Friday, June 11, 2010

Aktres lucah Norway ajak Ariel berlakon

Aktres lucah Norway ajak Ariel berlakon




JAKARTA - Skandal video seks yang menampilkan pasangan mirip dua selebriti Indonesia, Luna Maya dan Ariel dari kumpulan Peter Pan, menjadi topik panas di laman sosial Twitter sehingga mengundang komentar daripada aktres lucah terkenal Barat, Vicky Vette, lapor sebuah akhbar semalam.

Vette yang merupakan bintang porno veteran dari Norway yang telah membintangi lebih 150 filem lucah setakat ini turut mengundang Ariel untuk berlakon bersamanya dalam filam lucah.

Ariel kini mendapat jolokan Ariel Peterporn selepas klip video seks itu tersebar secara meluas di Internet

"Aneh, topik hangat yang dibincangkan pada hari ini mengenai Ariel Peterporn, seorang penyanyi Indonesia yang memiliki klip video seks," kata bintang porno berusia 44 tahun itu dalam laman Twitter pada Selasa lepas.

"Saya tak berhenti-henti menerima komen daripada warga Indonesia mengenai lelaki ini," tambahnya yang pernah memenangi beberapa anugerah filem lucah.

Menurutnya, dia mahu turut serta berlakon dalam klip video seks terbaru Ariel Peterporn.

"Jika Ariel Peterporn dan Luna Maya datang ke Amerika Syarikat (AS), saya akan mengundang mereka untuk menjalani penggambaran film seks bersama. Pasti seronok, filem itu akan laris di Indonesia.", jelasnya

Pada masa yang sama, Vette mengaku dia sudah menonton klip video seks tersebut.

Kagum dengan aksi pasangan dalam video berkenaan, Vette menambah, dia akan mencadangkan rakaman itu kepada penerbit dan pengedar filem porno antarabangsa, Vivid Entertainment untuk dikomersialkan.

Pihak polis kini melakukan siasatan mengenai video seks itu selepas orang awam membuat laporan polis. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0611&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Ibu biar dua anak mengemis dihadap ke mahkamah

2010/06/11

KUALA LUMPUR: Gara-gara mengabaikan dan membiarkan dua anaknya mengemis, seorang ibu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Tertuduh, Zalina Ali, 44, dari Kelantan kelihatan terpinga-pinga ketika pertuduhan dibacakan bagaimanapun, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan minta dibicarakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.


Mengikut pertuduhan, Zalina memakai baju-T warna putih sebagai penjaga Mohd Hakim, 8, dan Ahmad Sabri, 7, didakwa mengabaikan dan mendedahkan kanak-kanak itu yang mungkin menyebabkan kecederaan emosi.


Dia yang juga pengemis didakwa melakukan perbuatan itu di jejantas stesen LRT Setiawangsa, Dang Wangi dekat sini, jam 6 petang pada 13 Mei 2010.


Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.


Pertuduhan kedua, di tempat dan masa sama, tertuduh didakwa membiarkan kedua-dua kanak-kanak itu mengemis dan menerima sedekah.


Dia didakwa mengikut Seksyen 32 Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya P Viknesvaran, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Tiada sebarang jaminan ditawarkan kerana suami tertuduh didakwanya hadir membayar ikat jamin tidak muncul di mahkamah. Mahkamah kemudian menetapkan 12 Julai ini untuk sebutan lantik peguam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibubiarduaanakmengemisdihadapkemahkamah/Article

Akal gian si gatal

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/06/11

KUALA LUMPUR: Gian untuk meraba payudara gadis menyebabkan seorang lelaki sanggup menyamar sebagai polis sebelum memperdaya wanita yang dipaksa membuka baju sebelum dicabul.

Lelaki berusia 20-an terbabit yangmeramas payudara mangsa bagaimanapun kelam-kabut melarikan diri selepas mangsa menekan hon kereta sekuat hati selepas mendapat akal membebaskan dirinya.


Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi kelmarin, suspek dikatakan terlihat mangsa bersendirian dalam kereta di hadapan kafe siber di Jalan Genting Klang, Setapak.


Menurutnya, mangsa ketika itu dikatakan menunggu dalam kereta manakala suaminya berada dalam kafe siber berhampiran.


“Lelaki terbabit memperkenalkan diri sebagai polis selepas mengetuk tingkap kenderaan mangsa.


“Dia berpura-pura bertanya identiti dan tujuan mangsa bersendirian di dalam kereta kerana mendakwa tindakan itu boleh menimbulkan rasa curiga. Bagaimanapun, mangsa memaklumkan tujuannya menunggu suami yang berada dalam siber kafe berhampiran,”
katanya.


Menurutnya, suspek dipercayai tertarik dengan rupa paras mangsa yang masih muda mengugut mangsa membuka pakaiannya.


“Mangsa yang ketakutan dan bimbang dicederakan berpura-pura akur dengan arahan suspek. “Namun, ketika sedang leka melakukan kerja terkutuk itu, mangsa mendapat idea dengan bertindak menekan hon kereta menyebabkan suspek panik sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikal,” katanya.


Katanya, mangsa dan suaminya membuat laporan polis di balai polis berhampiran.


“Susulan laporan itu, polis berjaya memberkas suspek. “Suspek ditahan reman mengikut Seksyen 354 kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan,” katanya.


Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang pembantu rumah warga Indonesia berusia 43 tahun disamun lelaki menyamar sebagai polis dengan berpura-pura bertanyakan arah jalan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, mangsa dikatakan sedang berjalan kaki berhampiran belakang sebuah restoran di Jalan Pekeliling Lama, di sini, sebelum dihampiri sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan.


