Saturday, October 11, 2008

Enot rugi RM74,000

Oleh Iskandar Shah Mohamed

KUALA LUMPUR: Selepas lebih seminggu kiosk jualannya disamun, pelakon komedi, Alliza Abdullah atau dikenali sebagai Enot, 29, sekali lagi mengalami nasib malang apabila kerugian RM74,400 akibat diperdaya seorang lelaki yang ‘melesapkan’ ratusan kotak kuih rayanya sejak bulan lalu.

Menurut Alliza, kejadian bermula sejurus dia bersetuju menjual kuih raya kepada individu berusia lingkungan 30-an terbabit sebelum menemuinya di Perak pada September lalu.

“Dia (lelaki berkenaan) mendakwa kononnya bekerja di sebuah syarikat yang ditugaskan membekal kuih kepada beberapa kolej dan rumah anak yatim di utara tanah air.

“Saya yang percaya dengan dakwaan lelaki itu kemudian ke rumahnya di Tanjung Malim, Perak, untuk berbincang berkaitan harga dan jenis kuih raya yang mahu ditempah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, malam tadi.

Dakwanya, sepanjang tempoh 16 September hingga 8 Oktober lalu, dia sudah menghantar 152 kotak kuih raya kepada lelaki berkenaan yang dianggarkan berjumlah RM74,400.


“Dalam tempoh berkenaan, saya diberikan dua keping cek berjumlah hampir RM20,000 oleh lelaki terbabit dan bakinya hanya melalui ‘perjanjian mulut’ sesama kami.

“Namun, saya terkejut apabila lelaki itu meminta saya tidak menunaikan cek berkenaan sebaliknya berjanji mahu melunaskan bayaran secara tunai dalam masa terdekat,” katanya.

Menurutnya, dua cek sebelumnya diambil semula lelaki berkenaan sebelum memberi empat cek lain yang kononnya sebagai cagaran.

“Namun, ketika tiba tarikh dijanjikan minggu lalu, dia tidak menepati janjinya apabila beberapa kali memberi pelbagai alasan kononnya mahu memasukkan wang ke akaun bank seolah-olah memperbodohkan diri saya,” katanya.

Dia yang berasakan dirinya diperdaya kemudian membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun HS Lee, di sini untuk tindakan lanjut.

Akhbar sebelum ini melaporkan pelakon berkenaan kerugian RM2,000 apabila kiosk jualan kuih rayanya di sebuah kompleks beli-belah di Damansara, di sini, disamun seorang warga asing pada 25 September lalu.

http://www.hmetro.com.my/11102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...