Tuesday, January 27, 2009

Pasangan pilih cerai


SEMAK...Mohd Zaidi bersama sebahagian fail tuntutan
cerai membabitkan isteri curang dengan lelaki warga
asing di pejabatnya.


KUALA LUMPUR: “Kes suami atau isteri curang memang banyak berlaku kebelakangan ini. Sepanjang Januari 2009 saja, saya mengendalikan 15 kes perceraian yang berpunca daripada kecurangan pasangan.

“Daripada 15 kes itu, lima kes membabitkan isteri yang menjalin hubungan sulit dengan lelaki warga asing,”
kata peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain yang juga pemilik firma guaman Zaidi Zain and Associates.

Mohd Zaidi berkata, kecurangan di kalangan isteri atau suami lazimnya disebabkan beberapa faktor, termasuk kelemahan pasangan suami isteri itu sendiri, terlalu mengikut nafsu dan terdesak untuk hidup mewah.

“Isteri curang dan menjalin hubungan dengan lelaki warga asing, terutama golongan profesional yang bertugas di negara ini, bukan perkara baru, namun jumlahnya kebelakangan ini semakin banyak.

“Selalunya semua yang terkulai di pangkuan lelaki warga asing itu hanya mahu hidup mewah selepas menganggap suami masing-masing tidak relevan lagi dalam hidup mereka,”
katanya.

Menurutnya, ada juga kes songsang membabitkan seorang wanita sanggup memfailkan cerai terhadap suaminya yang juga ‘mat saleh’ mualaf semata-mata lelaki berkenaan mahu mengikut ajaran Islam sebenar.

Katanya, wanita terbabit mahu hidup bebas, berpeleseran di kelab malam hingga awal pagi dan minum arak bersama rakan. Lebih teruk lagi, wanita itu kini gian bertukar pasangan dengan lelaki mat saleh untuk memuaskan nafsunya.

“Selain itu, ada juga isteri curang dan memilih lelaki warga asing selepas mengetahui suaminya turut main kayu tiga. Ia biasanya diketahui selepas perbicaraan di mahkamah bermula kerana wanita sukar membuka mulut berkaitan perkara itu ketika merujuk kepada saya.

“Ia seolah-olah ‘pulang paku buah keras’ menyebabkan hidup pasangan terbabit huru-hara. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah anak selain keluarga kedua-dua pihak,”
katanya.

Mohd Zaidi berkata, mat saleh yang mendekati wanita tempatan biasanya bukan benar-benar jujur, sebaliknya hanya ingin menjadikan mereka bahan pemuas nafsu atau sekadar berseronok.

“Ada yang datang sebagai pekerja kontrak dan mereka sunyi. Akhirnya mereka mendapatkan wanita tempatan, tidak kira anak dara atau isteri orang, kerana di negara mereka budaya itu mungkin tidak menjadi kesalahan.

“Wanita tempatan pula sanggup menggadaikan maruah kononnya ia cinta sejati dan hanya menyesal apabila diperdaya. Bagaimanapun, ada tidak mengambil iktibar, sebaliknya terus mencari mat saleh,”
katanya.

Mohd Zaidi turut memaklumkan ada pasangan yang curang tetapi akhirnya bersama kembali selepas insaf apabila ditimpa bala dan sedar sebelum ini mereka lalai daripada tanggungjawab.

Beliau menasihatkan pasangan berkahwin yang curang supaya kembali ke pangkal jalan sebelum terlewat, selain jangan sia-siakan pasangan, anak serta keluarga masing-masing semata-mata untuk bersama lelaki warga asing yang belum tentu memberi kebahagiaan dunia dan akhirat.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090125091929/Article/index_html

Tiada iman, tanggungjawab



KUALA LUMPUR: Isteri tidak boleh dipersalahkan 100 peratus apabila bersikap curang kerana kecurangan itu sering berpunca daripada kegagalan suami menjalankan tanggungjawab selaku ketua keluarga dan memberi didikan dunia serta akhirat kepada isteri.

Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid, berkata seorang suami perlu bertegas dalam banyak perkara, khasnya membabitkan hukum agama, kerana kegagalan berbuat demikian menyebabkan rumah tangga rapuh dan mudah runtuh.

Menurutnya, perkara seperti itu menjadi satu daripada punca fenomena isteri curang di kalangan masyarakat Islam hari ini.

“Jangan terlalu banyak menyalahkan wanita kerana lelaki juga ada peranan dalam rumah tangga dan jika gagal melaksanakannya, ada kemungkinan perkara seperti kecurangan berlaku.

“Jika suami gagal mendidik isteri dunia dan akhirat atau menjadi contoh baik, tidak mustahil juga isteri melakukan perkara sama atau lebih teruk,”
katanya.

Selain itu, menurut beliau, pasangan berkahwin mungkin boleh membuat pelbagai alasan untuk mengikut teman baru.

“Bagaimanapun, tiada alasan untuk menghalalkan kecurangan terbabit kerana dosa tetap dosa, lebih-lebih lagi jika berzina dengan pasangan masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Hal Ehwal Wanita Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Dr Mastura Badzis, berkata sebagai ketua keluarga, suami perlu lebih peka dengan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sepanjang melayari kehidupan berumah tangga.

“Jika ada sesuatu yang tidak kena dalam rumah tangga, suami perlu menilai semula peranannya. Perbaiki kekurangan, jika tiada apa tidak kena dengan peranan yang dilaksanakan, tidak timbul masalah isteri berlaku curang,” katanya.

Menurut Mastura, faktor keimanan turut menyumbang kepada kebahagiaan rumah tangga kerana apabila iman terjejas, timbullah masalah berkenaan.

“Sama ada di pihak suami atau isteri, apabila berlaku masalah keimanan, ia menyumbang kepada masalah di dalam rumah tangga. Justeru, soal iman jangan dipandang ringan,” katanya.

Mastura berkata, masalah curang di kalangan isteri membimbangkan kerana ia bukan saja memberi kesan negatif kepada anak, malah menjadi racun dalam pembentukan masyarakat.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090125091906/Article/index_html

Polis palsu tumpas sewaktu cari mangsa


Oleh SALMAN HAMAT
salman@hmetro.com.my



KUALA LUMPUR: Dua polis palsu yang selama ini bermaharajalela menyamun orang ramai akhirnya tumpas apabila ditahan polis yang menjalankan rondaan pencegahan jenayah, semalam.

Difahamkan, ketika ditahan pada jam 2 pagi, suspek seorang warga tempatan manakala rakannya warga Indonesia dikatakan merayau-rayau di sekitar Jalan Bukit Bintang, di sini, dipercayai mencari mangsa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman, berkata kejayaan pihaknya menahan kedua-dua suspek berkenaan adalah hasil maklumat orang ramai apabila mereka dikatakan sering menjadikan orang awam sebagai mangsa samun.

“Sejurus ditahan, suspek terbabit kemudian membawa kami ke sebuah bilik hotel yang disewa untuk pemeriksaan, hasilnya berjaya menemui satu set lengkap pakaian seragam polis berpangkat Cif Inspektor dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah.

“Suspek dikatakan aktif menyamun di sekitar Jalan Bukit Bintang. Biasanya mereka mengenal pasti mangsa terlebih dulu lalu menahan dan mengarahnya menyerahkan barang berharga serta wang tunai sebelum dilepaskan,”
katanya.

Pemeriksaan turut mendapati seorang suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau, termasuk satu waran tangkap atas dakwaan mencuri.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 dan 170 Kanun Keseksaan atas dakwaan samun berkawan dan menyamar sebagai penjawat awam. Kedua-dua suspek turut ditahan reman bermula semalam.

Zulkarnain turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan individu mencurigakan yang mengaku sebagai anggota polis menghampiri mereka.

“Jika berasa sangsi, orang ramai boleh meminta anggota berkenaan menunjukkan kad kuasa sebelum membenarkan mereka menjalankan pemeriksaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090125091740/Article/index_html

Restoran kedua Alicafe

Oleh ADHAM SHADAN
adham.shadan@kosmo.com.my

Alicafe merupakan tempat yang sesuai untuk membawa rakan dan keluarga menikmati pengalaman santai.