Sumber polis berkata, pemandu kereta terbabit berpura-pura bertanya arah jalan menuju pusat beli-belah Jaya Jusco berhampiran sebelum mangsa mendakwa tidak tahu lokasi yang ingin dituju suspek.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Akalgiansigatal/Article

32 kes baru sah positif H1N1

2010/06/11

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 32 kes baru disahkan positif influenza A (H1N1) dilaporkan menjadikan jumlah terkumpul kes berkenaan berjumlah 15,019.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata bagi tempoh 24 jam sehingga lewat petang semalam, tiada kejadian kluster ILI yang baru dilaporkan.


“Kes ILI yang dirawat di dalam wad hospital di seluruh negara adalah 475 kes dan daripada jumlah tersebut 40 kes atau 8.4 peratus disahkan positif H1N1. “Jumlah kes H1N1 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah lapan dan enam daripadanya adalah individu yang mempunyai faktor risiko,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya, tiada kematian baru dilaporkan menjadikan jumlah kes kematian kekal 88 kes.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/32kesbarusahpositifH1N1/Article

Hanya ruam

Oleh Amir Abd Hamid

2010/06/11

SELAYANG: “Mungkin pelatih itu mengalami tekanan perasaan tetapi rekod perubatan di pusat kesihatan di kem PLKN (Program Latihan Khidmat Negara) Batu Jong, Kuala Krai, Kelantan mendapati dia hanya ada ruam di badan,” kata Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Beliau mengulas laporan Harian Metro, semalam, mengenai seorang pelatih kem PLKN Batu Jong, Wan Zharifah Wan Othman, 18, yang didakwa keluarganya mengalami hilang ingatan selepas mengikuti latihan lima minggu di kem terbabit.

Abdul Hadi berkata mengikut rekod pihaknya, remaja berkenaan melapor diri di kem PLKN Batu Jong, pada 27 Mac lalu. Tiga hari kemudian, katanya, pelatih itu menjalani pemeriksaan perubatan di pusat kesihatan dalam kem sebelum mendapati gadis berasal dari Kampung Laut, Kuala Terengganu, itu mempunyai ruam di badan.

“Kami dapati pelatih terbabit boleh menjalani latihan seperti biasa. Namun, pada 14 Mei lalu, gadis itu mengadu sakit dan kali ini memberi alasan sakit kepala dan dirawat di pusat kesihatan sama."

“Susulan itu, ibu bapanya datang ke kem sebelum membawa anak mereka pulang untuk membawa pelatih berkenaan berubat cara kampung dan kem komandan memberikan cuti tiga hari untuk tujuan terbabit. “Pihak kem komandan sudah menasihatkan pihak keluarga supaya membawa Wan Zharifah mendapatkan rawatan di hospital, namun hingga kini kami dimaklumkan mereka hanya berubat cara kampung,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan perasmian penutup Kem PLKN Temasya Rimba Templer Kumpulan 2 Siri 7/2010, di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hanyaruam/Article

99% gula diimport

Oleh Maiamalina Mohamed Amin

2010/06/11

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) memberitahu Dewan Rakyat, semalam bahawa 99 peratus bekalan gula di negara ini adalah diimport berbanding hanya satu peratus diproses sendiri.

Katanya, jumlah kebergantungan itu bukan perkara baru yang mengejutkan, memandangkan sebelum ini negara sudah mengimport dari Brazil dengan jumlah 509,630 metrik tan atau 41 peratus, Australia 447,480 metrik tan (39 peratus) dan Thailand 174,020 metrik tan (14 peratus).


Malah, beliau menjelaskan, pemberian permit import (AP) kepada hanya empat pengilang gula tempatan juga dibuat berdasarkan keperluan gula bertapis domestik dan pembukaan kepada lebih banyak pihak tidak semestinya menyebabkan harga turun sekali gus mudah mendapat bekalan.

“Selama ini kita juga mengambil gula daripada Nicaragua 9,940 metrik tan (lapan peratus) dan Guatemala dengan 12,430 metrik tan atau 0.6 peratus, berbanding pengeluaran dalam negara yang disumbangkan Kilang Gula Perlis berjumlah 17,000 metrik tan (1.4 peratus).


“Ini semua bagi memastikan bekalan gula di pasaran domestik sentiasa mencukupi dan tidak terjejas dengan harga turun naik, selaras Akta Kawalan Harga 1946 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.


“Malah, dasar semasa yang membenarkan hanya empat pengilang gula tempatan mengimport gula mentah juga bertujuan memastikan bekalan gula bertapis bagi pasaran kita sentiasa ada,” katanya menjawab soalan dikemukakan Ahmad Kasim (PKR-Kuala Kedah) di Parlimen semalam.


Ahmad mahukan penjelasan mengenai jumlah pengimportan gula mentah dari negara luar bagi mengatasi masalah kekurangan bahan mentah negara serta adakah dasar pengimportan itu yang menyebabkan bekalan gula negara terjejas ketika ini.


Mustapa berkata, pada kadar harga gula dunia yang tinggi, meskipun AP dibuka kepada banyak pihak, tidak semestinya harga akan turun.


“Selepas diambil kira kos pengeluaran dan lain-lain yang berkaitan, harga gula di pasaran tempatan RM1.65 berdasarkan harga antarabangsa adalah RM2.45 sekilogram.


“Jika AP dibuka kepada banyak pihak pun tidak menambah bekalan gula sekiranya kerajaan tidak menambah peruntukan untuk subsidi yang sekarang ini berjumlah kira-kira RM1bilion dan penyelesaian jangka panjang untuk menjamin bekalan ini adalah pengurangan kadar subsidi secara berperingkat,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/99_guladiimport/Article

Coli besar sebelah

Oleh Salman Hamat dan Ahmad Ismail

2010/06/11

SEGAMAT: Dia menjadi tumpuan bukan hanya kerana berstatus ‘janda berhias’ malah payudaranya menghairahkan setiap lelaki memandang.

