Sunday, November 9, 2008

'Anak siapalah agaknya ni?'


KONSTABEL Shafawati Miswan mendukung kanak-kanak yang ditemui merayau-rayau seorang diri di Taman Intan Baiduri, Kepong, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ditemui merayau-rayau seorang diri di sebuah restoran di Taman Intan Baiduri Kepong di sini semalam.

Kanak-kanak yang mempunyai masalah untuk bertutur itu ditemui oleh sepasang suami isteri ketika sedang menikmati makan malam di situ pukul 9 malam sebelum membawanya pulang untuk dibersihkan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, pasangan itu kemudiannya membawa kanak-kanak tersebut ke Balai Polis Kepong untuk diserahkan kepada keluarganya.

"Ketika kanak-kanak itu dibawa, pasangan itu telah menukar bajunya dan tidak dapat memastikan pakaian yang dipakai ketika dia keluar dari rumah.

"Kita telah cuba bertanyakan nama, rumah dan nama ibu bapanya dalam pelbagai bahasa tetapi dia tidak dapat menjawabnya dan hanya ketawa sahaja," katanya di sini semalam.

Tambah Zakaria, pihaknya percaya kanak-kanak itu merupakan orang tempatan berdasarkan tanda suntikan cacar pada lengannya.

Sehubungan itu menurutnya, sesiapa yang kehilangan kanak-kanak perempuan diminta datang ke Balai Polis Kepong selewat-lewatnya hari ini sebelum pihaknya mengambil tindakan menyerahkannya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) esok.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...