DUTA Power Root. Dari kiri: Rosyam Nor, Adam dan Farah memeriahkan upacara pembukaan restoran Alicafe di Kelana Mall, Kelana Jaya.

--------------------------------------------------------------------------------


Mungkin kebanyakan kita lebih mengenali Alicafe sebagai jenama kopi Malaysia yang popular, sedangkan sayap perniagaannya telah dilebarkan dalam bentuk yang lebih besar iaitu perniagaan restoran.

Baru-baru ini, Alicafe membuka restoran terbarunya di Kelana Mall, Kelana Jaya, Selangor. Ia merupakan cawangan yang kedua selepas cawangan Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.



DERETAN produk Alicafe tersusun rapi di satu sudut restoran.

--------------------------------------------------------------------------------


Diperkenalkan sebagai kedai makanan dan minuman berkonsep santai, Restoran Alicafe Kelana Jaya sesuai dijadikan destinasi menikmati kopi dalam persekitaran damai dan nyaman. Namun, jangan salah anggap. Di sini juga anda boleh menikmati pelbagai hidangan makanan tempatan dan Barat.

Upacara pembukaan restoran tersebut tempoh hari berlangsung dengan penuh meriah. Kehadiran dramatis, Rosyam Nor dan dua bintang Akademi Fantasia (AF), Adam dan Farah selaku duta-duta Power Root menggamatkan lagi suasana.

Selepas Pengerusi Bio Resources Berhad, Tengku Shamsulbhari Tengku Azman Shah menyampaikan ucapan perasmian, beliau, dif-dif kehormat dan para bintang itu memotong reben menandakan pembukaan restoran berkenaan.

"Di sini, selain minuman kopi, kami mengesyorkan anda mencuba sajian nasi lemak dengan ayam. Ia merupakan sajian yang patut dicuba," kata Tengku Shamsulbhari.



TENGKU SHAMSULBHARI (ketiga dari kiri) bersama dif-dif kehormat serta para duta Power Root ketika melancarkan Restoran Alicafe Kelana Jaya.

--------------------------------------------------------------------------------


Para artis kemudiannya ke pentas dan menerangkan tentang menu-menu menarik yang disajikan di kafe tersebut. Antara sajian menarik ialah minuman Alicafe (RM2.80), Alicafe O (RM2), nasi lemak dengan ayam goreng atau kari ayam (RM6.80), spageti bolognese (RM12.50), mi kari (RM6.80) dan roti bakar kaya labu (RM1.80).

"Kalau sajian pencuci mulut pula, saya cadangkan anda semua menikmati kuih kacang yang dibalut tepung," kata Farah.

Setelah segmen menu menarik selesai, Farah dan Adam membuat persembahan. Para peminat yang berkunjung dalam majlis pembukaan restoran tersebut menjerit-jerit apabila melihat artis kesayangan mereka itu menghampiri khalayak.

Bercakap tentang rekaan dalaman restoran, pengunjung akan dapat menyaksikan dinding hiasan yang terletak di tengah-tengah restoran. Dinding hiasan berkenaan mempamerkan sebuah cawan kopi Alicafe yang berlatar belakangkan peta dunia. Ia menggambarkan matlamat Alicafe untuk berkembang ke persada dunia.

Di Restoran Alicafe, para pelanggan boleh menikmati pelbagai rangkaian minuman kopi formulasi sendiri yang inovatif dan minuman coklat dengan rasa dan aroma tersendiri. Restoran Alicafe juga menekankan penyediaan makanan dan minuman berkualiti, jadi setiap ramuan dipilih khusus dan berkualiti tinggi. Bahkan semua sos untuk hidangan juga dibuat sendiri.



MENIKMATI minuman kopi sambil bersantai bersama rakan dan kenalan.

--------------------------------------------------------------------------------



Dengan hiasan luaran dan dalaman kedai yang menawan serta kemesraan pekerjanya, Alicafe merupakan tempat yang sesuai untuk membawa rakan dan keluarga menikmati pengalaman santai.

