Thursday, November 20, 2008

Menyamar pegawai kastam


JONI EFENDI (kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Klang atas tuduhan menyamar sebagai pegawai kastam semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KLANG – Sudahlah tinggal melebihi tempoh, berani pula menipu rakyat negara ini dengan menyamar sebagai pegawai kastam sebelum menerima rasuah sebanyak RM19,000 daripada seorang pemilik kedai.

Malah ketika ditangkap oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 8 November lepas, warga Indonesia terbabit, Joni Efendi Duahmad, 36, masih tetap dengan penipuannya mendakwa dia adalah seorang pegawai kastam.


Bagaimanapun setelah BPR menjalankan siasatan dan merujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Joni didapati menyamar sebagai pegawai kastam dan memiliki kad pengenalan palsu atas nama Salem bin Darus.


Siasatan juga mendapati Joni yang berkahwin dengan seorang wanita tempatan hanya memiliki Sijil Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) yang telah tamat tempoh pada 1995.

Ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam, Joni akhirnya mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM19,000 daripada seorang pemilik kedai ketika menyamar sebagai pegawai kastam, antara Oktober dan awal bulan ini.


Hakim Slamat Yahya menetapkan 25 November ini untuk menjatuhkan hukuman selepas Joni yang tinggal di Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang, membuat pengakuan itu.


Tertuduh didakwa meminta suapan wang tunai RM10,000 daripada Peng Kim Sing, 61, sebagai dorongan kononnya untuk tidak mengambil tindakan terhadap Peng kerana memiliki tiga botol samsu tanpa lesen, di kedai Guan Seng Trading di No: 25, Jalan Besar, Batang Berjuntai, Kuala Selangor, antara pukul 3 dan 4 petang, 28 Oktober lepas.


Pada hari dan waktu yang sama juga, Joni didakwa menerima suapan wang tunai RM5,000 dan kemudian RM4,000 daripada Peng sebagai dorongan untuk melakukan perkara yang sama antara pukul 1 dan 2 petang, 8 November lepas.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1120&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...