Thursday, October 23, 2008

SMS rayu tarik laporan polis

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki yang mengaku kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAIT) menangis teresak-esak dan meminta seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa komplot penipuan surat kebenaran poligami menarik balik laporan polis yang dibuatnya sebelum ini.

Lelaki berkenaan beberapa kali menghubungi wanita terbabit, Zubaidah@Salma Mokhtar @Jusoh, 29, selain menghantar pesanan melalui SMS untuk menemui wanita berkenaan bagi membincangkan masalah itu dalam usaha memujuk wanita berkenaan berbuat demikian (menarik balik laporan polis).

Bagaimanapun, Zubaidah berkata, dia tidak dapat memenuhi permintaan lelaki itu kerana laporan mengenai kejadian itu sudah dibuat dan menyerahkan segalanya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

“Desakan dan rayuan yang sering diterima itu menyebabkan saya tidak lagi menggunakan nombor telefon lama kerana khuatir akan terus diganggu hingga menjejaskan tugasan saya sebagai seorang penjawat awam...lagipun jika dibiarkan saya risau ramai lagi akan menjadi mangsa.

“Saya risau akan menjejaskan kesihatan kerana kandungan saya kini sudah berusia enam bulan jadi saya tidak mahu lagi memikirkan mengenainya,” katanya.

Harian Metro kelmarin melaporkan satu komplot tertentu menjalankan aktiviti penipuan dengan memalsukan tandatangan hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu untuk mengeluarkan surat kebenaran poligami kepada lelaki bermasalah untuk beristeri lebih daripada satu.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat selepas tandatangan hakim berkenaan, Shaikh Ahmad Ismail dipercayai dipalsukan terutama selepas pemeriksaan awal mendapati tandatangan berkenaan mempunyai perbezaan ketara seperti tercatat pada dokumen asal yang ditandatangani hakim terbabit.

Kegiatan itu terbongkar selepas seorang wanita yang dalam proses tuntutan fasakh terhadap suaminya terkejut apabila mendapati dia dimadukan selepas suaminya itu menunjukkan surat kebenaran berpoligami dan mendakwa lelaki berkenaan kini tinggal dengan isteri barunya selepas dimaklumkan mereka sudah berkahwin.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman yang mengesahkan laporan kejadian itu berkata, kes itu kini disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan (D2) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)Terengganu.

“Fail siasatan mengenai kes itu sudah dibuka dan pegawai penyiasat sedang menjalankan siasatan terperinci sebaik laporan mengenai kes itu diterima kerana ia membabitkan penipuan dokumen. Kami sudahpun mengambil keterangan pengadu untuk membantu siasatan,” katanya.

Harian Metro difahamkan individu yang mendakwa kakitangan JHEAIT itu sudah dipanggil memberi keterangan kepada pihak berkuasa dan tindakan sama turut dilakukan terhadap suami Zubaidah yang bertugas sebagai Pembantu Akaun di Wisma Darul Iman di sini, bagi membantu siasatan.

http://www.hmetro.com.my/23102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...