Ahad November 23, 2008
Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN
PETALING JAYA: Proses mewartakan fatwa mengenai senaman yoga dijangka mengambil masa kira-kira dua bulan untuk dikuatkuasakan.
Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd. Tamyes Abd Wahid ketika dihubungi mStar Onlineberkata, Majlis Agama Negeri Selangor akan bermesyuarat pada 2 dan 3 Disember ini itu membincangkan secara khusus mengenai keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan semalam.
“Sesuatu fatwa yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan perlu mendapat kelulusan Majlis Agama Islam negeri sebelum dibawa kepada perkenaan Sultan. Selepas mendapat perkenan Sultan, baru ia boleh diwartakan,” katanya.
Tambanhya, proses mewartakan sesuatu fatwa itu akan mengambil masa kira-kira dua bulan jika tidak ada sebarang penangguhan.
“Jika tiada banyak bantahan dan mendapat kelulusan Majlis Agama Islam negeri dan dapat perkenaan Sultan, dalam masa dua bulan ia (fatwa) akan dapat diwartakan,” katanya.
Menurut Tamyes, selepas sesuatu fatwa itu diwartakan penjelasan mengenai fatwa itu perlu dihebahkan kepada orang ramai.
“Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab perlu memberi penjelasan kepada orang ramai dengan mengedarkan artikel dan edaran awam.
“Mereka juga memberi penjelasan melaui media massa agar masyarakat mendapat makluman yang jelas mengenai sesuatu isu yang telah menjadi fatwa,” ujarnya.
Tamyes juga menjelaskan, pelaksanaan dalam bentuk perundangan akan dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam negeri masing-masing.
“Di Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merupakan badan yang bertanggungjawab mengenainya. Mereka diberi kuasa untuk proses penangkapan jika ia diperlukan,” katanya.
Ditanya adakah setelah fatwa yoga diwartakan, umat Islam yang didapati masih mengamalkannya akan didenda atau dipenjara, Tamyes berkata, JAIS diberi kuasa untuk melaksanakan aspek perundangan.
Namun, katanya, ia tidak bermakna proses penangkapan dan denda boleh dilaksanakan dengan sewenang-wenangnya.
“Kita tidak boleh suka-suka tangkap orang, JAIS ada prosedur tertentu yang akan dikaji sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya.
Sementara itu, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria yang dihubungi juga enggan mengulas lanjut.
“Maaf saya tidak boleh komen apa-apa mengenainya. Tunggulah nanti, saya akan umumkan,” katanya.
http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/23/mstar_berita/20081123102120&sec=mstar_berita
No comments:
Post a Comment