Sunday, November 23, 2008

Fatwa: Pengendali senaman yoga kecewa, tapi akur



Ahad November 23, 2008

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN



PETALING JAYA: Persatuan Yoga Malaysia melihat fatwa yang melarang umat Islam daripada menyertai senaman yoga sebagai perkembangan mengecewakan, tetapi pihaknya akur dengan ketetapan itu.


Pengerusinya, M. Maniseekaran berkata, keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan akan merugikan peserta-peserta yang berminat mengikuti senaman yoga.


“Keputusan ini akan merugikan mereka yang betul-betul mendapat manfaat daripada amalan ini,” katanya kepada mStar Online semalam.


Tambah beliau, berdasarkan kajian yang dijalankan amalan yoga sudah terbukti berkesan untuk menyembuhkan beberapa penyakit.


Biarpun kecewa dengan keputusan yang diumumkan itu, beliau berkata, pihaknya akan akur dengan keputusan yang telah diputuskan itu.


“Seperti yang dikehendaki oleh Majlis Fatwa, kami akan menasihati peserta-peserta yoga yang beragama Islam supaya berhenti daripada mengikuti kelas yang dijalankan,” katanya.


Jelas beliau, pihaknya sedia memberi penerangan yang jelas kepada pihak berkenaan mengenai amalan yoga dijalankan di negara ini.


Beliau yang telah 25 tahun menjadi pengamal yoga di Malaysia berkata, amalan yoga yang diamalkan di negara ini bersifat moden dan tidak disertai dengan sebarang proses bacaan mentera dan unsur pemujaan.


“Kami kecewa dengannya (keputusan haramkan yoga). Yoga yang diamalkan di sini, tidak langsung mengandungi amalan bersifat keagamaan dan spiritual,” katanya.


Menurut beliau, ‘hatha yoga’ merupakan satu jenis yoga popular yang diamalkan di negara ini di mana ia hanya melibatkan pergerakan seperti aktiviti pemanasan badan, keseimbangan dan proses bernafas dengan betul.


Jelasnya, pergerakan seperti itu turut diamalkan dalam aktiviti seni mempertahankan diri seperti silat dan taekwando.


Semalam, Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa meminta umat Islam negara ini tidak mengamalkan senaman yoga yang didapati mengandungi unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan.


Pengerusi majlis itu, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, Majlis Muzakarah Kebangsaan juga bersetuju dan memutuskan bahawa apa jua bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang kerana bertentangan dengan Islam.


“Tiga perkara yang boleh menghakis akidah umat Islam adalah kepercayaan di hati, menerusi perkataan dan perbuatan.


“Memandangkan terdapat elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka daripada terhakis. Saya nasihatkan mereka tinggalkannya (yoga) dan pilih senaman lain seperti berbasikal,solat, zikir dan sebagainya,”
kata beliau.


Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman menyeru pengguna Islam di negara ini agar menerima dengan terbuka keputusan yang diumumkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.


“Saya sarankan mereka terima dengan terbuka keputusan Majlis Fatwa. Mereka lebih bijak dan pakar dalam menentukan hukum sesuatu perkara itu,” katanya.


Jelas beliau, peserta beragama Islam perlu yakin kepada ajaran Islam sepenuhnya.


“Kita wajib berpegang kepada al-Quran dan As-Sunnah serta hukum qiyas yang diguna pakai oleh Majlis Fatwa dalam mengeluarkan fatwa,” Katanya.


Jelas beliau, yoga merupakan satu amalan yang sinonim dengan agama Hindu.


“Aspek pergerakan dan bacaan mentera yang diguna pakai dalam amalan yoga boleh menghakis akidah umat Islam... jadi jalan terbaik untuknya adalah menjauhi amalan tersebut,” katanya


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/23/mstar_berita/20081123101837&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...