Wednesday, January 21, 2009

Sekeluarga buat cukai jalan palsu - Rahsia rumah tersergam, tiga buah kereta mewah terbongkar


Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
zulsham@kosmo.com.my


KAJANG - Rahsia sebuah rumah di Taman Damai Perdana di sini bersama tiga buah kereta mewah seperti Toyota Harrier, BMW dan Proton Perdana V6 akhirnya terbongkar apabila penghuni rumah itu dicekup Jumaat lalu.

Rumah yang didiami sebuah keluarga terdiri daripada seorang lelaki dan isterinya yang sedang mengandung serta dua anak itu rupa-rupanya menjalankan kegiatan haram dengan memalsukan cukai jalan palsu.

Lelaki itu yang merupakan suspek utama kegiatan tersebut bagaimanapun tiada di dalam rumah ketika serbuan dibuat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Shakaruddin Che Mood berkata, polis yang menerima maklumat mengenai kegiatan itu telah bertindak menyerbu rumah terbabit.

"Semasa serbuan, kita telah menahan seorang wanita hamil berumur 32 tahun bersama dua anaknya berusia enam dan 12 tahun ketika cuba keluar dari rumah itu dengan menaiki sebuah kereta Proton Perdana V6,'' katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang semalam.

Kata Shakaruddin, polis telah menyerbu rumah berkenaan dan menjumpai mesin cetak dan sebuah komputer yang dipercayai digunakan untuk memalsukan cukai jalan di dalam rumah tersebut.

Tambah Shakaruddin, polis bagaimanapun tidak menemui suspek dan ekoran itu polis telah menahan isterinya bagi membantu siasatan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Pasangan kekasih buang bayi


AMPANG JAYA - Tindakan mencurigakan sepasang kekasih yang bertengkar di tempat letak kereta di stesen transit aliran ringan (LRT) Jelatek membongkar satu kes pembuangan bayi perempuan semalam.

Kejadian pukul 4 pagi itu disedari oleh seorang pengawal keselamatan yang ternampak pasangan muda tersebut sedang bertengkar dan kelihatan mencurigakan.

Dia kemudian mengintip pergerakan pasangan itu sebelum ternampak seorang daripada mereka membuang sesuatu ke dalam tong sampah sebelum berlalu dengan menaiki sebuah kereta.

Musykil dengan apa yang dilihat, pengawal itu bertindak pergi ke tong sampah berkenaan lalu menjenguk dan terperanjat apabila mendapati 'sampah' yang dibuang merupakan seorang bayi perempuan yang cukup sifat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, melalui keterangan pengawal tersebut, polis dimaklumkan seorang lelaki bertindak keluar dari kereta dan pergi ke belakang kenderaannya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Mereka mesti balik - Menteri


KUALA LUMPUR - Pekerja warga asing yang diberhentikan kerja oleh majikan mereka diwajibkan pulang ke negara masing-masing dan tidak dibenarkan berada dalam negara serta bekerja untuk majikan lain.

Ia kerana kemasukan mereka ke negara ini adalah menggunakan permit pekerjaan yang dikeluarkan kepada satu majikan sahaja dan tidak kepada majikan lain.

Ekoran itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, sekiranya perkhidmatan mereka sudah tidak diperlukan lagi maka mereka wajib balik ke negara asal masing-masing.

"Kos pulang ke negara asal pula perlu ditanggung oleh majikan tempat mereka bekerja memandangkan mereka diberhentikan sebelum permit kerja tamat.

"Kegagalan berbuat demikian adalah menyalahi undang-undang dan majikan boleh didakwa,'' katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Samsuddin Bardan pada 15 Januari lalu mendedahkan bahawa kira-kira 60 hingga 70 peratus daripada dua juta pekerja asing di negara ini bakal kehilangan pekerjaan dalam sektor pengeluaran dan perladangan menjelang pertengahan 2009 ekoran kegawatan ekonomi dunia.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Warga asing mula merempat - Bahana kilang tutup operasi, berhentikan pekerja


Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA, ASRON MUSTAPHA, HISHAM IDRIS, SITI NOR AFZAN KASIMAN dan YUSAIRY YUSOF
berita@kosmo.com.my




SEKUMPULAN warga Nepal hanya melepak di rumah mereka di Bandar Baru Bangi kerana diberhentikan atau dihadkan kerja oleh majikan masing-masing.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Kalangan pekerja warga asing yang selama ini menganggap negara ini sebagai 'lubuk rezeki' kini semakin terhimpit ekoran kelembapan ekonomi yang turut mengakibatkan Malaysia mendapat tempias.

Setakat ini ribuan pekerja terutama dalam sektor pengeluaran telah dikehendaki berhenti kerja sementara, tidak mendapat elaun kerja lebih masa malah tidak kurang pula diberhentikan terus kerana syarikat tempat mereka bekerja mengambil keputusan menjimatkan kos operasi.

Serentak itu timbul kebimbangan bahawa pekerja tersebut yang kebanyakannya terdiri daripada warga Nepal, Bangladesh dan Myanmar terbiar dan 'merempat' ibarat anak ayam kehilangan ibu.