Bagaimanapun, rahsia payudara bersaiz ala ‘Dolly Parton’ berkenaan terbongkar apabila pemeriksaan dijalankan polis menemui ruang khas untuk menyimpan dadah.

Taktik terbabit digunakan sejak setahun lalu tetapi terbongkar selepas polis yang menyerbu kediamannya, di Jabi, di sini, jam 6.10 petang Selasa lalu. Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Bin Mohd Ali, berkata saiz payudara janda terbabit menimbulkan syak dan selepas pemeriksaan dijalankan, pihaknya menemui sejumlah dadah terselit pada coli suspek.

“Saiz payudara terbabit menimbulkan syak kerana ia tidak sama tetapi lebih besar di bahagian kiri. Polis melakukan pemeriksaan sebelum menemui dadah jenis ganja seberat satu gram bernilai RM100 terselit pada coli dipakainya. “Hasil siasatan, suspek orang perantaraan ditugaskan menghantar bekalan dadah dipesan daripada pengedar kepada pelanggan,” katanya.

Siasatan turut mendapati selain bertindak sebagai orang perantaraan dan menggunakan sendiri dadah diperoleh, suspek juga dipercayai menjadi pengedar kecil-kecilan untuk menampung pembelian akan datang dadah terbabit.

Ujian air kencing dijalankan turut mendapati suspek positif dadah jenis ganja dan kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Dalam kes berasingan, juga pada Selasa lalu, Abdul Majid memaklumkan pihaknya turut menahan seorang wanita juga berstatus ibu tunggal yang bertindak sebagai orang perantara sindiket dadah dengan alasan mendapatkan wang lebih.

“Kami khuatir golongan ibu tunggal ini yang mungkin kematian suami atau bercerai dan berada dalam kesempitan serta terdesak sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan sumber kewangan bagi menampung keluarga. “Sindiket pula akan mengambil kesempatan atas kesempitan hidup mereka untuk mengeksploitasi keadaan sebelum ditawarkan menjadi orang perantaraan dengan upah tertentu. Akhirnya, mereka terperangkap hingga ada yang tertangkap,” katanya.

Anak buang bapa sendiri

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/06/11

KUALA LUMPUR: Tiada pilihan menyebabkan seorang pemilik kilang acuan plastik mengambil keputusan nekad tidak mahu mengaku bapa kandungnya sendiri selepas mengetahui bapanya berhutang dengan ceti haram atau along lebih RM1 juta.

Tindakan membuang bapa kandungnya sendiri itu diambil dengan rasa berat hati oleh lelaki berkenaan selepas tidak tahan diburu, selain dibelasah samseng along yang menuntutnya supaya menjelaskan semua hutang berkenaan.


Difahamkan, bapa mangsa sebelum ini gemar berhutang dengan along, selain menghabiskan wang syarikat untuk memenuhi hobinya bertaruh judi.


Sumber polis berkata, dalam kejadian terbaru petang kelmarin, mangsa berusia 31 tahun mendakwa didatangi dua lelaki dipercayai tali barut along ke kilangnya yang terletak di Taman Perindustrian Kinrara, Puchong. Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, dua lelaki terbabit memaksa mangsa membayar hutang bapanya berjumlah ratusan ribu ringgit yang dipinjam sejak beberapa tahun lalu.


“Difahamkan, bapa mangsa berusia 56 tahun meminjam daripada lebih 30 along sebelum menghilangkan diri sejurus gagal membayar semua hutang berkenaan.


“Mangsa yang enggan membayar hutang bapanya dipukul dan dibelasah samseng berkenaan. Dia dipaksa membayar sekurang-kurangnya RM8,800 dalam tempoh terdekat,”
katanya.


Mangsa turut tertekan apabila ada antara along terbabit turut mengugut meningkatkan kadar bunga sekali ganda sekiranya mangsa masih gagal menjelaskan hutang dalam tempoh ditetapkan.


Susulan kejadian ugutan dan kekerasan dilakukan samseng itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Puchong.


Difahamkan, bapa mangsa sebelum ini pernah menyalahgunakan pelbagai dokumen syarikat untuk dijadikan bahan cagaran membuat pinjaman daripada berpuluh along di sekitar Lembah Klang.


“Malah, bapa mangsa pernah menggelapkan kira-kira 100 keping cek syarikat kononnya membeli barang keperluan kilang, namun melarikan diri begitu sahaja. Cek terbabit dipercayai digunakannya untuk membayar hutang along secara ansuran.


“Lebih teruk apabila lelaki berkenaan mengarahkan along merampas kereta milik anaknya itu sekiranya dia gagal membayar hutang terbabit mengikut tempoh ditetapkan,”
katanya.

Malah, dalam kejadian berasingan kira-kira jam 3 petang 18 Mei lalu, mangsa yang berada di kilangnya mendakwa didatangi seorang samseng along yang mengugutnya supaya membayar hutang bapanya berjumlah ratusan ribu ringgit sekiranya tidak mahu semua mesin di kilangnya dirampas.


“Mangsa pernah membuat laporan polis berhubung kejadian ugutan itu kini semakin tertekan berikutan turut menanggung hutang dari pihak pembekal berjumlah ratusan ribu ringgit.


“Mangsa yang tertekan dengan ugutan terbabit sehingga kini gagal menjejaki bapanya yang menghilangkan diri menyebabkan dia diburu konco Along yang dipertanggungjawabkan bagi mengugut mangsa,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Anakbuangbapasendiri/Article

'Ampun saya mak, abah'

Oleh Nazarali Saeril

2010/06/11

JOHOR BAHRU: “Kami bukan setakat bermalam beralas tuala dan beg sekolah malah berpindah dari satu rumah tinggal ke rumah tinggal lain serta terpaksa menjual dua telefon bimbit dengan harga RM40 semata-mata mahu mengisi perut.

