Thursday, November 20, 2008

Peruncit elak rugi

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin
harzrul@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Kebanyakan peniaga runcit sekitar Lembah Klang mengalami kesukaran menurunkan harga beras walaupun pengusaha pasar raya besar sudah mula berbuat demikian sejak dua hari lalu.

Situasi ini dipercayai berlaku kerana peruncit mendapatkan bekalan beras daripada pembekal sebelum harga barangan ruji itu diarahkan turun lagi.

Tinjauan Harian Metro, di beberapa kedai runcit sekitar ibu kota mendapati harga beras 10 peratus hancur masih dijual sekitar RM27 untuk 10 kilogram (kg), manakala beras 5 peratus hancur pula masih dijual sekitar RM29 untuk berat sama.

Difahamkan, selepas penurunan harga minyak kelmarin, sepatutnya harga beras 10 peratus hancur dijual sekitar RM2.20 sekilogram (RM22 bagi 10 kg), manakala harga beras 5 peratus hancur pula dijual sekitar RM2.40 setiap kg (RM24 bagi 10 kg).


Menurut pemilik sebuah kedai runcit di Pantai Dalam di sini yang hanya mahu dikenali sebagai Sudin, 35, peniaga bermodal kecil sepertinya terpaksa mengekalkan harga sebelumnya.

“Ini kerana urusan pembelian daripada pembekal dilakukan sebelum tarikh kuat kuasa penurunan harga yang diumumkan kerajaan.

“Bagi mengelakkan daripada menanggung kerugian kami terpaksa menjualnya mengikut harga lama namun kami berjanji akan menurunkan harga sekiranya bekalan beras lama itu habis dijual sepenuhnya,”
katanya yang berjanji menurunkan harga beras sedikit masa lagi.

Dia berkata, tindakannya mengekalkan harga lama bukan bermaksud untuk menggandakan keuntungan tapi ia untuk pulangan modal yang dibelanjakan dulu (sebelum penurunan harga beras).

“Memang betul harga minyak turun lagi tapi tidak bermakna harga barangan di pasaran boleh ikut turun sekali...kadang-kadang semua ini berlaku kerana sikap pembekal juga.

“Pembekal tekan harga pada peruncit kecil seperti kami dan untuk mengelakkan kerugian kami terpaksa menjual barangan itu dengan harga yang mahal,”
katanya yang mahu pembekal turut diberi amaran supaya menurunkan harga barangan seperti beras.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata pihaknya sudah menurunkan harga beras seperti diarah kementerian beberapa hari lalu.

“Selepas mendapat arahan, pihak kami terus menurunkan barangan itu serta-merta malah beras berjenama popular juga mengalami penurunan harga sama seperti diarahkan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20081120090620/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...