Restoran Alicafe diusahakan oleh Power Root Marketing Sdn. Bhd., syarikat tempatan yang mengkhusus dalam pengeluaran minuman segera kopi, teh, coklat dan minuman tenaga.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_02.htm

Taliban bunuh ‘perisik’ AS


MIRANSHAH – Anggota-anggota pergerakan Taliban menembak mati seorang lelaki dan memotong sebelah tangannya setelah mendakwanya sebagai tali barut Amerika Syarikat (AS), kata seorang pegawai semalam.

Mayat Mohammad Hussain ditemui di kawasan pergunungan Datta Khel di utara Waziristan yang terkenal sebagai hab Taliban dan Al-Qaeda.

“Mohammad diculik seminggu lalu dan tubuhnya mempunyai beberapa kesan tembakan di kepala dan sebelah tangannya dipotong,” kata seorang pegawai keselamatan. – AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Penduduk Indonesia gembira lihat jelas gerhana matahari


KOMBINASI gambar menunjukkan bulan bergerak melintasi matahari di Bandar Lampung, Indonesia semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


ANYER - Beribu-ribu rakyat Indonesia di bandar peranginan Anyer gembira kerana dapat menyaksikan gerhana matahari selama empat minit bermula pada pukul 4.40 petang pada waktu tempatan semalam.

"Saya sudah tua tetapi saya percaya kejadian ini adalah satu keajaiban. Sesungguhnya Tuhan maha besar," kata seorang penduduk, Roanna Makmur.

Rohana memandu beberapa jam ke Anyer untuk menyaksikan gerhana separuh.

Gerhana separuh atau gerhana anulus dianggap kurang penting kepada ahli astronomi kerana ia berlaku sebanyak 66 kali dalam setiap abad dan hanya boleh disaksikan di lokasi-lokasi tertentu sahaja.

Kebanyakan lokasi di Indonesia dari Sumatera hingga ke Kalimantan, hanya penduduk di Pulau Cocos dapat menyaksikan gerhana penuh, kata seorang pakar astronomi, Jay Pasachoff.

Gerhana separuh melitupi satu peratus hingga 84 peratus diameter matahari turut dapat dilihat di wilayah selatan Afrika, tenggara India, Asia Tenggara dan sebahagian Australia.

Gerhana matahari penuh pernah berlaku pada 1 Ogos 2008 di Kanada, Greenland, Artik, Rusia, Mongolia dan China.

Gerhana penuh yang berikutnya ialah pada 22 Julai depan. Gerhana itu akan dapat disaksikan oleh penduduk di India, Nepal, Bangladesh, Bhutan, Myanmar, China dan Jepun. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Kiamat akan berlaku pada 2012?


GAMBAR fail menunjukkan seorang wanita berjalan dekat runtuhan sebuah bangunan kaum Maya di Valladolid, selatan Mexico.- AP

--------------------------------------------------------------------------------


NEW YORK - Dunia akan kiamat tiga tahun lagi?

Sebuah akhbar di sini semalam melaporkan berdasarkan kalendar kaum Maya di Amerika Tengah, kod tersembunyi kitab Injil Perjanjian Lama dan teori pergerakan planet, dunia akan berakhir pada 21 Disember 2012.

Tamadun Maya kuno yang pernah wujud kira-kira 200 Tahun Sebelum Masihi memiliki ilmu astronomi yang maju dan mereka berjaya mengesan pergerakan matahari dan planet sejak beberapa ribu tahun lalu.

Menurut kalendar Maya yang berakhir setiap 5,126 tahun, malapetaka besar akan menghancurkan dunia pada 2012 di mana satu zaman baru akan muncul selepas itu.

Pada 21 Disember 2012, Bumi akan berada sebaris dengan pusat Galaksi Bima Sakti buat kali pertama sejak 25,800 tahun menyebabkan polar magnet Bumi berganjak sekali gus mencetuskan gempa bumi, banjir dan letupan gunung berapi.