Oleh kerana tersepit mereka sanggup tinggal lebih masa dan bekerja secara haram dalam sektor lain malah mungkin ada yang sanggup menjadi penjenayah untuk menampung kehidupan.

Seorang warga Bangladesh, Mubarak Ali, 24, berkata, beliau kini tidak mempunyai sebarang pekerjaan selepas diberhentikan kerja kira-kira sebulan lalu di sebuah kilang plastik di Kajang.

Menurutnya, sebelum ini beliau boleh mendapat pendapatan sekitar RM1,000 sebulan termasuk bayaran kerja lebih masa.

"Tetapi kini ia tiada lagi kerana pengeluaran syarikat semakin berkurangan.

"Sampai sekarang saya sudah puas mencari kerja di merata-rata tempat," ujarnya yang kehilangan lima kilogram berat badan selepas berhenti kerja.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Ekonomi gawat, kadar jenayah naik

KUALA LUMPUR - "Naik di antara dua hingga lima peratus."

Itu ramalan Timbalan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye mengenai kadar jenayah ekoran kegawatan ekonomi global.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang percaya kadar jenayah bakal meningkat apabila ramai orang kehilangan pekerjaan.

Lam Thye menjelaskan, antara kes jenayah yang dijangka mengalami kenaikan ialah jenayah melibatkan pecah rumah pada siang hari, ragut dan rompakan.

"Trend jenayah di negara ini kebiasaannya akan naik apabila terdapat kegawatan ekonomi," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Walaupun begitu, beliau menyarankan supaya setiap isi rumah lebih menitikberatkan keselamatan diri sendiri, keluarga dan harta benda.

"Pencegahannya amat mudah, jangan wujudkan peluang kepada penjenayah," jelasnya.

Namun di sebalik langkah yang disarankan kepada isi rumah, Lam Thye menegaskan pihak kerajaan perlu melakukan sesuatu dengan merangsang ekonomi negara.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Hari-hari terakhir Bush


"BUSH melambaikan tangan di White House kelmarin."

--------------------------------------------------------------------------------

.
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush menghabiskan hari-hari terakhir beliau di White House dengan menelefon beberapa pemimpin dunia yang pernah bekerjasama dengannya sepanjang lapan tahun lalu.

White House berkata, Bush berbual dengan Perdana Menteri Denmark, Anders Fogh Rasmussen, Presiden Georgia, Mikhail Saakashvili, Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin dan rakan sejawatannya di Korea Selatan, Lee Myung-Bak semalam.

Jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan, Gordon Johndroe memberitahu, ketika mengucapkan selamat tinggal kepada mereka, Bush tidak lupa menyatakan terima kasih kerana layanan mesra yang diberikan kepadanya dan isterinya, Laura Bush sepanjang dua penggal beliau menerajui AS.

“Pemimpin-pemimpin dunia itu turut berterima kasih kepada Bush kerana usahanya dan semangat kerjasama serta setia kawan yang dipupuk antara mereka sepanjang lapan tahun lalu,” katanya.

Tambah jurucakap berkenaan, Bush yang bakal menyerahkan kerusi White House kepada pengganti beliau, Barack Obama hari ini turut menghubungi beberapa pemimpin dunia lain sepanjang hari terakhir memegang jawatan tertinggi di AS itu. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Hamas isytihar menang


" SEORANG ibu duduk dekat rumahnya yang musnah di kem pelarian Rafah, Gaza semalam."
--------------------------------------------------------------------------------


BANDAR GAZA – Sayap bersenjata Hamas semalam mendakwa bahawa pergerakan berkenaan hanya kehilangan 48 pejuang sepanjang 22 hari operasi ketenteraan Israel di Genting Gaza.

Pergerakan tersebut juga berikrar untuk meneruskan peperangan sekiranya rejim Zionis enggan mengundurkan tenteranya dari Gaza.

“Seramai 48 pejuang kami telah mati syahid,” kata seorang jurucakap Briged Ezzedine Al-Qassam, Abu Obeida.

Tentera Israel sebelum ini mendakwa berjaya membunuh seramai 500 pejuang Hamas sepanjang operasi ketenteraan yang bermula pada 27 Disember lalu.

Abu Obeida juga mendakwa pihaknya berjaya

membunuh sekurang-kurangnya 80 askar Yahudi tetapi tentera Israel melaporkan hanya 10 askar terkorban.

Pasukan perubatan di Gaza melaporkan seramai 1,300 penduduk Palestin terbunuh dalam operasi itu yang berakhir dengan gencatan senjata kelmarin.

Sementara itu, Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh mengisytiharkan kemenangan dalam pertempuran menentang tentera Israel.

Beliau yang juga pemimpin utama Hamas memberitahu bahawa gencatan senjata yang turut diisytiharkan oleh pergerakan itu sebagai keputusan bijak dan bertanggungjawab. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Pembaling kasut ke arah Bush mohon suaka



GENEVA - Seorang peguam warga Switzerland yang mewakili seorang wartawan Iraq yang melontar kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush semalam menyatakan anak guamnya akan memohon suaka politik di Switzerland.

