Tuesday, January 27, 2009

Tentera AS bunuh penduduk awam


SEJUMLAH penunjuk perasaan membantah serangan tentera Amerika Syarikat (AS) dalam perhimpunan di Mehterlam, Afghanistan semalam. - AP

--------------------------------------------------------------------------------


KABUL - Presiden Afghanistan, Hamid Karzai mengecam satu operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang menyebabkan 16 orang awam terbunuh.

Hamid berkata, pembunuhan orang awam di Afghanistan oleh tentera AS tersebut menyebabkan kumpulan pengganas semakin kuat.

Beliau juga mengarahkan menteri pertahanan Afghanistan pergi ke Washington bagi merangka satu perjanjian teknikal bagi memberikan Afghanistan kuasa untuk mengawasi setiap operasi ketenteraan AS.

Hamid juga mengarahkan menteri itu mengunjungi pejabat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk membincangkan perkara yang sama.

Para pegawai tentera AS memberitahu bahawa seramai 15 pejuang bersenjata berjaya dibunuh dalam satu serangan pada awal pagi kelmarin.

Bagaimanapun, beberapa pegawai Afghanistan menafikan laporan tentera AS tersebut dan mendakwa mangsa yang terbunuh sebenarnya adalah orang awam.

Sementara itu, beratus-ratus penduduk kampung di wilayah Laghman yang berhampiran lokasi operasi tersebut mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah serangan tersebut. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Virus komputer misteri


SEORANG lelaki menggunakan komputer di sebuah kafe Internet di Sydney, Australia. - Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------


LONDON - Satu virus komputer misteri kini merebak dengan pantas dan sudah menjangkiti lebih 15 juta komputer di seluruh dunia, lapor sebuah akhbar semalam.

Dalam tempoh tiga hari sahaja, sebanyak enam juta komputer dijangkiti virus itu yang merupakan jenis cecacing dikenali sebagai Downadup, Conficker atau Kido.

Sehingga kini pakar-pakar masih belum mengetahui apakah tujuan virus misteri itu dicipta dan kesannya terhadap komputer.

Pakar-pakar berpendapat virus itu mungkin tidak mempunyai apa-apa fungsi kerana penciptanya hanya mahu menunjuk kepakaran yang dimilikinya.

Bagaimanapun, beberapa pakar keselamatan berasa ragu kerana tidak mungkin sejenis virus cecacing yang canggih tidak mempunyai tujuan tertentu.

Pengurus Teknikal F-Secure, Tom Gaffney berkata, cecacing itu mungkin dicipta untuk mencuri maklumat sulit pengguna komputer seperti maklumat akaun dan kata laluan.

Menurutnya, cecacing itu tidak memberi kesan kepada pengguna sistem operasi Apple Macs tetapi boleh menjejaskan pengguna Windows yang tidak memasang perisian anti-virus yang dibekalkan oleh Microsoft. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Askar Israel diberi perlindungan


AFP
SEBAHAGIAN kanak-kanak Palestin berbaris sebelum menghadiri kelas pembelajaran dalam khemah di Rafah, selatan Gaza semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


JERUSALEM - Askar-askar Israel yang terlibat dalam operasi ketenteraan di Genting Gaza diberikan perlindungan undang-undang oleh kerajaan daripada tuduhan melakukan jenayah perang, kata Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert semalam.

"Komander dan askar yang dihantar ke Gaza adalah selamat daripada mana-mana tribunal dan kerajaan akan membantu serta melindungi mereka," kata Olmert.

Olmert juga mengesahkan bahawa beliau melantik Menteri Perundangan, Daniel Friedman untuk mempengerusikan satu jawatankuasa melibatkan menteri-menteri.

Jawatankuasa itu ditubuhkan bagi mengatur usaha-usaha Israel bagi menawarkan perlindungan undang-undang kepada setiap individu yang terlibat dalam operasi di Gaza.

Tentera Israel sebelum ini mengharamkan media mendedahkan identiti ketua unit tentera yang terlibat dalam operasi di Gaza itu kerana bimbang mereka mungkin menghadapi dakwaan jenayah perang.

Pada minggu lalu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menggesa pihak yang bertanggungjawab mengebom bangunan badan itu di wilayah Palestin dihadapkan ke pengadilan.

Beliau juga menuduh Israel menggunakan kekerasan terlampau dalam operasi selama tiga minggu itu yang bertujuan menghentikan serangan roket Hamas.

Kumpulan hak asasi manusia Israel juga menggesa kerajaan menyiasat jumlah kematian penduduk Palestin dan menggambarkan jumlah wanita serta kanak-kanak yang terkorban adalah besar.

Israel melancarkan serangan pada 27 Disember lalu sebelum menamatkan operasi pada 17 Januari lalu. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Pak Tam dah tak tahan


Oleh AZIZI MAJID
azizi.majid@kosmo.com.my

OMAR dan isterinya, Hadiah menatap surat Pak Tam sambil diperhatikan dua anak mereka di Pekan Nenas, Pontian semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


PONTIAN – “Meskipun agak mustahil untuk membebaskan Pak Tam tetapi saya tetap berharap agar tempoh penjaranya dikurangkan.”

Itulah luahan hati Omar Yaini, 55, bapa Sheikh Faeizan, 20, yang kini dijatuhi hukuman penjara 25 tahun oleh mahkamah di Taipei, Taiwan setelah didapati bersalah membawa dadah pada perbicaraan 24 Jun tahun lalu.