“Menitis air mata saya tatkala menyuap makanan kerana sebak teringatkan ayah, ibu serta keluarga. Begitu besar pengorbanan mereka membesarkan saya dan kini saya menghampakan mereka. Ampunkan saya mak dan abah,” kata Siti Nurzieha Nuri, 17, di sini, semalam.

Selain itu, teman lelaki diharap dapat membantu juga sebagai pelindung turut sama ‘kenduri’ makanan dibeli Siti Nurzieha kerana dia juga tidak berduit, malah mencadangkan mereka bermalam di rumah tinggal.


Mengimbau kenangan pahit sembilan hari melarikan diri dari kediaman keluarga, Siti Nurzieha mengatakan semuanya bermula apabila dia dan rakannya, Rozana Ahmad Salleh bercadang untuk ponteng sekolah.

“Tidak lama selepas sampai ke sekolah, kami mengambil keputusan untuk ponteng dan bertemu dengan teman lelaki saya yang sedia menunggu.


“Kami hanya membawa sehelai baju gantian kerana tidak terfikir langsung untuk lari dari rumah sebaliknya hanya mahu ponteng. Saya gembira dapat bertemu teman lelaki, tetapi kegembiraan itu tidak lama selepas menyedari abah mengetahui saya ponteng sekolah,”
katanya.


Bimbang dimarahi, pelajar tingkatan empat itu mengambil jalan mudah iaitu bermalam bersama Rozana di kediaman keluarga remaja lelaki terbabit. Mereka kemudian beredar dari sana keesokan harinya.


Selepas itu, bermulalah episod hidup bagaikan pelarian bagi dirinya. Mereka hanya merayau dan kerana tidak tahu mana hendak dituju, teman lelaki Siti Nurzieha mencadangkan mereka mencari rumah tinggal untuk bermalam.


“Kami mendapat lokasi dianggap sesuai iaitu rumah tinggal sekitar Masai. Selama beberapa malam kami di sana, tetapi terpaksa keluar selepas ‘diperhatikan’ penduduk tempatan.


“Selepas itu kami berpindah pula ‘ke istana’ baru di Taman Cendana, Pasir Gudang. Bagaimanapun, di sana, kami dihalau keluar penduduk yang berang. Ketika itu baru saya sedar betapa sukarnya hidup umpama pelarian,”
katanya sebak.


Sepanjang berada di kedua-dua tempat itu, Siti Nurzieha mengatakan mereka menjadikan nasi lemak sebagai ‘santapan’ mewah dan akhirnya, kerana sudah putus sumber kewangan, dia serta Rozana terpaksa menjual telefon bimbit masing-masing untuk membeli makanan.


Di rumah tinggal itu juga, Siti Nurzieha mengatakan ada berbual dengan teman lelaki yang turut memintanya kembali ke rumah kerana kehidupan umpama pelarian mereka cukup daif.


“Bagaimanapun, saya masih lagi bimbang dan kami terus ke sebuah pusat beli-belah di Masai kononnya untuk mencari kerja.

“Ketika kami berlegar-legar, tiba-tiba saya dipanggil abang sebelum abah menyusul tidak lama kemudian. Ketika itu, hanya Tuhan yang tahu betapa sebaknya perasaan saya. Saya bersyukur dikurniakan keluarga yang penuh dengan kasih sayang dan apa akan dilakukan kini ialah taat kepada mereka selain menyambung kembali pelajaran,” katanya.

Sementara itu, Nuri Ngadirin memaklumkan menerima panggilan telefon daripada seorang pemanggil bertugas di pusat beli-belah itu yang terlihat kelibat anaknya serta Rozana di sana.


“Dia mengatakan wajah serta gambaran diri anak serta Rozana yang tersiar di Harian Metro menyerupai dua remaja perempuan dilihat berlegar-legar di sana,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ampunsayamak_abah/Article

Remaja dalam klip video ditahan

Oleh Hadzlihady Hassan

2010/06/11

AMPANG: Seorang pelajar lelaki ditahan bagi membantu siasatan dalam kes pemandu teksi perogol bersiri yang dikatakan gemar menjadikan remaja dan pelajar sekolah sebagai mangsa pemuas nafsunya.

Pelajar lelaki berusia 17 tahun itu ditahan berikutan gambarnya ada dalam klip video yang dirakam pemandu teksi terbabit.


Polis turut menahan remaja lelaki terbabit selepas semua mangsa yang membuat laporan memberikan keterangan dan maklumat mengenai dia.


Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin, berkata pelajar lelaki terbabit ditahan di rumahnya di Taman Segar, Cheras kira-kira jam 5 petang, kelmarin. “Polis turut merampas telefon bimbit, monitor dan komputer milik remaja itu.


“Remaja terbabit juga sudah dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman dan siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti pembabitannya dalam kes itu,”
katanya.


Sementara itu, seorang lagi remaja perempuan tampil membuat laporan dengan mendakwa menjadi mangsa pemuas nafsu pemandu teksi terbabit. Setakat ini seramai tujuh mangsa tampil membantu siasatan.


Difahamkan, remaja berkenaan membuat laporan itu kelmarin dan mendakwa dicabul pemandu teksi terbabit pada awal tahun ini.


Amiruddin berkata, siasatan mendapati ada beberapa lagi remaja pernah menjadi mangsa pemandu teksi terbabit dan mereka diminta tampil membuat laporan .


“Polis berharap mangsa lain membuat laporan sama ada pernah dirogol atau dicabul pemandu teksi terbabit.


“Ia sedikit sebanyak dapat membantu polis menjalankan siasatan dengan lebih lanjut,”
katanya. Harian Metro sebelum ini pernah melaporkan perbuatan keji seorang pemandu teksi berusia 54 tahun yang gemar menjadikan mangsa rogol dan cabul di kalangan remaja belasan tahun.