Peguam tersebut, Mauro Poggia yang beribu pejabat di Geneva menyatakan nyawa pembaling kasut itu, Muntazer al-Zeidi (gambar) kini dalam bahaya.

Katanya, dia ditahan di sebuah penjara di Iraq sementara menunggu perbicaraan selepas ditangkap kerana membaling kasut ke arah Bush pada 14 Disember lalu. Tindakan itu sekali gus menjadikannya sebagai hero oleh kebanyakan penduduk Iraq.

"Saya fikir kerajaan Iraq tidak akan mengapa-apakan Muntazer (berikutan Bush akan tamat tempoh jawatan Presiden AS)," kata Poggia.

Muntazer sepatutnya dibicarakan pada akhir bulan lalu atas tuduhan menyerang pemimpin asing namun sebuah mahkamah menangguhkan perbicaraan selepas peguamnya memohon pindaan pertuduhan kepada menghina Bush. - AP


http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Ucapan Obama sebelum jadi Presiden Amerika


OBAMA, isterinya, Michelle (kanan) dan anak perempuan mereka Sasha menyanyikan lagu ketika melihat persembahan penyanyi Garth Brooks di Memorial Lincoln, Washington kelmarin. - AP
--------------------------------------------------------------------------------


WASHINGTON - Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menegaskan akan menyambung semula usaha memperbaharui harapan rakyat AS yang pernah diperjuangkan oleh pejuang hak asasi, Martin Luther King.

"Hari ini, kita menjadi satu bangsa dalam satu negara seperti yang pernah diperjuangkan oleh King.

"Kita juga mengenalpasti bahawa AS pada masa depan akan menjadikan kita semuanya saling berhubungan," katanya dalam satu kenyataan.

"Apabila kita berjalan ke hadapan, kita mesti berjalan bersama-sama dan kita mesti maju ke hadapan untuk memperbaharui janji negara ini.

"King pernah mengajar kita bahawa impian semua yang kelihatan berlainan sebelum ini sebenarnya adalah sama," jelasnya.

Kelmarin, Obama turut berucap di Memorial Lincoln, Washington selain menyaksikan konsert daripada beberapa penyanyi terkenal.

Antara artis yang melakukan persembahan ialah Jennifer Lopez, Beyonce, James Taylor, Bruce Springsteen dan kumpulan muzik U2.

Jumlah penonton dianggarkan setengah juta orang manakala Obama menyaksikan konsert itu bersama isteri dan dua anak perempuannya.

Konsert itu diadakan sempena majlis angkat sumpah Obama yang akan diadakan pada hari ini bagi menggantikan George W. Bush. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Ilham miliki wajah seiras Obama




JAKARTA – Yang pasti, seorang jurugambar majalah di Indonesia, Ilham Anas tidak akan menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di White House, Washington, esok.

Ini kerana sekiranya beliau hadir, sudah pasti dirinya juga menjadi perhatian orang ramai kerana memiliki wajah seiras dengan Obama.

Ilham, 34 tahun, memiliki wajah seperti Obama jika dipandang dari beberapa sudut.

Dia menjadi terkenal di Indonesia selepas Obama menang dalam pilihan raya Presiden, November tahun lalu.

Ilham kini hidup senang dan menerima bayaran lumayan dengan hanya berlakon sebagai Obama dalam satu iklan televisyen.

Obama sendiri memiliki ramai peminat di Indonesia kerana pernah menetap di Jakarta selama empat tahun apabila ibunya, seorang warga AS, Ann Dunham mengahwini Lolo Soetoro iaitu seorang rakyat Indonesia beragama Islam.

Dunham berkahwin dengan Lolo selepas bercerai dengan bapa kandung Obama yang berasal dari Kenya.

“Apabila Obama menang, rakan-rakan sekerja saya melakukan jenaka terhadap saya – mereka menyuruh saya memakai sut dan tali leher sebelum merakam gambar saya yang berlagak sebagai Obama,” katanya yang lahir di Bandung.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0119&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Askar British pernah seksa datuk Obama


WASHINGTON – Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama tidak pernah menemui datuknya, Hussein Onyango Obama yang meninggal dunia ketika berusia 84 tahun pada 1979 ketika Obama masih di bangku sekolah.

Namun, Obama menyanjung tinggi Hussein yang bekerja sebagai tukang masak kepada seorang pegawai tentera Britain di ibu negara Kenya, Nairobi sebelum dia dipenjara kerana disyaki terlibat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan bagi negara Afrika itu.

Datuk Obama yang ketika itu berusia 54 tahun diseksa dengan kejam oleh tentera Britain selama dua tahun untuk mendapatkan maklumat mengenai perjuangan tersebut yang dikenali sebagai pemberontakan Mau Mau.

“Mereka (askar-askar Britain) menyepit buah zakarnya dengan batang besi.

