Saturday, October 11, 2008

Najib, Muhyiddin dapat dua pencalonan awal, dua lagi bahagian Umno bersidang hari ini

Sabtu Oktober 11, 2008

KUALA LUMPUR: Bahagian Umno Tumpat di Kelantan dan Besut di Terengganu akan bersidang hari ini manakala 22 bahagian lagi akan bermesyuarat esok.


Semalam, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima pencalonan awal apabila dua bahagian Umno mula bersidang, masing-masing untuk bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti itu Mac depan.


Mesyuarat Umno Bahagian Kimanis di Sabah dan Umno Bahagian Machang di Kelantan merupakan bahagian yang pertama daripada 191 bahagian Umno di seluruh negara yang mengadakan mesyuarat perwakilan mereka.


Najib yang juga Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri semalam menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan keputusan tidak mempertahankan jawatan itu Rabu lepas.


Muhyiddin yang merupakan Naib Presiden Umno dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengumumkan hasrat bertanding jawatan Timbalan Presiden parti pagi semalam.


Di Machang, Najib dipilih secara majoriti sebagai calon Presiden walaupun Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah juga dicadangkan oleh perwakilan.


Bahagian itu sebulat suara memilih Muhyiddin untuk jawatan nombor dua.


Bagi pencalonan jawatan Naib Presiden, Umno Bahagian Machang menamakan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa, Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang juga Menteri Pendidikan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khalid Nordin.


Umno Bahagian Kimanis pula mencalonkan Hishammuddin, Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.


Sekurang-kurangnya 58 pencalonan diperlukan untuk layak bertanding jawatan Presiden parti, 38 pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden dan 19 pencalonan untuk jawatan Naib Presiden.


Sementara itu, untuk jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno setakat ini menampakkan saingan antara Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan Exco Pemuda, Datuk Mukhriz Tun Mahathir apabila 12 bahagian pergerakan itu bermesyuarat semalam.


Setakat pukul 7 malam ini, Khairy mendahului Mukhriz dengan memperoleh empat pencalonan berbanding Mukhriz, tiga.


Ketua Pergerakan Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz pula merupakan satu-satunya yang mendapat pencalonan untuk mempertahankan jawatannya selepas empat bahagian Wanita Umno (Kimanis, Machang, Bagan Datoh dan Besut) mengadakan mesyuarat. Jawatan Ketua Pergerakan Puteri Umno pula menyaksikan tiga orang telah menerima pencalonan iaitu Naib Ketua, Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin, Ketua Penerangan, Datuk Shahaniza Samsuddin dan Setiausaha, Bibi Sharliza Mohd Khalid.


Selepas 13 bahagian Puteri bermesyuarat sehingga ini, Rosnah mendapat enam pencalonan, Shahaniza, lima manakala Bibi Sharliza, dua. BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...