Pemandu teksi terbabit bagaimanapun ditahan 2 Jun lalu di Jalan Imbi, Kuala Lumpur selepas polis memasang perangkap.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Remajadalamklipvideoditahan/Article

Pengedar ditahan jual ‘kuih ganja’

2010/06/11

KUALA LUMPUR: Seorang pengedar dadah berselindung di sebalik menjual kuih secara kecil-kecilan bagi menjalankan kegiatannya mengedar ganja di Datuk Keramat, dekat sini.

Ini terbukti apabila suspek ditahan bersama lima ketulan mampat ganja yang dibungkus dengan surat khabar di sebalik kuih-muihnya di tempat letak kereta Sistem Aliran Transit (LRT) Datuk Keramat, Isnin lalu.


Dalam serbuan kira-kira jam 9.30 malam itu, suspek yang berusia 31 tahun menunggang motosikal sebelum berhenti di kawasan terbabit bagi menunggu pelanggannya datang mengambil bekalan dadah terbabit.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata ketika diperiksa, suspek enggan bekerjasama dan tidak membenarkan polis memeriksa dengan memegang erat kuih dibawanya.


Bagaimanapun, polis menemui lima ketulan mampat ganja seberat 4.7 kilogram yang dianggarkan bernilai kira-kira RM12,000 selepas menggeledah bekas kuih dibawa suspek.


“Selepas soal siasat, suspek mengaku menunggu pelanggan untuk menyerahkan bekalan dan berselindung di sebalik jualan kuih bagi mengaburi pihak berkuasa.


“Siasatan juga mendapati suspek baru sebulan bergiat aktif mengedar dadah di kawasan berkenaan,”
katanya. Kang berkata, pemeriksaan lanjut terhadap suspek mendapati dia memiliki rekod jenayah lampau dan pernah ditahan tiga tahun lalu atas kesalahan dadah.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pengedarditahanjual__8216_kuihganja__8217_/Article

Thursday, June 10, 2010

Budak ketagih rokok lepas nahas


GAMBAR menunjukkan Ya Wen menghisap sebatang rokok walaupun dia baru berumur tiga tahun.


BEIJING - Seorang kanak-kanak perempuan China berusia tiga tahun, Ya Wen ketagih rokok dan minuman keras selepas dia tersedar daripada koma akibat nahas jalan raya, lapor sebuah akhbar semalam.

Ibu budak itu berkata, anaknya bertukar personaliti setelah dia koma selama lima hari akibat cedera parah setelah dilanggar sebuah van di bandar Huizhou, selatan China tahun lalu.

Menurut ibunya, dia terkejut apabila melihat Wen mampu menghabiskan sekotak rokok milik bapanya setiap hari yang dihisapnya di dalam tandas.

"Dia turut suka meminum bir dengan tiga gelas minuman keras itu boleh diminumnya sekali gus," kata ibunya.

Pada asalnya, budak itu mencuri rokok untuk dihisap tetapi dia kini berhutang dengan pemilik sebuah kedai tempatan kerana rokok tersebut disangka untuk bapanya.

Ibunya berkata, anaknya itu akan menangis jika tidak dibelikan pakaian lelaki.

Baru-baru ini, seorang budak lelaki Indonesia, Ardi Rizal yang berusia dua tahun menggemparkan negara itu apabila rakaman video di lamanYouTube di Internet menunjukkan dia ketagih rokok. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Polis siasat '3 selebriti seks'


GAMBAR poster iklan menunjukkan Luna Maya bersama Ariel.


JAKARTA - Tiga selebriti Indonesia yang didakwa muncul dalam video seks yang disiarkan di Internet akan disoal siasat kerana kemungkinan mereka melanggar undang-undang antipornografi, kata polis semalam.

Pada minggu lalu, dua video klip seks melibatkan pelakon sinetron, Luna Maya dengan anggota kumpulan Peterpan, Ariel tersebar di Internet.

Seorang lagi selebriti Indonesia yang merupakan seorang pengacara, Cut Tari turut terlibat dalam video seks dengan kekasihnya.

Ketua Detektif Polis, Ito Sumardi berkata, selebriti itu akan disoal mengenai bagaimana klip berkenaan boleh muncul di Internet.

"Kami akan menyoal mereka bagi mengetahui mengenai klip tersebut dan bagaimana ia boleh diedarkan di khalayak awam," katanya kepada pemberita.

Luna merupakan duta muhibah Program Makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selain pernah muncul bersama dengan Ariel dalam iklan makanan dan kosmetik Unilever.

Skandal itu telah menggemparkan Indonesia sehingga Ariel digelar Peterporn di laman Twitter. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Budak banyak lengan dibedah

Budak banyak lengan dibedah


GAMBAR menunjukkan Deepak Paswan
sebelum dia menjalani pembedahan
di sebuah hospital di Bihar semalam.


BIHAR, India - Seorang budak lelaki India berusia tujuh tahun, Deepak Paswan akhirnya selamat menjalani pembedahan bagi membuang lapan anggota tambahan menyerupai kaki dan tangan di sebuah hospital dekat sini semalam.

Sepasukan 15 doktor di Hospital Fortis di Bangalore membuat pembedahan itu bagi membuang lebihan anggota tambahan tersebut yang sebenarnya merupakan daging parasit dan bersambung ke bahagian abdomen.

Anggota tambahan itu seolah-olah seperti empat tangan dan empat kaki.

Sebelum dia dibedah, terdapat penganut-penganut agama Hindu yang memujanya sebagai jelmaan Dewa Vishnu yang mempunyai banyak anggota badan.

"Dia sudah 100 peratus pulih," kata ketua pasukan pembedahan, Ramcharan Thiagrajan.

Menurutnya, pasukan pembedahan tersebut berdepan dengan cabaran untuk memastikan bahagian usus budak itu berfungsi dengan betul untuk tempoh jangka panjang.

