Oleh HISHAM IDRIS
hisham idris.com.my
FADHIL cuba memujuk kekasihnya, Sha yang cuba terjun dari bumbung sebuah hotel di Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
KUALA TERENGGANU - "Saya tak nak turun, saya tak nak makan... saya nak Fadhil."
Itulah jeritan Sha gadis berusia 18 tahun yang cuba terjun dari atas bumbung hotel 10 tingkat di Jalan Tok Lam di sini petang semalam.
Sha yang bekerja di sebuah salon rambut di sini, dikatakan bertindak demikian selepas teman lelaki yang dikenali sebagai Fadhil ingin berpisah dan tidak lagi memberi perhatian kepadanya.
'Drama' itu bermula pukul 1.35 petang apabila Sha naik ke atas bumbung hotel lalu berdiri di bahagian tebing sebelah belakang sambil berpaut pada tiang penebat petir setinggi dua meter.
Gadis yang memakai baju dan seluar jean berwarna hitam itu kemudiannya dilihat berlegar-legar di atas tebing bumbung tersebut sebelum anggota polis dan bomba tiba.
Sepanjang usaha memujuk itu, Sha menjerit-jerit ke arah anggota penyelamat, manakala beberapa kakitangan hotel menyusun puluhan tilam sebagai langkah keselamatan jika dia bertindak terjun.
Malah orang ramai yang memenuhi kawasan hotel turut bersuara memujuk gadis berkenaan supaya melupakan hajat untuk terjun.
Keadaan semakin 'panas' apabila Fadhil tiba di tempat kejadian pukul 2.10 petang dengan sebuah kereta Proton Satria berwarna hitam dari arah Jalan Sultan Sulaiman.
Sebaik tiba, lelaki itu menjerit meminta Sha turun sebelum dia dibawa naik ke atas bumbung hotel oleh pihak polis bagi memujuk gadis tersebut.
Selepas sejam usaha dijalankan, Fadhil gagal mententeramkan Sha walaupun berjaya mendekati kekasihnya itu sebelum dia akhirnya mengundurkan diri pukul 3.11 petang.
Polis pula mengarahkan orang ramai bersurai pukul 3.17 selepas keadaan bertambah buruk kerana ada antara mereka mula bersorak.
Suasana cemas berakhir pukul 3.25 petang apabila Sha yang kepenatan, rebah lantas diselamatkan oleh pasukan penyelamat yang berada di atas bumbung.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm
No comments:
Post a Comment