Seorang rakyat Belgium, Patrick Geryl, 53, mempercayai kalendar Maya itu dan dia bersama-sama 20 yang lain merancang membeli tanah di Afrika sebagai persediaan memulakan tamadun manusia baru selepas kemusnahan Bumi.

"Perkara terbaik seseorang individu itu boleh lakukan berhubung ramalan itu adalah berhenti kerja dan melakukan persediaan," katanya.

Selain kalendar Maya, sesetengah pakar astrologi meramalkan pada tarikh itu, planet ke-10 dan terbesar dalam sistem solar, Planet X atau Nibiru, akan berada pada kedudukan terdekat dengan Bumi dan tarikan gravitinya mencetuskan bencana alam besar-besaran di bumi.

Selain dua ramalan tersebut, teori kiamat 2012 diperkuatkan lagi dengan penemuan kod rahsia dalam Kitab Injil Perjanjian Lama pada tahun 1994 oleh sekumpulan penyelidik.

Menurut mereka, Bumi akan dihentam asteroid sehingga menyebabkan kemusnahan besar-besaran. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Tahun baru dihantui kebimbangan


BEBERAPA penduduk menyalakan colok di sebuah kuil di Beijing semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


BEIJING - China memulakan sambutan tahun baru semalam dengan bunyi dentuman mercun dan jamuan makan tetapi suasana tahun lembu jantan kali ini disambut dalam suasana gembira bercampur bimbang berikutan krisis kewangan.

Bunyi mercun di Beijing terlalu kuat menjelang tengah malam kelmarin sebagai tanda permulaan cuti umum yang terpenting dalam kalendar masyarakat Tionghua.

"Saya masih berasa krisis ekonomi akan memberi kesan terhadap kehidupan saya," kata seorang pekerja, Wang Jiu.

Wang ialah seorang daripada 120 juta penduduk yang meninggalkan kampung halaman untuk bekerja di Beijing tetapi mereka kini mula berasa keperitan krisis kewangan global.

Menurut unjuran kerajaan, sebanyak enam juta pekerja dari kawasan pedalaman China hilang pekerjaan.

Masyarakat China secara tradisi memberi sampul merah berisi wang tunai tetapi sampul itu kini semakin nipis, lapor agensi berita Xinhua.

Seorang peniaga, He Haipeng berkata, dia berniaga cakera padat digital di Beijing setiap kali cuti tahun baru mendapati pelanggan berhati-hati berhubung aspek perbelanjaan mereka. - AFP

Penduduk Gaza tunggu bantuan


SEORANG wanita duduk di tapak runtuhan rumahnya di Jabalya, Gaza semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


JEBEL AL-KASHEF - Penduduk Gaza yang kehilangan rumah akibat serangan tentera Israel kini menunggu bantuan kemanusiaan.

Sebelum ini kerajaan Hamas yang menguasai Gaza berjanji untuk memberi pampasan kepada penduduk yang rumah mereka musnah dan anggota keluarga tersayang terbunuh.

Pihak berkuasa Hamas merancang untuk mengagih-agihkan bantuan AS$5,200 (RM18,847) kepada setiap keluarga yang rumah mereka musnah.

Hamas turut berjanji untuk memberikan bantuan sebanyak AS$1,300 (RM4,711) kepada setiap keluarga yang kehilangan orang tersayang akibat serangan tentera Israel.

"Mereka (pemimpin-pemimpin Hamas) bercakap untuk memberikan kami bantuan tetapi kami masih belum menerimanya," kata seorang penduduk, Abed Raboo.

Tentera Israel melakukan serangan besar-besaran di Gaza pada 27 Disember lalu sebelum berakhir pada 17 Januari lepas dengan alasan menghapuskan pejuang Hamas yang melancarkan serangan roket ke wilayah Yahudi.

Menurut perangkaan Pihak Berkuasa Palestin, kerugian akibat serangan tentera Israel adalah berjumlah AS$1.9 bilion (RM6.88 bilion).

Dalam serangan itu, lebih 1,330 penduduk Palestin terbunuh.

