Thursday, October 23, 2008

2 kali gugur janin




Oleh Fauzi Rahim Mustafa
fauzee@hmetro.com.my


SUNGAI PETANI: Menggemparkan apabila seorang remaja perempuan yang baru berusia 13 tahun mengaku dua kali menggugurkan kandungannya selepas mendakwa dianiaya dan dipermainkan lelaki yang mengambil kesempatan terhadap dirinya.

Remaja yang bersekolah setakat tahun enam itu mendakwa kali pertama menggugurkan kandungannya ketika usianya baru mencecah 12 tahun iaitu pada pertengahan tahun lalu dan kali kedua pada Julai lalu.

Dia yang mahu dikenali sebagai Ira mendakwa menjadi mangsa keadaan akibat tertekan dengan masalah keluarga selain terlalu percayakan lelaki yang mahu melindunginya.

Katanya, dia dianiaya seorang abang angkat yang merogolnya ketika baru berusia 10 tahun.


“Ketika itu, abang angkat yang berusia 24 tahun mengajak saya menaiki keretanya pada waktu malam dengan alasan adiknya mahu berjumpa untuk berbincang hal pelajaran.

“Saya yang tidak menaruh syak apa-apa lalu mengikutnya dan beberapa minit kemudian, saya dibawa ke hutan kecil dan dirogol,” katanya yang membuat pendedahan itu di depan Koordinator Urusetia Menangani Gejala Sosial Kerajaan Negeri Kedah, Kamaruddin Kassim dan Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Daerah Kuala Muda, Leftenan Kolonel (B) Zulkifli Yusof di sini, malam kelmarin.

Remaja itu ditemui selepas Kamaruddin dan Zulkifli dimaklumkan mengenai keperitannya menyebabkan mereka bersemuka bagi mendapatkan gambaran sebenar.

Selepas peristiwa hitam itu, dia dihantar pulang dan diberi amaran tidak memberitahu sesiapa terutama ibu bapa jika tidak mahu diapa-apakan.

Akibat itu, sikapnya berubah dan sering mendiamkan diri serta mudah takut serta mengalami tekanan perasaan.

“Saya juga gagal menumpukan perhatian terhadap pelajaran serta kurang berminat kepada alam persekolahan. Ketika berusia 12 tahun, saya berkawan dengan seorang lelaki lain juga berusia 24 tahun.

“Namun, niat ikhlas berkawan dengan lelaki itu menyebabkan saya tidak menyedari dipergunakannya untuk melakukan seks beberapa kali hingga saya terpaksa menggugurkan kandungan kali pertama,” kata yang juga anak keempat daripada lima beradik.

Sebaik tamat sekolah rendah, Ira nekad tidak menyambung persekolahannya kerana kecewa dengan nasib diri dan tidak tahan mendengar ibu bapanya bergaduh setiap hari.

Bapanya yang kini berusia 49 tahun bekerja mengambil upah sebagai peraih ikan, manakala ibunya, 44, baru berhenti kerja di sebuah kilang di bandar Sungai Petani.

Jelasnya, wang adalah punca perbalahan ibu dan bapanya setiap hari serta keputusan untuk tidak bersekolah dianggap dapat mengurangkan bebanan mereka meskipun kakak dan dua abang sudah berkahwin.

“Kali kedua saya menggugurkan janin ialah Julai lalu selepas melakukan hubungan seks dengan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang dianggap sebagai kekasih.

“Saya juga pernah menghidu gam, merokok, minum arak dan menghisap ganja kononnya mahu melupakan masalah, namun hakikatnya semua benda itu semakin menambah tekanan kepada perasaan,” katanya yang mengaku sepanjang tercicir daripada alam persekolahan, dia pernah melakukan hubungan seks dengan lima lelaki berlainan berusia antara 17 tahun hingga 25 tahun.

Bagaimanapun, dia tidak meneruskan ketagihan seks kerana ada rakan mahu membantu berdepan dengan masalah terbabit.

Sehubungan itu, dia nekad meninggalkan semua perbuatan keji itu dan ingin menyambung semula persekolahan tetapi buntu kerana tidak tahu bagaimana meneruskan kehidupannya.

Sementara itu, Kamaruddin berkata, pihaknya dengan kerjasama JKPD Daerah Kuala Muda akan berusaha membantu remaja berkenaan untuk bersekolah semula.

“Kami bersimpati dan akan cuba menempatkannya di sekolah selepas perbincangan lanjut dengan ibu bapanya.

“Remaja itu mangsa keadaan kerana teraniaya dan akibat tiada pembelaan menyebabkan fikirannya buntu apatah lagi dalam usia yang masih muda,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Thursday/23102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...