Sheikh Faeizan atau lebih dikenali sebagai Pak Tam ditahan di Taipei pada 24 Mei lalu sewaktu hendak berlepas pulang ke Malaysia setelah didapati membawa heroin seberat 2.141 gram.

Menurut Omar, meskipun reda dengan keputusan tersebut, dia tetap berharap agar kerajaan dapat membantu membuat rayuan kepada pihak berkuasa Taiwan agar dapat mengurangkan tempoh penjara tersebut.

“Kami tak tahu kepada siapa lagi hendak mengadu tetapi berharap agar kerajaan dapat membantu kami,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Seri Kiambang, Pekan Nenas di sini semalam.

Ujarnya, anaknya itu ada menghubungi telefon bimbitnya pagi tadi (semalam) untuk bertanyakan khabar selain mengatakan rasa rindu terhadap keluarga.

“Itulah panggilan pertama yang kami terima sejak Pak Tam dipenjara setahun lalu selain hanya berhubung melalui kiriman surat sebelum ini.

“Dia ada mengatakan sudah tidak tahan lagi tinggal di penjara,”
katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Syarikat Jepun terus ambil pekerja


Oleh AZIZI MAJID
azizi.majid@kosmo.com.my

JOHOR BAHRU – Kegawatan ekonomi sehingga berlaku pemberhentian pekerja tidak menjejaskan syarikat multinasional Jepun yang beroperasi di negara ini untuk terus mengambil pekerja baru.

Pengerusi Bahagian Hal Ehwal Pengurusan Dewan Perniagaan, Perdagangan dan Perindustrian Jepun di Malaysia (Jactim), Akira Hashimoto berkata, pihaknya tetap membuka peluang pekerjaan termasuk kepada graduan universiti.

“Sekurang-kurangnya 10 syarikat multinasional menjanjikan peluang pekerjaan kepada permohonan yang layak biarpun dunia dilanda krisis ekonomi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pameran kerjaya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini kelmarin.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Lari merajuk ditegur bermain SMS

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.azde@kosmo.com.my



NAZAAH menunjukkan gambar Noor Aishah di rumahnya di Taman Paramount, Petaling Jaya semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


PETALING JAYA – Lari selepas ditegur main SMS!
Itu yang didakwa berlaku kepada Noor Aishah Izan, 15, yang dikatakan merajuk dan menghilang diri dari rumah di Taman Paramount di sini pada 11 Januari lalu dan sehingga kini masih belum ditemui.

Ibunya, Nazaah Hassan, 72, berkata, anak bongsunya yang lebih mesra dipanggil Adik itu pada mulanya bermain khidmat pesanan ringkas (SMS) di dalam gelap di rumahnya pada hari kejadian.

“Masa itu saya nampak dia sedang menangis tapi saya tak tahu kenapa... jadi saya tegur Adik supaya jangan bermain SMS dalam gelap.

“Saya bukannya berniat untuk marah tetapi sekadar tegur. Pulanglah Adik... kami semua rindui dan sayang Adik. Tiada siapa yang nak marah Adik lagi,”
rayu Nazaah di sini semalam.

Menurut Nazaah yang kerap menangis mengenangkan nasib anaknya itu, beberapa minit selepas memarahi Noor Aishah, dia berasa bersalah dan pergi semula melihat anaknya tetapi terkejut apabila anaknya itu sudah menghilangkan diri.

Anak bongsunya itu meninggalkan rumah pukul 7.45 malam dan sehingga kini tidak pernah menghubungi mereka sekeluarga.

Aishah, satu-satunya anak perempuan daripada empat beradik, meninggalkan rumahnya melalui balkoni dalam keadaan sehelai sepinggang.

Bagaimanapun, Nazaah difahamkan bahawa dua hari sebelum kehilangan Aishah, dia kelihatan muram seolah-olah mempunyai masalah tetapi enggan bercerita kepada ahli keluarganya.

Sementara itu, abang kedua Aishah, Dzulkafley Abdul Samad, 49, memberitahu, usaha untuk mencari adik kesayangan itu digerakkan sejurus mendapat tahu kehilangannya.

“Selepas ketahui Adik sudah ‘hilang’, kami berusaha mencarinya di sekitar taman perumahan sehinggalah ke Pelabuhan Klang.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Institusi perbankan Britain hampir muflis


LONDON – Sistem perbankan Britain di ambang keruntuhan sebelum bantuan kerajaan dikeluarkan pada musim luruh ini, kata Menteri Perkhidmatan Kewangan, Paul Myners.

Beliau yang dipetik laporan akhbar The Times of London menjelaskan, ramai pendeposit besar mahu mengeluarkan simpanan mereka dalam masa terdekat walaupun terpaksa membayar penalti.

Saham bank-bank di Britain merudum kelmarin berikutan spekulasi yang mendakwa industri itu memerlukan bantuan tambahan atau terpaksa dimiliknegarakan. – AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm

Kellogg’s tarik biskut mentega kacang

SAN SALVADOR – Syarikat makanan Amerika Syarikat (AS), Kellogg’s menarik semula beberapa jenama biskut yang mengandungi mentega kacang dari Amerika Tengah, kata syarikat itu di El Salvador kelmarin.

“Kami secara sukarela menarik biskut jenama Austin, Famous Amos dan Keebler yang mengandungi mentega kacang berikutan ia berkemungkinan dicemari bakteria Salmonella,” kata satu kenyataan.