“Mereka menikam kuku dan punggungnya dengan jarum tajam. Dia bernasib baik kerana masih hidup,”
kata keluarga Obama.

Beberapa pengasas politik menyatakan perbuatan kejam tentera Britain itu mungkin menggugat hubungan akrab Washington dengan London selepas Obama menjadi Presiden AS. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0119&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm

Terkejut lihat kemusnahan besar akibat serangan Israel


SEORANG penduduk meninjau sebuah bangunan yang musnah di Jebaliya, Genting Gaza semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


GAZA - Selepas 22 hari tentera Israel melancarkan serangan besar-besaran, penduduk Palestin terkejut melihat kemusnahan rumah mereka semalam.

Wanita-wanita menangis selepas melihat rumah mereka musnah sehingga enggan bercakap kepada wartawan.

Sebahagian penduduk lagi mencari pelbagai barangan yang boleh digunakan di celah-celah runtuhan rumah masing-masing.

"Inilah sahaja yang tinggal," kata seorang wanita yang memegang rantai yang ditemui di celah-celah runtuhan rumahnya.

Sejumlah kanak-kanak berusaha untuk menyelamatkan beg sekolah dan buku nota yang musnah.

"Sebahagian penduduk tidak dapat lagi mengenali kedudukan rumah mereka," kata seorang anggota polis di bandar Beit Lahiya.

Seorang kanak-kanak, Shereen Abed-Rabbo yang berumur 12 tahun hanya menemui kitab suci al-Quran yang musnah terbakar.

Jentolak-jentolak menolak sejumlah kereta yang musnah akibat serangan tentera Israel yang mendatangkan kemusnahan besar di Gaza. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0119&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Israel umum gencatan senjata


SEJUMLAH penduduk Palestin mencari barangan yang masih boleh digunakan di celah-celah runtuhan bangunan
di Jebaliya, Genting Gaza semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


BANDAR GAZA - Tentera Israel di Genting Gaza diarah menghentikan tembakan selepas kerajaan rejim Zionis mengumumkan gencatan senjata.

Pengumuman itu sekali gus menamatkan operasi serangan besar-besaran selama tiga minggu di Gaza bagi menghapuskan pejuang-pejuang Hamas.

Namun, beberapa jam kemudian, pejuang-pejuang Hamas melancarkan 10 serangan roket ke wilayah Yahudi.

Ketika mengumumkan gencatan senjata pada lewat kelmarin, Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert berkata, tindakan menghentikan tembakan dilakukan selepas matlamat serangan rejim Zionis berjaya dicapai.

"Hamas teruk dibedil termasuk cawangan sayap ketenteraan dan institusi kerajaannya.

"Para pemimpinnya bersembunyi dan kebanyakan mereka terbunuh.

"Jika Hamas menangguhkan tembakan, pihak tentera akan keluar dari Gaza," kata Olmert.

Menurutnya, jika pejuang-pejuang Hamas tidak berbuat demikian, tentera Israel akan meneruskan tindakan bagi mempertahankan rakyatnya.

Sementara itu di Gaza, penduduk-penduduk kembali semula ke kediaman masing-masing untuk melihat runtuhan rumah mereka akibat serangan tentera Israel.

Gencatan senjata itu berkuat kuasa pada pukul 2 pagi waktu tempatan selepas 22 hari berlakunya pertempuran antara pejuang-pejuang Hamas dengan tentera Israel.

Menurut pegawai-pegawai Pertubuhan Bangsa-Bengsa Bersatu (PBB), dalam pertempuran itu, lebih 1,300 penduduk Palestin terbunuh separuh daripada mereka adalah kanak-kanak.

Sebanyak 13 rakyat Israel turut terbunuh.

Israel memutuskan untuk menangguhkan serangan dua hari sebelum Barack Obama mengangkat sumpah sebagai Presiden AS di White House, Washington.

Setiausaha Negara AS, Condoleezza Rice menyatakan pentadbiran Presiden George W. Bush mengalu-alukan keputusan Israel itu. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0119&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Najib: Imej negatif Umno punca BN kalah di Kuala Terengganu



Rabu Januari 21, 2009

PUTRAJAYA: Imej negatif Umno dan sikap sesetengah pemimpinnya yang kurang mesra di mata rakyat merupakan antara punca kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu minggu lepas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.


Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, parti itu perlu mengubah budaya dan imejnya agar disenangi oleh rakyat.


"Pemimpin Umno di semua peringkat Umno mesti menunjukkan imej positif dan mesra rakyat," kata beliau kepada pemberita.


Terdahulu beliau menyaksikan majlis Penyerahan Dokumen Perjanjian bagi Penstrukturan Semula Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Sembilan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.


Semalam Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Umno memerlukan faktor "wow" untuk memikat semula hati rakyat berikutan kekalahan calonnya pada pilihan raya kecil itu.


Najib berkata rakyat menilai Umno berdasarkan hubungan mereka dengan pemimpin Umno di semua peringkat.


