Thursday, November 20, 2008

Impak politik wang, Mahathir ramal Umno, BN kalah teruk?




Rabu November 19, 2008

Mahathir serah Lembaga Disiplin Umno laporan



Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Dalam siri kritikan mengenai perkembangan dalam Umno, parti yang diterajui selama 22 tahun, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, kelakuan buruk ahli dan pemimpin Umno kali ini besar kemungkinan menyebabkan Barisan Nasional (BN) dan parti itu kalah.


"Lihat 2008. Ketua-ketua perhubungan Kedah, Perak dan Selangor dapat jadi calon dan dapat menang pun. Tetapi BN dan UMNO kalah di negeri-negeri ini.


"Apabila parti kalah yang menang menjadi pemimpin dalam Umno tidak akan dapat menjadi Menteri Besar, ahli Exco dan sebagainya. Mereka akan bernasib baik jika dapat jadi pembangkang.


"Ramai daripada mereka tidak pun dapat jadi ahli Yang Berhormat. Mereka akan kalah," kata bekas Perdana Menteri dalam tulisan blognya hari ini yang bertajuk "Pencalonan Umno".


Sambil merujuk kepada amalan dan gejala politik wang, isu yang beliau sentuh sejak sebulan lalu, Dr. Mahathir hari ini menambah, dalam pilihan raya umum lalu pengundi-pengundi termasuk ahli dan penyokong setia Umno telah menolak parti itu hanya kerana pucuk pimpinan mereka disebabkan banyak faktor.


"Pada 2008 pengundi termasuk ahli dan penyokong setia Umno telah tolak Umno hanya kerana pucuk pimpinan Umno yang tak mampu memimpin, yang tunduk kepada Singapura, yang tak tahu kenang budi, yang utamakan anak menantu lebih daripada rakyat dan bermacam lagi. Kerana orang ini seorang, pengundi telah dengan berat hati undi parti lawan. Orang ini hanya seorang sahaja tetapi Umno dan BN yang menjadi mangsa," katanya.


Bagaimanapun jelas beliau, kali ini penolakan Umno dan BN oleh majoriti pengundi akan disebabkan mereka - Melayu, Cina dan India - memandang jijik keseluruhan Umno itu sendiri.


"Dengan mengetahui Umno terdiri dan dipimpin oleh perasuah, dengan anggapan bahawa siapa sahaja yang menjadi calon Umno dalam pilihan raya umum ke-13 akan terdiri daripada orang yang telah dicalonkan kerana rasuah, dipilih oleh pemimpin perasuah dari parti yang secara terbuka mengamal rasuah, apakah pengundi akan rela beri undi mereka kepada calon-calon Umno?


"Saya fikir tidak. Mungkin yang dapat nikmat tertentu akan undi BN. Tetapi ramai yang tidak akan undi BN,"
katanya lagi.


Isu politik wang menjadi perhatian banyak pihak dengan Lembaga Disiplin mendedahkan lebih 900 aduan diterima sepanjang kempen pemilihan parti baru-baru ini.


Dalam tulisannya hari ini, Dr. Mahathir, bekas Presiden Umno menyoal: "Apakah yang akan jadi pada Umno yang sudah kalah?Mungkinkah ia memberi nikmat kepada ahli dan pemimpin-pemimpin Umno? Tentu tidak," katanya lagi.


Beliau menambah, jika tidak hancur, Umno akan menjadi parti yang tidak bermaya, sekali gus tidak akan dapat pejuangkan nasib bangsa, agama dan tanah air.


"Mungkinkah Umno yang lemah ini dipulih semula. Saya tidak fikir UMNO dan BN juga yang telah dirosakkan oleh pucuk kepimpinan Umno pada mulanya dan sekarang oleh lain-lain pemimpin dan juga ahli biasa akan dapat dipulihkan oleh mereka yang telah merosakkannya kerana kelakuan buruk mereka," katanya lagi.


Alternatif disyorkan beliau: jika Umno hendak dipulih semula pemimpin yang telah mengotorkannya sehingga kalah perlu diganti dengan yang dianggap bersih oleh masyarakat dan ahli parti yang tidak tercemar dan masih berpegang kepada prinsip perjuangan parti.


"Soalnya siapakah yang layak? Sama-samalah kita fikir," kata beliau yang menyerahkan pucuk kepimpinan parti dan kerajaan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Oktober 2003.


Sementara itu, Bernama melaporkan, ketika sesi soal jawab dalam majlis dialog bersama beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini, Dr Mahathir berkata, semua laporan yang diterimanya berhubung amalan politik wang dalam Umno akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Disiplin parti itu untuk tindakan lanjut.


Beliau menegaskan laporan tersebut juga akan diserahkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).


"Jika kedua-dua cara itu tidak berhasil, saya akan siarkan senarai nama mereka yang terlibat itu beserta laporan di dalam blog saya," katanya.


Beliau berkata, tindakan yang berani amat diperlukan ketika ini bagi memulihkan imej dan kedudukan Umno yang didakwanya kian tercemar ekoran amalan politik wang yang semakin berleluasa. "Jika kita tidak berani mengambil tindakan, Umno akan hancur. Inilah yang akan menunggu kita kalau keadaan ini berterusan," katanya.


Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata amalan politik wang adalah faktor utama yang akan memusnahkan Umno dan struktur keseluruhan parti itu.


Sekiranya tidak dibersihkan, negara perlu bersedia menghadapi keruntuhan kuasa kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Dr Mahathir.


"Apabila mereka menggunakan wang, pandangan pengundi kepada mereka akan lebur. Mereka (pengundi) jijik pada orang macam ini. Pada pilihan raya akan datang sudah tentu yang akan dapat jadi calon ialah mereka yang kalau tak cekap bodek pun, ialah mereka yang cekap memberi wang kepada pihak tertentu supaya mereka dicalon untuk menjadi calon pilihan raya.


"Rakyat akan pandang mereka ini sebagai calon yang terlibat dengan rasuah. Apakah rakyat akan undi kepada calon-calon ini?,"
katanya.


Dr Mahathir berkata, hanya ahli yang tidak menggunakan akal sahaja akan mengundi calon yang terlibat dengan rasuah.


"Seperti yang saya katakan, undi daripada ahli sahaja tidak memberikan kemenangan kerana undi dari ahli (Umno) itu sedikit. Kita perlukan undi dari pengundi yang bukan ahli Umno tetapi merupakan penyokong setia Umno," katanya.


Rentetan daripada itu, kata beliau, tidak mustahil untuk BN kalah pada pilihan raya ke-13 akan datang jika para pengundi enggan mengundi calon yang terlibat dengan rasuah.


"Itu bukan mustahil. Sebelum pilihan raya umum Mac lepas, kita fikir kita tentu menang di Selangor, Perak dan Pulau Pinang, tentu kita menang di Kedah, tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya," katanya.



http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/19/mstar_mutakhir/20081119204814&sec=mstar_mutakhir

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...