Usaha-usaha bagi membina semula Gaza mungkin terjejas berikutan konflik antara Israel dengan Palestin yang masih belum selesai di mana Gaza dihalang daripada menerima barangan asas sejak Hamas mentadbir wilayah Palestin itu. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Gerhana matahari cincin jelas dilihat dari Indonesia

Oleh YUSAIRY YUSOF
berita@kosmo.com.my



MERIAH... Sebahagian pelajar memenuhi dataran untuk melihat gerhana matahari separa di Planetarium Negara, Kuala Lumpur semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR – Fenomena gerhana matahari yang jarang-jarang terjadi berulang lagi tahun ini tetapi agak berbeza dengan keadaan di Indonesia.

Ini kerana, rakyat Malaysia hanya berpeluang menyaksikan gerhana matahari separa berbanding di Indonesia yang mengalami gerhana matahari cincin.

Menurut Pengarah Ukur, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Dr. Azhari Mohamed, keadaan itu disebabkan laluan gerhana yang terjadi kali ini berada berdekatan dengan negara tersebut.

“Garisan laluan bulan berada betul-betul atas langit Indonesia, jadi hanya mereka yang dapat lihat keadaan bulan menutupi matahari sehingga kelihatan seperti cincin,” ujarnya kepada pemberita pada majlis Solat Sunat Gerhana Matahari dan Cerapan Gerhana Matahari di Masjid Wilayah Persekutuan, semalam.

Azhari berkata, kali terakhir gerhana matahari cincin dapat dilihat di Malaysia pada 1998 dan fenomena itu memang dinanti kerana keadaannya lebih cantik berbanding gerhana matahari separa.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Kerajaan isytihar perangi aedes


NYAMUK aedes boleh dikenali dengan badan yang berbelang hitam dan putih.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR – Kerajaan mengisytiharkan perang terhadap musuh nombor satu Malaysia kini – nyamuk aedes selepas angka kematian akibat denggi mencecah 12 orang tahun ini daripada 4,221 kes.

Angka itu meningkat sekali ganda berbanding lima kematian daripada 2,103 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Kes terbanyak dilaporkan di Selangor dengan 1,727 kes dengan dua kematian diikuti Kuala Lumpur (307 kes).

Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai berkata, kini bukan masanya untuk menuding jari terhadap mana- mana pihak tetapi bertindak menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Untuk itu, beliau menggesa pemimpin masyarakat dan pihak berkuasa tempatan menjalankan gotong-royong untuk membersihkan kawasan persekitaran.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Imigresen mahu serbu Plaza Low Yat


KERATAN Kosmo! semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR – Kehadiran ramai warga asing terutama dari Bangladesh yang semakin menguasai perniagaan komputer di Plaza Low Yat, Jalan Bukit Bintang di sini mula mendapat perhatian Jabatan Imigresen.

Malah Ketua Pengarahnya, Datuk Mahmood Adam berkata, pihaknya akan membuat pemeriksaan di situ dalam masa terdekat untuk mengenal pasti sama ada warga asing yang menjual komputer di plaza itu mempunyai permit atau tidak.

Katanya, walaupun warga asing boleh bekerja dalam sektor perkhidmatan termasuk menjadi jurujual, mereka tidak boleh memiliki perniagaan.

“Kalau mereka langgar peraturan kita akan tangkap dan usir mereka,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dominasi warga asing sebagai peniaga di plaza berkenaan seperti yang didedahkan Kosmo! semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Tolak jodoh ustaz

Oleh HISHAM IDRIS dan NURUL IZZA ROSLY
berita@kosmo.com.my


KUALA LUMPUR – Tolak ustaz untuk pilih lelaki Bangladesh!

Itulah pengakuan pelajar tahun tiga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Nor Syuhada Naina Mohamad, 23, (gambar) kepada bekas majikannya sebelum dia menghilangkan diri.

Pengusaha restoran yang hanya mahu dikenali sebagai Hamdan itu berkata, Nor Syuhada yang bekerja sebagai juruwang pernah mengadu dia akan dijodohkan dengan rakan abangnya yang sama-sama menuntut di Mesir tetapi gadis itu menolak mentah-mentah pilihan keluarganya itu.