Pada pilihan raya itu, calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas kepada calon PAS, Mohd, Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/21/mstar_berita/20090120175510&sec=mstar_berita

Pegawai Kerajaan Persekutuan dilarang hadir mesyuarat negeri

Rabu Januari 21, 2009

IPOH: Semua pengarah jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dilarang daripada menghadiri mesyuarat-mesyuarat di peringkat negeri berkuat kuasa serta-merta.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hanya pengarah agensi peringkat negeri yang dibenarkan menghadiri mesyuarat negeri, yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri atau pegawai daerah.


"Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin terhadap pengarah agensi Persekutuan jika mereka menghadiri mesyuarat tersebut," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri di sini, hari ini.


Ahmad Zahid yang merupakan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri bagaimanapun berkata, agensi-agensi seperti Jabatan Pengarain dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertanian dan polis dikecualikan daripada larangan itu.


Ahmad Zahid berkata, berkuat kuasa serta-merta juga, agensi-agensi persekutuan hanya akan menerima syor yang dikemukakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).


"Jabatan-jabatan dan agensi-agensi persekutuan telah diarahkan supaya hanya menerima borang-borang yang ditandatangani JKKKP," katanya.


Disebabkan Kerajaan Persekutuan hanya mengiktiraf JKKKP, semua syor yang dibuat JKKKP adalah syor yang sah.


"Kita tidak mengiktiraf syor-syor yang dibuat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)," katanya.


Berhubung permohonan biasiswa, Ahmad Zahid berkata, kemasukan ke institusi pengajian tinggi juga memerlukan syor JKKKP.


Ahmad Zahid juga memberitahu, 28 wakil Barisan Nasional yang dipilih di peringkat negeri akan diberikan peruntukan khas untuk membantu masyarakat di kawasan mereka.


"Peruntukan itu akan diberikan jika berlaku insiden-insiden termasuk kebakaran, banjir atau ribut petir di kawasan mereka," katanya yang enggan menyatakan jumlah peruntukan bagi setiap kawasan.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/21/mstar_berita/20090120192651&sec=mstar_berita

Tuesday, January 20, 2009

Kes khalwat: Norman - Memey berpakaian sedondon, mengaku tidak bersalah!


Selasa Januari 20, 2009

Oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ



KUALA LUMPUR: Pelakon Norman Hakim dan bintang baru, Suhaiza Suhaimi atau Memey, hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat pada Oktober lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini.


Hakim Syarie, Wan Mahyudin Wan Mohamad membenarkan kedua-dua aktor itu dilepaskan dengan jaminan bon jamin mahkamah RM3,000 secara tunai setiap seorang yang perlu dibayar hari ini.


"Kedua-dua tertuduh turut dilepaskan dengan syarat seorang penjamin dan mahkamah juga menetapkan seorang penjamin kedua-dua tertuduh hendaklah terdiri daripada kakitangan awam.


Norman dan Memey hadir ke Mahkamah Syariah Gombak Timur dalam pakaian berwarna sedondon iaitu hitam dan putih pada pagi ini. foto The Star oleh NORAFIFI EHSAN

"Ini bagi mengelakkan kedua-dua tertuduh menghilangkan diri semasa sesi perbicaraan nanti.


"Kedua-dua tertuduh ini dibebaskan dari mahkamah oleh seorang penjamin berdasarkan peruntukan Seksyen 22 (4)(5) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 2003.


"Perbicaraan ini ditangguhkan untuk sebutan semula pada 3 Mac depan, pukul 9 pagi untuk perbicaraan dalam kes ini,"
kata Wan Mahyudin.


Norman tidak menyembunyikan Keakraban hubungan antara keluarganya dan keluarga Memey. Dari kiri: Memey, ibu Norman, ibu saudara Memey, abang Norman dan Norman.

Norman dan Memey datang berpakaian putih dan hitam sedondon secara berasingan seawal pukul 9 pagi tadi.


Norman hadir bersama ibunya, Kamariah Kamat, 66, abang dan abang iparnya manakala Memey pula ditemani seorang ibu saudaranya.


Selepas dibicarakan, kedua-duanya berjalan seiringan keluar dari mahkamah dan masing-masing meluahkan rasa syukur dengan kelancaran proses prosiding pada hari ini.


Wajah Norman dan Memey sewaktu berjalan ke dalam mahkamah.

"Kita sudah melepasi sesi prosiding dan kami mengatakan tidak mengaku bersalah dan akan dibicarakan nanti. Kami berdua bekerjasama dan mengikut prosedur. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Insya-Allah, kita tengok keputusannya nanti," kata Norman.


Memey pula menambah: "Saya pun sama juga, Alhamdulillah kerana semuanya berjalan dengan lancar tetapi kes ini masih dalam siasatan. Jadi, kita tunggulah hari perbicaraan pada 3 Mac depan."


Pada tarikh 3 Mac nanti, apakah yang Norman akan lakukan untuk membela diri?


Gelagat Norman dan Memey yang tersipu-sipu malu apabila disoal tentang kahwin.