Bapanya, Viresh Pasawan berkata, mereka sekeluarga bersyukur kerana kos pembedahan yang mencecah 2.34 juta rupee (RM166,350) ditanggung sepenuhnya oleh pihak hospital berkenaan.

Anaknya dimasukkan ke hospital itu pada 30 Mei lalu.

Pasawan yang berusia 30-an dan bertugas sebagai pekerja pembinaan menyifatkan pembedahan anaknya dianggap paling rumit serta berbahaya apabila ia mengambil masa selama empat jam.

Pasawan menganggap pembedahan anaknya itu sebagai ajaib. Dia berkata, anaknya itu akan pergi ke sekolah sebagai manusia normal selepas pulih daripada pembedahan. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

RM70 sara 2 anak OKU

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

2010/06/10

KUALA LUMPUR: “Dengan kos sara hidup semakin tinggi, bagaimana saya mampu membeli keperluan untuk anak kelima saya yang hanya mampu berbaring sepanjang masa walaupun usianya kini sudah 25 tahun.

“Puas saya membuat rayuan bantuan sara hidupnya dinaikkan tapi masih tiada jawapan. Sejak mendapat bantuan RM70, jumlah itu kekal sampai sekarang,” luah warga emas, Saliah Bani, 62 dari Jengka, Pahang.


Dia yang juga suri rumah berkata, selain anak gadisnya itu, Nor Azimah Khamis, dia turut mempunyai seorang anak lelaki yang turut dikategorikan orang kurang upaya (OKU).

Warga emas malang itu turut kesal kerana tiada siapa daripada jawatankuasa kawasan tempat tinggalnya di Felda Kenanga, Jengka 7, Pahang, yang pernah bertanya khabar apatah lagi menghulurkan bantuan kepada golongan tidak bernasib baik sepertinya.

“Dengan bantuan sebanyak itulah saya terpaksa membeli kelengkapan harian, malah dengan kudrat yang ada saya bercucuk tanam di belakang rumah untuk menampung perbelanjaan. “Ikutkan hati, saya mahu bekerja bagi mengurangkan beban kami sekeluarga tapi dengan usia sebegini, siapa yang mahu ambil saya. Tambahan pula, saya perlu menjaga Azimah kerana dia tidak mampu menguruskan dirinya sendiri,” katanya.


“Bukan saya tidak mempunyai anak lain untuk membantu, tapi mereka pun sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungan sendiri, kadang-kadang pendapatan mereka hanya cukup-cukup makan saja,” katanya yang mempunyai lapan anak ketika ditemui, di sini, semalam.


Lebih malang bagi wanita itu kerana turut menghidap asma dan kadangkala terpaksa berhempas pulas mengangkat Azimah ke tandas.

Saliah berkata, RM250 diperlukan setiap bulan bagi menyediakan keperluan seperti lampin pakai buang, susu dan bubur untuk anaknya itu kerana dia tidak mampu bergerak selepas mengalami demam panas ketika berusia 44 hari.

Sementara itu, Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat daerah Hulu Langat, Zainab Mat Amin ketika dihubungi berkata, skim bantuan am RM70 diperuntukkan untuk pemohon biasa manakala skim bantuan pesakit kronik RM300 diperuntukkan bagi pesakit terlantar.


“Bagaimanapun, skim bantuan bagi pesakit kronik baru diperkenalkan tahun lalu. Mungkin masalah timbul kerana proses menukar skim bantuan am kepada skim itu mengambil masa kerana JKM perlu menyiasat latar belakang pemohon.


“Bagaimanapun, pengadu dinasihatkan pergi semula ke JKM terdekat dan menceritakan masalah dihadapi dan memang menjadi tanggungjawab kami untuk membantu mereka yang memerlukan,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/RM70sara2anakOKU/Article

Amah dijel 15 tahun

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

2010/06/10

SHAH ALAM: Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang dituduh membunuh majikan perempuannya dengan mengelar leher mangsa menggunakan pisau dihukum penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid menjatuhkan hukuman itu terhadap Indah Wijayanti, 23, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan menyebabkan kematian majikannya mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan. Sebelum ini, dia menghadapi hukuman mati mandatori mengikut tuduhan asal, iaitu Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga bernasib baik mahkamah memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh dia tangkap pada 2 Julai 2007. Indah mengaku menyebabkan kematian Kek Huey Lian, 41, di rumah No 19, Jalan Batu Perdana, Klang, antara jam 1.30 tengah hari hingga 2.30 petang, 2 Julai 2007.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Isa Hassim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh berikutan pembunuhan itu menyebabkan anak mangsa mengalami trauma teruk apabila kehilangan ibu mereka.

Menurutnya, walau apapun alasan diberikan pihak pembelaan, termasuk laporan Hospital Bahagia Ulu Kinta menyatakan mangsa mengalami kemurungan, tertuduh didapati waras ketika kejadian.

Bagaimanapun, peguam Jagdish Kaur yang mewakili Indah pula memohon mahkamah mengambil kira bahawa fakta sebelum kejadian bahawa tertuduh sentiasa dimarahi dengan kata-kata kesat oleh si mati. Ini, katanya, menunjukkan ada elemen penderaan yang dihadapi tertuduh.


“Anak guam saya mula bekerja dari jam 5.30 pagi hingga 12 tengah malam dan tidak pernah diberi cuti. Segala beban kerja rumah diuruskan tertuduh termasuk menjaga anak majikannya,” katanya.

Katanya, Indah menyesal dengan perbuatannya dan sedih serta meminta maaf kepada keluarga mangsa. “Ini terutama anak bongsu mangsa yang menjadi satu-satunya pengubat rindu di rumah mangsa. Ini kerana Indah tiada sahabat atau saudara di Malaysia,” katanya.

