Sunday, November 9, 2008

'Bukan kerana harta'




Oleh Isma Ismail dan Nor Fazlina Abdul Rahim


KOTA BHARU: “Saya terima lamarannya bukan kerana harta, malah tak tahu menahu hadiah mewah untuk saya sempena perkahwinan kami,” kata pelakon baru, Nurzuraifa Zulkifli, 19, bakal isteri usahawan terkenal, Dr Che Rozmey Che Din, 40.

Dia yang mesra dengan panggilan Effa, berkata ketika bersetuju menerima lamaran Dr Che Rozmey, dia langsung tidak terlintas mengharapkan sesuatu daripada bakal suami.

Katanya, dia ikhlas dan menyintai bakal suaminya sepenuh hati, bukan semata-mata kerana mahu mengejar harta dimilikinya.

“Saya terpikat dengan bakal suami kerana sikapnya dan tidak pernah meminta atau meletak sebarang syarat,” katanya ketika ditemui pada majlis pertunangannya dengan Dr Che Rozmey di rumah keluarganya di Tanjung Mas di sini, semalam.

Majlis pertunangan pasangan itu berlangsung sederhana, tetapi meriah dengan kehadiran keluarga terdekat kedua-dua pihak, termasuk dua daripada tiga anak Dr Che Rozmey yang juga Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Jitra di Kedah.

Pada majlis itu, Effa menerima lima dulang hantaran manakala pihak lelaki membalas tiga dulang.

Khamis lalu, Harian Metro melaporkan Dr Che Rozmey yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Herba Prima Marketing Sdn Bhd (HPM) bercadang menghadiahkan kereta mewah Mercedes-Benz CLS 350 bernilai RM1 juta dan wang hantaran RM20,000 sebagai hadiah perkahwinannya dengan bakal isteri.

Pada 25 September lalu, beliau kehilangan isteri, Noor Halawiah Abdullah Shukri, 39, yang terbunuh selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kelab Golf Darulaman, dekat Alor Star.

Effa seterusnya menyatakan dia sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada tiga anak bakal suami yang sudah dianggap seperti anak sendiri.

Dia juga tidak menganggap jarak usianya dengan Dr Che Rozmey kira-kira 21 tahun sebagai penghalang untuk hidup bahagia sebagai suami isteri.

“Saya akan berhenti berlakon dan mungkin akan bersama bakal suami membantunya menguruskan perniagaan,” katanya.

Menurut Effa, Dr Che Romzey juga tidak pernah memberitahu niatnya mahu menghadiahkan kereta mewah dan memberikan wang hantaran tinggi.

Dia mengaku terkejut dan tidak pernah menjangkakan menerima hadiah seperti itu.

“Saya sendiri tidak meletakkan jumlah untuk wang hantaran dan ketika ditanya, saya hanya beritahu akan berbincang dengan keluarga.

“Cuma, dia ada bertanya jika dia memberikan RM20,000, adakah jumlah itu mencukupi dan saya katakan kepadanya ia sudah lebih daripada cukup,” katanya yang tidak mementingkan kemewahan.

Harapannya cuma mahu menikmati kebahagiaan bersama suami selepas berkahwin nanti.

Sementara itu, Dr Che Rozmey pula berkata, kesediaannya menghadiahkan kereta mewah dan menyediakan wang hantaran tinggi kepada bakal isteri bukan mahu menunjuk-nunjuk kekayaan atau kemewahannya.

Dia melakukannya dengan ikhlas sebagai tanda terima kasih kepada Effa yang sudi menerimanya sebagai suami.

“Saya bersedia memberikan segala kemewahan kepada Effa kerana saya mampu berbuat demikian, bukan mahu menunjukkan keegoan,” katanya yang akan membimbing Effa menjadi isteri solehah.

Walaupun perbezaan usia antara mereka agak ketara, dia yakin mampu mengecapi kebahagiaan sebagai suami isteri.

Kereta mewah dijanjikannya itu, kata Dr Che Rozmey, sudah berada di rumahnya di Jitra.

http://www.hmetro.com.my/Saturday/BeritaUtama/20081108095352/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...