Norman: "Kami akan melantik peguam bagi pembelaan kerana masing-masing tidak mahir tentang prosedurnya dan meminta pandangan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pihak mahkamah. Kami berdua juga akan cuba buktikan yang kami tidak bersalah di dalam kes ini."


Tetapi pihak JAIS mendakwa mereka mempunyai bukti yang menunjukkan Norman dan Memey bersalah?


Norman: "Bukti adalah pendakwaan. Jadi, bagi pihak kami, kita perlu mempertahankan kerana kita tahu apa yang berlaku. Kami telah mengikut prosedur dan cuba mencari penyelesaian yang terbaik. Kita perlukan kerjasama kerana kami hendak menjernihkan sesuatu keadaan dan bukannya hendak menjadikan perkara ini lebih buruk."


Apa komen apabila ada yang berpendapat, mungkin Norman dan Memey akan mengambil tindakan untuk berkahwin pada masa akan datang.


Norman tersenyum ceria sewaktu mula-mula sampai di mahkamah.

Norman: "Buat masa ini kami memang tiada perancangan untuk berkahwin lagipun kita perlu selesaikan apa yang berlaku ini satu-persatu. Nanti, kalau suatu perkara itu belum selesai, kita cuba mencipta satu platform lain pula.


Walaupun Norman tidak mempunyai perancangan untuk berkahwin dengan Memey, tetapi masing-masing sedang mengenali hati budi.


Norman:"Sebagai senior, saya perlu mengepalai dalam situasi yang dihadapi sekarang dan kami sentiasa berbincang tentang apakah penyelesaian yang terbaik. Dalam masa yang sama, saya minta juga input daripada keluarga saya dan Memey.


"Secara tak langsung, apa yang berlaku ini telah mengeratkan silaturahim dan mengenali hati budi itu berlaku secara tak langsung."


Kenapa tidak kahwin sahaja untuk menyelesaikan kontroversi ini?


Norman ketawa. Memey mencelah dengan berkata: "Kahwin ini suatu keputusan yang penting dalam kehidupan. Tak bermakna kahwin adalah jalan terbaik untuk kita berhadapan dengan hal ini. Apa pun keputusan, kita perlu tunggu perbicaraan nanti. Soal kahwin itu, kita fikirkan kemudian hari. Kita tidak perlu membuat keputusan terburu-buru."


Norman pula menjawab: "Kita perlu lebih rasional dan seperti yang Memey katakan, kita tidak perlu terburu-buru dan pada saya perkahwinan itu merupakan suatu yang baik. Jangan risau, kalau ada jodoh kami, hal perkahwinan itu adalah suatu perkara yang tidak perlu disorok lagi."


Apabila diusik adakah mereka merancang untuk mengenakan pakaian berwarna sedondon pada hari ini, Norman yang ketawa dan tersipu-sipu malu di samping Memey mengakui idea tersebut dikeluarkan secara spontan kerana mereka sentiasa berkomunikasi dari berbagai aspek.


"Memang saya yang mencadangkan untuk memakai pakaian hitam dan putih tetapi tiada sebab yang spesifik kami memakai warna sedondon," ujar Norman sambil tersenyum ceria.


Norman berkata perasaan cerianya pada hari ini bertambah apabila mendapat semangat daripada keluarga dan merupakan cara untuk memberikan aura positif di dalam menghadapi masalah serta berhadapan dengan kenyataan.


Mereka ditangkap berkhalwat oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di pejabat Norman, MDH Trading & Services di Ukay Perdana, Ampang, Selangor sekitar pukul 3 pagi pada 30 Oktober tahun lalu.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/20/mstar_hiburan/20090120104803&sec=mstar_hiburan

Ibu Norman Hakim restui andai jodoh anaknya dengan Memey


Selasa Januari 20, 2009

Oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

KUALA LUMPUR: "Jodoh, pertemuan dan maut terletak di tangan Tuhan dan itu semua merupakan kuasa Allah," luah ibu aktor Norman Hakim, Kamariah Kamat, 66, yang seolah-olah merestui andai anaknya ingin berkahwin dengan aktres Memey Suhaiza.

Kamariah menambah, dia akan bersetuju dengan siapapun pilihan anaknya mahupun anaknya itu memilih Memey sebagai isteri.


Ibu Norman, Kamariah Kamat akui menyukai Memey dan tidak menolak andai anaknya berjodoh dengan Memey. foto The Star oleh NORAFIFI EHSAN

"Saya suka semua orang termasuk Memey. Saya anggap dia seperti anak-anak saya..," jelas Kamariah.


Kamariah turut menjelaskan keakraban yang berlaku antaranya dengan Memey seolah-olah memberikan gambaran jelas yang dia benar-benar bersetuju hubungan antara anaknya dan Memey.


"Ini merupakan realiti kehidupan. Kita tak bolehlah ‘reject’ seseorang itu kerana saya sukakan semua orang dan begitu rapat dengan anak-anak," beritahu Kamariah dengan penuh berhati-hati.