Wabak Salmonella yang berpunca daripada pencemaran najis haiwan sehingga kini menyebabkan 388 penduduk AS jatuh sakit manakala 67 lagi terpaksa dirawat di hospital. – AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Anak Presiden AS jadi nama mainan



WASHINGTON – Wanita pertama Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama berang apabila mendapati sebuah syarikat menggunakan dua nama anaknya sebagai watak terbaru produk anak patung, lapor sebuah akhbar.

Syarikat tersebut, Ty yang terkenal dengan produk Beanie Babies kini menjual anak patung bernama Sweet Sasha dan Marvelous Malia. Jurucakap syarikat itu bagaimanapun menjelaskan ia tidak ada kena mengena dengan anak Presiden Barack Obama.

“Kami berasa kurang sesuai untuk menggunakan nama anak kecil untuk tujuan pemasaran,” kata setiausaha akhbar Michelle, Katie McCormick Lelyveld kelmarin. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Obama umum pelan sekat kemelesetan


Barack Obama


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama semalam mengumumkan pelan ekonomi yang akan merentang hampir 5,000 kilometer kabel elektrik, meningkatkan tahap keselamatan di 90 pelabuhan dan menggandakan jumlah tenaga boleh guna dalam tempoh tiga tahun.

Pelan berkenaan adalah usaha terbaru Obama dalam meningkatkan perbelanjaan kerajaan bagi menyuntik hampir AS$1 trilion (RM3.6 trilion) bagi merangsang ekonomi negara itu yang semakin tenat.

"Ekonomi kita mungkin kurang AS$1 trilion (RM3.6 trilion) daripada kapasiti penuhnya tetapi jika kita tidak bertindak berani dan pantas maka keadaan akan menjadi bertambah buruk," katanya dalam satu siaran.

Para pembantu kanan Obama berkata, mereka mahu rakyat AS mengetahui bahawa lebih banyak sekolah akan dapat dibina dan tarif elektrik akan lebih murah.

Sebanyak 2.6 juta pekerjaan hilang di AS tahun lalu iaitu paras tertinggi sejak Perang Dunia Kedua.

Pelan Obama itu turut menaik taraf 10,000 sekolah dan meningkatkan kemudahan pelajaran kepada lima juta pelajar.

Langkah itu akan membelanjakan sekurang-kurangnya 75 peratus kos atau AS$600 bilion (RM2.2 trilion) dalam tempoh 18 bulan.

Pakej tersebut turut memberikan perlindungan kesihatan kepada 8.5 juta rakyat AS yang kehilangan insurans akibat kehilangan kerja atau bertukar kerja. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Hamas kembali berkuasa


SEKUMPULAN kanak-kanak perempuan Palestin berjalan meunju ke sekolah di Gaza semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


BANDAR GAZA - Para pemimpin Hamas mengisytihar kemenangan berikutan pengunduran Israel setelah tiga minggu menceroboh Gaza.

Kumpulan tersebut berikrar untuk menyalurkan bantuan sebanyak AS$52 juta (RM188 juta) bagi membantu membaiki kehidupan rakyat Palestin.

Hamas yang menerima bantuan dari negara-negara Islam berkata, bantuan kecemasan itu termasuk bayaran AS$1,300 (RM4,710) untuk satu kematian, AS$650 (RM2,355) untuk kecederaan, AS$5,200 (RM18,840) untuk kemusnahan rumah dan AS$2,600 (RM9,420) untuk kerosakan rumah.

Lebih 4,000 rumah musnah dan 20,000 lagi rosak, lapor unjuran bebas.

"Kami kini menguasai Gaza dan kami memenangi peperangan ini," kata seorang pegawai kanan Hamas, Mushir al-Masri.

Serangan Israel yang bermula pada 27 Disember lalu memusnahkan semua kemudahan keselamatan Hamas manakala dua pemimpin kanannya, Mahmoud Zahar dan Perdana Menteri Gaza, Ismail Haniyeh, masih belum muncul di khalayak ramai.

Israel mendakwa membunuh lebih 700 pejuang Hamas tetapi kumpulan itu mendakwa hanya 280 terbunuh.

Gaza kini bukan sahaja disekat dari dunia luar sejak 19 bulan lalu malah ia terpaksa hidup bersama runtuhan bangunan.

Kanak-kanak Gaza semalam mula ke sekolah anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Hamas buat kali pertama dalam tempoh tiga minggu.

Agensi Bantuan dan Kerja PBB (UNRWA) membuka semua 221 sekolah yang memberi pendidikan kepada 200,000 pelajar di wilayah itu.

"Tampil kehadapan jika ibu atau ayah kamu mati syahid," kata guru besar, Riad Maliha.

Lebih 20 murid tampil untuk berdaftar dengan PBB bagi menerima bantuan khas termasuk seorang pelajar, Anas Abbas, 12.

"Mereka (tentera Israel) musnah dan bunuh lima orang jiran saya. Tentera Yahudi terlalu dekat dengan kami," kata Anas.

Lebih separuh daripada 1.4 juta penduduk Gaza berumur bawah 18 tahun dan lebih 80 peratus daripada mereka bergantung dengan bantuan makanan PBB. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Lebih banyak terowong digali


DIANGGARKAN terdapat 300 terowong seperti ini di Gaza.

--------------------------------------------------------------------------------


SELEPAS membaiki terowong mereka Khamis lalu, pekerja untuk seorang penyeludup, Abu Wahda mula memunggah masuk makanan melalui laluan yang sempit itu.

Terowong yang menghubungkan Semenanjung Gaza dengan Mesir itu kembali beroperasi biarpun ratusan tan bom dan peluru berpandu dijatuhkan Israel ke muka bumi Palestin.

