Friday, October 10, 2008

Kereta dilarikan ketika isi minyak

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang wanita tidak menyangka hasrat mengisi minyak kereta yang hampir kering akan membuatkan dia berputih mata apabila kenderaannya dilarikan sekumpulan penjenayah dalam satu kejadian di sebuah pam minyak di Bangsar di sini, jam 5 pagi semalam.

Lebih menyedihkan apabila kereta Proton Waja yang dilarikan itu baru dua bulan dibeli mangsa yang bekerja sebagai pegawai bank.

Difahamkan ketika kejadian mangsa dikenali sebagai Lexsmi, 28, dalam perjalanan pulang dari pejabat di Cyberjaya ke rumah di Persiaran Puchong sebelum singgah untuk mengisi minyak di pam minyak terbabit.

Menurut rakan mangsa yang dihubungi, ketika sedang menuju ke arah kaunter, wanita terbabit diserbu empat lelaki menaiki dua motosikal sambil mengacukan parang panjang ke arahnya.

“Kerana ketakutan mangsa terpaksa menyerahkan kunci kereta yang berharga hampir RM60,000 itu kepada penyamun sambil merayu agar dia tidak dicederakan.


“Selain kereta, penjenayah turut melarikan telefon bimbit, kad kredit, dokumen pengenalan peribadi seperti MyKad, serta wang tunai RM400 yang ditinggalkan dalam kereta terbabit,” katanya.

Mangsa yang kebingungan kemudian menghubungi adiknya untuk memaklumkan kejadian malang itu sebelum membuat laporan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan serta gerakan bagi memburu kumpulan penjenayah giat dilakukan.

http://www.hmetro.com.my/10102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...