Ketika ditanya tentang hubungannya dengan bekas menantunya, aktres Abby Abadi dan tiga orang cucunya, Kamariah mengakui hubungan mereka masih terjalin seperti dulu dan dia juga tidak lupa melawat mereka.


"Keakraban itu masih ada. Walaupun kami jauh, tetapi hubungan kami telah diserap dari awal dan saya sayangkan keluarga itu.


"Saya menganggap jodoh Abby dan Norman sudah tidak ada lagi, jadi sebab itu mereka mengambil langkah untuk berpisah,"
kata Kamariah yang menyatakan seluruh ahli keluarganya sentiasa menasihati Norman secara kolektif ketika anaknya itu dilanda masalah rumahtangga.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/20/mstar_hiburan/20090120150931&sec=mstar_hiburan

Amaran Najib: Sedia terima hukuman rakyat jika BN tidak bangkit




Selasa Januari 20, 2009


DATUK Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak melihat buku Politik Baru karya Datuk Saifuddin Abdullah (kiri) selepas majlis pelancarannya di Putrajaya hari ini.-fotoBERNAMA


PUTRAJAYA: Empat hari selepas kegagalan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Kuala Terengganu, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak memberi amaran bahawa pemimpin-pemimpin BN tidak boleh berterusan duduk dalam zon selesa.


Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri menekankan, mereka perlu mengubah paradigma dan mengubah cara serta pendekatan berpolitik supaya ia sentiasa berorientasikan rakyat.


Justeru, Najib mahukan semua pemimpin kerajaan BN bangkit dan bingkas kembali menyusun strategi melakukan perubahan baik kepada diri mahukan kepada parti demi kesejahteraan bangsa dan tanah air.


Kerajaan BN perlu memastikan program-program kerajaan adalah berteraskan keperluan rakyat supaya ia sentiasa dekat di hati dan sanubari rakyat.


"Jika kita gagal menangani cabaran ini dengan cemerlang, kita akan menerima hukumannya dalam pilihan raya umum ke-13 kelak," kata beliau ketika melancarkan buku Politik Baru karya Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah, di sini.


Buku setebal 178 muka surat dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris itu menyentuh mengenai integriti politik dan kerangka pemerintahan baru.


Dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu Sabtu lalu, calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas kepada calon PAS, Mohd. Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi.


Pada 8 Mac lalu, kerusi itu dimenangi oleh Allahyarham Datuk Razali Ismail.


Ia merupakan kekalahan kedua bagi BN dalam pilihan raya kecil sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu.


KESINAMBUNGAN


Najib, yang juga Timbalan Presiden Umno menegaskan kerajaan BN tidak boleh sekali-kali membiarkan gejala tiada berkesinambungan wujud di antara aspirasi rakyat dan hala tuju kerajaan.


Kata beliau, kerajaan BN sentiasa peka kepada gelombang perubahan dan pembaharuan.


"Ini kerana kita insaf di dalam sistem demokrasi, rakyat adalah penentu mutlak kepada parti mana yang akan membentuk kerajaan," kata Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN.


Beliau berkata, demi melaksanakan agenda perubahan dan pembaharuan, mahu tidak mahu, tidak dapat tidak, kerajaan BN memerlukan pemimpin berkebolehan dan berpengetahuan dalam bidang yang dipertanggungjawabkan.



PEMIKIRAN GLOKAL


Pemimpin itu, katanya, mestilah membawa pemikiran glokal dengan ideanya merentasi sempadan negara tetapi jiwanya dan akarnya adalah berteraskan bumi bertuah ini.


"Rakyat Malaysia sudah cukup matang dalam menilai pemimpin mereka. Mereka tidak mahu lagi didendangkan dengan lagu-lagu sumbang tentang retorik perubahan tetapi hampa isi di dalamnya. Mereka mahukan "result".


"Mereka mahu melihat perubahan itu berlaku!"
katanya.


Najib berkata gelombang perubahan hari ini menuntut negara memiliki bukan sekadar politikus biasa yang manis senyumnya dan muluk tuturnya, sebaliknya pemikir politik yang kaya ideanya dan hikmah tingkahnya.


Perubahan dan pembaharuan sudah menjadi satu tema dominan dalam arus politik dunia, katanya.


Malah, ucapan Barack Obama semasa kempen Presiden Amerika Syarikat sentiasa membujuk kepada harapan dan sifat idealis manusia, bukannya ketakutan dan sifat kebencian mereka, katanya.


"Sesungguhnya formula ini telah berjaya mencetuskan gelombang perubahan dan pembaharuan yang amat signifikan dalam susur galur sejarah politik Amerika Syarikat," katanya.


Akses kepada lebuh raya maklumat dan televisyen satelit berbayar telah mendedahkan rakyat Malaysia kepada fenomena ledakan maklumat dan ia memberi dimensi baru kepada evolusi penghakupayaan rakyat Malaysia sebagai pengundi.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/20/mstar_mutakhir/20090120144013&sec=mstar_mutakhir

Rasuah pemilihan Umno bahagian: Naib Ketua antara 3 didakwa Khamis




Selasa Januari 20, 2009

Oleh G. MANIMARAN









PETALING JAYA: Tiga orang termasuk seorang Naib Ketua Umno akan didakwa di mahkamah Khamis ini atas tuduhan memberi wang rasuah ketika pemilihan Umno Bahagian baru-baru ini.