Pemulihan pantas terowong itu, bagaimanapun, menyukarkan pembanterasan aktiviti penyeludupan dan sekali gus menguatkan lagi ketakutan Israel bahawa pemimpin Hamas akan menggunakan rangkaian terowong itu untuk membawa masuk senjata bagi menambah semula bekalan senjata setelah mereka dibom baru-baru ini.

"Saya berjaya membaiki kerosakan (pada terowong) dalam masa tiga hari," kata Abu Wahda yang tidak mahu nama sebenarnya didedahkan.

Menjelang tengah hari, mesin pengangkut sudah memunggah masuk 12 karung besar cip kentang.

Abu Wahda berkata laluan setinggi satu meter di bawah pasir lembut Gaza itu masih belum beroperasi sepenuhnya dan berbahaya untuk lapan pekerjanya yang sedang memunggah barang dari Mesir.

"Tetapi bahaya yang lebih teruk datang dari ruang udara jika mereka (Israel) mengebom sekali lagi," katanya.

Seorang remaja diarah bersedia di pintu masuk untuk memerhatikan kapal terbang Israel.

Menteri Luar Israel, Tzipi Livni, berkata bahawa Israel sanggup untuk memulakan semula perang jika pengeboman masih belum memadai untuk menghentikan penyeludupan.



HAIWAN ternakan turut diseludup melalui laluan sempit ini.

--------------------------------------------------------------------------------



"Jika kami perlu lakukan operasi ketenteraan tambahan untuk menghentikan penyeludupan, ia akan dilakukan," katanya kepada Radio Israel. "Israel mempunyai hak untuk menentang penyeludupan, itu saja."

Untuk menghentikan penyeludupan itu - di samping menghentikan Hamas daripada melancarkan serangan roket di selatan Israel - merupakan objektif utama serangan Israel, yang telah membunuh 1,285 rakyat Palestin, dengan kebanyakannya orang awam.

Tentera Israel berkata mereka telah memusnahkan antara 60 hingga 70 peratus daripada terowong yang ada sebelum gencatan senjata Ahad lalu. Israel menganggarkan terdapat kira-kira 300 terowong sebelum serangan itu.

Penyeludup di Rafah, bandar sempadan selatan Gaza, tempat sebahagian besar terowong dikorek, memberitahu bahawa terdapat kira-kira 1,000 terowong beroperasi sebelum serangan itu dan sehingga 90 peratus daripadanya dimusnahkan.

Kebanyakan terowong dikorek selepas Israel dan Mesir menutup pintu keluar dan masuk ke Gaza berikutan rampasan kuasa Hamas pada Jun 2007.

Manakala Israel percaya terowong itu digunakan Hamas untuk menyeludup masuk senjata, terowong itu sebenarnya digunakan untuk melepasi sekatan Israel mengimport barangan yang sukar untuk ditemui di Gaza seperti minyak, pakaian, bekalan pembinaan, rokok dan juga cip kentang yang sudah lama mereka tinggalkan sejak diserang.



LEBIH banyak terowong akan digali selagi sekatan di Semsalamenanjung Gaza tidak ditarik balik.

--------------------------------------------------------------------------------



Terowong itu yang berada pada kedudukan 15 meter di bawah permukaan bumi, sebelum ini dikorek sepanjang 800 meter dari Gaza ke Mesir dengan pintu masuknya tersorok dalam rumah-rumah.

Abu Wahda dan penyeludup lain menegaskan mereka tidak pernah membawa masuk senjata untuk Hamas. Kata mereka, Hamas menjalankan penyeludupan melalui terowong mereka sendiri di kawasan yang tidak dapat dimasuki oleh orang luar.

Seorang penyeludup, Abu Bilal berkata dia gembira jika diberi peluang membawa masuk senjata untuk Hamas, tetapi sejujurnya, Hamas tidak pernah meminta kami melakukannya."

Hamas pula tidak pernah menyebut sama ada mereka membawa masuk senjata atau wang melalui terowong itu, tetapi berkata urusan yang dijalankan adalah sah.

"Orang ramai tidak akan memerlukan terowong ini jika sempadan dibuka," kata Ehab Ghussein, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Hamas.

Menariknya, aktiviti penyeludupan di Gaza dilakukan secara terbuka. Ratusan pekerja beroperasi pada Khamis lalu di bawah khemah-khemah lusuh dan rumah hijau palsu sejauh satu batu. Berdozen-dozen lagi pintu masuk ke terowong-terowong itu adalah terbuka dan tidak ditutup.

Malah, ada yang yang membuka perniagaan dalam terowong itu dengan nama The Underground Crossings.

Pemiliknya, Mahmoud Baroud, memulakan semula operasi selepas gencatan senjata bermula dan menjangkakan sekurang-kurangnya 200 pelanggan datang untuk makan tengah hari di situ.

Sekarung barangan seperti cip kentang, pakaian atau rokok yang sebelum ini dijual pada harga AS$40 (RM119) setiap satu kini mencecah AS$400 (RM1,190). - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Sunday, January 25, 2009

UMNO Tidak Akan Berubah

Written by smnoor
Sunday, 25 January 2009 00:39


Dungun –
“Walaupun UMNO cuba melakukan perubahan, namun dasar yang dibawa oleh parti itu tidak mungkin berubah,

“apa yang mereka perjuangkan adalah untuk kepentingan diri dan para kroni,”
kata Yang DiPertua PAS Kawasan Dungun Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli.

Beliau berkata demikian ketika memberi respon atas kenyataan beberapa pimpinan UMNO selepas mengalami kekalahan dalam pilihanraya kecil (PRK) Kuala Terengganu minggu lalu.