“Saya pohon mahkamah mengambil kira semua faktor ini dengan meringankan hukumannya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Amahdijel15tahun/Article

Tangkap bogel rumah kongsi

Oleh Nor Husaini Nor Majid

2010/06/10

KULIM: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun hanya mampu menutup kemaluan dan payu daranya dengan tangan apabila dia dan teman lelakinya yang mengadakan hubungan seks diserbu Penguatkuasa Agama Islam Daerah Kulim (PADK), Kedah dalam satu serbuan cegah maksiat, malam kelmarin.

Ketika serbuan jam 11.45 malam itu, remaja berkenaan dan pasangannya berusia 25 tahun itu yang leka melakukan seks terkejut dengan kehadiran PADK dan anggota polis.


Remaja perempuan pelajar tingkatan lima sebuah sekolah di sini dan pasangannya seorang buruh ditahan berkhalwat di sebuah rumah kongsi di Junjung yang juga kediaman lelaki terbabit.


Ketua Unit Penguat kuasa PADK, Azmi Rejab berkata, pihaknya yang menerima aduan dari Balai Polis Junjung, ke rumah kongsi berkenaan pada jam 9 malam tetapi tiada penghuni di situ sebelum kembali semula jam 11.45 malam.


“Sejurus kemudian, kami menyerbu rumah kongsi berkenaan dan ketika itu pasangan terbabit melakukan hubungan seks.


“Mereka dalam keadaan berbogel hanya menggunakan tangan menutup kemaluan sebelum remaja perempuan itu menyorok di belakang pasangannya,”
katanya.


Azmi berkata, pasangan itu kemudian dibawa ke Balai Polis Kulim dan ditahan di lokap sebelum ibu bapa pasangan itu dipanggil untuk proses ikat jamin.


Katanya, melalui siasatan dijalankan, pelajar perempuan itu baru mengenali pasangannya 20 hari lalu selepas putus cinta dan mengadakan hubungan seks dengan lelaki terbabit 18 Mei lalu.


Malah, katanya, remaja itu juga mengaku sering mengadakan hubungan seks dengan bekas teman lelaki sebelum ini serta lelaki lain.


“Remaja perempuan itu memberi alasan berkunjung ke rumah abang kepada keluarganya untuk keluar tetapi kesempatan itu digunakan berjumpa teman lelaki di rumah kongsi itu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tangkapbogelrumahkongsi/Article

'Kalau hendak kahwin, balik dulu'

2010/06/10

MUAR: “Kalau betul dah hendak kahwin, balik dulu, bukan lari rumah dengan teman lelaki macam ‘koboi’,” itu luahan seorang ibu, Normah Mohd Nor, 52, yang kecewa anak gadisnya menghilangkan diri kali kedua dalam tempoh lima bulan sejak Februari lalu.

Lebih mengecewakan, Norfarahin Jalaludin, 20, akan menamatkan pengajiannya di Politeknik Port Dickson (PPD), Negeri Sembilan, November depan.


Normah berkata, anaknya itu dipercayai lari bersama teman lelakinya yang dikenali sebagai Zulkifli buat kali kedua pada 13 Mei lalu. “Saya kesal sikap Norfarahin lebih dengar kata teman lelaki daripada menurut nasihat ibu bapa sebenarnya kami pentingkan pelajarannya. “Norfarahin ambil kursus Kesetiausahaan sedang mengikuti latihan amali di Pejabat Pegawai Daerah Muar sejak awal Februari lalu. Dia tidak pulang ke rumah sejak 23 Februari lalu dipercayai mengikut teman lelaki yang tinggal di Johor Bahru,” katanya ketika ditemui di Parit Keroma, Jalan Temenggong Ahmad, di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kalauhendakkahwin_balikdulu_/Article

Isteri lari ikut kekasih

Oleh Arifin Salleh

2010/06/10

MASJID TANAH: “Saya ada di Bahau (Negeri Sembilan), bagi Along (anak sulung) motor,” Itu pesanan terakhir khidmat pesanan ringkas (SMS) dikirim seorang isteri yang tergamak meninggalkan suami kerana mengikut kekasihnya.

Ibu kepada empat anak berusia 12 hingga 21 tahun itu, Fauziyah Yahya, 42, dipercayai bersama teman lelaki seorang warga Bangladesh yang dikenali di tempat kerjanya sejak beberapa tahun lalu sebelum ke Kuala Lumpur untuk dibawa ke negara asal kekasihnya itu.


Kejadian itu disedari suaminya, Abdul Gamal M Salleh, 45, yang juga pemastautin tetap apabila mendapati wanita terbabit tiada di rumah kira-kira jam 12 tengah hari pada 27 Mac lalu sebelum menemui resit pembaharuan pasport antarabangsa miliknya isterinya.


Abdul Gamal berkata, dia berasa hairan dengan tindakan isterinya meninggalkan dirinya dan anak mereka sedangkan sebelum ini tiada sebarang persengketaan antara mereka.


Menurutnya, lebih mengejutkan apabila dia turut menemui sekeping gambar warga Bangladesh berusia 30-an itu sedang memeluk isterinya ketika menggeledah barang peribadi milik isterinya.


“Semua barang kemas milik isteri saya turut dibawa bersama termasuk buku simpanan milik bersama seperti buku akaun Maybank, buku akaun Bank Simpanan Nasional serta kad mesin juruwang automatik dan buku akaun Amanah Saham Nasional.


“Isteri saya pernah bekerja di sebuah kilang memproses ayam di Kawasan Perindustrian Pengkalan Balak dan dipercayai sudah lama mengenali teman lelakinya itu yang juga bekerja sebagai operator di tempat sama.


