Thursday, September 25, 2008

Rais sokong jawatan presiden dipertanding


Sep 24, 08 3:50pm

Sudah tiba masanya bagi dua jawatan tertinggi dalam Umno - presiden dan timbalan presiden - dipertandingkan untuk memperkukuhkan proses demokrasi dalam parti, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim.

"Umno amat memerlukan proses demokrasi yang mantap dan saya berada dalam kumpulan di mana (jawatan) presiden dan timbalan presiden sepatutnya dicabar," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat 13 ketua misi Malaysia yang ditugaskan di Amerika di Kedutaan Malaysia di Washington.

"Mana-mana jawatan sepatutnya dipertandingkan – jawatan am tidak sepatutnya suci – Umno wajar melalui proses pengembalian kepada asal, kembali kepada caranya yang lama," katanya kepada Bernama.

Dua jawatan tertinggi parti tidak dibenarkan dipertandingkan selepas persaingan yang meninggalkan kesan mendalam pada 1987 - antara penyandang presiden Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah - yang menyaksikan parti berpecah.

Razaleigh selepas itu menubuhkan parti Semangat 46 yang turut disertai beberapa ahli utama parti termasuk Rais, namun kembali semula ke pangkuan Umno pada 1996.

Rais yang berhasrat bertanding jawatan naib presiden Umno dalam perhimpunan agung parti Disember ini, berkata "proses pengembalian kepada asal" dalam Umno adalah sihat untuk parti.

"Jika keputusan dibuat oleh pemimpin-pemimpin sahaja, pasti akan mewujudkan akibat tertentu.

"Bagaimanapun, jika akar umbi diberikan peluang, dengan itu nilai demokrasi dapat diperkukuhkan," kata Rais yang juga ahli Parlimen Jelebu.

Beliau bagaimanapun yakin Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak akan dapat mengharungi "kesukaran" kemelut politik negara.

Mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa di mahkamah bagi tuduhan liwat, Rais berkata penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu didakwa di mahkamah bagi menghadapi tindakan undang-undang mengikut Kanun Keseksaan dan ia tiada kena mengena dengan cita-cita politiknya.

"Tidak seperti di Eropah dan Amerika Syarikat, liwat merupakan perbuatan jenayah di Malaysia," katanya sebagai mengulas kritikan tajam terhadap kerajaan Malaysia oleh negara-negara Barat.

Anwar, yang merupakan ketua Pakatan Rakyat, menetapkan 16 September sebagai tarikh untuk mengambil alih kerajaan dengan mendakwa lebih 30 ahli Parlimen Barisan Nasional telah menyertai partinya.

"Tarikh yang ditetapkannya itu telah datang dan berlalu dan ini akan menjejaskan kewibawaannya," kata Rais.

Mengenai Akta Keselamatan Negeri (ISA) yang kontroversi, Rais berkata adalah penting bagi ISA dinilai semula supaya selaras dengan prinsip hak asasi manusia (berhubung) dengan keadilan, pentadbiran undang-undang dan bidang kuasa mahkamah.

"Kita perlu kaji semula ISA untuk menangani pelbagai kritikan – aspek tertentu ISA boleh dinilai semula. Malaysia tidak boleh lagi berkata yang ia tidak boleh (kaji semula ISA)," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/90302

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...