Menurutnya mesej yang rakyat berikan dengan keputusan PRK Kuala Terengganu bukannya meminta UMNO berubah tetapi rakyat memberikan isyarat bahawa UMNO sudah tidak relevan lagi dengan politik masakini.

“Satu mesej yang jelas yang dihantar oleh rakyat selepas PRK Permatang Pauh, rakyat mahukan perubahan kerajaan yang memimpin mereka,

“sekiranya rakyat mahukan UMNO yang berubah, pasti rakyat memilih UMNO di Kuala Terengganu kerana UMNO sudah pun membuat beberapa perubahan dalam kepimpinan,”
jelasnya yang ditemui ketika menghadiri majlis walimah seorang penduduk di jalan lapangan terbang, dekat sini, semalam (Gambar atas)

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Sura berkata perubahan haikiki yang sepatutnya dilakukan oleh UMNO adalah kembali kembali Islam yang sebenarnya dan mengamalkan dasar-dasar Islam dalam menghadapi masyarakat.

“Menurut seorang Ulama’ Hassan Basri, menjadi seorang pemimpin itu adalah menjadi “hamba kepada rakyat”,

”Mana mungkin seorang “hamba kepada rakyat”, adalah lebih kaya dan hidup mewah daripada rakyat jelata,”katanya merujuk kepada cara hidup pemimpin UMNO yang ada masakini.

Mengulas lanjut kesan kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRK Kuala Terengganu beliau berkata kemenangan tersebut memberikan kesan yang besar kepada para petugas dan rakyat di kawasan Dungun.

Katanya ia bukan sahaja terkesan dan membawa perubahan dikalangan para petugas dan penyokong Pakatan Rakyat bahkan sudah ada ‘suara’ kedengaran dikalangan penyokong UMNO dan Barisan Nasional.

“Penyokong UMNO akan ada perubahan, sudah ada ‘signal’ dari kalangan penyokong UMNO dan BN yang turut akan berubah menyokong Pakatan Rakyat,”katanya.

Oleh yang demikian beliau sudah meletakkan sasaran kerja PAS Kawasan Dungun untuk mengahdapi Pilihanraya Umum yang ke 13 akan datang.

“Sasaran PRU 13 bagi Kawasan Dungun, InsyaAllah PAS akan menumpukan kepada tiga DUN yang akan berjaya kembali ke tangan PAS dibawah muafakat Pakatan Rakyat,”katanya.

Last Updated on Sunday, 25 January 2009 00:46


http://www.buletinonline.net/index.php?option=com_content&view=article&id=138:umno-tidak-akan-berubah&catid=35:dalam-negeri&Itemid=2

'Wani' Wendy selamat diijabkabulkan dengan ahli perniagaan

Sabtu Januari 24, 2009

Kerusi urut 'Ogawa' hadiah istimewa Wani



Oleh WAHIDA ASRANI


KUALA LUMPUR: Setelah hampir dua bulan memeluk Islam, pelakon dan penerbit Wendy Wong atau nama Islamnya, Wani Wendy Wong Abdullah sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Yacob Chik, 58, di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, di sini,semalam.


Hanya sekali lafaz, pasangan tersebut sah bergelar suami isteri setelah tiga tahun menyulam cinta. Mereka dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Abdullah Hashim.


Pada majlis yang serba ringkas itu, Wendy yang kini selesa disapa Wani menerima mas kahwin RM80 beserta lima dulang hantaran daripada pihak lelaki antaranya sebentuk cincin dan senaskhah Al-Quran yang mempunyai terjemahan di dalam bahasa Mandarin.


Namun, tiada wang hantaran diberikan oleh pihak lelaki atas permintaan Wani.


Wani kini sah bergelar isteri kepada Yacob

Pihak pengantin pula perempuan pula membalas sebanyak tujuh dulang hantaran antaranya jam tangan, minyak wangi, dompet dan kerusi urut jenama Ogawa.


Majlis bersejarah pasangan mempelai itu telah dihadiri oleh kira-kira 300 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak.


Antara rakan artis yang hadir ialah penulis lirik Habsah Hassan, Louisa Chong, Rubiah Suparman dan Ahmad Tarmimi Siregar.


Sebaik dinikahkah kira-kira pada pukul 3.45 petang, pasangan tersebut terus mengadakan majlis persandingan di tempat yang sama.


Ketika ditemui selepas majlis tersebut, Wani melahirkan rasa bersyukur setelah hubungan cinta mereka yang terjalin itu berakhir dengan ikatan perkahwinan.


Sambil mengakui dirinya tertarik dengan sifat prihatin Yacob, kata Wani, suaminya itu juga adalah salah seorang yang banyak mengajarnya tentang agama Islam.


"Dia melamar saya selepas Hari Raya tahun lalu. Pada awalnya, saya sendiri tidak tahu untuk buat keputusan apatah lagi ramai kawan mengatakan dia terlalu tua untuk saya.


"Tetapi, hati saya terbuka untuk dia kerana dia berjaya membuatkan hati saya cukup tersentuh di dalam banyak perkara. Tetapi, pada masa yang sama saya juga agak risau setelah memikirkan keturunan saya yang menghidap penyakit genetik kanser.


"Saya tanyakan padanya, adakah dia sanggup kahwin dengan saya jika saya juga disahkan menghidap penyakit kanser. Tetapi jawapannya cukup ikhlas dan dia beritahu saya semua itu ditentukan oleh Allah dan dia rela menjaga saya sampai bila-bila.


