menjadi popular setelah bapanya menyiarkan rakaman tersebut di laman YouTube di Internet.

Ekoran populariti tersebut, bapanya telah mendapat hak lesen perdagangan dengan pendapatan melebihi AS$100,000 (RM319,050).

Pada mulanya, dia menyiarkan rakaman tersebut di laman sosial Facebook kemudian di YouTube.

Rakaman selama kurang dua minit itu dirakamkan pada tahun lepas dengan menggunakan sebuah kamera video yang baru dibeli dan telah ditonton sebanyak 56 juta kali dengan 100,000 penonton baru setiap minit di YouTube.

Rakaman lucu itu menunjukkan kanak-kanak tersebut duduk di tempat duduk belakang kenderaan sambil memberitahu bapanya bahawa dia melihat bayang-bayang manakala bapanya mempunyai empat mata.

"Adakah ini kehidupan sebenar?. Mengapa ia terjadi kepada saya," ujar kanak-kanak tersebut.

Bapa budak tersebut kemudian mewujudkan satu laman web bagi membolehkan pengunjung membeli baju dan pelekat mengandungi ungkapan anaknya itu.

Barangan tersebut telah dihantar ke-20 buah negara dan kanak-kanak itu telah menjadi sebahagian daripada iklan permainan bola sepak Amerika untuk syarikat elektronik Vizio.- Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0416&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Lintah bergigi dalam hidung budak 9 tahun


GAMBAR yang diperbesarkan menunjukkan gigi lintah yang hidup dalam hidung seorang budak perempuan.


LIMA - Seorang doktor Peru, Renzo Arauco-Brown menemui spesies baru lintah kecil dengan memiliki gigi tajam yang dijumpai menyorok di dalam hidung seorang budak perempuan berusia sembilan tahun, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang bertugas di Universiti Peru Cayetano Heredia di sini menjumpai lintah itu semasa merawat kanak-kanak tersebut di sebuah klinik di wilayah Chanchamayo yang mengadu sakit kepala setelah mandi di sebuah tasik Amazon.

Lintah sepanjang 44.5 milimeter itu kemudian disahkan sebagai spesies baru oleh seorang kurator Muzium Semula Jadi Amerika Syarikat di New York, Mark Siddall semasa ia dibawa dari Peru ke negara tersebut untuk tujuan penyelidikan saintifik.

Ia kemudian dinamakan sebagai Tyrannobdella rex atau diringkaskan sebagai T-rex yang bererti raja lintah kejam kerana memiliki gigi tajam selebar 0.13 milimeter iaitu lebih lebar daripada ketebalan sehelai rambut manusia normal. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0416&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Kampung Baru Bali dirai Petronas


NORAINI (empat dari kiri) bersama 44 buah keluarga miskin yang menerima sumbangan pada program Sentuhan Kasih anjuran Petronas, Petronita dan UTP di Kampung Baru Bali, Tronoh, Perak.


TIADA kata dapat menggambarkan kegembiraan 470 keluarga di Kampung Baru Bali, Tronoh apabila kampung itu diceriakan dengan pelbagai aktiviti menarik melalui program Sentuhan Kasih Petronas.

Program dua hari yang melibatkan lebih 200 kakitangan Petronas, ahli Persatuan Isteri dan Kakitangan Wanita Petronas (Petronita) berkampung memberi khidmat bakti di kampung berkenaan.

Turut serta dalam program tersebut ialah seramai 55 pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) termasuk beberapa pelajar antarabangsa.

Sepanjang aktiviti kemasyarakatan itu berlangsung, penduduk Kampung Baru Bali tidak melepaskan peluang menyertai pelbagai aktiviti yang diatur pihak penganjur.

Antaranya, termasuklah pertandingan bola keranjang, melukis mural, demonstrasi membuat kuih kapit dan senaman tai chi beramai-ramai.