Hamdan memberitahu, Nor Syuhada begitu menyukai Rauf dan apabila ditunjukkan gambar, lelaki itu kelihatan kacak bagaikan pelakon Bollywood.

“Saya juga lihat dia tidak lekang dengan telefon bimbit untuk hantar SMS (khidmat pesanan ringkas) walaupun ketika berada di kaunter juruwang,” kata Hamdan.

Sementara itu, dua minggu sebelum melarikan diri dengan Rauf, Nor Syuhada pernah memberitahu rakan karibnya bahawa dia mahu mengahwini lelaki tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

‘Nak pengsan nampak Adik’

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.azde@kosmo.com.my




PULANG AKHIRNYA... Noor Aishah yang hilang selama 15 hari balik semula ke pangkuan Nazaah di rumahnya di Petaling Jaya semalam. Gambar ZAINI HUSSIN

--------------------------------------------------------------------------------


PETALING JAYA – Setelah 15 hari melarikan diri daripada keluarganya, Noor Aishah Izan, 15, tanpa diduga kembali ke rumahnya di Taman Paramount di sini pada pukul 11 pagi semalam sehingga menyebabkan ibunya, Nazaah Hassan hampir pengsan.

Aishah pulang seorang diri dalam keadaan sehelai sepinggang dengan menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) dan turun di Stesen Taman Paramount sebelum berjalan kaki sejauh 400 meter untuk pulang ke rumah.

Nazaah, 72, berkata, kepulangan anak bongsunya itu disedari apabila dia terdengar bunyi loceng rumahnya.

“Masa itu mak cik ada di ruang tamu dan baru nak menelefon ahli keluarga tetapi terdengar bunyi loceng. Mak cik buka pintu rumah dan seolah-olah tidak percaya melihat Adik (Aishah) berdiri di situ.

“Mak cik terus menjerit dan rasa macam nak pengsan ketika itu,’’
kataya kepada Kosmo! di rumahnya semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Arena Wati meninggal dunia


KUALA LUMPUR – Sasterawan Negara, Muhammad Dahlan Abdul Biang atau lebih dikenali sebagai Arena Wati (gambar) meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras pagi semalam akibat barah paru-paru.

Allahyarham yang berumur 84 tahun meninggal pada pukul 1.40 pagi.

Beliau terkenal di kalangan pelajar sekolah menengah satu ketika dahulu menerusi novelnya Sandera yang dijadikan teks sastera.

Beliau yang menerima rawatan di HUKM sejak 20 Sept lalu meninggal di sisi isterinya, Halimah Sulong dan dua anak, Ratna Siti Akbari dan Hasanuddin.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta di sini tengah hari semalam untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pukul 3 petang.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Jangan jual kereta bersama geran


REMBAU – Jika perlu jual kereta yang telah rosak teruk (total loss) kepada bengkel kenderaan, jangan serahkan sekali geran.

Itu antara cadangan bagi membendung kegiatan sindiket curi kereta yang ada hubung kait dengan kereta total loss atau kenderaan yang dikategorikan sebagai barang buangan, kata Hanif Mualud (gambar).

Beliau yang berpengalaman selama 24 tahun dalam bidang insurans memberitahu, jika kereta seumpama itu dijual kepada bengkel berserta geran, maklumat pada casisnya boleh diguna semula.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Jadi pemboros sebelum hilang

Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM
luqmanhakim.abrahim@kosmo.com.my




NAZIRAH menunjukkan seluar jean Nor Syuhada yang dipakai sewaktu cuti semester lalu di rumahnya di Kota Bharu semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


KOTA BHARU – Jika dulu dia suka berbaju kurung dan bertudung labuh, penampilan Nor Syuhada Naina Mohamad tiba-tiba berubah.

Perangainya mula meresahkan keluarga apabila secara tiba-tiba memiliki beberapa helai seluar jean selain potongan tudung yang lebih singkat.