"Saya terus membuat pemeriksaan kesihatan selepas itu dan akhirnya laporan menunjukkan kesihatan saya cukup baik. Selepas itu baru saya yakin untuk menerima lamaran dia dan rancang untuk majlis perkahwinan kami,"
kata Wani yang gembira berjaya menamatkan zaman bujangnya meskipun sudah berusia 40an.


Ditanya destinasi bulan madu pilihannya, kata Wendy, dia dan suami akan ke Barcelona, Sepanyol untuk menaiki 'cruise' menjelajah beberapa perairan Eropah seperti Morocco dan akan berada di sana selama tiga minggu.


"Lepas pulang dari bulan madu, saya dan suami akan berangkat mengerjakan umrah pada 15 Mac depan," kata Wani.


Wani telah memeluk agama Islam pada 28 November lalu di rumah Habsah Hassan bertempat di Taman Tun Dr. Ismail


Dalam pada itu, 'tea ceremony', satu adat yang mengikut tradisi Cina akan turut dilakukan oleh pasangan ini esok secara tertutup.


Ini merupakan perkahwinan pertama Wani tetapi yang kedua buat Yacob setelah bercerai 10 tahun yang lalu. Yacob mempunyai tiga orang anak perempuan hasil perkongsian hidup dengan bekas isterinya.



http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/24/mstar_hiburan/20090123200127&sec=mstar_hiburan

BN perlu perubahan drastik - Muhyiddin


Sabtu Januari 24, 2009

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) kini melalui ujian paling getir dan jika tidak ada tindakan drastik diambil untuk menangani kemerosotan sokongan maka gagasan pemerintahan itu mungkin menghadapi kemusnahan.


Calon Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata, walaupun BN merangkumi 13 parti komponen khususnya Umno cuba memperbaiki imej parti untuk meningkatkan keyakinan rakyat dan lebih banyak usaha perlu dilakukan dengan segera.


"Kita tidak bekerjasama dalam usaha kita. Oleh kerana kita lambat melakukan perubahan, ramai berpendapat Umno tidak akan berubah.


"Jika ambil masa terlalu lama untuk berubah maka orang tidak akan menunggu untuk kita.


"Situasi kekalahan dua pertiga majoriti BN di Parlimen selepas pilihan raya umum Mac tahun lepas masih tidak berubah.


"Kita perlu lebih berkesan dan melaksanakan perkara luar biasa pada masa luar biasa,"
katanya pada majlis penyampaian hadiah Kejohanan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin di MINES Golf and Beach Resort di sini.


Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata, Umno bukan sahaja tulang belakang BN yang perlu berubah tetapi juga parti komponen lain sama ada di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak.


"Situasi akan bertambah teruk jika kita menunggu lama untuk melaksanakan perubahan.


"Umno mesti memimpin dalam melakukan perubahan drastik. Kita khuatir dengan situasi ini,"
jelasnya.


Beliau berkata, terdapat banyak program yang perlu dilaksanakan dan pemimpin akar umbi perlu bekerjasama dengan pemimpin atasan untuk melaksanakan perubahan tersebut.


Mengenai ekonomi negara, Muhyiddin berkata, keadaan Malaysia adalah lebih baik dalam menghadapi krisis ekonomi global berbanding negara lain.


Beliau, yang baru kembali dari mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam rangka lawatan ke Bahrian, Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE), berkata, walaupun negara tidak mengalami kemelesatan ekonomi namum situasi ekonomi global tidak berkembang.


"Rakyat Malaysia harus tabah menghadapi perubahan. Walaupun kita tidak menghadapi kemelesatan ekonomi namun perlu mengambil langkah meringankan impak krisis ekonomi global," katanya.


Sementara itu, kejohanan golf amal itu berjaya mengumpul RM20,000 yang disumbangkan kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Gaza, anjuran akhbar Berita Harian. BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/24/mstar_berita/20090124193836&sec=mstar_berita

Pakatan Rakyat tumpu Pensiangan susulan Kuala Terengganu




Sabtu Januari 24, 2009

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Susulan kemenangan berturut-turut di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, Pakatan Rakyat mengalih tumpuan ke Sabah dengan meminta penyokongnya agar bersedia untuk menghadapi cabaran dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Pensiangan.


"Gesaan saya kepada pimpinan akar umbi Sabah, bersiap sedia di (pilihan raya kecil) Pensiangan," kata Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam blognya hari ini.


Beliau yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Sabah dan Sarawak kini berada di Kota Kinabalu.


Pensiangan disebut-sebut bakal menyaksikan pilihan raya kecil dalam waktu terdekat.


Rayuan petisyen keputusan pilihan raya kecil kawasan itu dijadual didengar oleh Mahkamah Persekutuan pertengahan bulan depan.


Rayuan dikemukakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Joseph Kurup berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang nengisytiharkan kemenangannya tanpa bertanding bagi Parlimen Pensiangan sebagai tidak sah dan batal.


Kurup mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan 11 September lalu bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan petisyen pilihan raya dikemukakan oleh calon PKR, Danny Anthony Andipai.


Hakim David Wong Dak Wah yang membuat keputusan itu mengisytiharkan keputusan bagi Parlimen terbabit pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu sebagai tidak sah dan batal mengikut Seksyen 32(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.


Pada penamaan calon 24 Februari lalu, Pegawai Pilihan Raya, Bubudan Majalu mengisytiharkan Kurup menang tanpa bertanding dengan alasan Andipai lewat mengemukakan borang pencalonan.