“Isteri saya sanggup tipu kerja lebih masa kerana hendak bersama kekasihnya tanpa sedar gelagat diperhatikan rakan-rakan sekerja,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Isterilariikutkekasih/Article

Wang judi RM1 bilion

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee

2010/06/10

KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti empat sindiket perjudian Internet bola sepak tanpa lesen didalangi individu bergelar ‘Datuk’ membabitkan wang pertaruhan lebih RM1 bilion bagi perlawanan Piala Dunia yang berlangsung esok.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, pihaknya kini menubuhkan satu pasukan khas dalam operasi dikenali ‘Ops Sogar’ bagi menggempur sindiket terbabit yang turut didalangi beberapa pakar teknologi maklumat (IT).

“Kami percaya sindiket ini beroperasi di seluruh negara membabitkan wang pertaruhan mencecah RM1 bilion dan bergiat di kalangan orang tempatan. Namun kami sedang menyiasat sama ada mereka mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa atau tidak.

“Bagi menjaga kepentingan awam, kami mengarahkan semua pegawai di semua kontinjen menggempur mana-mana sindiket yang menganjurkan pertaruhan.

“Buat masa ini kami sudah mengesan empat sindiket terbesar yang turut didalangi mereka bergelar Datuk,“
katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Mohd Bakri berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket berkenaan turut didalangi ‘along’ yang menawarkan pinjaman haram sepanjang pertaruhan itu dilakukan.

“Kami percaya, selain melakukan pertaruhan di kafe perjudian siber, mereka turut mempunyai lokasi tertentu sebagai markas operasi dan unit pemantauan kami akan bekerjasama dengan Interpol bagi mengesan kegiatan itu di peringkat antarabangsa.

“Saya memberi amaran kepada sindiket ini, polis akan terus mengesan kegiatan haram mereka habis-habisan. Selain mengambil tindakan di bawah undang-undang pencegahan, tindakan mengikut Akta Penggubahan Wang Haram juga turut dikenakan bagi menyita semua harta mereka jika sabit kesalahan,”
katanya.

Sementara itu, di lobi Parlimen, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong, berkata kementerian tidak teragak-agak mengambil tindakan serius terhadap sindiket perjudian dan orang perseorangan yang didapati bersalah mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289), Akta Pertaruhan 1953, Akta Jenayah Komputer 1977 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Hukuman yang boleh diambil mengikut akta yang dinyatakan termasuk hukuman maksimum lima tahun dan denda maksimum RM200,000 terhadap penjudi dan penganjur mesin perjudian,” katanya.

Lee berkata, terdapat dua bentuk perjudian menerusi talian iaitu ‘online casino’ dan ‘online sports betting’ yang berpusat di luar negara tetapi mempunyai ejen dalam negara yang beroperasi tanpa lesen.

Selain tindakan berkenaan, pihak yang ditangkap atas kesalahan sama boleh dikenakan tindakan sekatan atau tahanan mengikut undang-undang pencegahan iaitu Akta Kediaman Terhad 1933, Ordinan Darurat 1959 dan Akta Pengubah Wang Haram (pembiayaan keganasan) 2007.

Lee berkata, bagi pencegahan di peringkat antarabangsa, PDRM turut menjalinkan kerjasama dengan Interpol dalam membanteras aktiviti itu yang membabitkan negara Asean.

“Kementerian berusaha memelihara hak asasi masyarakat dan pada masa sama membantu mengekalkan keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam. Orang awam juga dialu-alukan untuk memberi maklumat sindiket perjudian dengan menghubungi Rakan Cop di talian 03-21159999 dan Bilik Kawalan MCC Bukit Aman di talian 03-22663333/3444,” katanya.

Lepas geram bakar masjid

Oleh Hayati Ibrahim

2010/06/10

SEPANG: Akibat kecewa apabila mengetahui bekas isterinya akan berkahwin, seorang lelaki bertindak nekad membakar sebuah masjid di Kampung Limau Manis, dekat sini, malam kelmarin.

HANGUS...Samsudin menunjukkan ruang sembahyang utama masjid yang dibakar, kelmarin.
HANGUS...Samsudin menunjukkan ruang sembahyang utama masjid yang dibakar, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam kelmarin, lelaki berusia 30-an yang dipercayai mabuk bertindak demikian semata-mata untuk melepaskan geram.

Kejadian itu menyebabkan keseluruhan ruang sembahyang utama Masjid Jamiurrahmah terbakar.

Lelaki itu dipercayai menggunakan petrol untuk memulakan kebakaran sebelum tidur di ruang sembahyang utama tanpa menghiraukan keselamatan diri.

Imam masjid berkenaan, Samsudin Mat Daud, berkata kejadian itu disedari selepas ternampak api dan asap dari masjid berkenaan sebelum meninjau untuk mengetahui apa yang berlaku.

“Saya cuba buka pintu utama, tetapi ia dikunci dari dalam. Kemudian saya cuba masuk menerusi pintu belakang dan mendapati seorang lelaki sedang tidur nyenyak berhampiran pintu di ruang sembahyang utama.

“Ketika itu, api marak. Saya tidak berani mendekati lelaki itu kerana bimbang dia mempunyai senjata.

“Saya ke kedai makan berhampiran untuk meminta pertolongan penduduk sebelum bergegas semula ke masjid untuk memadamkan api,”
katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Samsudin berkata, lelaki itu melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penduduk kampung.

Katanya, penduduk menelefon bomba untuk membantu memadamkan kebakaran bagi mengelakkan ia merebak ke tempat lain.

“Kejadian itu menyebabkan semua ruang sembahyang utama termasuk permaidani, al -Quran dan almari terbakar dan kerugian dianggarkan bernilai lebih RM300,000,” katanya.

Difahamkan, lelaki terbabit memulakan kebakaran dengan membakar al-Quran dalam almari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Zahedi Ayub ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya menjejaki seorang lelaki berusia 30-an yang dipercayai mencetuskan kebakaran.

“Kami sudah mengenal pasti suspek dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 435, Kanun Keseksaaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lepasgerambakarmasjid/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...