Malah, beberapa bulan sebelum menghilangkan diri dipercayai mengikut seorang buruh kontrak warga Bangladesh sejak Julai tahun lalu, Nor Syuhada kerap meminta wang sedangkan dia sudah diberi RM300 sebulan oleh keluarganya.

“Dia tak pernah beritahu nak buat apa dengan duit itu, jadi kami pelik kerana sebelum ini semuanya cukup.

“Nor Syuhada hanya guna duit pinjaman untuk perbelanjaan dan wang pemberian saya disimpan untuk masa terdesak,”
kata ibunya, Nazirah Mohamad Yusoff, 54, ketika ditemui di sini semalam.

Pelajar tahun tiga jurusan Sains Kemanusiaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu seorang yang pandai berjimat sebelum ini sehingga dapat mengumpul wang untuk membeli komputer riba.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Telefon awam dedah lokasi Aishah


KERATAN Kosmo! Ahad semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


PETALING JAYA – Dua panggilan yang dibuat menggunakan telefon awam oleh Noor Aishah Izan (gambar) kepada rakannya baru-baru ini sudah cukup untuk mendedahkan lokasi gadis itu yang disyaki lari bersama teman lelakinya.

Maklumat mengenai lokasi panggilan tersebut yang dibuat di sebuah pondok telefon awam di Seksyen 24, Bukit Kemuning, Klang disampaikan oleh sebuah syarikat telekomunikasi yang membantu polis mengesan gadis berkenaan selepas dia meninggalkan rumah sejak 11 Januari lalu.

Kawasan itu terletak cuma 20 kilometer dari rumahnya di Taman Paramount, Petaling Jaya.

Noor Aishah, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman, Petaling Jaya membuat dua panggilan iaitu pada 11 Januari dan 13 Januari lalu dan ia disahkan sendiri oleh rakannya, Nur Fatin Norrizan, 16.

“Dia (Nor Aishah) telefon saya dua kali. Dia mengakui mempunyai teman lelaki dan marah kerana ibunya merampas telefon bimbitnya.

“Bila saya tanya mana dia tinggal, dia hanya jawab ‘adalah’,”
katanya ketika dihubungi semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Jerat pakej komputer


Oleh ASRON MUSTAPHA,
AMMAR JAZLAN MAD LELA dan
JUNHAIRI ALYASA
khas@kosmo.com.my



SEORANG penjual komputer warga Bangladesh melayan pelanggan di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur.

--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR – Jika dulu sebut sahaja Plaza Low Yat dan Plaza Imbi di Jalan Bukit Bintang di sini, pasti kita terbayang betapa rancak aktiviti penjualan produk Teknologi Maklumat (IT) yang dikuasai peniaga kaum Cina.

Kini, wajah-wajah rakyat tempatan itu mulai tenggelam dengan kemunculan kumpulan penjual baru warga Bangladesh dan Pakistan yang semakin ramai mencuri hati pelanggan dengan memperdagangkan bukan sahaja penampilan yang menarik dan memikat tetapi juga menawarkan pakej komputer murah.

Berdasarkan pemerhatian wartawan Kosmo!, kira-kira 50 daripada 300 gerai komputer di Plaza Low Yat dikendalikan oleh warga asing tersebut.

Berselindung di sebalik ‘pakej’ tambahan pembelian komputer riba, kumpulan peniaga itu cuba memikat pelanggan dengan menawarkan pakej naik taraf yang pada akhirnya boleh menjerat pemilik komputer.

Akibatnya, pelanggan mungkin terbeli komputer riba baru tanpa jaminan antara satu hingga tiga tahun yang sepatutnya mereka peroleh.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Obama cemerlang selama 100 jam


WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berjalan dengan cemerlang sepanjang 100 jam beliau berada di White House.

Beliau turut dipuji kerana pantas memadamkan peninggalan bekas Presiden AS, George W. Bush dengan menghapuskan beberapa dasar domestik dan keselamatan.

“Saya rasa sehingga kini Obama melakukan dengan baik dan beliau menjauhkan diri daripada pentadbiran sebelum ini (Bush),” kata seorang profesor di University of New Hampshire, Dante Scala. – AFP


http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...