Andipai dalam petisyennya mendakwa beliau tiba di pusat penamaan calon pada pukul 9.35 pagi dan membayar RM10,000 deposit calon serta RM5,000 deposit bahan pilihan raya.


Pakatan Rakyat memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Ogos lalu dan Kuala Terengganu pada 17 Januari lalu.


Parti komponen Pakatan Rakyat, PKR meletakkan Anwar di Permatang Pauh manakala PAS pula menurunkan Mohd. Abdul Wahid Endut di Kuala Terengganu.


Ia merupakan dua pilihan raya kecil selepas 8 Mac lalu.


Dalam blognya, Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat berkata, beliau telah sempat mengadakan pertemuan tertutup dengan pimpinan gereja Sabah selain bersama peniaga Sabah di sebelah malam.


"Selaku Pengurusi Perhubungan Keadilan Negeri Sabah, saya menyediakan ruang waktu lumayan mendengar pandangan dan rintihan wakil-wakil bahagian sehingga 1 pagi dan kemudian disambung selama dua jam pagi tadi," katanya.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/24/mstar_berita/20090124160745&sec=mstar_berita

Bekas Naib Presiden MIC berhasrat cabar Samy Vellu dipecat




Sabtu Januari 24, 2009

Oleh G. MANIMARAN



DIPECAT... Datuk M. Muthuppalaniappan meunjukkan surat pemecatan beliau daripada MIC berkuat kuasa serta-merta, yang diterima daripada Jawatankuasa Disiplin parti itu, di rumahnya hari ini. - foto The Star oleh LOW BOON TAT

PETALING JAYA: Bekas Naib Presiden MIC, Datuk M. Muthuppalaniappan yang mengumumkan hasrat untuk mencabar Datuk Seri S. Samy Vellu dalam pemilihan Presiden Mac ini telah dipecat berkuat kuasa serta-merta.


Bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan itu dipecat atas beliau mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang didakwa telah memudaratkan parti itu.


Ketika dihubungi sebentar tadi, Muthuppalaniappan mengesahkan yang beliau telah menerima surat pemecatan itu daripada Jawatankuasa Disiplin MIC hari ini.


Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin parti, Tan Sri G. Vadiveloo juga mengesahkan pihaknya telah mengeluarkan surat bertarikh 21 Januari lalu berhubung pemecatan kepada Muthuppalaniappan.


Katanya, tiga anggota panel jawatankuasa itu secara sebulat suara memutuskan untuk memecat Muthupalaniappan ekoran kenyataannya yang bersifat memudaratkan MIC, yang disiarkan oleh akhbar bahasa Tamil pada 11 November lalu dan Malaysiakini 17 Disember lalu.


Bagaimanapun katanya, Muthuppalaniappan boleh merayu kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam tempoh dua minggu.


Muthuppalaniappan diberikan surat tunjuk sebab pada 23 Disember lalu.


Surat pemecatan dikeluarkan sehari selepas Jawatankuasa Disiplin mendengar keterangan daripada Muthuppalaniappan - satu-satunya pemimpin MIC yang melahirkan hasrat untuk mencabar Samy Vellu.


Samy Vellu, penyandang jawatan Presiden MIC paling lama - sejak 1979 - juga telah mengumumkan hasratnya untuk mempertahankan jawatannya kali ini.


Penamaan calon bagi pemilihan jawatan Presiden diadakan bulan depan.


Selasa lalu selepas sesi pertemuaan dengan Jawatankuasa Disiplin, Muthuppalaniappan membidas pimpinan parti itu kerana menggunakan perbicaraan yang mendakwa beliau telah bertindak bertentangan dengan kepimpinan parti dengan tujuan menyekatnya daripada bertanding jawatan Presiden.



REAKSI


Sementara itu dalam kenyataan yang diemelkan, Muthuppalaniappan berkata, beliau kemungkinan akan merayu atas keputusan pemecatannya.


"Saya mungkin membuat rayuan dalam tempoh 14 hari kepada Jawatankuasa Kerja Pusat," kata beliau.


Malah, Muthuppalaniappan mengulangi bahawa beliau tidak diberikan peluang yang sewajarnya untuk membawa saksi dalam kes disiplin yang didengar oleh Jawatankuasa Disiplin tempoh hari.


"Surat (yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Disiplin) mengatakan bahawa selepas pertimbangan yang sewajarnya ke atas penerangan saya, tetapi saya tidak diberikan pertimbangan sewajarnya untuk membawa saksi bahawa kenyataan-kenyataan yang saya keluarkan adalah mengikut lunas perundangan dan benar.


"Kesemua anggota panel hanya tahu untuk mengatakan bahawa kesemua permohonan saya telah diketepikan," katanya.


Tambah beliau, keseluruhan proses membicarakan kesnya adalah satu tindakan menutup mata dan langkah yang telah pun ditetapkan terlebih awal menjelang pemilihan jawatan Presiden.


"Bimbang bahawa Samy Vellu akan menghadapi nasib yang sama sebagaimana disaksikan di kawasan Sg. Siput (ketika pilihan raya umum ke-12 Mac lalu), beliau mengambil pendekatan awal yang tidak berdemokratik.


"Tiada mana-mana pihak yang berfikiran waras akan menerimanya sebagai Presiden MIC. Beliau tidak boleh mendakwa dirinya sebagai pemimpin popular kalangan masyarakat India," katanya.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/24/mstar_berita/20090124123559&sec=mstar_berita

Perubahan dalam Umno selepas pemilihan parti - Abdullah

Sabtu Januari 24, 2009

DUBAI: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Umno akan melakukan perubahan dan pembaharuan untuk memperkasakan parti selepas ia diterajui kepimpinan baru berikutan pemilihan Umno Mac ini.