Mereka melibatkan ahli Umno di Perak, Pahang dan Melaka.


Pemilihan Umno berlangsung selama sebulan antara awal Oktober dan November lalu.


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata, ketiga-tiga mereka akan didakwa pada hari yang sama.


Dalam kes pertama, jelas SPRM, seorang Naib Ketua Bahagian Umno di Perak dijangka didakwa atas dakwaan memberi wang rasuah RM300 kepada seseorang dalam pemilihan bahagian.


Sementara itu, seorang lagi ejen dijangka akan didakwa kerana memberi rasuah RM200 kepada seseorang bagi mengundi calon dalam pemilihan Ketua Bahagian Umno di Pahang.


Di Melaka, seorang lagi ejen juga dijangka didakwa atas dakwaan memberi RM200.


Ketiga-tiga mereka akan didakwa mengikut Seksyen 10(b) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2008.


Ia merupakan kes pertama melibatkan SPRM beroperasi sejak 1 Januari lalu.


Akhir bulan lalu, SPRM yang dulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) berkata, akan memfailkan pendakwaan terhadap sekurang-kurangnya tiga ahli politik berhubung kesalahan rasuah, politik wang dan salah guna kuasa dalam masa terdekat.


Selain itu, beberapa kes berkaitan isu sama yang selesai disiasat dihantar semula ke Bahagian Siasatan BPR untuk dikemas kini bagi menghasilkan kertas siasatan lebih kukuh, malah ada yang diserahkan kembali kepada Lembaga Disiplin untuk tindakan dalaman parti berkenaan.


Bagaimanapun ahli politik yang akan didakwa itu bukan calon yang bertanding jawatan tertinggi Umno pada pemilihan parti itu, Mac depan.


Persetujuan untuk meneruskan proses pendakwaan terhadap tiga kes itu diberikan selepas meneliti secara terperinci kertas siasatan yang diserahkan Bahagian Siasatan BPR.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/20/mstar_berita/20090120122146&sec=mstar_berita

Obama bersedia angkat sumpah Presiden ke-44 AS, dunia harapkan perubahan

Selasa Januari 20, 2009



BARACK Obama yang akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-42, melambai ke arah audien sebelum memperkenalkan bekas pesaingnya, Senator John McCain pada majlis makan malam di Washington semalam. - AP


WASHINGTON: Barack Obama yang memenangi pemilihan Amerika Syarikat (AS) November lalu dengan selesa, bersiap sedia untuk mengangkat sumpah sebagai presiden pertama daripada kalangan masyarakat kulit hitam hari ini.


Beliau dijadual menyempurnakan upacara angkat sumpah pada pukul 1 pagi esok (waktu Malaysia, pukul 5 petang ini GMT) ketika dunia mengharapkan presiden yang ke-44 AS itu akan melakukan sesuatu untuk mengubah dasar luarnya dan persepsi masyarakat dunia terhadap Washington.


Harapan itu memuncak ketika konflik Gaza ekoran serangan Israel menghampiri minggu keempat.


Malah perubahan bukan sahaja diharapkan oleh masyarakat dunia ekoran pelbagai dasar berat sebelah AS, rakyatnya juga mahu Obama membebaskan negaranya daripada kemelesetan ekonomi paling buruk sejak 1930-an, kesan peperangan di Afghanistan dan Iraq dan perubahan dasar White House yang diterajui George W. Bush sepanjang lapan tahun lalu.


Beliau dijadual menyampaikan ucapan sulungnya sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden yang baru dari bangunan Capitol - yang diharap akan menjadi peluang terbaik awalnya untuk memenuhi harapan banyak pihak.


Sempena upacara itu, laluan-laluan utama di sini dikawal ketat demi keselamatan sejak awal pagi tadi - kira-kira 24 jam sebelum majlis bersejarah itu.


Lebih 12,500 anggota tentera dan polis metropolitan dihimpunkan untuk menjaga keselamatan.


Obama akan mengangkat sumpah menggunakan kitab injil yang pernah digunakan oleh bekas Presiden Abraham Lincoln yang mengakhiri sistem perhambaan di AS.


Majlis angkat sumpah Obama dan Naib Presiden Joe Biden dijangka menarik kira-kira dua juta orang yang sanggup berhimpun di bawah cuaca teramat sejuk.


Obama, pemimpin Demokrat berusia 47, yang telah menewaskan John McCain pada 4 November telah menjanjikan pendekatan pentadbiran bersifat pragmatik berbanding ideologikal.


Selepas majlis angkat sumpah, Obama akan diiringi dari bangunan Capitol melalui Pennsylvania Avenue untuk ke White House - premis pentadbirannya untuk tempoh empat tahun akan datang.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/20/mstar_berita/20090120113535&sec=mstar_berita
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...