Thursday, October 23, 2008

Nyaris jadi mangsa culik bibik

Oleh ZAINI SAMSU HADI
mohdzaini.samsuhadi@kosmo.com.my




ZAKIAH menceritakan saat-saat cemas anaknya nyaris diculik bekas pembantu rumahnya.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - "Saya ingatkan bibik mahu bawa pergi rumah Wan (nenek), rupanya-rupanya bibik nak culik."

Demikian kata-kata adik Muhammad Haziq Syaifful Bahri, 6, yang terlepas daripada menjadi mangsa culik seorang wanita Indonesia pada Ahad lalu.

Muhammad Haziq memberitahu, dia gembira apabila bekas pembantu rumah keluarganya yang memang dikenalinya berjanji untuk membawanya ke rumah neneknya di Salak Selatan.

Ceritanya dari Taman Mulia, Bandar Tun Razak di sini, semasa kejadian pukul 1.15 petang, dia berada di rumah bersama ayah dan seorang adik perempuannya.

Bagaimanapun, katanya, ketika itu ayah dan adiknya tidur tetapi pintu rumah berkunci.

"Tiba-tiba bibik datang ke rumah dan dia dapat membuka pintu depan rumah mengguna kunci yang dibawanya," katanya.

Jelasnya, bibik kemudiannya memujuk dia supaya mengikutnya ke rumah nenek.

"Saya yang gembira telah mengikut bibik tanpa mengejutkan ayah," katanya.

Muhammad Haziq memberitahu, bibik itu kemudian membawanya menaiki teksi yang sudah menunggu di luar rumah.

Semasa dalam perjalanan, kata kanak-kanak itu, dia nampak seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal mengekori teksi yang dinaikinya.

"Saya tidak fikir apa-apa pada mulanya sehinggalah sampai ke satu persimpangan teksi itu tidak masuk ke jalan rumah nenek.

"Saya menangis dan meronta sekuat hati dan minta turun dari teksi," katanya.

Berikutan tindakannya itu, cerita Muhammad Haziq, bibik itu mula memarahinya dan dia mula takut dengan kelakuan bibik terbabit.

"Entah macam mana pemandu teksi yang mungkin curiga dengan bibik kemudiannya telah memberhentikan teksi.

"Sebaik teksi berhenti saya terus berlari sekuat hati menuju ke rumah nenek tanpa rasa penat," katanya.

Difahamkan, jarak tempat Muhammad Haziq turun dari teksi di persimpangan Salak Jaya menuju ke rumah neneknya itu sejauh kira-kira dua kilometer.

Katanya, sampai di rumah neneknya, dia yang tercungap-cungap terus menceritakan apa yang berlaku kepada neneknya.

Nenek mangsa, Ramlah Md Zin, 55, yang terkejut dengan cerita cucunya terus menghubungi ibu Muhammad Haziq, Siti Zakiah@Ita Amiruddin.

Siti Zakiah yang merupakan seorang pengurus sebuah butik pakaian berkata, beliau kemudian terus membawa Muhammad Haziq membuat laporan di Balai Polis Cheras.

Kata beliau, bibik bernama Muslimah Sumo berkenaan merupakan bekas pembantu rumahnya yang telah diberhentikan kerja pada awal bulan lalu kerana dia ada masalah.

http://www.kosmo.com.my/23102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...