Presiden Umno itu berkata, parti akan mengambil langkah-langkah yang menepati kehendak anggotanya untuk muncul sebagai parti politik yang lebih berwibawa dan dapat memberi khidmat kepada rakyat selaras dengan janji-janji yang telah dibuat sebelum ini.


Abdullah yang juga Perdana Menteri berkata, Umno telah mengumpulkan semua cadangan berhubung langkah pembaharuan yang perlu diambil melalui penganjuran "permukiman" Umno dan beberapa sesi perbincangan yang telah diadakan.


"Tetapi kami membuat keputusan bahawa oleh sebab pemilihan parti dah nak berlangsung, maka teruskanlah dengan pemilihan parti itu dulu dan kemudian kita boleh buat perubahan-perubahan yang dikehendaki dengan barisan kepimpinan yang baru," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi dua hari beliau ke Emiriyah Arab Bersatu di sini, semalam.


Beberapa pihak dalam parti tunggak Barisan Nasional (BN) itu dilapor telah melahirkan harapan untuk melihat Umno melaksanakan perubahan radikal untuk memperkuatkan parti dan meraih kembali sokongan rakyat.


Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini berkata BN dan Umno khususnya tidak seharusnya mengambil masa terlalu lama untuk melaksanakan segala bentuk pembaharuan yang dijanjikan.


Abdullah berkata: "Pada waktu ini sudah ada hasrat di kalangan anggota Umno sendiri bahawasanya Umno perlu diperkasakan dan perlu ditingkatkan lagi kemampuannya, dan dengan itu sekaligus kewibawaan parti akan bertambah teguh lagi.


Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan oleh Majlis Tertinggi Umno sebelum ini.


"Cuma kita kata kita belum dapat laksanakan lagi kerana kita hendak biarkan proses pemilihan dalam Umno itu selesai, dan lepas itu barulah tindakan-tindakan yang perlu diambil itu dilaksanakan," kata beliau. BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/24/mstar_berita/20090124110311&sec=mstar_berita

Najib: Kelayakan tanding hilang jika didakwa politik wang




Sabtu Januari 24, 2009


PEKAN: Pemimpin dan anggota Umno yang didakwa di mahkamah atas tuduhan politik wang akan hilang kelayakan untuk bertanding sebarang jawatan pada pemilihan parti Mac depan, kata Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.


Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka yang dipilih menjadi perwakilan ke perhimpunan agung juga akan hilang kelayakan menjadi perwakilan jika turut didakwa terbabit kes berkenaan.


"Parti telah pun memutuskan bahawa jika sedang dalam siasatan, seseorang itu masih boleh bertanding jawatan tetapi jika didakwa, maka calon terbabit tidak boleh bertanding," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pakaian dan beg sekolah kepada murid sekolah daerah Pekan, di sini hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai siasatan dan tindakan pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan anggota serta pemimpin Umno yang disyaki terbabit dengan gejala politik wang sejak kebelakangan ini.


Ditanya sama ada tindakan SPRM itu memperlihatkan seolah-oleh Umno kini telah hilang kawalan dalam usaha membanteras gejala rasuah, Najib berkata, perkara itu perlu dilihat secara positif dalam usaha membanteras gejala berkenaan selaras dengan apa yang dikehendaki rakyat.


"Rakyat telah menyatakan bahawa mereka mahu Umno melakukan perubahan. Itu adalah pendapat masyarakat dan masyarakat mahu Umno bebas daripada politik wang.


"Namun ini adalah akibat daripadanya, anda perlu tentukan apa yang anda mahu... jika anda mahu membersihkan parti, maka ini adalah akibat daripadanya, anda perlu menerima hakikat ini," kata Najib.


Najib berkata, semua pihak perlu melihat tindakan SPRM itu secara terbuka sekiranya benarbenar mahu melihat perubahan dalam Umno.


"Jadi, kita semua perlu memutuskan apa yang kita mahu, sama ada kita mahu melihat perubahan dalam Umno atau kita mahu terus lenyap akibat politik wang," katanya. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/24/mstar_berita/20090124141713&sec=mstar_berita

Tindakan SPRM tepati hasrat Umno



Sabtu Januari 24, 2009

DUBAI: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dan mendakwa beberapa pemimpin Umno berhubung politik wang boleh dilihat sebagai sesuatu yang menepati hasrat parti untuk membasmi gejala itu.


Presiden Umno itu berkata, ia juga menghantar mesej kepada setiap anggota Umno bahawa parti itu tidak akan berkompromi dengan amalan politik wang.


"Nampaknya pihak suruhanjaya menjalankan peranannya sebagaimana yang diharapkan kerana tugas mereka ialah mencegah rasuah.


"Dan tindakan yang telah mereka ambil baru-baru ini yang melibatkan beberapa orang dari parti Umno membuktikan bahawa mereka (SPRM) ada kebebasan, dan mereka bertindak dengan bebas," kata Abdullah yang juga Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi dua hari beliau ke Emiriyah Arab Bersatu di sini, semalam.


Menjawab satu pertanyaan, Abdullah berkata SPRM menyiasat laporan berhubung amalan politik wang itu berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh orang Umno sendiri.


Mengenai sama ada Lembaga Disiplin Umno juga akan mengambil tindakan terhadap mereka yang berkenaan, Abdullah berkata ia bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/24/mstar_berita/20090124112359&sec=mstar_berita
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...