Thursday, January 22, 2009

Jerat ‘Datuk’ kasanova



Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Penangan ‘Datuk’ berstatus jutawan menjerat wanita berjawatan tinggi bukan saja menyebabkan mangsa nekad melakukan pengguguran haram, malah ada suami mangsa cuba membunuh diri selepas tidak dapat menerima hakikat isteri tersayang dinodai lelaki lain.

Datuk kasanova berusia 40-an terbabit memiliki cita rasa pelik iaitu hanya memerangkap wanita sudah berkahwin dan memiliki kedudukan dalam syarikat, terutama bertaraf antarabangsa bagi mendapatkan habuan seks tanpa mengira bangsa.

Dia licik memerangkap mangsa dengan menawarkan pelbagai hadiah bernilai tinggi selain percutian di beberapa pulau peranginan terkenal di luar negara.

Untuk menjerat mangsa, lelaki terbabit berpura-pura berbincang perniagaan dengan wanita sasarannya.

Selepas umpannya mengena, tajuk perbincangan kemudian beralih kepada cerita pelancaran produk perniagaan, diikuti majlis makan malam dan tari-menari menyebabkan hubungan mereka semakin intim tanpa pengetahuan suami mangsa.

Keintiman itu menyebabkan lelaki itu yang ada ketikanya berlagak alim, mengambil kesempatan menceritakan kisah sedih palsu kepada mangsa bagi menagih simpati.

Apabila hati wanita terbabit sudah dikuasai, lelaki terbabit bertukar nombor telefon bimbit dan bermulalah episod ngeri bagi wanita berkenaan.

SMS berbaur godaan kemudian dihantar kepada mangsa yang antara lain meluahkan rasa rindu seperti “Saya benar-benar rindukan U’ atau “Saya sentiasa teringatkan U’.

Kasanova terbabit dipercayai menggunakan talian prabayar menggunakan nama individu lain beralamat di Alor Star, Kedah, bagi mengelak kegiatannya terbongkar sehingga boleh ditahan pihak berkuasa.

Jerat dipasangnya dikira mengena apabila wanita terbabit bersedia menerima hadiah ratusan ribu ringgit termasuk barangan kemas dan jam berjenama terkenal.

Wanita berkenaan sanggup menipu suami dan anak kononnya perlu menghadiri mesyuarat sama ada di hotel terkenal dalam atau luar negara bagi bertemu kekasih sulitnya itu sebelum sanggup menyerahkan tubuh bukan sekali, bahkan berulang kali.

Kisah tidak bermaruah Datuk yang sudah berumah tangga dan mempunyai anak itu didedahkan Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George.

Menurutnya, lebih 60 wanita berkerjaya dan memiliki kedudukan dalam syarikat korporat menjadi mangsa lelaki itu yang menggunakan nama samaran, Datuk Azlan.

“Lelaki terbabit menggunakan kekayaan dimilikinya untuk memerangkap wanita berjawatan tinggi berusia 30 hingga 40 tahun yang mempunyai suami berpengaruh dalam masyarakat.

“Dia menjadikan wanita terbabit sebagai sasaran kerana yakin mangsa tidak akan berani tampil membuat laporan polis kerana bimbang maruah diri dan suami terjejas,”
katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Malah, beliau berkata, agak mengejutkan apabila sembilan wanita yang menjadi mangsa Datuk terbabit terpaksa menggugurkan kandungan tanpa pengetahuan suami.

Bagaimanapun, kata George, penangan Datuk itu menyebabkan ada suami mangsa cuba membunuh diri kerana tidak dapat menerima perbuatan isteri selain nama mereka tercemar.

Selain itu, ada suami tidak mampu menghadapi tekanan itu sanggup mencederakan diri sendiri, memakan kaca dan menjadikan anak sebagai sasaran bagi melepaskan kemarahan.

“Kegiatan lelaki itu perlu dihentikan segera sebelum lebih ramai wanita menjadi mangsa. Saya yakin lelaki terbabit boleh dikesan jika wanita yang menjadi mangsa tidak malu membuat laporan polis,” katanya.

George berkata, beliau membuat laporan berhubung kegiatan Datuk kasanova terbabit di Balai Polis Bukit Jelutong, penghujung tahun lalu.

Menurutnya, peruntukan undang-undang yang boleh dikaitkan dengan kegiatan lelaki terbabit iaitu Seksyen 498, Kanun Keseksaan iaitu memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan niat jenayah.

“Mengikut seksyen itu, pesalah boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika didapati bersalah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Thursday/BeritaUtama/20090122085111/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...