Selain itu, pusat kesihatan milik Petronas, Pusat Perubatan Prince Court dengan kerjasama Hospital Pantai Ipoh turut mengadakan sesi pemeriksaan kesihatan percuma kepada semua penduduk.

Apa yang pasti, keterujaan jelas terpancar di wajah dua orang warga emas, Chan Chon Lan dan Chee Kong apabila kediaman mereka yang uzur dibaikpulih secara gotong-royong oleh peserta program.

Menurut Chon Lan, dia sendiri tidak pernah memasang angan-angan rumah yang dihuni sejak lebih tiga dekad lalu itu akan dibaikpulih.

"Saya seperti bermimpi kerana sebelum ini rumah saya sangat uzur. Tidak sangka ada pihak luar yang sanggup membantu mencantikkan rumah ini," katanya kepada Kosmo!.

Bagai mengiakan apa yang diperkata Chon Lan, Chee Kong pula menganggap komitmen peserta program khidmat masyarakat itu sebagai anugerah Tuhan yang tidak ternilai harganya.

"Mungkin bagi orang lain, kehadiran peserta program ini khususnya membantu membaikpulih rumah sebenarnya sangat bermakna," katanya.

Sentimen sama turut dirasai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Bali, Chen Piang Ho.

Katanya, penduduk sememangnya bersyukur kerana kawasan itu dipilih sebagai lokasi penganjuran program Sentuhan Kasih.

"Memang ramai keluarga dan penduduk yang tidak bernasib baik di kampung ini namun inilah pertama kali program seumpamanya dilaksanakan pihak luar.

"Ia juga merupakan hadiah Tahun Baru Cina yang diraikan baru-baru ini. Kami bersyukur kerana diraikan Petronas," katanya.

Kemuncak program berkenaan semua penduduk diraikan pada majlis makan tengah hari sempena penutup program Sentuhan Kasih yang diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Bali.

Pada acara penutup yang dihadiri oleh mantan Pengerusi Petronita, Puan Sri Noraini Mohd. Yusoff, dua warga emas miskin, Chan Soo Moy, 80, dan Leng Kwan, 78, yang menghadapi masalah untuk bergerak menerima unit kerusi roda setiap seorang.

Sebanyak 44 buah keluarga miskin di kampung terbabit menerima sumbangan berupa bahan makanan dan angpau yang disampaikan Noraini sempena Tahun Baru Cina.

Hadir sama pada majlis itu, Naib Presiden (Pendidikan) Petronas, Juniwati Rahmat Hussin dan Rektor UTP, Datuk Dr. Zainal Abidin Kassim.

Sentuhan Kasih yang dilancarkan pada tahun 2005 merupakan program tahunan dan Kampung Baru Bali dipilih sebagai lokasi pertama penganjurannya di negeri Perak.

Program khidmat bakti itu diadakan bertujuan memupuk dan meningkatkan n semangat sukarelawan di kalangan kakitangan dan individu yang mempunyai kaitan dengan syarikat petroleum negara itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0416&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm

Panahan cinta wanita Sumatera


PASANGAN lelaki Malaysia dan wanita Indonesia pada majlis perkahwinan mereka. - Gambar hiasan


MEDAN - Secara purata seorang lelaki rakyat Malaysia mengahwini wanita Indonesia dari Sumatera setiap hari dalam tempoh lima bulan lepas dan 80 peratus daripada mereka dijadikan isteri kedua.

Trend ini dilihat daripada rekod di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di sini yang menunjukkan bahawa dalam tempoh lima bulan itu, 30 lelaki Malaysia berkahwin dengan wanita Indonesia dari Sumatera setiap bulan.

Konsul Muda Bahagian Konsular dan Imigresen di pejabat itu, Ismail Ali memberitahu, pada Januari, terdapat 31 pasangan yang berkahwin, Februari (29 pasangan) dan Mac sebanyak 32 pasangan.

"Hampir kesemua mereka beragama Islam," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0416&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...