Sunday, November 23, 2008
Umat Islam dilarang sertai yoga
Sabtu November 22, 2008
Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN
PUTRAJAYA: Umat Islam negara ini diminta tidak mengamalkan senaman yoga yang didapati mengandungi unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan.
Arahan itu terkandung dalam fatwa yang diumumkan Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini.
Pengerusi majlis itu, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, Majlis Muzakarah Kebangsaan juga bersetuju dan memutuskan bahawa apa jua bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang kerana bertentangan dengan Islam.
Jelasnya, perkara tersebut telah diputuskan oleh Majlis Muzakarah Kebangsaan yang bersidang 22 hingga 24 Oktober lalu di Kota Bharu, Kelantan. Tambah beliau, amalan fizikal senaman yoga tanpa unsur-unsur tersebut pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan.
Namun demikian beliau menasihati umat Islam agar meninggalkan amalan tersebut kerana dikhuatiri akan menghakis akidah mereka.
“Tiga perkara yang boleh menghakis akidah umat Islam adalah kepercayaan di hati, menerusi perkataan dan perbuatan.
“Memandangkan terdapat elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka daripada terhakis. Saya nasihatkan mereka tinggalkannya (yoga) dan pilih senaman lain seperti berbasikal,solat, zikir dan sebagainya,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.
Selain Malaysia, amalan yoga telahpun diharamkan di Singapura dan Mesir, katanya.
Abdul Shukor berkata, pada peringkat ini, program kesedaran mengenai amalan itu akan diperluaskan ke seluruh negara melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Turut hadir Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz.
Tambah beliau, Majlis Fatwa Kebangsaan hanya mengeluarkan fatwa berhubung isu tersebut.
Jelasnya, pelaksanaan dari dari sudut undang-undang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Kuasa perlaksanaan dari sudut undang-undang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Setelah ia diwartakan barulah kita boleh tahu apa tindakan yang boleh dikenakan ke atas mereka yang masih mengamalkannya,” katanya.
Ketika ditanya adakah keputusan majlis fatwa ini akan dipertikaikan oleh masyarakat bukan Islam, Shukor berkata:
“Fatwa ini khusus kepada umat Islam. Masyarakat agama lain masih bebas meneruskan amalan yoga. Kita menghormati agama-agama lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.”
Awal bulan lalu pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Zakaria Stapa menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya kerana bimbang boleh memesongkan akidah.
Menurut Zakaria, yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu, menggabungkan unsur keagamaan dan penyembuhan jiwa.
"Mereka mengamalkan yoga kerana percaya boleh menyatukan mereka dengan Tuhan," katanya.
Yoga adalah amalan kesihatan yang diperkenalkan sekitar 3,300 sebelum Masihi, dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko diabetes, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung.
http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/22/mstar_berita/20081122135047&sec=mstar_berita
No comments:
Post a Comment